Berbangga Kahwinkan Suami?

 Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya milik Allah, Rabb yang tidak pernah tidur terus mengatur  dan mengurus segala isi langit dan bumi yang fana ini. Semoga Allah istiqomahkan kita semua sentiasa  berada di atas landasan yang diredhai-Nya.

Selawat dan salam ditujukan khas buat Rasul junjungan dan semua yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Sebenarnya ikut plan awal, kami dalam perjalanan  ke Shah Alam untuk menghadiri  jemputan kahwin  anak kakak... namun di saat akhir terpaksa dibatalkan  kerana  ibu baharu teringat ada kelas online  berbayar  mulai pagi 26 September.  Hendak belajar tak boleh stress, perlu tenang. Kelas itu amat penting  bagi menjayakan projek kelahiran  buku baru 'Takdir Allah sentiasa indah'. Kakak ibu juga  sudah faham dan tidak mengharap sangat ibu dapat hadir.

 Sejak minggu lepas, mem'viral' berita dan gambar tergempar seluruh media sosial seorang guru tolong  cari, meminang dan ikuti majlis pernikahan suaminya. Majoriti nitizen  wanita khususnya meluahkan sindiran-sindiran tajam tidak setuju dengan sikap guru tersebut. Majoriti kaum lelaki pula seronok dan memuji sikap guru tersebut. Apa tujuan berita itu  diviralkan? Wallahu alam, bukan kerja kita hendak mengorek apa yang ada di dalam dada wanita  itu. 

Ibu lebih suka berbaik sangka  dan berlapang dada  dengan apa yang Allah aturkan dalam kehidupan ini, pasti ada hikmah untuk dipelajari oleh semua  kaum wanita. Hikmahnya poligami agar wanita berpeluang mensucikan jiwanya tidak ber'tuhan'kan hawa nafsu atau emosi negatif,  sebaliknya  ber'tuhan'kan Allah. Ramai  wanita termasuk  ibu suatu ketika  dahulu tersilap meletakkan visi perkahwinan walaupun secara zahir  nampak  kerana  Allah, tetapi dari segi batinnya seolah-olah masih ber'tuhan'kan hawa nafsu (Maksud  ibu, tidak mahu bermadu). Nauzubillahi min zalik.

Hikmahnya  Allah  halalkan poligami  merupakan  peluang  untuk kaum wanita membuka atau menanggalkan semua topeng-topeng palsu  yang mewarnai dirinya. Topeng paling tebal apabila  kita tidak boleh memaafkan dan tidak boleh melupakannya. Topeng kedua tebal, tidak boleh memaafkan walaupun boleh melupakan. Topeng yang kurang tebal boleh memaafkan walaupun tak boleh melupakan. Alangkah indahnya hidup ini apabila Allah merdekakan jiwa kita apabila kita mampu menanggalkan segala  topeng di atas iaitu  dengan memaafkan dan melupakannya.  Inilah yang ibu pelajari dari pengalaman  berpoligami sejak bulan Julai tahun 2009 hinggalah bulan Mei tahun 2013.

Seribu satu  macam emosi yang Allah hadirkan dalam hidup ibu. Menjelang berpoligami apabila  terhidu berita yang mengejutkan mereka sudah bercinta, rasa amat kecewa. Mujur masih ada Kak Uda yang memujuk dari Shah Alam. Kak Ngah di Melbourne ketika itu berendam  air mata, bagaikan seorang ibu risaukan  masa hadapan perkahwinan anaknya.

Apabila rasa perit,  sedih dan kecewa  itu  hadir, ibu bersegera  solat sunat dan baca Qur'an. Baca  Al Mathurat pagi dan petang serta pelbagai zikir untuk menghalau  segala  rasa  sedih dan kecewa tersebut. Memang kuat mujahadah  melawan emosi sendiri terutama perasaan 'benci' dengan pengkhianatan yang berlaku. 

Tidak dinafikan sekali sekala  memang ada gangguan dari pasangan, tiba-tiba hendak marah, membenci tidak tentu pasal. Tanpa  ilmu kadang-kadang  layan juga menegur sikapnya yang berubah dari seorang penyabar menjadi pemarah. Bermula  bulan Jun  2009 memang  berperang  selalu walhal sebelum itu  tenang sentiasa berada di dalam zon selesa. Ibu tenangkan diri  dengan banyak diam dan menganggap yang abnormal itu  adalah 'qorin'nya

Pesanan  ibu kepada  kaum lelaki, jika dari awal ibu  dan ayah tidak redha, jangan berani melangkah  untuk berpoligami. Dalam mengurus takdir diri pastikan  Redha  Allah mendahului. Redha Allah  bersama redha  ibu bapa. Jika melanggar  ini, walaupun kononnya sudah istikhorah, musibah  demi musibah  datang menyusul tanpa  henti selagi tidak bertaubat

Pesanan  ibu  bagi kaum isteri, jika  suami hendak berpoligami jangan larang. Diamkan, abaikan atau biarkan sahaja seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Langkah penting tenangkan diri dahulu. Cuba sedaya upaya melayan suami macam biasa bahkan dengan lebih baik lagi. Jika kita mengamuk atau melarangnya  nanti kita penat dan letih hingga hilang ketenangan. Banyak kes yang ibu pelajari dalam sesi  kaunseling. Jika siisteri  melarang suaminya berpoligami dengan Si A, suaminya lebih berani  menikah dengan si B tanpa pengetahuan isteri. Jika isteri pertama melarang  nikah orang  dalam negeri, dia akan cari orang luar negeri. 

Tabiat untuk berpoligami memang fitrah  yang sudah  ada dalam setiap lelaki bukan sahaja yang mampu, bahkan  suami yang tidak mampu, selamanya dibiayai dan disara oleh isteri juga menggatal hendak berpoligami. Jarang berlaku kes poligami  bagi isteri  yang redha  dari awal. Heart  setting  harap redha Allah (redha suami itu milik Allah dan redha apa yang Allah takdirkan untuknya) dan 'Mind set'  yang positif amat penting.  Sebaliknya jika heart setting  mula menyimpang (niat kahwin hendak memunya dan memiliki suami), cara berfikir jadi negatif dan tindak tanduknya seolah-olah mengganti kerja Allah  sentiasa mengawal dan memantau  pergerakan  suami. Kadang kala berani  mengancam dan menakut-nakutkan  suami.  Sikap seperti  ini pasti tidak disenangi. Semakin cepatlah sisuami hendak kahwin lain.

Ibu perhatikan dan kenalpasti  banyak berita  poligami  dalam media sosial. bagi siisteri  yang tidak melarang bahkan menggalakkan  sisuami  kahwin lagi, tidak menjadi pula. Mungkin sisuami  rasa tidak mampu atau belum masanya. Bila berlaku di hujung usia (selepas 50an) tidaklah isteri pertama meroyan sebaliknya  boleh 'move on' dengan pilihan  takdir  yang lebih baik.

Awal bulan September baru-baru  ini  ada seorang majikan minta ibu  ke pejabatnya untuk adakan sesi kaunseling  seorang kaunselor di sekolahnya. Kaunselor itu tersenyum menyambut  ibu. Ibu sudah lama kenal kaunselor itu, sejak dia  mulai  bertugas  di UUM tahun 2016 jika tidak silap. Kami sekadar  bersembang santai dan baharu terhidu  berita  ada suami orang  hendak meminangnya dengan  redha isteri pertama. Ibu hanya usulkan persoalan-persoalan berikut;

i .  Mampukah nak sayang  madu@ kakak (isteri  pertama) dengan segala kelemahan dan kekurangannya?" 

ii. Mampukah menenteramkan diri daripada  berendam air  mata apabila  melalui  alam rumah tangga  berkongsi suami?

iii. Mampukah hendak terus bersyukur dan bersabar selepas  melalui asam garam dan peritnya hidup berpoligami? 

Dari sesi sembang santai itu ibu akhiri dengan solusi  menyerahkan segala urusan kepada Allah  merujuk surah Ghafir ayat  44. Di samping itu  ibu perkenalkan FB  kawan ibu  yang berjaya menjadi isteri kedua  yang baik dan menjadi sahabat karib isteri pertama. Sahabat karib satu kampung ibu suatu ketika dahulu pernah  bercita-cita  hendak menjadi  isteri kedua. Katanya nanti  ada banyak 'me time' dan tidak  penat  urus makan pakai suami tiap-tiap hari.  Apa yang diimpikan itu menjadi kenyataan. Sampai sudah bercucupun  rumah tangganya bahagia  tanpa menganggu ketenteraman rumah tangga  induk suaminya. 



Pesanan akhir ibu, jika  ada niat hendak memunya atau  merampas suami dari keluarga induknya, lebih baik batalkan niat itu.Kalian tidak akan bahagia, sentiasa dihantui  rasa bersalah seumur hidup. Sentiasa takut dengan bayang-bayang sendiri. Hidup derita dengan topeng palsu yang tebal...Bukalah  topeng  itu perlahan-lahan. merdekakan diri  dengan niat yang ikhlas harapkan redha Allah. Bertaubat, minta  maaf,  memaafkan bahkan boleh  melupakan... 

Alhamdulillah  takdir  Allah  sentiasa  indah, anak tumggal ibu memiliki keluarga  besar kini  dari Perlis menyeberang hingga  ke Kota Kinabalu Sabah. Adik beradik kandung lain ibu ada 3 (dua perempuan dan satu lelaki) Adik beradik tiri  dua  perempuan di Sabah. Di Perlis Allah kurniakan 4 adik beradik tiri ( dua  kakak dan dua abang). 

Alhamdulillah ujian di Perlis, macam-macam  'signal' yang ibu dapat seolah-olah ibu di pihak bersalah kerana  hanya mendiamkan diri tanpa sebarang usaha yang semaksimanya. Memang rezeki  ibu tiri, di mana-manapun biasa memang macam tu. Ibu bersyukur anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu tiri semuanya soleh dan solehah belaka, bakal penghuni syurga semuanya, tidak pernah menyusahkan ibu@tokibu dan ayah@wannya. Ibu redha dan  ibu ikut sahaja  tarbiyah suami yang lebih mengenali familynya sendiri. Untuk mengelak sebarang salah faham solusinya  diam. Pandai-pandailah  semua 'adjust'kan diri faham  apa visi dan misi  hidupnya. Umur menjelang 76 tahun, memang sudah masanya mencari ketenangan dengan keupayaannya sendiri dengan izin Allah.

Menurut  suami, diam bukan bermakna takut sebaliknya dia perlukan ketenangan, lebih-lebih lagi dalam keadaan kesihatan begini. Diam-diam ubi  sebenarnya berisi. Dalam diam terus bersyukur dan bersabar serta   tidak putus berdoa yang  baik-baik. Pernah satu malam  beliau bermimpi dan menjerit "Nak berniaga??..Ha berniagalah dengan Allah subhanahu wa taala" Bagi ibu yang kini menjadi orang terdekat dengannya, setiap katanya ada hikmah walaupun  di dalam mimpi.

Suami bersabar tanpa mengharapkan sebarang natijah kerana menurutnya natijah hanya milik Allah. Semoga kesabaran suami ini Allah kurniakan  ganjaran terbaik di sisi-NYA. Ibu yakin beliau sentiasa  dirindui  oleh para bidadari di syurga tertinggi. Berbanggalah Allah pilih suamimu kelak dikahwinkan dengan bidadari di syurga. Aamiin  Ya  Rabbal alamin.


Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil