Menggilap Potensi 6 : TAAT

  Sahabat/Sahibah, marilah bersama  kita bersatu hati  untuk tundukkan  ego  dan patuhlah kepada kepimpinan beriman dan bertaqwa demi memenangkan kebenaran dan menguburkan segala kebatilan!
Sehubungan dengan  tajuk di atas, Ibu ingin berkongsi kisah yang pernah didengar semasa  zaman Sheikh Abdul Kadir Jailani, seorang  wali Allah, guru yang mursyid di mana semua sheikh atau murabbi sezaman ingin berbai'ah dengannya. Hanya ada seorang sahaja sheikh yang tidak ingin berbaiah dengannya kerana mempertahankan egonya.

Sheikh itu bermimpi menyembah berhala. Pada keesokkan paginya sheikh tersebut membawa semua anak muridnya ke suatu tempat dan mengetuk pintu lalu keluarlah seorang  wanita  cantik hingga menawan hati sheikh tersebut. Melihatkan terlalu ramai yang mengikut, maka wanita itu menutup pintu. Murid-murid sheikh itu memujuknya agar pulang namun sheikh itu tidak mahu kerana terlalu cinta kepada  wanita cantik itu. Semua  muridnya pulang setelah gagal memujuk gurunya untuk pulang bersama mereka.
Apabila sheikh itu keseorangan, maka wanita itu membuka pintu, lalu sheikh itu merayu agar sudi bernikah  dengannnya. Wanita  itu memberi syarat, "jika kamu ingin mengahwini aku, maka sembah dahulu berhala dalam rumah ini". Demi cinta, sheikh itu sanggup menyembah berhala. Selepas itu, wanita yang dicintainya itu  meletakkan syarat "sanggupkan kamu menjadi hambaku, ikut sahaja apa yang aku suruh". Sheikh itu menyanggupinya. Wanita itu minta  dia buka pakaian kebesarannya dan tukar memakai pakaian gembala khinzir dan mengembala khinzir...

Semua  anak murid sheikh itu berjumpa dan mengadu kepada  Sheikh Abdul  Kadir Jailani perihal gurunya. Sheikh Abdul Kadir  Jailani memarahi mereka  kerana  meninggalkan gurunya yang sedang diuji dengan fitnah wanita. "Ketika  kamu bergelumang  dengan maksiat, sheikh itulah yang menyelamatkan kamu, kenapa ketika dia diuji, kamu meninggalkannya.Sekarang  kamu pergi ke kandang  khinzir di sekian tempat, berdoa mohon Allah beri semula hidayah-NYA kepada gurumu dan aku akan mendoakannya dari sini?" . Semua  murid itu melakukan seperti apa yang disarankan oleh wali tersebut. Beberapa lama  kemudian sheikh itu tersedar dan amat terkejut bagaimana dia boleh bergelumang dengan najis khinzir. Apabila difahamkan lalu dia  meninggalkan wanita  itu, terus bertaubat dan akhirnya  berbaiah  dengan  Sheikh Abdul Kadir  Jailani . Setelah beberapa lama, wanita cantik itu pula tergila-gilakan kepada  sheikh yang sudah bertaubat itu. Beginilah kuasa Allah, memenangkan Deen-Nya melalui para hamba-NYA yang berjaya  tundukkan EGO dan menyuburkan keimanan hanya kepada-NYA... Intipatinya amat pentingnya 'Taat' kepada  guru yang mursyid dan kepimpinan yang bertaqwa.. Jika  engkar, sehebat manapun ilmu yang ada, Si Ego itu  akan ditimpa musibah demi musibah
         Wajib Taati Pemimpin yang meletakkan hukum Allah paling atas dalam kehidupannya
Renugilah  firman Allah Taala yang bermaksud:
              “Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada RasululLah dan kepada orang-orang yang berkuasa di kalangan kamu“. (Surah An-Nisa': 59)
        Dan lihatlah bagaimana Allah s.w.t. telah mengaitkan ketaatan dengan diri-Nya (zat-Nya). Pada masa yang sama dikaitkan dengan hakikat keimanan di dalam dua sudut iaitu beriman dengan Allah dan hari akhirat. Allah berfirman:
              Maksudnya: “Jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat.”
                Apa sahaja yang  Allah tetapkan dan aturkan untuk kita semuanya terkandung hikmah yang tersirat, maka wajib dipatuhi kerana ini merupakan kebaikan yang sebenarnya. Bahkan menjadi sumber kebahagiaan dan solusi yang diredhai-NYA. Sesungguhnya individu atau organisasi yang mengabaikan perkara ini  tidak akan dapat memetik kebaikan sama sekali.   Sebab itulah RasululLah s.a.w. bersabda:
              Maksudnya: “Setiap muslim mesti “dengar” dan “patuh” samada dalam perkara yang di sukai atau tidak, melainkan apabila disuruh di dalam perkara maksiat, maka pada ketika itu tidak ada lagi “dengar” dan “patuh“. An-Nawawi ‘Ala Muslim: 12/226
Di dalam Islam “dengar” dan “taat” merupakan kewajipan, demi merealisasikan visi dan misi dakwah dan tarbiyyah. Kewajipannya dalam apa keadaan pun bukanlah untuk memenangkan jahiliah atau sebahagiannya. Seorang pejuang  atau pendakwah yang mematuhi dengan tujuan mendaulat dan mengukuhkan sistem sekular umpamanya hanya menjadikan dirinya 'barang dagangan' di pasaran yang rugi. Kalau begitu tidak ada “kepatuhan” dengan tujuan harta, wanita, pangkat atau pingat semata-mata atau dengan tujuan untuk mendapat faedah dunia untuknya. Maka keadaannya tertolak dengan kemusnahan (kerugian).

As Syahid Hassan Al-Bana berkata:
"Taat yang kumaksudkan ialah  mematuhi perintah dan melaksanakannya dengan SEGERA baik ketika senang mahupun susah, dalam perkara yang disukai mahupun dibenci. Peringkat dakwah itu terbahagi kepada 3 peringkat;
                1- PERINGKAT TA’RIF: Dengan menyebarkan fikrah  umum di kalangan masyarakat.Sistem peringkat  ta'rif  merupakan sistem persatuan  yang bersifat  PENTADBIRAN. Tugasnya  adalah  melakukan  AMAL KEBAJIKAN UMUM. WASILAH  yang digunakan dalam peringkat ini  ialah MEMBERIKAN KESEDARAN DAN BIMBINGAN, juga  dengan  mewujudkan  INSTITUSI-INSTITUSI YANG BERFAEDAH  dan  WASILAH-WASILAH lain yang   PRAKTIKAL…..
                2- PERINGKAT TAKWIN: Dengan  memilih  amilin-amilin  yang  LAYAK  untuk  MEMIKUL TANGGUNGJAWAB JIHAD DAN MENGGABUNGKAN potensi  amilin-amilin  TERSEBUT…..
                3- PERINGKAT  TANFIZ. Dakwah  dalam peringkat  ini adalah JIHAD tidak mengenal kompromi (TAWAR-MENAWAR), AMAL  yang berterusan untuk  MENCAPAI MATLAMAT. Segala  cubaan dan bala  tidak akan mampu dihadapi  oleh mereka  melainkan  dengan  'KETAATAN YANG SEMPURNA' ”.                

                Al-Imam asy-syahid berkata: “Taat yang saya maksudkan ialah: Mematuhi perintah dan melaksanakannya dengan segera, baik di waktu senang dan susah, dalam perkara yang disukai dan dibenci.
              Ini adalah kerana peringkat dakwah itu terbahagi kepada tiga peringkat.
                Peringkat ta’rif
                Jutaan pendukung  Ikhwan yang wujud sekarang  berperanan penting mengukuhkan  Sistem dalam  dakwah umum.   Fokus  kepada  taarif   memahami  Iman , Islam  dan Ukhuwwah          
                Semua manusia  dibenarkan  berhubung dengan  organisasi  sekiranya mereka berkeinginan untuk turut serta melakukan kegiatan-kegiatan dakwah  dan berjanji akan memelihara prinsip-prinsip yang ditetapkan . Ketaatan yang sepenuhnya tidak diwajibkan dalam peringkat ini  sehinggalah mereka terdidik dan redha untuk taat serta menghormati nizam dan prinsip umum  organisasi.
                Peringkat takwin:
                Sistem dakwah dalam peringkat ini ialah sistem sufi tulen dari sudut kerohanian  dan ketenteraan tulen dari sudut amaliah. Slogan dalam kedua-dua sudut ini ialah (perintah dan taat) tanpa teragak-agak, tanpa soaljawab, tanpa  syak dan tanpa keluh kesah. Katibah-katibah Ikhwan sekarang memainkan peranan dakwah di peringkat ini. Sistem yang mengaturkannya ialah Risalah Manhaj dulunya dan Risalah Ta’alim untuk sekarang.
                Dakwah dalam peringkat ini adalah khusus, hanya mereka yang membuat persediaan yang bersungguh-sungguh untuk memikul tanggungjawab jihad yang berterusan dan beban yang banyak, hanya mereka inilah sahaja yang layak berhubung dengan organisasi. Petanda-petanda awal bagi kesediaan ini ialah ketaatan yang sempurna.
                Peringkat tanfiz
Untuk tujuan inilah saf pertama Ikhwan Muslimin telah memberikan bai’ah pada 5 Rabii’ul Awwal 1359.
                Dan saudara sendiri, dengan kemasukan saudara dalam katibah ini, menerima risalah ini (Risalah Ta’aalim), juga dengan bai’ah yang saudara berikan bererti saudara telah berada di dalam peringkat kedua dan telah hampir kepada peringkat ketiga. Oleh itu saudara mestilah membuat penilaian terhadap tanggungjawab yang saudara pegang dan sediakanlah diri saudara untuk menunaikannya.                
              Maka kita katakan bahawa “penerimaan” dan “ketaatan” merupakan dua perkara yang meyepadukan potensi manusia. Pada hakikatnya  ' sami'na  wa atho'na'  adalah sebagai tulang belakang bagi manusia pada setiap umat, penentangan terhadap musuh atau kejayaan ketenteraan tidak akan berlaku melainkan apabila “dengar” dan “taat” berakar umbi pada setiap individu umat ini dan umat yang menentang musuh. 
Umat yang memiliki kesatuan dengan kuat dan teguh ialah umat yang mempunyai prinsip serta individu yang menerima dan patuh. Sesungguhnya sesiapa yang membina Armada, membuat kapal terbang dan berusaha mencipta berbagai bentuk senjata, melaksanakan perancangan ummah tetapi tidak mempunyai wakil dalam pendapat, dan dalam mengikut pendapat ahli-ahli perundingan, seolah-olaah dia telah membina istana di atas himpunan pasir yang boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja, seterusnya meruntuhkan bangunan yang dibina.
Gambarkan bersamaku, setiap bidang kehidupan dan sebaliknya serta setiap sektor di dalam mana-mana negara, andaikan di sana terdapat buah fikiran yang matang, langkah-langkah yang dicipta, perancangan yang dikaji, contoh i’lmi dan amali, kemudian usaha-usaha ini telah diambil oleh telinga-telingga yang tidak mendengar, kewibawaan yang mundur serta hati-hati yang keadaan semulajadinya engkar menyebabkan diri tidak dapat merasai kemanisan selepas melaksanakan kerja-kerja yang mulia tadi. Diri yang teruk dan bersifat putus asa telah menyebabkan matinya usaha-usaha yang agong serta terkuburnya kerja-kerja yang mulia tanpa pengiring-pengiringnya.
                Kerja-kerja yang besar tadi telah lumpuh, di mana kedaulatan negara dan keagongan anak watannya bergantung kepada pelaksanaannya, kadang-kadang ditimpa kemusnahan di peringkat awal lagi sebelum mendapat hasilnya. Kehilangan menimpa kehidupan awam di dalam segenap kehidupannya yang akan memberhentikan penghasilan sumber kehidupan serta mengalami keruntuhan yang teruk. Oleh sebab itu bolehlah kita katakan bahawa “dengar” dan “taat” merupakan dua perkara yang berpadu dan menjadi keperluan hidup samada dalam keadaan aman mahupun perang.
                Memang dimaklumi bahawa Islam merupakan syariat Allah yang maha mengetahui, maka tidak hairanlah ia meletakkan penerimaan dan kepatuhan pada tempat yang sememangnya sangat diperlukan seperti yang terkandung dalam firman Allah dalam surah an Nisa:59
            Tanpa ketaatan maka akan timbullah masalah  dan kekalahan...
              Peperangan Uhud umpamanya, lihat  bagaimana RasululLah s.a.w. mengarah pasukan pemanah agar tidak meninggalkan tempat mereka sekalipun mereka disambar oleh burung, akan tetapi berita kemenangan umat Islam dan kekalahan musyrikin menyebabkan mereka menyangka bahawa peperangan telah berakhir, mereka pun turun dan meninggalkan tempat mereka, menyalahi apa yang diperintahkan oleh RasululLah. Di dalam pertempuran ini pihak  Islam ditimpa beberapa musibah dan  seramai tujuh puluh orang  terkorban sebagai syahid. Ini merupakan  pengajaran dalam sejarah yang menguatkan kepada betapa perlunya ketaatan dan mengelakkan dari terjebak ke lembah keengkaran (maksiat).
             Dalam perang dunia Kedua, dua juta daripada barisan tentera Itali di dalam pertempuran “Dua Bendera”, lengkap dengan persiapan yang mengatasi kelengkapan pihak musuh. Mereka enggan akur dengan arahan yang  dikeluarkan kepada mereka arahan supaya mara dan maju lalu. Sebaliknya mereka meniarap ke bumi dengan rasa kecut dan ketakutan. Mereka tidak menyahut arahan tersebut. Walaupun tenteranya ramai bahkan  lengkap dengan senjata moden tetapi  tidak sedikit pun menguntungkan. Mereka berada dalam keadaan berpecah dan tidak mentaati perintah. Natijahnya kesemuannya menyerah kepada pasukan lawan. Kita dapat melihat betapa bahayanya tindakan ini sehingga menyebabkan kehancuran dan kemusnahan secara menyeluruh kepada Itali.
                Apabila kita mengetahui semua itu, tahulah kita betapa besarnya pengajaran ini di dalam Al-Quran, dan bagaimana seorang nabi yang mulia telah memberi latihan kepada tenteranya untuk membiasakan “ketaatan” supaya apabila berhadapan dengan musuh bersama tentera yang “dengar” dan “taat” kepada agama dan menjadi tabiatnya yang tulen.
              Dan bukannya mencintai kehidupan dan segala ragamnya. Sesungguhnya tentera yang meletakkan  "syahid'  sebagai cita-cita akan terus  maju dengan gagah ketika di medan, mereka tidak menginginkan sesuatu melainkan menyerah kehidupannya yang mulia kerana Allah.
              
                Adapun keinginan dan kehendak seorang tentera (yang bercanggah dengan apa yang di perintahkan) atau apa yang dialaminya di dalam beberapa keadaan ketika menjalankan ketaatan, maka perkara ini tidak boleh menjadi penghalang untuk taat, bahkan kamu hendaklah “dengar” dan “patuh” samada senang atau susah, sukarela atau terpaksa.
                Memandang kepada diri pemimpin sahaja, tanpa melihat kepada apa yang dilaksanakan merupakan titik tolak kepada penyelewengan dalam “kepatuhan” dan “ketaatan”. 
              Benarlah sabda RasululLah s.a.w. bahawa “dengar” dan “patuh ” di dalam perkara yang baik dan apa yang disyariatkan oleh Allah, RasulNya dan Ulil Amri, dengan syarat mereka melaksana dan mengutamakan perintah Allah serta larangan-laranganNya. Begitu juga perjalanan (pentadbiran) mereka terhadap rakyatnya, selari dengan siasah ini. Semua yang tersebut adalah ma’ruf yang wajib dipatuhi padanya dan pemimpinnya.
Inilah syarat-syarat kelayakannya:
1) Iman yang kuat
2) Bertaqwa kepada Allah
3) Pengetahuan dan kekuatan
4) Amanah dan ikhlas
5) Tidak kasar dan keras hati
Dan ini pula garis panduannya:
1) Melaksanakan syariat sebagaimana yang diperintahkan.
2) Da’wah yang berterusan kepada Allah sehingga tidak tinggal lagi di muka bumi seorang pun yang tidak mendengar kalimah Allah.
3) Pentabiran ke atas rakyatnya selaras dengan apa yang terkandung dengan amanah ini.
                Pemimpin tadi mesti bersifat dengan sifat-sifatnya demi tercapai matlamat yang berkait dengan kerja dan tugas keseluruhannya. Maka kepemimpin dalam Islam mestilah berpaksikan kepada Mu’min yang kuat iman, bertaqwa, berpengetahuan serta mampu melaksanakan  amanah dengan ikhlas. Dia juga tidak boleh bersifat keras hati, akan tetapi hendaklah bersifat lembut (penyabar), lemah lembut serta mengetahui hak-hak anak didiknya dan hak Allah ke atasnya. Begitu juga dia hendaklah menggangap bahawa tidak ada beza di antara kecil atau besar, kaya atau miskin, berkulit hitam atau putih dan cantik atau hodoh. Kita melihat berapa ramai orang yang hodoh dan orang yang tidak dikenali lebih baik dari segala isi bumi serta lebih baik daripada orang yang membawa gelaran, mempunyai kecantikan dan pangkat. Malangnya manusia sering kali melupai semua perkara tersebut. Sesungguhnya orang yang melihat pemimpinnya dari sudut ini, iaitu sudut yang yang hanya dilihat oleh golongan biasa yang telah rosak tabiat dalaman mereka, bergoncang jiwa-jiwa mereka dan nilai-nilai di sekitar mereka, dia mengsia-siakan banyak waktu yang berharga dari jamaahnya dan memusnahkan usaha dan tenaga anak buahnya.
                Dan sesungguhnya, seagong-agong contoh di dalam sejarah Islam yang kita berikan di sudut kepatuhan ialah:
Apa yang dilakukan oleh Khalid ketika mendapat surat perintah daripada Amir Mu’minin, (demi kepentingan yang ditentukan), supaya dia menyerahkan pimpinan tentera kepada Abu Ubaidah Al Jarrah, sedangkan panji-panji dipegang oleh Khalid dan tentera muslimin sedang menghadapai pertempuran yang dahsyat yang sememangnya diketahui di dalam sejarah. Tentera Islam ketika itu tidak lebih 40,000 orang, berhadapan dengan tentera berkuda dan pemanah Rome yang bilangannya tidak kurang daripada 200,000 orang. Dia tidak menghentikan peperangan sekalipun berita yang datang itu adalah suatu perkara yang amat besar ke atas dirinya, malah dia meneruskan peperangan sehinggalah selesai berhadapan dengan musuh-musuh Allah dengan kemenangan kepada tentera-tentara Allah, seterusnya dia tidak pergi ke khemahnya sehingga dia memanggil Abu Ubaidah tampil kehadapan dan menyerahkan panji-panji dan menyerahkan kuasa ketua kepadanya. Kamudian dibaca perintah khalifah. Khalid kamudiannya berkata kepadanya: “Aku hanyalah seorang tentera kamu yang “mendengar” dan “taat” wahai Abu Ubaidah”. Peristiwa ini telah menjadi contoh yang agong di dalam sejarah:
Tanyalah panglima yang menundukkan Farsi dan Rom, adakah pembukaan negeri memadai untuknya, dan adakah mencukupi pembukaan berikutnya.
Dia berperang dan diuji, sedangkan kuda-kuda Allah diikat ubun-ubunnya dengan kemenangan dan berita gembira
Dia tidak melewati sebuah negeri pun, melainkan didengar padanya laungan ‘Allahu Akbar’ berkumandang di segenap pelusuknya .
Dan khalid di Jalan Allah penyemaraknya
Dan Khalid di jalan Allah pembakarnya (pemberi semangat)
Telah datang kepadanya perintah ‘Umar lalu diterimanya
kemuliaan diri tidak menjejaskan (melukakan) sudut hatinya.
                Jamaah yang memikul tanggungjawab yang besar tidak mampu mencapainya selagi mana tiada ketaatan kepada pemimpinnya dari orang-orang yang mendokongnya, bukan dalam perkara yang maksiat.
                Kadang-kadang seseorang merasakan bahawa perkara yang dituntut daripadanya supaya dilaksanakan tidak mempunyai alasan dan asas. Namun tidak seharusnya itu menjadi sebab untuk tidak melaksanakan perintah dan mentaatinya. Kepimpinan Qiyadah  orang yang pertama sekali dipertanggungjawabkan, dia kebiasaannya merupakan orang yang lebih mengetahui situasi sekitar, dorongan dan alasan-alasan yang tidak terdapat pada individu-individu lain.
                Di bawah naungan syura, setiap individu diminta melahirkan pandangan-pandangan mereka dan apabila jamaah telah memutuskan pendapatnya maka berkewajipan kepada semua untuk beriltizam dengannya demi menyatukan kesatuan organisasi  dan arah yang dituju. Tidak seharusnya bagi seseorang yang berlainan pendapat atau pandangan memperkatakan pendapatnya selepas itu di dalam barisan organisasi  sekalipun percubaan telah menunjukkan bahawa pendapatnya yang tidak diterima itu, lebih benar. Sesungguhnya bersatu organisasi  di atas kebenaran lebih baik dari berpecah di sekitar pendapat yang lebih benar. Dalam bersatu di atas kebenaran membolehkan kita sampai kepada yang lebih benar. Manakala seandainya berlaku perpecahan tentunya tidak ada di sana kesatuan di atas kebenaran juga tidak di atas yang lebih benar. 
Wallahu alam..

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil