KULTUM 2 ~ Lintasan Negatif itu dari Syaitan!!!

Pagi semalam tiba-tiba rasa sebak, menangis sedih.

Petangnya mendapat berita gembira,  empat pengasuh taska secara sukarela nak ikuti kursus asuhan awal kanak-kanak Permata di Melaka..Alhamdulillah, lega rasa hati zaman kebangkitan Taska sudah bermula dengan izin Allah SWT.. Bolehlah tahun 2015 ibu fokus ke Tadika  pula, Insya Allah.
Sungguh ajaib orang mukmin itu dengan sayap  sabar dan syukurnya..


Sepanjang  bulan Oktober dan  November ini ibu mendapat banyak peluang bertafakur setelah dikemukakan dengan beberapa persoalan  yang hampir sama dari tiga ibu dalam situasi berbeza.

"Bagaimana nak betulkan  perangai anak yang sukar ditegur dan lambat  matang kerana tidak jemu-jemu  mengulangi kesalahan atau kesilapan yang sama ?". 

Sebenarnya  masih banyak lagi  ibu bapa berhadapan masalah seperti ini. Bukan hanya berhadapan dengan anak-anak kecil lagi bahkan dengan anak-anak yang sudah jadi 'mak dan bapak budak'...  Ternampak wajah  kecewa   dan peritnya hati mereka membesarkan anak-anak tersebut. Mungkin  selama ini ibu bapa tidak perasan dan tanpa sengaja atau tidak sedar  seolah-olah telah beri label 'degil' kepada  anak-anak mereka. Masih ada sungutan-sungutan, rasa tak puas hati bersarang dalam lubuk hati dan fikiran..Semua itu 'racun' yang perlu dibersihkan kerana  boleh menjadi doa, merosakkan  masa hadapan anak-anak... 

Ibu mohon kepada Allah semoga dipermudahkan dapat solusi yang menyenangkan hati  mereka  yang mengemukakan persoalan tersebut.

Sewajarnya ibu bapa memiliki jiwa pemaaf..sentiasa  memaafkan kesilapan anak-anak..tak perlu dibesarkan kesilapan atau 'kedegilan' yang didakwa itu. Banyak lagi potensi anak-anak yang patut kita besar dan luaskan. Pejamkan mata hati tentang kesilapan dan fokus kepada kelebihan yang ada pada  diri anak-anak serta doakan yang terbaik untuk mereka (doa dalam post lepas memang bagus untuk anak-anak). Ini minima usaha  yang boleh  ibu bapa lakukan setiap  hari selepas solat. Bukan senang hendak memiliki jiwa semulia itu, tapi harus diusahakan.


Sedangkan haiwan juga terkena tempias  doa kita, apa lagi  anak-anak...?

Kebetulan pula, Allah izin  di rumah sejak awal bulan, ada seekor  anak kucing yang mendatang  asyik berak di tempat  yang sama bertompok-tompok , atas kerusi dan kotak-kotak di hadapan  rumah..

Jazakumullahu khairan kathira  kepada semua hamba Allah  yang  budiman membersihkan tahi kucing  itu sepanjang ibu bercuti. Semua kerusi sudah dibawa ke sekolah, kotak-kotak sudah dibuang. 
Atas nasihat  guru-guru di SmarTop, ibu taburkan klorok  di atas lantai nak hilangkan bau  agar kucing  itu tidak mengulangi kes yang sama.
Tetapi terlintas di hati 'jangan pulak nanti kucing ni berak atas washing machine !!'. Rasa macam  mustahil sebab washing machine tu tinggi! Tak mungkin anak kucing tu mampu nak melompat naik ke atasnya...
Esok pagi sebelum nak hadiri  Ihtifal Kanak-Kanak di SmarTop, di hadapan mata,  kucing itu baru lepas  berak di atas  washing machine. 
Tidak sangka sama sekali . lintasan hati tu menjadi doa rupanya.....
Masya Allah Tarabakallah , Allah izin lintasan hati dan fikiran semalam menjadi kenyataan  pagi esoknya. Silapnya  ibu tidak istighfar membatalkan bisikan syaitan tersebut... Kucing  tidak salah  kerana  ia tidak pernah dilatih berak di tempat  yang betul. Nak latih perlu ada kesabaran dan keikhlasan..

Dari sini  ibu belajar dari pengalaman  dengan anak  kucing..apa yang terlintas di hati dan fikiran kita itulah yang akan terjadi. Bagaimana 'mind set' kita membentuk lintasan hati hingga menjadi doa yang dimakbulkan? Ada ketika mind set dan lintasan hati kita adalah ilham dari malaikat dan banyak masa diganggu oleh syaitan ..

Persekitaraan  juga  merespon doa kita?

Tahun 1992, kali pertama menunaikan umrah bersama anak ibu, ayah dan datuk neneknya. Ketika sampai di Airport  Madinah  terlintas dalam hati "hilang juga  beg-beg ini..". 
Allah izin memang betul.. Semua beg ibu berdua  hilang  dan tak dijumpai sampai  tarikh pulang ke Malaysia.Lintasan negatif ini terjadi di tanah  suci... Untuk keselamatan perlu kenal pasti lintasan-lintasan hati dan fikiran  seperti ini dari syaitan, perlu batalkan segera dengan istighfar.


Contoh Kanak-Kanak Terbiar Menjadi Motivator

Teringat bekas anak didik  semasa mengajar tingkatan 6 atas di Sekolah Agama  Menengah    Tunku Ampuan Jamaah Shah Alam. Beliau  terjumpa nama ibu  dalam facebook lalu bertaaruf semula dan bertanya 'Methode  Imam Ghazali' yang ibu selalu kongsi  dengan mereka pasal 'Kerajaan  Dalam  Badan' ketika mengajar subjek Sejarah. (tidak ada dalam silibus) 

Pemuda itu kini sudah jadi penceramah Motivasi sekitar Selangor. Asalnya membesar dalam keadaan 'terbiar' kerana ayahnya adalah Navy. Cabut dari sekolah , mencuri dan banyak kes kenakalan remaja telah dilaluinya..
Menurut guru disiplin ketika itu, semua hukuman sudah dirasakan  tapi memang pelajar  ini tidak mahu berubah.. 
Pemuda ini ibu kenalinya ketika tingkatan 6 memang suka berkunjung ke bilik kaunseling secara sukarela menceritakan sejarah kedegilannya... Ketika itu ibu merangkap  guru kaunseling di samping mengajar Sejarah Islam kelasnya. Setelah puas dia meluahkan semua kedegilannya dalam beberapa minggu barulah ibu buat rumusan;
"Degil tu fitrah syaitan, bukan fitrah manusia" Fikir-fikirkanlah. Fitrah manusia, tunduk dan patuh!"
Baru ibu perasan, pelajar   ini perlukan bimbingan untuk betulkan persepsinya terhadap qada dan qadar Allah. Ketika membesar dirasakan semua memusuhinya..(persepsi dari syaitan)
Apabila persepsinya terhadap Allah  sentiasa  positif akan jadi magnet kepada merubah persepsi terhadap  ibu bapa dan guru-guru terhadapnya.

Fokus Kepada  Suburkan Fitrah, Abaikan segala  bisikan syaitan!!!

Sebenarnya ikut fitrah hati ini memang  sejak dahulu  ibu  suka  guna nama Subur Fitrah..
Fitrah yang perlu kita suburkan dalam diri  dan  semua jiwa insan yang Allah amanahkan untuk kita didik  bersama adalah fitrah  hanya  untuk menerima Allah sahaja  sebagai  Rabb. Tapi nak ceritakan hal ini kepada ibu bapa kanak-kanak semasa Ihtifal 15 November bukan suatu yang mudah. 

Dahulu 20 tahun  ibu mengajar di SMK masalah pelajar mendapat ibu bapa yang 'garang' memang sudah membudaya  dalam kehidupan masyarakat kita. 'Leteran' menjadi senjata untuk mendidik anak-anak menyebabkan  hati anak terluka, cedera parah. bahkan ada yang hancur berderai. Demi keselamatan  dirinya segala nasihat tidak lagi  bermanfaat jika disampaikan melalui 'leteran'  , melabel negatif' (seperti degil, membandingkan dengan orang lain) atau ugutan. Ramai murid mengadu "kalau mak saya tegur.."makan dalam!!!" ~ istilah yang tidak disenangi oleh anak-anak jika ibu bapa gunakan bahasa sindiran dan seumpamanya.

Bila  berada  di pra sekolah, ibu sangka pasti  anak-anak semua dikasihi dan dicintai ...
Terdapat  segelintir 'feed back' dari  tingkah laku  segelintir anak  yang fikiran bersihnya terracun.  Masih  terdengar cerita santai  anak-anak bawah 6 tahun di taska dan tadika 'kegarangan' orang tuanya di rumah. Mereka meluahkan rasa hati sesama mereka "mak aku garang tau!.."  .."eh mak akupun..kalau dia marah..takut!". Setakat  ini tak pernah dengar lagi "ayah aku garang!"... Memang sebak mendengar segelintir  'ahli-ahli syurga' ini diuji di awal usia mengalami keracunan dalam rumah tangga kurang kasih sayang di rumah.

Alhamdulillah lebih 90% ibu bapa yang hantar  anak-anak ke pre school mulai fokus untuk menjaga  hati anak-anaknya bagai  menatang minyak yang penuh setelah kami  ber'telegram' dan  mendapat input  dari facebook dan komunikasi dengan guru-guru kelas serta pengasuh di Taska..  

Beruntunglah anak-anak yang mendapat kasih sayang yang berkualiti walaupun ibu bapanya sangat sibuk dengan urusan mencari nafkah dan sebagainya. Bijaksananya mereka kerana tidak pernah jaja  kesibukannya  di sana sini..Ketika sibuk sekalipun masih berusaha sediakan  ketenangan untuk keluarga masing-masing.

Perkataan 'sibuk' sering  dijaja ke sana ke mari secara tidak langsung menyebabkan ramai  ibu bapa  hari ini  mengalami  'stress' hingga bawa 'sampah-sampah emosi'   ke rumah. Anak-anak  yang menunggu  di rumah hanya mendapat habuan sisa-sisa 'sibuk' yang diagungkan selama ini. Tidak wujud ketenangan di hati ibu bapa, maka  tidak terasa di lubuk hati  anak-anak erti bahagia dan  mereka  akan membesar  dalam keadaan terus bermasalah..

Terima kasih  kepada  ALP yang  bersetuju  diadakan KULTUM 1  dan KULTUM 2 ketika hari Ihtifal. Dalam situasi budaya  ilmu masih belum mesra  di kalangan  ibu bapa,  maka  'Kuliah Tujuh Minit' lebih sesuai  diperkenalkan  di celah-celah persembahan  kanak-kanak. Tak perlu banyak bicara, yang penting tunjukkan 'harga diri' yang kita infakkan kepada Allah SWT.

Hajjah Ngasobah mengketengahkan cerita  sekumpulan besar gajah yang menarik..budaya prihatin yang menjadi cara hidup haiwan sewajarnya manusia mendahuluinya  dengan kelebihan akalnya..

Ibu bawakan tajuk 'Nak bahagia jadilah Raja' 
~ Bersihkan hati (Raja) dan fikiran@ akal (wazir) dengan zikrullah..barulah  Raja dan wazir berfungsi mendidik hawa nafsu   (budak nakal) dengan Iman (polis) dalam kerajaan badan. 



قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
(صحيح البخاري)
Sabda Rasulullah saw . "Ketahuilah bahawa dalam jasad terdapat segumpal daging, jika ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya, jika buruk maka buruklah seluruh jasadnya. ketahuilah itu adalah hati" (HR Sahih Buhari)

Jika raja baik (hati) baharulah segala anggota badan termasuk pancaindera seperti lidah, telinga, mata akan rasa selamat dan patuh kepada segala perintah raja. Kerajaan badan sentiasa aman.. Ketika aman, baharulah kita boleh bantu amankan kerajaan badan anak-anak kita dan ahli keluarga  kita..

Sekiranya ada sedikit sahaja lintasan negatif di hati atau fikiran tentang  anak menandakan  hati kita bermasalah, sudah tercemar kerana ada sangkaan buruk. Ini adalah 'racun' yang merosakkan kebersihan hati. Hati mulai sakit dan hawa nafsu (budak nakal) sebagai agen syaitan akan segera ambil alih tugas menerajui kerajaan badan. 

Isu nampak kecil, tapi bila hawa nafsu merajai kerajaan badan isu kecil jadi besar..semua masalah dibesarkan ..maka lintasan itu adalah dari syaitan kerana kerja syaitan memang  hendak menjadi batu api merosakkan  semua individu dalam sesebuah rumah tangga. Usah  dilayan bisikan, hasutan  atau aduan syaitan..

Hanya raja yang beriman sahaja  boleh membahagiakan seluruh keluarga, khusus anak-anaknya menjadi Raja beriman untuk dirinya sendiri..Tempias benih-benih kebahagiaan itu akan tersebar  meluas ke seluruh pelusuk bumi ini dengan kalimah 'La Ila ha illallah Muhamadurasulullah'

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil