Menggilap Potensi 7: Thabat (Tetap Pendirian)

Sembang bermanfaat  selepas  pulang  dari halaqah kaum ibu  mencetuskan idea agar berpendirian teguh seperti padi, semakin  berisi  semakin tunduk...sentiasa ingin bersujud kepada Allah SWT tanda bersyukur di atas segala nikmat yang dianugerahkannya kepada kita semua. Peribahasa  Melayu  sering mengingatkan ikutlah resmi padi semakin berisi semakin tunduk, jangan  ikut resmi lalang , semakin tinggi semakin mendongak, terumbang ambing ikut tiupan angin"


Perbincangan ini merujuk  Arkanul Bai'ah  yang ke tujuh, iaitu  Thabat. Thabat (teguh pendirian) tidak akan diperolehi jika  tidak faham dan  lalui proses  arkanul Bai'ah  yang pertama hingga  ke enam terlebih dahulu iaitu;
1. Al Fahm
2. Al Ikhlas
3. Al-'Amal
4. Al-Jihad
5. At-Tadhiyah
6. At-Tha'ah
~ Kena  Murajaah  (ulang kaji selalu) Insya Allah

Rukun Ketujuh– Thabat
Imam As Syahid  Hasan Al-Bana  menjelaskan bahawa  Thabat (tetap pendirian ) yang dimaksudkan ialah mestilah sentiasa  beramal dan berjihad untuk mencapai  MATLAMAT sekalipun matlamat tersebut masih terlalu jauh dan memakan masa bertahun-tahun sehinggalah kita menemui Allah dalam keadaan  beramal dan berjihad. Dengan Thabat, beliau telah mendapat salah  satu daripada  dua kebaikan  samada BERJAYA mencapai matlamat atau MATI syahid  pada akhir hayatnya.

Firman Allah SWT  yang bermaksud:
" Di kalangan orang-orang  mukmin itu ada orang  yang menepati apa yang telah mereka  janjikan kepada  Allah, maka di antara  mereka  ada yang gugur. Dan di antara  mereka  ada (pula) yang  menunggu-nunggu  dan mereka  tidak sedikitpun berubah janjinya"     (Surah Al-Ahzab:23)

Masa  adalah sebahagian  daripada  PROSES RAWATAN kerana  perjalanan kita  terlalu jauh, banyak marhalahnya serta  banyak pula halangan dan rintangannya. Tetapi inilah  satu-satunya jalan  yang  dapat menyampaikan kita  kepada matlamat , di samping  ganjaran pahala yang besar dan balasan  yang baik..         

Justeru  itu, tiap-tiap satu dari wasilah di atas  memerlukan kepada persediaan  yang baik, menunggu peluang yang baik dan melakukan perlaksanaan yang teliti.Semuanya  bergantung kepada  masa yang Allah aturkan. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan mereka  berkata: "Bilakah kemenangan itu?" katakanlah "mudah-mudahan ia sudah hampir" (Surah Al-Isra':51)
       
     
                Untuk menjamin dakwah kepada Allah ini terus hidup dan berkembang, ia berhajatkan kepada rijal-rijal yang terbentuk daripada takwin yang  khas, muslim dan muslimah   yang ikhlas, bekerja, berjihad dan berkorban serta sentiasa  tetap hati berhadapan dengan segala halangan dan ujian serta ancaman-ancaman dan sabar di atas segala kesusahan serta mampu untuk melepasi halangan-halangan. Semuanya dihadapi tanpa merasa lemah dan tawar hati terhadapnya dan  tidak berundur  diri dan tidak gugur di pertengahan jalan.
                Semoga  thabat para   rijal  ummah  di dalam jangka masa yang panjang merupakan asas terhadap kejayaan dakwah dan tarbiyah dalam semua kerjaya yang diceburi. Oleh kerana itu Al-Imam asy-syahid telah menjadikan thabat sebagai salah satu rukun daripada rukun-rukun bai’ah, kerana mengambil tunjuk ajar dengan petunjuk al-Quran dan sunnah Rasulullah saw.

Firman AllahWT  yang bermaksud:
Maksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung“. (Surah Ali-‘Imran: 200)
Maksud: “Dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan, mereka itulah orang-orang yang benar (imannya), dan mereka itulah orang yang bertaqwa“. (Surah Al-Baqarah: 177)
Maksudnya: “Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya “Bilakah lagi datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat“. (Surah Al-Baqarah: 214)
                Tersebut dalam hadis Rasulullah saw:
Maksudnya: “Daripada Abi Abdullah Khabbab bin Al-Aratt r.a. berkata : Kami mengadu kepada Rasulullah saw ketika baginda sedang bertelekan berbantalkan kain selimut dari bulu hitam di bawah bayangan Ka’bah. Maka kami pun berkata: Mengapa kamu tidak meminta pertolongan untuk kami, mengapa kamu tidak mendoakan untuk kami. Maka Rasulullah saw pun berkata: Sesungguhnya orang-orang yang sebelum kamu, diambil seorang lelaki, kemudian digali sebuah lubang dan dia dimasukkan dalamnya, kemudian di datangi dengan gergaji, lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua, disikatkan badannya dengan sikat besi sehingga luruhlah daging dan tulangnya. Namun itu semua tidak menghalangnya daripada berpegang dengan agama Allah. Demi Allah, Allah pasti akan menyempurnakan agama ini sehingga seorang penunggang dapat berjalan daripada San’aa ke Hadramaut, dalam keadaan tidak takut selain dari Allah, dan serigala terhadap kambingnya. Tetapi kamu semua adalah daripada orang yang ingin cepat (tergesa-gesa). ” (HR Ahmad: 5/111)
        Allah SWT mengulang-ulang firman-NYA agar bersabar dan thabat. Ini adalah kerana jalan dakwah dipenuhi dengan berbagai-bagai mehnah, rintangan, halangan serta selekoh-selekohnya. Maka sekiranya seorang  rijal  itu tidak menghiasi dirinya dengan sabar dan thabat maka ia akan membawa kepada akibat yang buruk.

Thabat Rasul dan para sahabatnya:

                Rasulullah saw adalah satu ikutan yang baik bagi kita. Sesungguhnya baginda sentiasa beramal dan berjihad pada jalan untuk mencapai matlamatnya meskipun menghadapi berbagai-bagai halangan, sekatan, tawaran dan amaran. Orang-orang musyrikin telah menawarkan kepada Rasulullah saw harta, pangkat dan segala kelazatan supaya Rasulullah meninggalkan dakwahnya, tetapi mereka tidak berjaya. Lalu mereka menukar tektik kepada cara yang berbentuk ancaman dan amaran, tetapi mereka tidak juga berjaya. Rasulullah saw telah menyebut satu kalimah yang mahsyur kepada bapa saudaranya Abu Talib, agar dunia semuanya dapat mendengarnya sepanjang zaman dan supaya para du’at dapat mencontohinya di setiap tempat.
Maksudnya: Demi Allah wahai bapa saudaraku, sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini, aku tidak akan tinggalkannya sehingga Allah mengurniakan kemenangan atau pun aku dibinasakan kerananya“. Sirah Ibnu Hisyam: 1/240
                Sesungguhnya para sahabat telah dididik di atas petunjuk Nabi saw, maka mereka bersabar dan thabat, mereka tidak lemah dan mundur sehingga mereka bertemu dengan Tuhan mereka. Di kalangan  mereka ada yang telah berjaya mendapat mati syahid dan di kalangan mereka yang dapat mengecap kemenangan.

Kenang kembali pengorbanan Sumayyah, Yasir, Bilal, Mus’aib dan juga sahabat-sahabat Rasulullah saw yang lain mereka yang bersabar serta thabat dan menunaikan janji-janji mereka dengan Allah seperti terkandung  dalam Surah Al-Ahzab: 23

Imbas kembali betapa teguhnya pendirian Saidina  Abu Bakar As-Siddiq yang lembut jiwanya tetapi  thabat  berhadapan  dengan taufan kemurtadan dan menentangnya. Beliau berkata : “Adakah deen ini menjadi kurang sedangkan aku masih hidup? Demi Allah, kiranya mereka menghalangku mengambil zakat walaupun sebesar tali pengikat unta yang mereka tunaikan kepada Rasulullah saw, nescaya aku akan memeranginya“.

                Sesungguhnya sahabat-sahabat Rasulullah saw adalah di kalangan orang-orang yang mula-mula dimaksudkan yang dimaksudkan oleh firman Allah swt:
Maksudnya: “Dan berapa banyaknya nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu serta tidak menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang bersabar. Tiada doa mereka selain ucapan “Wahai Tuhan kami ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir“. (Suah Ali-‘Imran: 147)

Penyakit dan rintangan:
              Rukun thabat amat  penting  kerana jalan dakwah dipenuhi oleh pelbagai onak dan duri  yang merosakkan dan juga rintangan-rintangan yang menghalang. Kita tidak mungkin dapat melepasinya melainkan dengan benteng  diri iaitu   thabat.
                * Terdapat di kalangan manusia orang yang diuji dengan penyakit “ingin cepat” atau tergesa-gesa  kerana dirinya adalah kerdil dan kemampuannya kurang. Orang-orang yang seperti ini biasanya terputus di tengah jalan sahaja dan tidak dapat meneruskan perjuangan. Oleh yang demikian Allah swt menyuruh agar bersabar dan memberi amaran daripada sikap ingin cepat.

Maka Allah berfirman kepada RasulNya saw :
Maksudnya: “Maka bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul-rasul yang telah bersabar“. (Surah Al-Ahqaaf: 35)
                * Di kalangan manusia ada yang diuji dengan penyakit “beribadat di tepi” iaitu dia akan kekal di atas jalan dakwah selama mana dakwah dalam keadaan tenang, tanpa ujian dan siksaan. Orang-orang yang seperti ini cepat berubah, berpaling mundur dan rugi di dalam setiap perkara. Maka semestinyalah ada kesabaran dan thabat.
Maksudnya: “Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi, maka jika ia memperolehi kebajikan, tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh sesuatu bencana, berbaliklah ia ke belakang, rugilah ia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata“. (Surah Al-Hajj: 11)
Maksudnya: “Dan di antara manusia ada orang yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”. Maka apabila ia disakiti (kerana ia beriman) kepada Allah, ia menganggap fitnah manusia itu sebagai azab Allah“. (Surah Al-‘Ankabut: 10)

               Ada masanya seorang rijal itu  berjaya dan thabat di hadapan ujian-ujian getir dan kesusahan, tidak goyang pada pendiriannya dan dapat meneruskan perjalannya, tetapi sayangnya  beliau kecundang di dalam ujian apabila berhadapan dengan fitnah dunia dan harta. Apabila ditawarkan kepadanya pangkat yang tinggi atau pun harta yang banyak, maka  tertawanlah hatinya  serta hilanglah pertimbangannya, dan mulailah lupa terhadap perkara yang diserunya dahulu. Tidak ada yang dapat memeliharanya daripada yang demikian itu melainkan dengan berdoa kepada Allah supaya ia menetapkan kaki-kaki kita dan mempertautkan hati-hati.

Tabiat jalan dakwah dan keperluan terhadap thabat:

                Sesungguhnya permintaan Al-Imam asy-syahid serta penekanannya terhadap rukun thabat merupakan satu perkara yang mesti. Ini adalah kerana tabiat jalan dakwah ini memerlukannya. Beliau begitu bersungguh-sungguh menerangkan kepada pejuang  dan kepada sesiapa yang mahu beramal untuk Islam, tentang tabiat jalan ini supaya meraka berada di dalam keadaan yang jelas tentang perkara ini dan supaya ia tidak hidup di dalam angan-angan.

Apakah tabiat jalan ini?

                Beliau berkata: “Jalan ini jauh jaraknya dan mempunyai berbagai-bagai marhalah serta banyak halangannya“.
* Beliau banyak menyebut di dalam risalah-risalahnya tentang matlamat Ikhwan, peranan, wasilah serta manhaj dan juga persiapan mereka.
  Marhalah-marhalah dakwah ada tiga :
1. Marhalah ta’rif (pengenalan).
2. Marhalah takwin (pembentukan).
3. Marhalah tanfiz (perlaksanaan).
          
 Bagi tiap-tiap marhalah mempunyai tuntutannya sendiri yang berhajatkan kepada pengorbanan dan persediaan, sabar, tanggungjawab, ketenangan dan pemerahan fikiran…..
Beliau telah menceritakan tentang halangan-halangan yang merentangi al-akh di dalam perjalanannya dengan penjelasan yang terang seraya berkata:
* Kejahilan umat terhadap hakikat Islam akan menjadi batu penghalang di atas jalan kamu.
* Kamu akan mendapati ahli agama daripada ulamak-ulamak resmi menganggap asing terhadap kefahamanmu terhadap Islam seterusnya mengingkari jihad kamu di jalannya.
* Pemimpin-pemimpin, ketua-ketua serta orang-orang yang mempunyai pangkat dan kekuasaan akan berhasad dengki terhadapmu.
* Semua kerajaan akan bersama-sama dan bersatu menghadapimu.
* Semua kerajaan akan mencuba untuk menghadkan kegiatanmu dan akan meletakkan halangan-halangan di jalanmu.
* Perampas-perampas (kuasa-kuasa asing) akan menunggu di setiap jalan bagi menentang kamu serta memadamkan cahaya dakwahmu.
* Mereka akan meminta kerjasama daripada negara lemah dan mempunyai akhlak yang tidak bermaya yang meminta pertolongan dari mereka, untuk melakukan kejahatan serta permusuhan terhadapmu.
* Semua akan bangkit menabur debu-debu syubhat, zalim dan melemparkan berbagai-bagai tuduhan buruk terhadap dakwahmu.
* Mereka akan cuba untuk menempelkannya dengan segala kekurangan, dan menjelaskannya kepada manusia di dalam gambaran yang paling buruk, dengan menuggunakan kekuatan, kekuasaan dan harta-harta mereka.
Maksudnya: “Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah, dengan mulut (ucapan) mereka, dan Allah tidak mengkehendaki selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir tidak menyukainya“. (Surah At-Taubah: 32)
* Tidak syak lagi kamu akan berada di lapangan percubaan dan ujian, maka kamu akan dipenjarakan dan dibelenggu, kamu akan dipindahkan dan dibuang negeri, diperas kemaslahatan kamu, digagalkan kerja-kerja kamu, serta diperiksa rumah-rumah kamu. Mungkin jarak waktu ujian ini adalah panjang.
Maksudnya: “Apakah manusia menyangka ia ditinggalkan begitu saja dengan mengatakan bahawa `aku telah beriman’ sedangkan ia tidak diuji?” (Surah Al-‘Ankabuut: 2)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sukakah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan kamu berjihad dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu megetahuinya. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggi yang baik di dalam syurga `Adn. Itulah keuntungan yang besar. Dan ada lagi kurniaan yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman. Hai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana Isa putera Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?” Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”. Lalu segolongan dari Bani Israel beriman dan segolongan (yang lain) kafir, maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang“. (Surah As-Saff: 10-14)
                Maksudnya: “Adakah kamu bercita-cita untuk terus menjadi penolong-penolong agama Allah?” (Majmu’atur Rasail – Risalah di antara semalam dan hari ini: 143
                Inilah satu gambaran daripada tabiat jalan ini dan perkara yang terkandung di dalamnya, panjangnya, marhalah-marhalahnya serta rintangan-rintangannya. Sesungguhnya tidak syak lagi bahawa kejayaan di dalam melepasinya sangat berhajat kepada thabat.

Waktu merupakan sebahagian daripada rawatan:
                Ini adalah kata-kata hikmat yang semestinya dikuasai oleh setiap orang yang berjalan di atas jalan dakwah khususnya di dalam suasana sekarang ini yang mana semua umat-umat kafir menyerbu ke atas muslimin. Mereka mahu menghancur, merubah dan mengeluarkan umat Islam daripada Islam dengan mengambil kesempatan terhadap kelemahan muslimin di dalam banyak bidang yang asasi untuk membangun. Sesungguhnya kebanyakan negara ummat Islam dijangkiti oleh penyakit-penyakit yang membunuh serta wabak-wabak yang menyusahkan. Sesungguhnya rawatan terhadap suasana ini bukanlah secara tiba-tiba sahaja, bukan juga dengan sentuhan sihir, kerana perkara yang seperti ini bertentangan dengan sunnah Allah di dalam alam ini.
Maksudnya: “Kamu tidak akan mendapati bagi sunnah Allah itu ditukarganti dan kamu tidak akan mendapati sunnah Allah itu perubahan“. (Surah Faatir: 43)
                Bahkan rawatan berhajatkan kepada tiga perkara :-
1- Mengetahui sarang penyakit.
2- Sabar terhadap kesakitan-kesakitan semasa rawatan.
3- Doktor yang pakar di dalam mengendalikannya sehingga Allah melasanakan matlamatnya di tangan doktor pakar tersebut sehingga sembuh dengan sempurna.
                Perkara ini semuanya berhajatkan kepada waktu, dan waktu berhajatkan kepada sabar. Maka tidak ada tempat bagi orang yang bersemangat dan tergesa-gesa dan juga bagi orang yang mempunyai jiwa yang lemah.

Balasan thabat:
                Sesungguhnya thabat merupakan satu bebanan yang besar. Oleh yang demikian balasannya besar juga. Maka Allah swt bersama-sama dengan hambaNya yang thabat dengan membelainya, meringankan bebannya dan melapangkan dadanya…., kemudian memberi kemenangan kepadanya dan mendekatkannya dengan Allah di dalam syurga-syurga dan sungai-sungai, di tempat yang disenangi di sisi Tuhan Yang  Maha  Berkuasa.
                Maka perhatikanlah firman Allah swt :
Maksudnya: “Dan ingatlah (wahai para muhajirin), ketika kamu masih berjumlah sedikit, lagi tertindas di muka bumi (Makkah), kamu takut orang-orang (Makkah) akan mencolek kamu, maka Allah beri kamu tempat menetap (di Madinah) dan dijadikannya kamu kuat dengan pertolonganNya dan diberikan kamu rezeki dari yang baik-baik agar kamu bersyukur“. (Surah Al-Anfaal: 26)
                Dan firman Allah swt :
Maksudnya: “Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar. Tidak ada doa mereka selain ucapan : “Ya Tuhan kami ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebihan di dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. Kerana itu Allah memberikan mereka pahala di dunia dan balasan yang baik di akhirat. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan“. (Surah Ali ‘Imraan: 146-147)
                Beruntunglah sesiapa yang thabat, beruntunglah sesiapa yang thabat, beruntunglah sesiapa yang thabat.

Pendirian-pendirian yang `amali
                Sesungguhnya Allah telah memberi taufiq kepada Ikhwan di dalam membawa panji-panji dakwah, thabat di dalam menjulangnya walau pun berhadapan dengan ujian-ujian, siksaan dan tawaran-tawaran, sekalipun mereka menghadapi serangan yang membabi-buta.
                Mereka hidup di dalam thabat yang `amali, bukannya slogan dan teori.
                Oleh kerana inilah, mereka tahan lasak dalam menghadapi para thaghut dalaman dan luaran serta menentang orang-orang sekular sebagaimana penentangan mereka terhadap perampas dan pelampau. Mereka membezakan di antara orang yang melampaui batas di bumi Islam dan mereka yang melampaui batas terhadap syariat Islam. Oleh itu, mereka mengharungi peperangan bagi membebaskan bumi sebagaimana mereka terlibat di dalam pertempuran mentahkimkan syariat Allah.
                Darah mereka mengalir di tangan orang-orang kafir Yahudi dan Inggeris sebagaimana ianya mengalir di tangan orang-orang yang curang yang bertopengkan nama-nama muslimin. Mereka melepaskan syuhada’ ke bumi Palestin dan Terusan Suez di medan peperangan sedangkan syuhada’ yang seperti mereka di bumi Liman. (Tempat penjara tentera yang masyhur di Mesir. Di situlah ramai pendokong Ikhwan Muslimin yang diseksa dan dibunuh, gugur di kubu-kubu dan penjara-penjara perangan dan lain-lain lagi di medan penyiksaan.
                Berapa banyak percubaan dari kuasa-kuasa luar dan dalam orang yang mempunyai kekuatan, secara nyata atau pun yang berselindung, untuk membeli Ikhwan dengan harta dan pangkat, agar dengan itu, mereka dapat menguasai pergerakannya. Tetapi mereka tidak mendapat peluang terhadap Ikhwan dan tidak juga mendapat perhatian dari Mursyid Amnya. Mereka hanya menerima penolakan yang tegas dan jawapan yang putus:
Maksudnya: “Apakah patut kamu menolongku dengan harta? Maka apa yang diberikan oleh Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang diberikannya kepadamu, tetapi kamu merasa bangga dengan hadiahmu“. (Surah An-Naml: 36)
                Sudah berapa banyak, kuasa-kuasa ini kembali kepada uslub ancaman selepas gagalnya uslub memberikan janji-janji manis. Mereka mula menggunakan amaran selepas tidak berjaya dengan uslub tawaran. Namun uslub mengancam tidaklah lebih berjaya dari uslub memberikan janji-janji manis. Kedua-dua anak panah tersebut kembali semula ke leher tuannya.
                Kuasa-kuasa yang berharap dan takut itu tidak mendapati melainkan keazaman yang teguh serta thabat di atas jalan dakwah sekalipun mereka diancam dengan api dan kemusnahan ataupun diberikan janji manis dengan meletakkan matahari di tangan kanan dan bulan di tangan kiri.
                Penolakan yang tegas ini serta pendirian yang teguh terhadap persoalan Islam dan muslimin, penolakan kepada setiap percubaan untuk bertolak ansur terhadapnya atau pun mencuaikannya, inilah yang sentiasa mendedahkan harakah kepada tipu daya musuh serta pakatan jahat terhadapnya, bahkan kalau boleh mereka mahu menghapuskannya sama sekali. Inilah rahsia disebalik ujian-ujian yang teruk dan berterusan, hentaman-hemtaman yang ganas dan bersambung-sambung yang menjadikan jamaah tidak lekang daripada menerima ujian-ujian.
                Walaupun begitu, pendirian Ikhwan tetap tidak goyang dengan pujuk rayu serta ancaman sebelum datangnya ujian, begitu juga ketika diuji dan selepas diuji. Sesungguhnya mereka telah bersabar dengan kesabaran rijal dan thabat dengan thabat pahlawan. Sekiranya saudara mahu saudara boleh mengatakan:
Thabat seorang mukmin yang benar terhadap apa yang mereka janjikan kepada Allah“. (Tabiyyah Islamiyyah dan Madrasah Hasan Al-Banna karangan Dr. Yusuf Al-Qardhawi: 47-48)
                Di atas jalan inilah, semestinya seorang muslim itu lalu, tanpa berpaling kepada orang-orang yang gugur di kiri kanan jalan. Kita tidak menaruh simpati ke atas jamaah kalau di sana ada orang yang tidak bekerja atau gugur, tetapi kita hanya bersimpati terhadap orang yang tidak thabat kerana mereka tidak mendapat keberkatan jamaah, kebaikan dan kemuliaan yang tinggi dengan meneruskan perjalanan bersamanya.
                Seorang muslim di dalam perjalannya tidak mengendahkan panjangnya perjalanan kerana beliau mengetahui bahawa matlamatnya besar (mendirikan negara Islam dan khilafah Islamiyyah). Dengan itu kita ambil kembali bumi Islam yang telah dirampas terutamnya Palestin dan Masjid Al-Aqsa. Kita membuka ufuk baru untuk agama Allah di muka bumi ini sebagaimana firman Allah :
Maksudnya: “Sehingga tidak ada fitnah lagi dan jadilah agama ini semuanya bagi Allah“.
                Matlamat yang besar ini umurnya tidak diukur dengan umur peribadi tetapi berdasarkan kepada umur dakwah dan ummat. Jangan benarkan putus asa memasuki diri. Perkara yang dituntut ialah membuang timbunan perkara-perkara yang bercanggah dan menyeleweng, kejahilan, bid’ah, lemah diri, dan sebagainya bagi mendirikan bangunan di atas asas yang kukuh dan unsur-unsur padu daripada tentera aqidah.
                Perkara yang menolong seorang muslim untuk memikul amanah yang memerlukan thabat dan masa yang panjang ialah iman yang kuat dan persaudaraan yang benar. Iman akan menerangi jalan serta memeliharanya daripada penyelewengan, manakala persaudaraan akan membentengi langkah-langkah di atas jalan dakwah ini.

                Wahai Tuhan yang membalikkan hati, teguhkanlah hati-hati kami di atas agamaMu.

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil