Sentuhan Kasih...Mohon Pertolongan Allah sentuh jiwa mereka
Ibu amat bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas nikmat Islam dan Iman yang dikurniakan setakat ini. Semoga nikmat kemanisan iman ini semakin bertambah untuk disebarkan melalui sentuhan kasih dalam kelas dan program guru. Insya Allah. Jauh beza nikmat Allah kurniakan jika kita 'reach out' memanfaatkan hasil penulisan dengan niat untuk melahirkan 'Khairul Ummah'. Anak-anak hari ini adalah pemimpin generasi akan datang.
Setelah sekian lama meninggalkan profesion guru, minggu lepas ibu berpeluang masuk kelas menggantikan guru yang pergi kursus di Bangi, Selangor. Dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5.
Sebelum memulakan sesi mentor-mentee Allah izin tergerak bertanya perasaan anak-anak samada seronok, sedih, marah , geram, atau bosan. Biasalah, anak-anak tingkatan 1 majoritinya beremosi negatif seperti 'bosan'dan sedih kerana kali pertama berjauhan dari keluarga. Berbeza dengan pelajar tingkatan 4 dan 5 lebih ramai yang seronok dalam jihad ilmu. Namun amat pelik pelajar lelaki lebih ramai beremosi negatif walaupun sudah masuk tingkatan 5, mungkin mereka belum ada kemahiran untuk menangani 'stress' berbanding dengan perempuan mudah meluahkan stress dengan air matanya..
Wah! Alhamdulillah memang seronok kalau berpeluang buat kajian ni...Insya Allah.
Cuma segelintir pelajar lelaki yang sedemikian rupa, lebih-lebih lagi yang belum faham kenapa ayah dan ibunya pilih sekolah Matri untuknya. Ramai yang sudah bersedia menjadi 'qawwamun ala nisa' (pembela ibunya dan kaum wanita amnya)
Ketika sembang santai menceritakan tentang Kerajaan Jasad ada raja (qalbu), wazir (akal), polis (Iman) , rakyat @pekerja ( semua panca indera dan anggota badan) dan 'gangster' atau budak nakal adalah hawa nafsu. Secara spontan beberapa pelajar menunjuk ke arah belakang dan sebut 'tu gangster'.
"Aaaa, lihat jari masing-masing, berapa jari yang tunjuk diri sendiri. Kamu tunjuk kawan, satu telunjuk..lihat betul-betul 4 jari lagi tunjuk diri sendiri," tanpa nada marah. Memang ibu berdoa dan harapkan sangat Allah sentuh jiwa mereka dengan penuh kasih agar mereka mampu melihat diri masing-masing. Paling tersentuh hati ibu, tergenang air mata pelajar yang dituduh sebagai 'gangster.' Selepas itu dia sentiasa fokus mengikuti setiap aktiviti dengan penuh minat. Subhanallah, pelajar ini perlukan pembelaan. Allah izin ketika itu kami sedang bincangkan hadis tentang 'menutup aib' Allah akan menutup aib kita di Akhirat nanti.
![]() |
Air mata kerana Allah mampu tundukkan EGO |
Sebelum Asar Allah aturkan ibu jalankan perkongsian 'Sentuhan Kasih Jiwa Anak Didik Kita' bersama guru-guru Sek Ren Agama Tarbiyah Islamiyah (SRATI). Petua untuk menjayakan sentuhan kasih ini adalah banyak doa dan jangan marah. Terkedu beberapa orang guru yang sudah biasa guna 'marah' sebagai senjata untuk memenangi hati murid. Ibu perasan melalui air muka, memang ada yang rasa tidak puas hati, namun ibu tidak salahkan mereka sebab sudah menjadi budaya hidupnya. Ibu tinggalkan bahan bacaan untuk mereka baca dan fikir sendiri sebelum sesi perjumpaan minggu hadapan..
Tahniah kepada semua guru dan pelajar Khassah Matri, terpilih sebagai sekolah terbaik dalam STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia), 4 pelajar dapat mumtaz (terbaik atau A++) salah seorang daripadanya mendapat 10 mumtaz (semua mata pelajaran dalam aliran bahasa Arab). Subhanallah.
Salah seorang puteri STAM yang ikuti ahli halaqah ibu hanya dapat Jaiyyid Jidan, berterus terang bahawa dirinya tidak pernah menyesal berhijrah dari Kelantan masuk Matri kerana paling berharga buat dirinya adalah Tarbiyyah yang menyerab dalam dirinya menjadikan kehidupannya lebih bermakna berbanding sebelumnya. Ibu ucapkan tahniah kepada ibunya melalui whats app 'kesan tarbiyah ibu dan ayahnya di rumah'.
Ibunya menjawab 'lebih kuat kesannya hasil tarbiyah di Matri'
Justeru itu ibu tidak hairan, masih ada beberapa teman karib dari Johor Bahru masih memilih Matri untuk anak-anaknya walaupun jauh nun di utara...Bahkan amat mengharukan apabila ada puteri bungsu dari Batu Pahat dengan rela hati minta dihantar belajar di Matri kerana ingin menyerap Tarbiyyah sepanjang berada di Matri seperti kakak dan abangnya yang lain.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar...
La hau la wala quwatta illa billah
Mabruq kepada semua warga Matri, walaupun menerima pelajar yang ditolak oleh sekolah-sekolah lain, namun warga Matri mampu mendidik mereka menjadi bakal pemimpin ummah di masa akan datang.
Comments
Post a Comment