Mukhayyam Melahirkan Ukhuwwah Sejati
Alhamdulillah, thumma Alhamdulillah dalam banyak kekangan yang menyekat pergerakan, Allah izinkan juga ibu dapat hadiri Mukhayyam Haluanita cawangan Perlis di Kem Wang MU. Program dikendalikan oleh pasangan suami isteri berusia 40-an yang telah menginfak@ wakafkan segalanya bahkan nyawa mereka untuk kerja-kerja dakwah dan tarbiyah. Isterinya bekas guru Kimia mewarisi penyakit keturunan dengan masalah saraf mata menjadi buta secara perlahan-lahan.
![]() |
Alhamdulillah, walaupun masih muda, keikhlasannya amat dikagumi... |
Walaupun dalam keadaan lebih 90% buta, tidak menghalang beliau bergading bahu menjayakan wawasan akhirat kami. Anak-anaknya menjadi mata-mata yang sentiasa ingin mempermudahkan urusan ibunya. Allah..., malunya kita di hadapan Allah...kita yang celik dan sihat mata meletakkan 1001 alasan, tidak mahu hadir pelbagai program yang telah disusun atur untuk meningkat kualiti iman,ibadah kita hanya untuk-NYA.
Ketika sesi gotong royong, ibu mohon izin dari urusetia mengadakan training khas untuk pengasuh-pengasuh Taska Ummu Salamah yang turut hadir dalam program di Wang Mu. Cerianya mereka kerana sepanjang bulan September ini memperkenalkan kepada anak-anak Asma Allah, 'Al Jamil' الجميل (Yang Maha Indah). Sekaligus mereka dapat melihat segala keindahan ciptaan Allah pada diri dan sekitarnya.
Program Mukhayyam bermula dengan tadarus surah Al Balad oleh pelajar Khassah. Fokus mentafsirkan ayat 4
لَقَدْ خَلَقْنَا الإنْسَانَ فِي كَبَدٍ yang bermaksud:
4. Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa Dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya);
Perasaan ingin berkorban dan bersusah payah dimantapkan lagi dengan kisah Abdullah Dzul Bijadain mengalami kesukaran untuk berhijrah bertemu Rasulullah SAW yang amat dirinduinya di Madinah. Beliau adalah anak yatim, dipelihara dan dibesarkan oleh bapa saudaranya yang masih belum Islam. Teknik penceritaan juga amat penting agar kisah ini melekat di jiwa dan menjadi sumber inspirasi anak cucu kita di akhir zaman, mewarisi pengorbanan para sahabat ingin turut berhijrah bersama Rasulullah SAW. Berikut adalah kisah yang menceritakan pengorbanan Abdullah Dzul Bijadain
Teknik LXC (Learning Experience Choaching) dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasangan suami isteri ini untuk menyuburkan ukhuwwah sesama kami kerana Allah semata-mata. Ibu rasa amat bertuah dapat bersama mereka walaupun tidak semua aktiviti dapat ibu ikuti. Setakat yang Allah izinkan ibu amat bersyukur berada di dalam 'biah' solehah yang sentiasa menyuburkan Husnuzhon, berbaik sangka sesama, khususnya kepada Allah sebagai bukti minimanya ukhuwwah kita. Sepanjang program secara langsung kami mendapat latihan meningkatkan ukhuwah mengutamakan orang lain lebih dari diri sendiri (ithar). Sungguh amat ruginya ibu jika tidak hadir, sesi malam sungguh menyentuh hati,
Aktiviti treking hari ini ibu tidak dapat hadir, namun jiwa ibu tetap di sana. Dalam perjalanan pulang tengah malam tadi (hampir jam 12.00) warden asrama puteri memandu kereta ibu, ibu terlena. Fizikal warga emas biasanya selepas Isya' memang menutut haknya untuk istirehat. Warden tersebut share perasaan yang dirasai bersama para pemudi "depa seronok dengan respon mak cik-mak cik dalam program tadi." Walaupun ibu tak pernah bertanya. Cukup sekadar hadirnya kita (warga emas), sudah menjadi sumber inspirasi buat mereka yang akan meneruskan perjuangan kita dalam dakwah dan tarbiyah. Berikut adalah lagu yang menjadi tema Mukhayyam Haluanita Perlis;
Comments
Post a Comment