Mengenalpasti Ciri-Ciri Ahli Syurga
Alhamdulillah sepanjang 10 akhir Ramadhan, Allah izin dapat ibu luangkan masa setiap pagi memerhati fenomena terkesannya mata hari dan alam dengan berkahnya lailatul qadr. Dengan Taddabur alamini, Alhamdulillah Allah kurniakan keceriaan dan kegembiraan lebih dari berada di tanah suci setiap 10 akhir Ramadhan. Sebelum tahun 2009 Allah beri ibu peluang dapat beberapa kali menunaikan umrah hujung Ramadhan, malah dua kali dapat berhari raya di Makkah dan sekali di Madinah. Buat masa ini peluang ke tanah suci terpaksa di 'KIV' dulu memandangkan pergerakan fizikal suami agak terbatas dan ibu redha. Insha Allah, apabila sudah sampai masanya, ibu yakin peluang ini akan berulang kembali... Aamiin. Sekali sekala memang menitis air mata merindui kampung halaman umat Islam di Makkah dan Madinah. Allah kurniakan lintasan jawapan, "Insha Allah, apabila sampai masanya insan yang sangat menyayangimu akan membawamu ke sana"
Semoga Allah kurniakan dan suburkan di qalbu ibu kesabaran yang indah
(Sobrun Jamil) menanti waktu indah itu. Memanglah sedih apabila mendapat khabar jiran, abang dan beberapa kenalan dapat menunaikan umrah setiap akhir Ramadhan. Syukur Alhamdulillah kesedihan ini dirawat dengan aktiviti taddabur Qur'an digabungkan dengan taddabur alam setiap pagi 10 akhir Ramadhan di Tasik Melati Beseri Perlis. Sebelum ini, selepas Subuh asyik tidur dengan alasan sudah berjaga malam. Kelaziman ini yang perlu kita ubah, iaitu 'mind set' kalau berjaga malam nanti pagi mesti mengantuk. Teori ini tidak benar. Kita akan jadi seperti apa yang kita fikirkan. Yang penting, manfaatkan setiap detik masa sisa-sisa kehidupan, jangan dibazirkan dengan banyak tidur walaupun di bulan Ramadhan. Paling bagus tidur selepas selesai Terawikh, agar cukup tenaga untuk bangkit seawal jam 1.00 atau 2.00 pagi
Paling menyeronokkan selepas buat 1-2 pusingan di Taman Rekreasi Tasik Melati sambil memerhatikan keadaan langit dan matahari, rasanya bertambah segar malah dapat buat pelbagai aktiviti. Tidur waktu khailullah sahaja samada sebelum atau selepas zohor. Jumaat terakhir Ramadhan jika tak silap 26 Ramadhan, ibu buat 'in house trainning' untuk pengasuh-pengasuh Taska Ummu Salamah yang memang menunggu input untuk bulan Mei-Jun. Perasaan terindah Allah kurniakan sepanjang hari 26-27 Ramadhan.
Moga kita semua beroleh keberkatan lailatul Qadr...Aamiin ya Rabbal alamin. Ketika taddabur alam,sentiasa terlintas persoalan bagaimanakah ciri-ciri ahli syurga...Persoalan ini sering muncul setelah selesai usrah ammah pada minggu pertama Ramadan buat di bilik Kaunseling kami.
Jom kita usahakan mengisi diri dengan ciri-ciri ahli syurga seperti jawapan berikut:
Seluruh penghuni syurga kelak, mereka tidak mendengar percakapan sia-sia, kosong dan dosa.
Allah
SWT berfirman yang bermaksud:
“Mereka tidak akan mendengar dalam
syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang
menyebabkan dosa. Mereka hanya mendengar ucapan: “Selamat! Selamat!
(daripada satu kepada yang lain).” (Surah al-Waaqi’ah 56:25-26)
Seterusnya, ciri-ciri bakal ahli syurga, mereka tidak pernah berdengki serta berdendam.
Itu adalah sifat Muslim yang memiliki kebersihan dan kelembutan jiwa.
Dalam jiwa tidak pernah terbit perasaan dengki dan iri hati dengan sesiapa
saja walaupun melihat orang itu mendapat kelebihan daripada Allah SWT.
Lihat
pula pada diri kita pada hari ini, contohnya, apabila melihat saja jiran
atau kawan menukar perabot baru atau kereta baru, hati sudah tidak keruan dan mula
timbul perasaan dengki.
Ada ayah tidak bertegur sapa dengan anak bahkan tidak mahu mengaku anak, semata-mata iri anaknya membangunkan business orang lain
Moga Allah sucikan jiwa si ayah tersebut dan kembali kepada fitrah, redha dengan takdir Allah...
Justeru itu untuk menjadi ahli syurga, qalbu kita mesti sentiasa bersih dan berlapang dada.
Di Padang Mahsyar kelak, ada beberapa keadaan ketika manusia menunggu untuk ditimbang amalan mereka.
Golongan
yang paling beruntung adalah umat Nabi Muhammad SAW yang akan terus
masuk ke syurga tanpa dipanggil nama serta buku amalan mereka juga tidak
dibuka.
Itulah kelompok manusia paling mulia dan istimewa di atas Padang Mahsyar kelak.
Malah,
Allah SWT tetap memanggil seorang demi seorang rasul dan nabi untuk
disoal serta dibentangkan buku amalan mereka di hadapan Allah SWT.
Allah
SWT berfirman yang bermaksud:
“Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan
menyoal umat-umat yang diutuskan (rasul-rasul) kepada mereka dan
sesungguhnya Kami akan menyoal juga rasul-rasul itu.” (Surah al-A’raaf
(7): ayat 6)
Kumpulan kedua adalah mereka akan masuk ke syurga dengan cara ditimbang tetapi sesaat pun mereka tidak masuk ke dalam neraka.
Selesai
saja timbangan, mereka akan terus ke telaga Kauthar dan selepas
melintasi titian sirat, mereka terus masuk ke dalam syurga.
Allah
SWT berfirman yang bermaksud:
(Lalu Kami perintahkan kepada-nya):
“Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini
menjadi penghitung terhadap dirimu (mengenai segala yang engkau
lakukan).” (Surah al-Israa’ (17): ayat 14)
Buku yang memuatkan amalannya, semuanya berat kepada ibadat dan dia juga banyak berbuat baik kepada manusia.
Ketika diumumkan sesiapa yang mempunyai tuntutan terhadapnya juga tiada.
Semuanya berpuas hati termasuk isteri, anak-anak serta kawan-kawannya.
Terdapat juga golongan yang selepas ditimbang amalan mereka adalah ahli neraka.
Selepas
tinggal dan disiksa di dalam neraka untuk tempoh tertentu, tiba-tiba
mereka dikeluarkan oleh malaikat sehingga penghuni neraka lain berasa
hairan.
Ia disebabkan ketika di dunia dahulu, mereka pernah
bersahabat dan berdampingan dengan orang-orang soleh yang terlebih
dahulu menjadi ahli syurga.
Golongan yang dikeluarkan dari neraka itu mendapat syafaat daripada sahabatnya yang soleh.
Mudah-mudahan kita sentiasa berdamping dengan orang-orang yang baik yang sentiasa mengajak melakukan kebaikan.
Allah
SWT berfirman yang bermaksud:
“Dengan sebab itu, tiadalah kami beroleh
sesiapa pun yang memberi pertolongan. Dan tiadalah juga sahabat karib
yang bertimbang rasa. Maka alangkah baiknya kalau kami dapat ke dunia
sekali lagi supaya kami menjadi daripada orang-orang yang beriman.”
(Surah asy-Syu’araa’ (26): ayat 100-102)
Sama-sama kita doakan semua ahli keluarga samada keluarga kandung mahupun keluarga tiri, adik beradik, sahabat handai, teman taulan dan jiran tetangga dan umat Islam seluruhnya diampuni segala dosa-dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga Firdaus... Aamiin Ya Rabbal Alamin
Jalan Badek
Shah Alam
7 Jun 2019
3 Syawal 1440 Hijrah
Comments
Post a Comment