Itu Qorin dia?

Qorinmu sudah datang kah? Inilah kata-kata kelakar yang selalu menyapa  apabila ibu 'bad mood' Alhamdulillah sapaan  itu yang  mengingatkan ibu agar segera perbaiki keikhlasan dan segera merawat diri dengan mendalami tafsir Al-Qur'an..agar sentiasa faham apa yang dibaca barulah rasa nikmatnya kemanisan Al-Qur'an. Murabbi@ suami ibu menegur itu ada dalilnya merujuk seerah Rasulullah sallallahu alaihi wassalam berhadapan rasa cemburu isterinya Aishah radhiallahu anhuma. "Syaitanmu (Qorin) sudah datangkah?" lalu Aishah menjawab "aku  ada  qorinkah? Kamu juga  ada Qorin? Lalu Rasulullah sallallahu alaihi wassalam menjawab Ya, aku juga ada qorin, tetapi qorinku Allah pelihara".
Jelas di sini  bahawa  syaitan sentiasa  'follow' kita . Lebih kuat iman maka lebih tinggi pangkat syaitan yang 'follow' menggoda kita. Namun ingatlah power syaitan itu  tidak kuat. Kita baca Taawuz dan istighfar selalu, akan menjauhlah ia. Ingat kisah  saidina  Umar Al Khattab kenapa Rasulullah  kata  bila syaitan ternampak Umar dari jauh mereka akan lari lintang pukang? Sebab Umar IKHLAS

Ingatlah dalam Al Qur'an, syaitan berjanji  tidak pernah penat bahkan sentiasa  berusaha untuk menyesatkan anak Adam. Allah izinkan syaitan dengan agendanya namun syaitan telah diingatkan bahawa dia tidak akan dapat menyesatkan orang-orang yang ikhlas (Mukhlis). 
"Ya Allah peliharalah dan perbaguskan keikhlasanku, keikhlasan suamiku, keikhlasan anak cucu kami hingga hari kiamat. Masukkkanlah roh-roh kami dalam rombongan roh para  anbia, roh para syuhada, roh para siddiqqin dan roh para solehin"

Dua  minggu mutakhir  ini Allah izin ibu agak  teruji dan teruja sedikit  dengan masa  yang sentiasa 'penuh' hingga tidak berpeluang menaip  artikel yang merupakan  penghibur ibu ketika lapang.  Di samping   mengendalikan beberapa  halaqah mingguan dan kelas-kelas kaunseling Rabbani, ibu juga dikunjungi oleh kaum ibu muda dan  ibu-ibu yang  hampir sebaya (50an), bahkan awal 70an juga ada...Secara peribadi mereka berhasrat dan ingin mencari solusi masalah diri dan masalah keluarga yang mereka  hadapi. Ibu-ibu yang seusia hingga berumur 70an kelihatan matang mengemukakan persoalan. Sebaliknya  yang muda agak penuh emosi meluahkan keperitan, kekecewaan, kesedihan dan 1001 macam rasa  yang bercampur  baur menyebabkan rasa tertekan seolah-olah 'tidak redha' dengan ujian yang dihadapi. Seboleh mungkin, memang  ibu biarkannya  luahkan segala ketidakstabilan  emosi yang sudah lama terpendam hingga membusuk menjadi 'sampah-sampah emosi'. Selepas keadaannya semakin tenang baharulah sesuai jalani terapi 'tapping' memulihkan tenaga dalaman dan flush segala sampah emosi tersebut.

Begitu indahnya penyusunan yang Allah aturkan, isu-isu kekeluargaan  ini timbul ketika  ibu  sedang dibantu oleh tenaga  muda  untuk  membumikan kaunseling Rabbani. Tanpa pengetahuan ibu, salah seorang kaunselor paling aktif di Perlis telah hadiah/ menyerahkan  senaskah  buku Kaunseling Rabbani kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. "Saya  harap Dr Maszlee akan baca buku itu" luah kaunselor muda itu.  

Kak Ngah ibu di Tangkak pernah nasihati ibu  awal tahun 2017 selepas  buku itu diterbitkan agar ibu bedah buku ikut bab demi bab. Sayangnya ketika itu  ibu masih keseorangan dan belum ada 'team.' Harapkan team veteran, senyap sepi seribu bahasa, tak berbunyi. Ibu tak mahu memaksa, hanya mengaku kepada Allah, "Ya Allah ampuni aku, memang aku lemah dan tak mampu buat apapun jika Engkau tak izinkan..." Rasa berdosa  pula asyik tak mampu  memanjang. Alhamdulillah penghujung  2018  baru terasa pertolongan Allah amat dekat dan Allah permudahkan dapat  mulakan  kelas  ikut bab. Setiap  bab memerlukan masa  lebih 2 jam.

Segala puji hanya bagi Allah  yang mengilhamkan apabila   pelajar-pelajar seronok  mendengar  pengisian  dari dua kelas, bab 1 dan bab 2  setakat  ini. Benarlah, setiap teori  pasti akan dihadapkan  dengan praktikalnya sekali. Dalam bab 1 mereka sangat tertarik dan seronok sangat mendengar  tentang Al-Qur'an, Manusia  dan Qorin yang ibu pelajari  daripada salah seorang ustazah muda yang gigih di Matri. Beliau juga di antara  tenaga yang bakal  membantu Kaunseling Rabbani kelak. Insya Allah.

Alhamdulillah, Allah kurniakan sedikit pengalaman  menyebabkan ibu  masih mengkaji perkataan Qorin  sejak  hujung tahun 2009 lagi. Apa lagi setelah  pernah mengalami sendiri pada awal tahun 2013 kes  salah seorang  tuan punya diri mengaku dirinya sudah lama 'mati'. Katanya "Eh! kau tahu tak Leman (bukan nama sebenar) tu dah lama mati?" Terkejut  ibu kerana  yang bercakap itu berbadan Leman tengah mamai terbangun dari tidur yang lena.  Apabila ditanya 'kamu siapa?" Jawab Leman "aku Qorin dia, kalau kau tak percaya  nanti tengah malam aku bergayut kat atas sana..."  
Meremang  bulu roma mendengarnya dan ibu mohon Allah SWT berikan solusi terbaik agar kerjaya  utama kita  sebagai  pelajar juga pendidik  dakwah dan tarbiyah   tidak terganggu.Sedangkan orang yang selalu khatam Qur'an atau   ada seorang  mudir Maahad Tahfiz  juga diganggu oleh Qorin, apa lagi  yang jauh dari Qur'an. Menurut Syed Qutb dalam Fi zilal Al Qur'an, Qorin (syaitan) itu akan melekat dan tidak mahu berpisah darinya...paling merbahaya  apabila sakratul maut, Qorin itu menghalang tuannya  dari mengucap kalimah syahadah. Istilah Qorin ini dikenali dalam masyarakat  melayu  sebagai 'saka'. Nauzubillahi min zalik
Rumusan yang para pelajar dapat dari bab 1, Pentingnya  kita  IKHLAS mentauhidkan Allah dan jauh dari syirik. Syaitan amat takut  dengan orang-orang yang mukhlisin

Istilah  'Qorin' bermaksud pendamping  memang ada di dalam Al-Qur'an. Ulasan tentangnya, ibu dibantu pakar Tafsir  dari Matri ketika berbincang  di dalam halaqah. Qorin terbahagi kepada  dua,

 i. Qorin  dari kalangan syaitan rujuk surah Az-Zukhruf ayat 36

   
ii. Qorin dari kalangan malaikat rujuk surah Al Fushilat ayat 30

Ibu jelaskan dalam semua  sesi kaunseling, setiap individu  yang datang  ke bilik kaunseling perlu kita lihat dirinya  yang 'baik' walaupun mereka tunjuk emosi negatif. Perlu ada 'mind setting'  kita lihat semua klien atau semua pelajar atau semua  anak didik, isteri atau suami itu baik, kita  tidak akan berburuk sangka kepadanya. Jika berlaku  sebarang 'abnormal', meragam  atau pelik, itu adalah 'qorin'nya. Usah layan, sebaliknya  berdoa dan bersabarlah ketika menghadapinya.
"senang macam tu kan ibu? kita  sentiasa berbaik sangka pada orang tu dan maafkan dia" ulas salah seorang  pelajar Khassah. Ini salah satu teknik mengalahkan syaitan.
Jika  kita  baca  kisah dalam surah Yusuf, walaupun Nabi Yusuf diuji bertubi-tubi sejak kecil hinggalah dewasa. Bermula  dengan dimusuhi oleh abang-abang kandungnya, dimasukkan dalam perigi, dibawa  ke Mesir dan dijual, diminati oleh ibu angkat, diajak berzina, difitnah, dipenjarakan hingga terpisah dari ayahnya selama 40 tahun. Setelah dilantik menjadi Menteri keewangan Mesir, dkunjungi oleh abang-abangnya hingga  dapat berjumpa ayahnya. Nabi Yusuf tidak menyalahkan abang-abangnya hingga  diuji begitu tragis  sekali. Sebaliknya dijelaskan  dihujung surah Yusuf ayat 100 yang bermaksud 

 " Sesungguhnya  Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku daripada  penjara dan ketika  membawa kamu (saudara-saudaranya) dari dusun, setelah syaitan merosakkan (hubungan) antara aku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya  Tuhanku  Maha Lembut terhadap apa yang Dia  kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi maha Bijaksana."

Dalam bab 1 buku Dr Majdi Al Hilali bertajuk 'Menjadi manusia yang Rabbani' menjelaskan bahawa  dengan keimanan sahaja atau mengaku  diri sudah beriman tidak mencukupi menjadikan seseorang itu sebagai insan Rabbani. Apa yang perlu adalah usaha bersungguh-sungguh  dan berkesinambungan, tidak putus-putus  bermujahadah melawan hawa nafsu khususnya. 
Firman Allah yang bermaksud;
"Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan KAMI, benar-benar akan KAMI tunjukkan mereka jalan-jalan KAMI" ( surah Al Ankabut: 69 )
Kelas Kaunseling Rabbani  ke-2 pada 28 Oktober 2018

Ibn Qayyim Al Jauzi menghuraikan maksud ayat di atas bahawa  "Allah SWT menggantungkan hidayah-Nya  pada jihad. Jadi manusia  yang paling sempurna mendapat hidayah-Nya adalah yang paling  besar di dalam perjuangannya.  Jihad yang paling utama adalah jihad melawan;
1. Diri  sendiri
2. Hawa Nafsu
3. Syaitan
4. Godaan Dunia
Barangsiapa yang berjihad  dengan keempat-empat jihad di atas kerana Allah, maka Allah SWT tunjukkan kepadanya jalan-jalan redha-Nya yang menghamapirkan kepada Syurga-Nya. Barang siapa  yang meninggalkan jihad, maka ia akan kehilangan hidayah Allah SWT."

~Dari buku  Kaunseling Rabbani  halaman 61

Menurut  Murabbi jika  inginkan keselamatan diri, keluarga  dan masyarakat, kita semua perlu istiqomah  dalam tarbiyah zatiyah dan   bergabung  dengan Jamaah. Syaitan amat mudah mem'baham' individu ketika keseorangan ibarat  serigala  akan membaham kambing yang  jauh dari kumpulannya"  Perlunya  iltizam  syari'e dan iltizam  tanzimi. Tanpa kedua-duanya  seseorang itu akan malu alah  dan  mudah  HANYUT dibawa  oleh arus jahiliyah.

Wallahu alam bis sawab

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil