Menuju Ar Rafiiqul A'la

Dengan  Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah segala puji-pujian dirafakkan  hanya kepada  Allah SWT kerana  dengan izin-Nya jua kita semua masih lagi  diberi kesempatan dan peluang untuk terus bernafas di bumi yang fana ini. Semoga sisa-sisa  umur yang Allah izinkan inidapat kita sama-sama manfaatkan untuk meningkatkan  kualiti akidah dan ibadah kita  hanya  untuk Allah SWT  dan menjalin ukhuwwahfillah  membangunkan ummah  yang sentiasa  mentauhidkan Allah.

Marilah sama-sama kita fikir dan rancang bagaimana hendak mengambil ‘sibghah Allah’ (acuan Allah)  demi mewujudkan ummah Rabbani melalui kaedah  Akidah merentas  kurikulum dalam semua peringkat pendidikan bermula dari sejak lahir, masuk ke Taska, tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, Institusi pendidikan Tinggi dan alam berumah tangga  serta  kehidupan bermasyarakat menurut acuan Islam  yang Allah kehendaki. Usaha  ini mesti dibuat secara kolektif melibatkan semua institusi. Menjelang umur senja hendak masuk 60 tahun ini, ibu hanya  mampu mencetus dan melontarkan idea hasil didikan  yang ibu  dapat  dan hayati secara  berjemaah dalam organisasi  HALUAN sejak tahun 1980an dalam dakapan Tarbiyah hingga kini dan selamanya. Insha Allah.

Selawat dan salam khusus untuk Rasul junjungan yang telah banyak  berkorban segala-galanya dan dan menangis  kerana  mengenangkan keselamatan umatnya, khususnya di akhir zaman  (termasuklah  kita semua dan anak cucu hingga hari kiamat.)

 

Ibu mohon Allah beri kesempatan menaip artikel ini sempena mengenang kematian seorang  pensyarah IPTIP yang baru berumur 45 tahun (sebaya dengan anak sulung kami). Kematiannya  mengejut dan tidak dijangka sama sekali dan amat menginsafkan ibu. Mudahnya  air mata ini mengalir tanpa  dipaksa. Ajal menjemput tidak mengenal usia dan kesihatan seseorang. Walaupun ibu tidak rapat dengannya, namun Ibu faham  almarhumah amat peka dengan masa hadapan anak-anaknya kerana beliau pernah berkongsi harapan dalam proses mendidik anak-anaknya. Beliau lebih thiqah jika anak sulungnya (belajar di Politeknik Pasir Gudang) dipantau  oleh anggota Haluan Johor. Naluri  4 tahun bersama seusrah dengan 3 adik-adik perempuannya mengikat diri kami seolah-olah seperti satu keluarga. 



Adik almarhumah  yang bungsu ibu kenal semasa  beliau mula  mengajar di Batu Pahat,  Johor sekitar tahun 2009-2010. Semasa beliau di Johor ibu sudah anggap seperti adik sendiri. Apabila masing-masing ada rumah tangga, hubungan kami masih survive  di dalam usrah. Di sini membuktikan pentingnya  halaqah dan usrah untuk menyuburkan iman dan menjalin  ukhuwwahfillah.

 

Ketika ibu sampai mengunjung keluarga dan melihat jenazah laju air mata ibu mengalir, turut merasai kehilangan anak sulung ahli keluarga  tersebut. Ibu almarhumah mendakap ibu dengan kuat  lalu menangis meluahkan rasa  sebak dan tidak sangka dengan apa yang Allah takdirkan. “Insha Allah kak, redha ayah bondanya, redha suami dan anak-anaknya menjadi jaminan syurga  buatnya dan kita akan bertemu lagi nanti. Dunia  ini hanya sekejap kak…”

 

Ibu sempat  bersembang santai  dengan suami tentang kematian. Setiap malam suami akan minta maaf dahulu kepada ibu. Beliau mohon redha, dihalalkan segalanya dan minta didoakan serta ingatkan “kita tiak tahu siapa  yang akan pergi dahulu…”

Pada ibu inilah  ‘sweet love’  yang perlu  ada di kalangan suami isteri, di samping  saling mengajak  bertahajjud bersama atau bergilir-giir  agar  tiada siapa yang terlambat atau terlepas  waktu Subuh. Tidak lupa juga suami ibu mendoakan agar  semua cita-cita  ibu akan kesampaian, khususnya  untuk  menurunkan  berat badan mencapai  ‘ideal weight’ bak  bidadari  di Syurga. Pastinya  si isteri akan cemburu  kalau  bidadari  di syurga lebih  cantik dari dirinya  bukan?


Ibu rasa  bahagia  apabila satu isi rumah memiliki kesedaranyang sama untuk menjaga kesihatan. Cucu-cucu  yang over weight  sedang berusaha menurunkan  berat badan. Ibu berpakat dengan suami akan berikan hadiah RM100 bagi mereka  yang berjaya  menurunkan 15kg. Masing-masing berkorban tidak mahu makan nasi. Masha Allah, Tabarakallah. Usahakan semaksimanya kerana Allah, pasti Allah akan sampaikan  hajat  suci murni ini demi menjaga kesihatan  untuk focus beribadah dengan sebaik-baiknya. Jika  tidak. Kita sendiri yang akan letih asyik memikirkan bilalah agaknya  tayar keliling pinggang  ni hendak pancit, ke hulu ke hilir  membawa lebihan 10-15kg  lemak yang tak sepatutnya  diternak. Mungkin kerana kejahilan  yang dibiarkan semasa  muda dahulu, makan ikut  nafsu menyebabkan  rasa berdosa. Semoga Allah ampuni dan permudahkan jalan menuju redha-NYA.

وَٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ ۚ إِنَّ رَبِّى رَحِيمٌ وَدُودٌ

“Dan mohonlah ampun kepada Tuhanmu kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang lagi Maha Pengasih.

Tafsirweb : Mohonlah ampun kepada Tuhan kalian. Kemudian bertaubatlah kepada-Nya dari dosa-dosa kalian. Sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang kepada orang-orang yang bertaubat, lagi Maha Mencintai mereka.

Dalam tafsir  Al Munir Prof Dr Wahbah Az zuhaili menyatakan  bahawa surah Hud ayat 90 “dan mohonlah ampun kepada Rabbmu” dari dosa dosa yang kamu lakukan “kemudian bertaubatlah kepada-Nya” dalam sisa umurmu dengan taubat nasuha, kembali kepada-Nya dengan mentaati-Nya dan tidak menyelisihi-Nya ”Sesungguhnya Rabbku Maha Penyayang lagi maha Pengasih” bagi yang bertaubat dan kembali kepada-Nya, Dia merahmatinya, mengampuninya, mencintainya, dan menerima taubatnya.

Al wadud adalah nama Allah. Makna wadud adalah bahawa Allah mencintai hamba hamba yang beriman, dan merekapun mencintai-Nya. Itu berwaza "fa'uul" bermakna "faa'il" dan "maf'ul"

Referensi: https://tafsirweb.com/3582-quran-surat-hud-ayat-90.html

 

Wallahu alam bi shawab…

Sekian Wassalam

Tunjung, Beseri Perlis.

09092020                                               

21Muharam1442Hijrah

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil