Hakikat Pengorbanan Sebenarnya

Dengan nama Allah
Yang Maha Pemurah
Lagi Maha Penyayang. 

Segala puji-pujian hanya milik Allah yang masih memberi kita peluang muhasabah diri  untuk perbaiki kualiti iman, kualiti ibadah hanya kepada-Nya. Syukur Allah kurniakan taufik-Nya, ibu dapat istirehat daripada memikirkan urusan dunia  yang merimaskan.

Selawat dan salam khusus buat Rasul junjungan, kaum keluarga baginda, para sahabat, para tabien, para salafus soleh, ulama-ulamak muktabar serta jiwa-jiwa yang ikhlas mengabdikan diri hanya sanya kepada-NYA. Alhamdulillah dengan izin Allah memang  banyak perkongsian bahagia yang ingin ibu rakamkan  dalam blog ini. Banyak program online  yang ibu ikuti dan tugas baharu sepenuh masa  di rumah menyebabkan ibu agak sibuk dan tidak berkesempatan  untuk menaip dalam blog ini seperti biasa. Setiap kali hendak mula menaip, apabila  dipanggil terus tergendala dan terhenti serta merta. Rindu hendak merakamkan peristiwa indah, tetapi rutin ibu sudah berubah, tidak seperti dahulu lagi  boleh fokus.

Syukur Alhamdulillah, seawal pagi tadi Allah kurniakan  ibu  'me time' serta kekuatan dan semangat untuk berjalan 2km di taman rekreasi Tasik Melati, terasa  segar  badan hingga sekarang (lewat malam). 
Lazimnya selepas  Isya'  ibu akan tumbang, memang terasa amat letih. Dalam apa urusan sekalipun, ibu  memang jenis yang hendak cepat siap sejak muda  dahulu. Kini Allah uji kudrat suami semakin lemah, segala pergerakannya 'slow motion' menuntut  ibu sentiasa berdoa mengharapkan curahan kesabaran dan keredhaan dari Allah yang menetapkan takdir ini untuk ibu. Ibu amat hormati Ustaz Omar  Hj Salleh bukan sahaja sebagai suami tetapi  juga  sebagai seorang murabbi yang sentiasa  mendoakan kesejahteraan ibu  agar menjadi  isteri  yang penyabar. 

Alhamdulillah, sejak 2 bulan ini, Allah ilhamkan ibu  belajar cara mengamalkan  pemakanan sihat di samping  mendapat bonus menguruskan badan. Setakat hari ini sudah  dapat kurangkan 7 kilogram. Hilang lemak 7 kilogram terasa  ringan badan dan tidak cepat letih lagi. Apabila usus perut  sentiasa dibersihkan, segala sarang syaitan runtuh dan musnah. Tiada lagi ruang  untuk syaitan menganggu. Semoga selamanya syaitan tidak mendekati. Aamiin  ya Rabbal Alamin. 

Apabila 'eat clean' diamalkan sebagai rutin baharu, terasa lapang  fikiran yang selama ini sentiasa  rasa 'rimas' , merungut dan tidak ikhlas hendak ke dapur. Asyik ke dapur memasak makanan yang menyebabkan berat badan bertambah, cepat penat, rasa hendak marah dan rasa  bersalah kerana  tidak berhenti-henti menternak lemak dalam badan. 

Demi menjaga perasaan orang lain daripada mereka menjadi mangsa kemarahan, ibu banyak memencilkan diri tak mahu keluar dari ruang selesa ibu. Perbanyakkan istighfar hanya uruskan diri dan suami sahaja. Ketika munajat tengah malam sentiasa mohon Allah beri jalan keluar bagaimana  cara hendak elak dari kesibukan makan  yang sungguh memenat dan meletihkan.

Alhamdulillah setelah hampir  dua bulan  ibu belajar dan ikuti latihan secara online kini ibu berjaya  memujuk  diri mengamalkan pemakanan sihat dengan menjauhi;

1. Gula putih (dalam kuih, minuman dan masakan) diganti dengan gula kelapa atau madu
2. Makanan bergoreng, gantikan  dengan dibakar atau di'steam' atau direbus 
3. Nasi putih diganti dengan sayur-sayuran seperti keledek, atau beras perang atau herba pony Faezah
4. Tepung putih digntikan dengan roti serat dsb
5. Junk food, fast  food diganti   dengan 'real food' terdiri  daripada  kekacang atau  buah-buahan
6. Perisa  ajinomoto atau hilal, garam diganti dengan perisa  buah-buahan seperti buah tomato, epal dan nenas.

Ringkasnya  ibu melatih  diri menjauhi 7 P
1. Putih gula
2. Putih beras
3. Putih tepung
4. Pewarna
5. Pengawet
6. Proses food
7. Perisa

Pengorbanan di sini  bermaksud jihad  melawan hawa nafsu. Apabila kita  berjaya  meninggalkan makanan yang ada  7 unsur  yang merosakkan seperti  di atas, Allah kurniakan rasa  bahagia kerana  berjaya  meninggalkan unsur-unsur yang boleh merosakkan otak dan tubuh badan kita. 

Ingatlah pengorbanan bonda  Hajar bersama  anaknya Nabi Ismail, tidak makan berhari-hari tetapi masih terus hidup dengan izin Allah  hingga  terjumpanya  telaga  air Zam-zam. Sebenarnya  nikmat hidup ini  lebih  terasa  apabila  kita  berlapar, menjadikan kita lebih bersyukur. Bukan bermakna kufur nikmat, cukuplah makan sekadarnya untuk menegakkan tulang  untuk beribadah. Tak perlu makan sampai kenyang  hingga  menjadi malas dan menangguh-nangguhkan ibadah. Banyak masa terbazir kadang kala  3 jam sehari memikirkan dan menyiapkan bab perut sahaja. Sempena  Hari Raya Qurban tahun ini, sama-samalah kita korbankan perut buncit dan lebihan lemak yang diternak bertahun-tahun. Dapatkan semula 'ideal weight' sebelum kita kembali menghadap Allah SWT. Menghadap Allah  dalam keadaan berat badan normal dan comel.

Menjelang Hari Raya Qurban tahun ini, Alhamdulillah, Allah gerakkan hati ibu buat qurban  di Bintulu Sarawak. Di sana ada ramai waris ibu yang perlu diambil berat kebajikan mereka, lebih-lebih lagi 3 anak saudara yang pernah belajar di Matri sudah berada  di sana.

Pengorbanan bukan hanya sekadar melakukan penyembelihan haiwan korban mengikut syariat Islam tetapi selalu ada hikmah  di sebaliknya. Nabi Ibrahim telah memberikan suri tauladan kejayaan dalam memenuhi perintah Allah SWT. Nabi Ibrahim berjaya mencapai keimanan melalui pelbagai usaha dan pengorbanan. Kejayaan memerlukan pengorbanan dan penyerahan kepada Allah SWT terhadap usaha dan pengorbanan yang telah kita lakukan, itu yang perlu kita contoh dalam kisah hidup Nabi Ibrahim.
Tidak ada kejayaan yang instant atau magic, namun amat memerlukan ikhtiar  semaksimanya dan pengorbanan. Sudah banyak contoh kejayaan yang dapat kita pelajari dalam kehidupan sehari-hari yang meliputi kejayaan dalam kerjaya, pengasuhan, pendidikan dan seumpamanya. Apabila kita cermati satu persatu setiap kisah kejayaan yang diraih selalu didahului adanya usaha/ ikhtiar dan pengorbanan. Namun seringkali kita mengharapkan adanya kejayaan yang instan atau segera.
Terdapat faktor dalaman dan luaran yang membentuk adanya harapan kejayaan segera (instant). Pertama faktor dalaman iaitu hakikat dasar manusia adalah mencari kesenangan, keselesaan dan kemewahan semaksimanya dan menghindari sebarang  kesusahan dan kesulitan. Dengan hakikat dasar tersebut manusia cenderung lebih melihat hasil akhir yang diraih oleh mereka yang berjaya alam bidang-bidang tertentu namun tidak pernah memikirkan atau melihat bagaimana jatuh-bangunnya proses mencapai kejayaan  tersebut.
Kedua faktor luaran iaitu pengaruh atau ransangan (stimulasi) persekitaran melalui berbagai bentuk informasi atau persuasi yang mengarah adanya proses instan mencapai kejayaan yang belum tentu berhasil. 
Sebagai contoh iklan tentang menguruskan badan. Ramai yang berusaha makan pil tanpa  usaha mengawal nafsu makan. Apabila pil tersebut  habis, perlu beli lagi dan lagi. Nafsu makan tetap disuburkan tanpa sebarang usaha mengawalnya. Akhirnya obesiti masih menghantuinya kerana  gagal mengawal nafsu makan. 
Gabungan antara faktor dalaman hakikat dasar manusia yang ingin mencapai kejayaan tanpa kesulitan dan faktor luaran persuasi kejayaan instant makin mendorong individu untuk tidak berusaha memaksimakan usahanya. Hakikat dasar manusia mencapai sesuatu yang menyenangkan dan menghindari hambatan bukan bererti tanpa usaha. Jangan hanya melihat kejayaan orang lain di hasil akhirnya tetapi harus melihat proses pencapaian keberhasilannya. 

Terakhir jangan terlalu mudah percaya terhadap iklan ataupun bentuk persuasi kejayaan segera kerana apabila kejayaan instan tersebut benar maka setiap orang akan bergantung kepada asebab yang merosakkan tauhid. Pentingnya  niat  awal untuk berjaya  kerana  Allah agar akidah tidak rosak. Justeru itu pentingnya  ilmu  untuk berubah dan berusaha semaksimanya  dengan izin Allah untuk mencapai kejayaan yang yang diredhai-Nya. Jika usaha sudah maksima, tidak berjaya juga maka muhasabah diri. Pasti  ada hikmah di sebaliknya...Pasrah hanya kepada Allah. Allah  tidak melihat ilmu kita  tetapi apa yang telah kita usahakan dengan pertolongan-Nya kita  bertawakal.
Wassalam.
Wallahu alam


Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil