Secantik Azam Bonda Hajar


Hari ini 9 Zulhijjah 1434 HIJRAH ..hari Arafah..perbanyakkan doa mulai lepas Zohor hingga  Maghrib.
Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan serta nabi-nabi sebelumku ialah:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ .“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu”.
[HR. Tirmizi no. 3585. “Hasan”].
Sama-samalah  kita semua turut  berdoa semoga  semua  jemaah  haji selamat, doa dimakbulkan dan mendapat haji yang  mabrur..amin. 
Berikut  adalah  Perkongsian  dalam buletin Haluanita...
Bonda  Siti  Hajar ra. ~ Antara Cinta dan Pengorbanan
Oleh Puan Hjh Norlida Bte Md.Top
Kisah keunggulan wanita bernama Siti Hajar, dikaitkan dalam falsafah  ibadah umrah dan haji yang dibuktikan secara praktik. Ketika mengerjakan umrah atau haji, para jemaah difardukan selepas tawaf di Batitullah al-Haram, menunaikan saie iaitu berulang alik dari Safa ke Marwah sebanyak tujuh kali. Rukun saie bertujuan mengingati kembali falsafah pengorbanan ibu nabi Ismail berhadapan dengan ujian yang amat berat tetapi dipermudah dan diringankan dengan perasaan penuh  redha,  sabar , tawakkal dan berakhir dengan cinta yang amat mendalam. dari bonda  yang hebat ini Nabi Ismail  ra terdidik  dengan akhlak  yang amat terpuji hingga keluarga Nabi Ibrahim menjadi contoh  sepanjang zaman termaktub kisah benarnya di dalam al-Qur'an.
Ceritakan kepada semua ahli keluarga kisah pengorbanan bonda Hajar
Jasa bonda Siti Hajar, isteri kedua nabi Ibrahim as masih  segar dalam kenangan umat Islam hingga kini. Bayangkan 6 bulan perjalanan menaiki unta dari Palestine dalam cuaca panas terik di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang. Betapa kuatnya tawakal  dan tabah hati  Nabi Ibrahim meninggalkan isteri dan bayinya di bumi gersang itu.
Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus berdoa dan bertawakal. Beliau amat yakin, ada hikmahnya Allah mengujinya dengan perpisahan ini. Selepas Siti Hajar dan bayi diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim bersedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang bergegas  mahu meninggalkannya segera beliau merayu:
“Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini?”
Tanpa memandang wajah isterinya, Nabi Ibrahim hanya mampu menganggukkan kepala. “Oh… kiranya kerana dosaku menyebabkan engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tidak sanggup ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang ini.”
Nabi Ibrahim menjawab: “Tidak wahai isteriku, bukan kerana dosamu…”
Siti Hajar bertanya lagi: “Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini… Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?”
Kepiluan dan kesedihan Nabi Ibrahim, hanya Allah yang tahu. Katanya: “Tidak, bukan itu maksudku. Tapi apa dayaku… ketahuilah, ini semua adalah perintah Allah.”
Apabila disebut perintah Allah, Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus merayu. Siti Hajar sedaya upaya menguatkan pengharapan, pergantungan dan mohon pertolongan kepada Allah. Hatinya tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah itu? Ketika gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang. Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh manusia dari serata pelosok dunia, yang berduyun-duyun datang untuk mengagungkan  asma’ Allah.
Apabila redha dengan takdir Allah, maka sejuk dan terpujuklah hatinya. Cinta Allah menjadi matlamat utamanya. Demi menegakkan agama-Nya, beliau rela berkorban. Dengan jiwa yang penuh yakin, Siti Hajar memotivasi suaminya: “Jika benar ia adalah perintah Allah, tinggalkanlah kami di sini. Aku redha tinggal di sini.” Suara Siti Hajar amat mantap meyakinkan suaminya.
“Mengenai keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah. Pasti Dia akan memelihara  dan melindungi kami. Dia sekali-kali tidak akan mensia-siakan kami yang lemah ini.”
Siti Hajar memohon maaf dan keredhaan di atas segala perbuatannya selama mereka bersama. “Doakanlah agar datang pembelaan Allah kepada kami,” kata Siti Hajar.
Nabi Ibrahim amat terharu dan bersyukur. Isterinya, Siti Hajar memang wanita pilihan Allah.Beliau segera mengangkat tangannya untuk berdoa:
“Ya Tuhan kami. Aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa sebarang tumbuhan dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan solat, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka daripada buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-MU”
Menitis air matanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang dicintai. Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus dalam tempoh yang lama? Namun keyakinan yang bulat dan padu pada janji Allah, ditunaikan juga perintah Allah walaupun risiko yang bakal dihadapi amat besar.
Setiap kali jemaah Haji atau umrah melakukan saie pasti akan terkenang kisah pengorbanan Siti Hajar tidak pernah putus harap  mencari  air di padang pasir yang kering kontang . Pengorbanan ini telah mengangkat darjat seorang wanita dan  amat layak  beliau dianugerahkan gelaran sebagai perintis  peradaban  dunia.  
Allah swt memberkatinya, menghargainya, memuliakannya, bahkan mengiktirafnya dengan membangunnya tamadun di Tanah Suci Mekah setelah air zam-zam dijumpai. Bermula daripada pencarian  air yang  merupakan  keperluan asas sesebuah tamadun. Air adalah simbol suci  sebagai thoharah (penyuci), pembangun dan pengembang peradaban.  Kesungguhannya berbuah kenikmatan yang amat luar biasa. Dalam larian anak ketujuh,  Allah menampakkan air berhampiran kaki puteranya. Allah takdirkan air mengalir setelah  hentakan kaki yang menahan kelaparan dan kehausan. 

Air Zam-zam, merupakan satu hadiah istimewa dan penghargaan mengangkat darjat beliau yang sangat sabar berusaha dengan penuh yakin dan tawakal kepada  Allah SWT. Air syurga yang suci ini menjadi sumber syifa’, keberkatan dan buah tangan (hadiah) kepada berbillion umat Islam untuk selamanya.
Berkat  kegigihan bonda Siti Hajar mengepung air suci ini menjadi telaga zam-zam. Burung-burung bertumpu di Mekah menjadi petanda  adanya air dan kemudian dikunjungi oleh para musafir  dan beberapa kabilah perdagangan menetap di situ. Dalam beberapa tempoh masa  akhirnya terbukanya kota Mekah.  Lembah Bakkah yang asalnya  kering kontang berubah menjadi bandar Mekah yang makmur menjadi tumpuan manusia khususnya jemaah haji dan umrah  dari seluruh dunia. Para jemaah umrah dan haji sejak dulu, kini dan selamanya menumpang jasa dan keberkatan bonda Siti Hajar. 

Firman Allah Taala yang bermaksud:
 “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang makruf dan mencegah yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Taubah ayat 71)

Kebersihan jiwa dan mental bonda Hajar dibuktikan dengan kata-kata motivasi yang lahir dari lubuk hatinya yang bersih  sentiasa berbaik sangka bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakan keberadaannya bersama bayi di bumi yang kering kontang itu. Mengenangkan ketabahan beliau bersedia  ditinggalkan mengundang sebak di hati hingga  menitis  air mata, seolah-olah kita menikmati kemanisan di sebalik kesedihan peristiwa itu.. Tabahnya hati bonda Hajar, memang layak ceritanya disampaikan kepada seluruh wanita  dari satu generasi ke satu generasi hingga hari kiamat...

“Kalau ini adalah perintah dari Allah, maka Allah tidak akan mempersia-siakan kami” (maksudnya kami tidak akan disusahkan~ Allah akan permudahkan)

Kata-kata motivasi ini juga  yang melapangkan  jiwa dan fikiran suaminya nabi Ibrahim untuk teruskan perjuangannya di bumi Palestine bersama isteri pertamanya Sarah. Siti Hajar amat faham kedudukan yang dihadapi oleh suaminya yang sudah beristeri dan tidak pernah mengintai-intai mencari masalah atau iri hati dengan madunya Sarah.Malah beliau menjadi ‘trouble shooter', penyelesai masalah ummah. Berkat kesabaran beliau sanggup ditinggalkan berdua di bumi Mekah yang kering kontang, akhirnya beliau dikenang dan didoakan oleh umat Islam hingga akhir zaman.

Ketabahan  Siti Hajar  sanggup menempuh pelbagai cabaran kehidupan  semata-mata kerana mengharapkan keredhaan  Allah, maka tidak syak lagi merupakan contoh terbaik untuk diteladani sepanjang zaman. Begitulah kehendak Allah. Sengaja didatangkan sebab musabab untuk menjadikan Islam gemilang dan Mekah menjadi tumpuan manusia sepanjang zaman. Inilah di antara iktibar kisah daripada al-Quran yang menggambarkan seorang wanita contoh yang menjadi lambang kewanitaan sejati. Semoga wanita Islam hari ini berfikiran bersih, berjiwa halus dan bersemangat kental seperti Siti Hajar. Bukti dari kisah benar ini perlu sentiasa  membahagiakan kita  dengan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah  sepanjang  hayat.

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil