Wajib Makan Ikut Iman Bukan Ikut Nafsu




 الحمدلله  والصلاة  والسلام على رسولالله  وعلى  اله  وصحبه  ومن  اتبع  هداه 

Alhamdulillah, segala puji-pujian  hanya   milik  Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. 
Selawat dan salam ditujukan khas  untuk junjungan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalam, kaum keluarga dan para sahabat baginda.  Dalam meniti usia senja dan menanti giliran kembali ke Rahmatullah, syukur Alhamdulillah Allah izin dan ilhamkan ibu merasai untuk  cuba menghayati cara makan Rasulullah dan para sahabat  yang  sentiasa 'clean' tidak mengotorkan usus yang menjadi punca menjemput banyak penyakit kini. khususnya penyakit  3 serangkai melibatkan kerosakan  jantung, buah pinggang dan  banyak lagi organ  dalam tubuh kita. Kini  ibu sedang menyesuaikan diri memilih makanan yang tidak bergoreng, tidak minum air bergula, kurang atau tidak makan nasi.  Ibu melatih diri  hanya makan apabila  lapar berhenti sebelum kenyang yang menjadi amalan Rasulullah sallallahu alaihi wassalam, kaum keluarga dan para sahabat baginda


Tiap-tiap malam suami ingatkan 'selamat berdiet', ibu jawab 'doakan semoga berjaya

Dalam mengurus  cara makan, masyarakat kita tanpa sedar  sudah terpedaya dan  tertipu kerana  berbangga mengamalkan  budaya makan  Barat  yang telah gagal mencontohi adab makan yang diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu alaii wassalam.  Kita  telah dibiasakan dengan  tabiat  buruk iaitu makan apa yang kita  mahu (ikut nafsu) jauh berbeza dengan budaya makan Rasulullah sallallahu alaihi wassalam  dan  para sahabat radhiyallahu anhum. Baginda makan  apa yang ada, kalau tidak ada makanan, baginda  akan berpuasa.

Apabila mengabaikan adab makan Islam  akhirnya ramai yang menderita kerana penyakit yang berpunca dari perut. Mereka yang mematuhi amalan pemakanan  Islam akan sihat, manakala mereka yang meniru cara makan masyarakat  'non Muslim' yang buruk akan sakit. “Kebiasaan sihat dalam adab makan Islam seharusnya ditiru oleh masyarakat Barat” (Profesor Hans-Heinrich Reckeweg, M.D., ahli toksikologi, Biological Therapy Vol.1 No.2, 1983). 

“Sumber dari segala ubat adalah menjaga makanan” (Hadits) 
“1/3 perut untuk makanan, 1/3nya lagi untuk minuman, dan 1/3  bakinya untuk udara”.


Benarlah  memang dalam  diri Rasulullah sallallahu alaihi wassalam itu  terdapat  suri tauladan  dalam setiap aspek kehidupan. maka sewajarnya  kita ikut  setiap langkah baginda  termasuklah  cara  mengenal Allah (Tauhid) untuk mensucikan jiwa dan tidak lupa  menjiwai cara makan, cara minum  untuk mensucikan usus perut demi menjauhi segala macam  penyakit yang berpunca  dari  perut. Berikut  adalah video yang menggambarkan  bagaimanakan  keadaan  usus yang 'clean' dan usus  yang kotor  berpunca  dari pilihan makan ikut  Iman atau  makan ikut nafsu. Rupa-rupanya  makanpun boleh jadi  ibadah jika  kita  benar-benar ikut  cara  Rasulullah  makan, yang sangat berhati-hati memilih makanan dan minuman yang masuk ke dalam perut baginda..


                                  
 Bagaimana keadaan  usus kita?
  
Pada zaman  Rasulullah, ada seorang tabib yang dikirim dari Mesir ke Madinah sebagai tanda persahabatan. Namun lapan bulan kemudian, tabib ini akhirnya pulang semula ke Mesir. Bukan kerana ia tidak selesa bahkan ia sangat karib dan dikenal baik oleh masyarakat di Madinah. Punca utamanya kerana  selama lapan bulan ia bertugas di Madinah tidak ada  seorangpun orang sakit yang datang untuk mendapatkan rawatan di kliniknya. Sedangkan di Mesir, jasanya mungkin amat diperlukan. Sebelum pulang, tabib ini berjumpa  Rasulullah lalu  bertanya pada beliau apa rahsia umat Rasulullah selalu terlihat sihat dan tak pernah sakit. Maka Rasulullah menjawab
“kami adalah umat yang tidak makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang”.

Mungkin kita ingat  bahawa  Rasulullah SAW pernah bersabda pula dalam riwayat lain :
 “Tidaklah sekali-sekali manusia memenuhi sebuah wadahpun yang lebih berbahaya dari perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan untuk menegakkan tubuhnya. Jika ia harus mengisinya, maka sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanannya, sepertiga lagi untuk minumannya, dan sepertiga lagi untuk nafasnya (udara)” (Hadits Riwayat Tirmidzi, berpredikat shahih)

14 abad setelah hadits-hadits tersebut keluar, kini kajian  ilmiah telah membuktikan  bahawa diet  Rasul tersebut dapat memanjangkan jangka hayat umur seseorang, disebut juga  disebut  sebagai diet anti-aging calorie restriction (diet pembatasan kalori atau diet rendah kalori).

Hadits Rasulullah terbukti di abad kini
Sebenarnya cara makan  “diet calorie-restriction” bukan berasal dari Barat, sebaliknya, masih menggunakan dasar diet Islam “berhenti sebelum kenyang” yang telah diajarkan oleh Rasulullah.
  1. Salah satu pembuktian hadits “cukuplah bagi anak Adam beberapa suap untuk menegakkan tubuhnya” : bahawa dalam suatu kajian UCLA pada tahun 2005, tikus yang mendapatkan ransum dengan jumlah kalori yang hanya cukup untuknya bertahan hidup, ternyata jangka hayat hidup lebih panjang dari tikus yang mendapat ransum dengan porsi dan kalori biasa.
  2. Salah satu pembuktian hadits “1/3 untuk makanan, 1/3 untuk air, dan 1/3 untuk udara” : Pada tahun 2006, Christian Leeuwenburgh dari Institute of Aging Universiti Florida menemukan bahawa mengurangi porsi makan sebanyak 8% sahaja sudah dapat mencegah banyak kerosakan organ akibat penuaan. (Porsi makanan yang dimaksud adalah “porsi makan sampai kenyang” yang biasa diamalkan kebanyakan manusia hari ini.)
  3. Penemuan Kalluri Suba Rao, pakar biologi molekuler (2004) : Makan sedikit memungkinkan tubuh untuk lebih “berkonsentrasi” memperbaiki dirinya sendiri, sehingga kegiatan perbaikan DNA, membuang zat-zat toksin keluar tubuh, dan regenerasi sel-sel rosak dengan sel sihat dapat berlangsung lebih optima. Sebaliknya apabila kita makan terlalu kenyang, maka tubuh akan lebih sibuk dengan kegiatan katabolisme (menguraikan makanan-makanan itu dalam tubuh) dan “tidak sempat” memperbaiki dirinya sendiri. Inilah salah satu pengundang berbagai penyakit seperti darah tinggi, kolesterol dan sebagainya  yang memendekkan jangka hayat  manusia zaman sekarang.
  4. Pendapat salah satu ilmuwan UCLA yang meneliti diet ini, bahawa “dengan diet ini saja, manusia tidak perlukan lagi bekalan suplemen seumur hidupnya, kerana diet ini lebih kuat dari suplemen” Jika kita rajin browsing laman web kesihatan, banyak sekali berita dan kajian  terbaru mengenai diet  Rasulullah ini yang sedang hangat dibicarakan sejak 20 tahun terakhir. Para pakar  kesihatan dan ilmuwan bersepakat bahawa diet ini adalah diet anti-aging terbaik yang pernah ada; daripada sekadar membatasi pada makanan tertentu dan mengonsumsi suplemen-suplemen yang diiklankan.
Siapa kata  diet Rasulullah sudah ketinggalan zaman?
“Sesungguhnya termasuk sikap berlebihan adalah apabila kamu makan setiap kali kamu menginginkannya” (Hadits Riwayat Ibnu Majah).
Para pengkaji  memperingatkan bahawa diet  Rasulullah sallallahu alaihi wassalam tidak membuat hidup selamanya (immortality)  seolah-olah ingin hidup lebih  200 tahun. Pentingnya  diet sunnah ini  bukanlah inginkan umur panjang  tetapi  sejauhmana kita menjaga  amanah Allah yang telah menganugerahkan kepada kita  hati yang bersih (fitrah), usus perut  yang bersih serta  tubuh badan yang sihat sejak  kita dilahirkan. 

"Barangsiapa di antara kalian mendapati pagi dalam keadaan sihat wal afiat pada tubuhnya, aman dalam perjalanannya, dan memiliki makanan untuk hari yang akan dilaluinya, maka seakan-akan dunia ini menjadi miliknya.” (HR tirmidzi dan ibnu majah).


   

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil