Mati Hidup Kembali?

Segala puji-pujian hanya milik Allah yang mengaturkan agenda-Nya memberi peluang untuk kita sama-sama meningkatkan kualiti ubudiyyah dan perhambaan kita hanya sanya kepada-Nya. Sesungguhnya kebahagiaan sejati bukanlah kerana kita dapat melancong mengelilingi negara-negara  yang indah di  dunia  yang fana ini, namun bahagia  yang hakiki apabila  kita dapat istiqomah terus berada di dalam rombongan  para sahabat mengumpul  bekalan sebelum meneruskan perjalanan menuju ke destinasi abadi. Apakah persiapan itu?  Persiapan itu adalah iman dan ukhuwwah yang sentiasa ditingkatkan melalui usrah muntijah (produktif dan dinamik) untuk  menempah 'syahid' di medan amal. Semoga impian untuk  syahid itu menjadi lesen atau tiket yang akan mempermudahkan perjalanan roh kita yang masih panjang walaupun kelak jasad sudah menjadi tanah. Mudah-mudahan Insya Allah   roh  kita dipilih untuk  melancong  mengelilingi  syurga-Nya  menanti  hari Kiamat. (ada hadis  sahih tentang janji Allah ini)

      Alhamdulillah,  sekembalinya kami  dari program  Kolokium Pendidikan Bersepadu di kem Bumi Jati, Allah aturkan kami dapat  berinteraksi dalam pelbagai aktiviti ziarah dan sempat mengunjungi teman karib suami yang pernah koma 3 hari di hospital  Johor Bahru  bulan lalu. Ibarat mati seketika kemudian hidup kembali. Teman suami ini memang rajin mengembara walaupun sudah masuk umur 7 siri. Ke Perlis mengunjungi kami lebih 3 kali. Masih ada semangat orang muda. Alhamdulillah. 

Sebak mendengar ceritanya  selepas tersedar dari 'koma,' kesan dari kekurangan oksigen dalam darahnya. Dia berusaha  mengubah cara hidupnya yang sebelum ini sentiasa menjaga prestij tidak mahu mengalah dalam serba serbi kehidupan dunia yang fana. Selama ini  hidupnya sentiasa mengejar  dunia, malah berbangga kerana puas melancong mengelilingi dunia, dapat memiliki segala kemewahan yang dikehendaki malah memiliki kereta sport 'Jaguar' yang masih menjadi kenderaan yang dicintainya. Rumah mewah 'ala English Cottage' yang cantik dan menarik itu juga  turut menjadi kebangaannya. "semua ini saya dah tukar nama menjadi milik anak saya." Benar, semua yang kita kejar di dunia ini akan ditinggalkan dan akan menjadi orang lain apabila telah sampai ajalnya. Pengalaman koma selama 3 hari ini menjadi 'siren'  tanda amaran dari Allah, hidupmu tidak lama lagi akan tetap berakhir...Menurutnya;.
"ana  sedang melatih diri untuk melepaskan diri dari segala  ikatan dunia...tetapi bukan mudah, tidak semudah dikata.." 

Wataknya yang ceria itu mulai menunjukkan wajah keinsafan. Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang memilih dan beri peluang untuk bertaubat...Kelebihannya ialah dia memiliki ramai kenalan dan selaku pengerusi masjid berdekatan dengan rumahnya, kini beliau tidak pernah terlepas  solat berjemaah di masjid tersebut. Jemaah masjid sangat menyayanginya yang ramah tamah itu.
Justeru itu wahai saudara-saudariku seiman yang  dicintai, tiada suatu hal lain yang menjadi tujuan kita hidup di dunia ini jika bukan untuk mencari hakikat bagaimana  kita dapat  menikmati  kebahagiaan yang hakiki. Tidak ada satu makhlukpun di dunia ini yang tidak mencari kebahagiaan samada ingin mengejar kehidupan berprestij atau menjadi jutawan Iman yang sentiasa menginfak hartanya mengharapkan redha Allah.  Allah SWT mengutus kekasih-Nya baginda Rasulullah SAW semata-mata untuk mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada  kita  agar  mengenal SIAPA  yang berada di sebalik terciptanya seluruh jagad raya ini dan juga bagaimana kita hidup sesuai dengan peraturan hidup yang DIA inginkan.
Seorang pakar menciptakan sebuah  washing machine contohnya, sudah pasti ia mengetahui bagaimana mesin itu beroperasi. Jika rosak, bagaimana cara membaikinya? Maka para pengguna akan merujuk  buku panduan atau petunjuk yang diberikan oleh pakar yang menciptanya. Demikianlah  Allah SWT, tidak ada  selain-Nya yang lebih mengenal diri kita. Hanya   Allah SWT yang mengenali kita kerana Dialah yang telah menciptakan kita.
“ Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa” Al Baqarah :21
Maka apabila ada makhluk yang mencari kebahagiaan di luar petunjuk Allah maka pasti  gagal kerana  dia tidak akan menemui bahagia yang hakiki tanpa hidayah-Nya, malah sebaliknya dia akan sengsara selamanya di dunia dan  di akhirat. Kita amat memerlukan Allah setiap saat  dan ketika walau di manapun kita berada.
Tetapi amat  jauh  beza dengan manusia, Allah SWT menciptakan makhluk tetapi Allah SWT tidak memerlukan  kepada makhluk-Nya. Manusia menciptakan kereta kerana berhajat kenderaan tersebut  untuk bergerak. Manusia mencipta hawa dingin kerana berhajat ingin menyejukkan. Begitu juga  rumah dibina  kerana berlindung dari panas dan hujan.
Allah SWT menciptakan makhluk tetapi tidak pernah sedikitpun Allah SWT  berhajat kepada makhlukNya. Allah SWT hanya ingin kita mengenal-Nya, mengetahui sifat-sifat-Nya sampai setiap waktu dalam hidup kitapun Allah SWT ingin selalu kita  mendekat dengan-Nya, ingin kita selalu menyanjungi-Nya, memuliakan-Nya walau sebenarnya Allah SWT tidak perlukan itu semua.
Dikisahkan seorang Ulama yang sentiasa berzikir memuji Allah suatu ketika ditanya oleh muridnya.

“Ya Syeikh mengapa engkau sering sekali memuji Allah? untuk apa sebenarnya??”

Maka sang Guru pun tiba-tiba langsung memuji-muji muridnya.

“Masya Allah engkau ini murid yang pandai, teladan, sopan tutur kata dan santun dalam bertindak”

Maka  murid itupun senang bukan kepalang dipuji oleh gurunya.

Tetapi tiba-tiba  guru  itu  kemudian  memaki-makinya  sambil mengatakan.
“Kamu ini murid yang bodoh dan pemalas, tidak tahu bersyukur dan tidak boleh diharap ”
Spontan saja sang murid langsung marah dan merah padam wajahnya, selang berapa waktu maka sang gurupun menjelaskan.
“Begitu juga dengan Allah, apabila kita sentiasa menyanjung dan memuliakan nama-Nya maka ia akan senang kepada kita sebagai hamba-Nya dan memasukkan kita dalam golongan hamba-Nya yang dicintai.

Tujuan kita hidup di dunia ini semata-mata untuk meraih  redha Allah SWT, bagaimana Allah SWT sentiasa sayang kepada kita, sampai ibadah yang kita lakukan setiap detikpun tiada lain hanya bertujuan untuk meraih Rahmat dan Redha-Nya dan dengan Rahmat dan Redha-Nya inilah Allah SWT memasukkan kita ke dalam Syurga-Nya.
Apabila seseorang yang faham Deen dan ada Iman subur di dalam dirinya maka setiap urusan dan aktiviti yang dilakukanpun juga bertujuan untuk meraih Redha Allah SWT dan menjadi asbab hidayah bagi sesama makhluk-Nya
Seperti halnya seorang doktor ketika ada pesakit yang mengeluh akan sakit yang dideritainya, apabila ia  faham  Deen  beramal secara praktik dalam hidupnya maka solusi yang diberikannya pun jadi asbab hidayah. Pujukan doktor yang faham Deen Allah;

“Masya Allah sakit tuan ini tidak seberapa, mungkin penyakit tuan ini disebabkan kerana tuan ini jarang solat berjamaah, Insya Allah saya berikan resepi tapi bukan ubat ini yang menyembuhkan, yang menyembuhkan adalah Allah, ubat ini hanya asbab saja untuk melihat kesungguhan tuan dan sebagai kafarat penebus dosa-dosa tuan, Insya Allah tuan minum sebelum solat Subuh, sebelum solat Zohor  dan setelah soolat Isya”

Doktor yang faham dan ada amal-amal Deen maka ia akan sentiasa mengingatkan sesamanya, belaku jujur, lemah lembut dan menjadi asbab hidayah bagi sesama makhluk. Kerana secara tidak langsung ia mengajarkan tauhid kepada pesakitnya dan mengingatkan ia untuk bangun solat Subuh dan juga waktu solat lainnya dan diamalkan secara berjamaah.
Dan begitu pula seterusnya dengan berbagai profesion yang kita ceburi, bila kita ada Iman dalam diri kita dan ada amal-amal Deen maka secara spontan/ tanpa sengaja akan mempengaruhi sikap kita dalam memberi solusi kepada orang lain.
Dalam mu'ayashahpun orang yang ada amal-amal Deen dalam hidupnya maka akan menjadikan ia orang yang sentiasa disenangi orang-orang disekelilingnya. Islam adalah agama fitrah yang memperhatikan hak-hak yang berhubungan dengan hak asasi seseorang atau masyarakat. Deen yang mengatur hubungan hamba dengan Rabbnya dan hubungan antara hamba dengan keserasian dan keselarasan yang sempurna. Di antara hubungan antara hamba yang diatur dan diperhatikan, Islam adalah hubungan berjiran, kerana hubungan berjiran termasuk hubungan kemasyarakatan yang penting yang dapat menghasilkan rasa saling cinta, kasih sayang dan persaudaraan antara mereka. Oleh kerana itu Rasulullah SAW sangat memperhatikan hal tersebut.
“Dari Abu Dzar beliau berkata: “Kekasihku sallallahu ‘alaihi wassalam telah berwasiat kepadaku, jika kamu memasak kuah daging maka perbanyak kuahnya kemudian lihat keluarga tetanggamu dan berikanlah sebhaagian kepada mereka.
“Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapak, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri”. (QS. An Nisaa’:36)
Rasulullah SAW bersabda:

“Seseorang beriman yang kedatangan tamu kemudian memandang muka tamu tersebut dengan wajah berseri-seri, niscaya diharamkan jasadnya masuk neraka oleh Allah.”

Masya Allah, alangkah ruginya  jika  kita tidak mahu menerima tetamu.
Dan hasil akhir dari semua sifat-sifat yang ada dalam Uluhiyah, Ubudiyah, Muamalah dan Muasyarah akan tercipta Akhlak mulia bagi seorang muslim, yang apabila dalam keramaian ataupun dalam kesendiriannya ia takut akan Allah dan dari ketakutannya itu maka timbullah sifat Tawadhu’,

Sifat  sayang akan semua makhluk ciptaan-ciptaan Allah, bukan kerana mencintai makhluk tapi kerana memandang dan mencintai  SIAPA  yang menciptakan makhluk tersebut.

Dari Abdullah bin Amru: Rasulullah Saw. bersabda: 
“Orang yang mengasihi akan dikasihi oleh yang Maha Pengasih. Kasihilah siapapun yang di atas bumi, maka engkau akan dikasihi yang ada di langit ” (HR. Tirmidzi).
Betapa cintanya Rasulullah kepada Allah, bahkan beliau tidak tega jika ada makhluk Allah yang menginjak paku di jalan hingga beliau menyatakan

“Iman itu ada tujuh puluh lebih atau enam puluh lebih macamnya, yang paling baik adalah mengatakan tiada ilah selain Allah, dan yang terendah adalah memungut adza (hal­hal yang membahayakan pejalan) dari jalan; dan malu adalah sebahagian dari pada iman”. (HR. Muslim).

Saudara/ saudariku seiman, Murabbi saya pernah berpesan  walaupun pada zahirnya nampak kita lemah tetapi sebenarnya jika kita mentauhidkan Allah, Insya Allah kita kuat. Mmungkin  ibu sendiri masih banyak kelemahan dan  belum sepenuhnya mengamalkan apa yang didakwahkan, tapi ibu berdo’a kepada Allah semoga  kita semua sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk mentaati-Nya dan mengamalkan sunnah-sunnah Baginda Rasul sedaya upaya  kita.
Semoga Allah SWT mengekalkan hidayah dalam diri kita hingga nafas terakhir yang kita hembuskan. Aameen.
Wassalam

Taman Megah
Batu Pahat. 

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil