Menggilap Potensi 2 ~ Al Ikhlas

Terdapat pelbagai tafsiran di kalangan kita tentang al Ikhlas.Imam As Syahid Hasan al Bana telah menyeragamkannya bagi memudahkan setiap individu muslim menentukan dalam perjuangannya dalam setiap aktiviti hanya kerana Allah semata-mata tanpa terselit niat atau kepentingan lain seperti kedudukan, pangkat, gelaran nama, kemajuan kebendaan dan seumpamanya.
Terencatnya keikhlasan bekerja sekiranya adanya keinginan memperlihatkan kemajuan zahir semata-mata..justeru itu amat penting kita fahami konsep keikhlasan yang betul kerana Allah semata-mata tanpa melihat faktor-faktor yang lain.

Pejuang Fikrah dan Akidah


Keunikan Ikhlas akan melahirkan pejung fikrah dan akidah, bukan pejuang kepada manfaat tertentu. Jika memimpin organisasi sekecil usrah hinggalah ke peringkat yang lebih besar maka harus berfokus kepada menjadi pejuang fikrah dan akidah yang  hakiki..Insya Allah

Setiap kerjaya atau aktiviti yang kita ceburi mestilah kerana fikrah dan akidah kita. Tidak ada nilai-nilai masyarakat yang mempengaruhi. Bahkan semua nilai manusia bukanlah oendorong untuk kita bekerja.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Katakanlah "sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah Rabb sekelian alam. Tiada pensyirikan pada-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama menyerahkan diri (kepada Allah)"


Dengan demikian barulah seorang Muslim akan mudah fahami ungkapan seperti Allahu Akbar walillahilnhamd, Allahu ghayatuna. Ungkapan seperti ini bermaksud untuk melahirkan keikhlasan yang sebenarnya.



Berjuang di Jalan Allah

Rasulullah SAW pernah ditanya tentang seorang lelaki yang berperang kerana berani dan berperang kerana mempertahankan kedudukan supaya orang menggelarnya pahlawan dan berjuang kerana riya'.. yang mana satukah jihad fi sabilillah?

 Jawab Rasulullah SAW  "Sesiapa yang berjihad kerana menegakkan kalimah  Allah SWT, maka dialah yang berada si jalan Allah"
Hadis  Abi Musa al Asy'ari ini bermaksud mereka yang berjuang kerana berani atau menunjukkan kepahlawanan atau kerana riya', maka semua itu bukanlah jihad fisabilillah. Mereka yang berjihad di jalan Allah adalah mereka yang berjihad kerana menegakkan Kalimah Allah SWT semata-mata..

Banyak hadis yang membawa maksud yang sama; Di antaranya
" Sesungguhnya Allah tidak melihat pada tubuh badan kamu dan tidak melihat rupa paras kamu tetapi Allah melihat  hati kamu (kerana keikhlasan itu  lahir dari hati)

Pesanan Rasulullah SAW kepada ummah pertama

Walaupun Rasulullah SAW berjaya mendidik para sahabat hingga memiliki syahsiah Islamiyah yang betul, namun baginda tetap mengulang pesanan agar jangan ada  dorongan lain semasa mereka berhijrah ke Madinah dengan sabdanya;
"Sesungguhnya setiap perbuatan itu dengan niat, Dan setiap orang melakukan  apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul -Nya, maka hijrahnya kerana Allah dan rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana  dunia dan yang berkaitan dengannya atau kerana wanita yang  ingin dikahwininya, maka hijrahnya  adalah kepada apa  yang dihijrahkan kepadanya itu"

Ummah pertama ini walaupun telah menjalani proses oleh Rasulullah saw sendiri, namun masih ada niat yang perlu diperbetulkan . Kerana Rahmat Allah sangat menyayangi mereka maka Allah berikan peeingatan melalui Rasul-Nya agar jangan ada dorongan lain yang merosakkan amalan mereka.

Hadis ini sewajarnya menjadi kaedah utama dalam proses melahirkan pejuang yang tulen, memandu kehidupan dalam setiap ketika dan masa walau di mana kita berada.
Kadang-kadang  jiwa ini terganggu dengan dorongan lain, tetapi  dengan peringatan  daripada hadith ini maka dapatlah  kita segera  menyedari dan kembali kepada dorongan  yang betul. keikhlasan kita selalu terganggu, lebih-lebih lagi dalam suasana  masyarakat  yang sedang  mengalami pelbagai krisis nilai.

IKHLAS  ADALAH  ROH BAGI AMALAN

Seorang  sufi berkata; "Amal (kerja) adalah lembaga  sahaja, manakala  rohnya adalah keikhlasan yang terdapat dalam kerja itu"
Oleh itu kerja  yang dibuat tanpa roh bermakna tidak hidup. Perkara yang menghidupkannya adalah ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.

Setiap amal tanpa ikhlas adalah amal yang mati dan tidak akan  diterima oleh Allah SWT  serta tidak ada  barakah , samada  amalan itu besar atau  kecil.

SENSITIF

Persoalan  ikhlas adalah  persoalan yang sangat  sensitive. Sedikit sahaja kita lari daripada niat  yang sebenarnya  maka amalan itu tidak akan diterima oleh Allah SWT. Justeru itu  perlulah kita teliti betul-betul. Kita tidak mahu dorongan yang lain meresap ke dalam hati.
Perlulah setiap muslim berusaha  untuk mendapatkan peringkat  keikhlasan yang sebenarnya. Kita perlu menyemak apakah sebenarnya dorongan  yang  menggerakkan setiap amalan kita.

TANGGUNGJAWAB YANG BANYAK MEMERLUKAN KEIKHLASAN

Tanggungjawab melengkapkan diri  dengan  sifat-sifat Mukmin merupakan tanggungjawab yang amat besar. Oleh itu  perlu kita perbetulkan niat  dalam apa keadaan sekalipun dan di manapun kita berada.
"Inilah Darul Akhirah yang Kami jadikan bagi mereka  yang tidak mahu menunjuk-nunjuk (bermegah-megah) di bumi dan tidak pula berbuat fasad"

NAFSU  YANG  CUBA   MENYELEWENGKAN

Jika kita perhati dan amati, dorongan nafsu manusia  selalu cuba  memalingkan atau menyelewengkan seseorang daripada  keikhlasan. Dorongan itu adalah seperti;
1. keuntungan kebendaan
2. kemegahan, nama ataua gelaran
3. Kemahsyuran
4. Gelaran
5. Kemajuan
6. kemunduran dan
7. Tujuan-tujuan atau kepentingan-kepentingan  tertentu

Itu semua boleh  menghilangkan keikhlasan

Sebagai seorang yang beriman , kita hendaklah beramal kerana Allah SWT semata-mata dan sentiasa terikat  dengan syara'. Apabila kita bekerja , jangan ada unsur lain yang mengganggu keikhlasan. Sedikit sahaja riya', maka rosaklah amalan kita.

MEMPERBAIKI NIAT  DI  SEPANJANG  AMALAN

Sekiranya ada unsur yang mengganggu seperti riya' sewaktu bekerja maka janganlah kita berhenti bekerja. Kita perlu terus  bekerja  dan pada masa  yang sama  kita betulkan niat serta proses hati kita.

"Meninggalkan kerja kerana orang adalah  riya' dan membuat kerja  kerana orang  adalah syirik" ` Ahli tasawuf

Sewaktu beramal, perlu pelihara  dan tingkatkan keikhlasan

IKHLAS   MENJAMIN  ISTIQOMAH

Apabila keikhlasan itu wujud dan hakiki, maka dalam suasana  ketakutan dan teruji maka ahli-ahli akan tetap bersama . Manakala dalam suasana  dihidangkan  habuan-habuan dunia  maka kita akan dapati tidak ada yang menawarkan diri untuk merebutnya.
apabila ikhlas itu betul-betul bertapak , orang mukmin akan berlumba-lumba  bekerja. Sebaliknya mereka  akan melarikan diri apabila dihadapkan dengan  harta benda dan habuan duniawi.

Bagi orang-orang ikhlas , keuntungan dunia  ditolak ke tepi. mereka berlumba-lumba untuk mendapatkan keuntungan akhirat. ketika inilah kerja-kerja kita diberkati Allah dan saff atau team work menjadi padu.

Apanila tiada keikhlasan , maka jadilah setiap kegiatan itu kosong di sisi Allah, tidak berkat, tidak barakah dan tidak akan tercapai matlamat  Islam yang sebenarnya.

KEGELENCONGAN

Dalam reality masyarakat  sekarang selalu berlaku kegelencongan  setelah berjalan dengan betul. berlakunya kegelencongan ini kerana  tidak betul-betul melalui proses  untuk ditarbiyah. janganlah kita hanya  memperkatakan tarbiyah tetapi diri sendiri tidak masuk ke dalamnya Kita perlu hadzamkan betul-betul kaedah-kaedah syara'. Kita  mahukan matlamat yang jelas lagi masyru', dan wasail juga jelas lagi masyru'. Insya Allah semoga  dengan  keikhlasan , segala usaha  dan masa yang kita curahkan akan diberkati Allah...

 
~ Sedutan  daripada  penyampaian  Almarhum Abu Muhammad   7 April 1982






Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil