Kisah di sebalik 17 malam 18 Ramadhan 1406 Hijrah

 Alhamdulillah, segala  puji-pujian bagi Allah yang masih meminjamkan nyawa  untuk kita teruskan kehidupan sebagai hamba dan  khalifah-Nya di bumi yang fana' ini. Semoga  Allah setiasa  memberikan hidayah dan taufiq-Nya kepada  kita  demi  meraih keredhaan-Nya. Syukur Alhamdulillah, diam-diam kini sudah hari ke-17 kita  menunaikan kewajipan berpuasa. Agak lama juga  ibu bercuti dari blog ini kerana cuba fokus mengikuti perkembangan taddabur Al-Qur'an dan sekali sekala ikuti halaqah tafsir membincangkan ayat-ayat   yang menyentuh qalbu merujuk pelbagai buku tafsir  untuk kami kongsi bersama  agar  Ramadhan kali ini akan terasa lebih bermakna untuk akhirat kita. Insha  Allah.

Apabila mengenang kembali seerah 17 Ramadhan, disebut sebagai Nuzul Qur'an. Ada ulama' yang yakin malam inilah 'lailatul Qadr kerana  ketika  inilah Al-Qur'an  diturunkan semua sekali di Baitul Izzah (langit pertama) dan diturunkan sedikit demi sedikit oleh malaikat  Jibril kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalam. Meraikan Nuzul Qur'an, bukan sekadar syiar mengenang kembali 'manual umat Nabi Muhammad  sallallahu alaihi wassalam.

Lebih menarik lagi 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah  adalah hari kemenangan Muslimin yang sedikit (313 orang) dapat mengalahkan Musyrikin Quraisy yang ramai bilangannya (1000 orang) lebih tiga kali ganda. Firman Allah SWT dalam surah Al=Anfal ayat 9-13  yang bermaksud:

"Ingatlah  ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Dia  perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya) "Sesungguhnya Aku akan membantu  kamu dengan seribu (bala tentera) daripada Malaikat  yang datang  berturut-turut" Sila baca di sini; https://celiktafsir.net/2016/07/04/anfal-ayat-9-12/


Seerah ini disebut oleh suami ketika  kami bersantai dalam kereta menuju ke Kangar. Kemudian  merujuk seerah  itu suami menamakan  anak bungsunya   Muhammad  Badari  Ramadhan. Dilahirkan pada  18 Ramadhan 1404 Hijrah. Rupa-rupanya  tarikh lahir takwim Hijrah sama dengan anak ibu Musthofa  Mubarak yang lahir pada  jam 2.00 pagi pada  28 Mei 1986. Jatuh pada  hari 17 malam 18 Ramadhan. Apa hikmahnya  persamaan ini?  Hanya  Allah  yang Maha Mengetahuinya. Semoga  Allah takdirkan  yang terbaik untuk semua  anak-anak  kami menuju  keredhaan-Nya. Semoga Allah permudahkan kami masuk syurga  bersama sekeluarga. Bagaimana  meraih  kemenangan dengan pertolongan Allah, melalui Perang Badar   banyak mengajar dan mendidik  kita. Menang kerana mereka semua berTaqwa. Perang Badar juga diberi nama Furqaan (pembeza) kerana hari itu  membezakan antara hak (kebenaran) dan kebatilan.

Mengimbas kembali  peristiwa  menjelang  17 Ramadhan 1406 Hijrah, Allah susun Maha Cantik, ibu  berada dalam cuti semester kedua pengajian Demografi di Universiti  Malaya. Ibu  bercadang  bersalin di Tangkak, Alhamdulillah  masih  boleh memandu ke klinik seorang  diri  membuat pemeriksaan terakhir di Tangkak Johor kerana ketika itu suami  out station. Ibu dinasihatkan bersalin  di hospital  Muar kerana  Hospital  Tangkak masih belum lengkap peralatan  wad bersalin. Memandangkan anak pertama, ibu pasrah, akur sahaja  dengan cadangan itu. 

Menjelang Maghrib  sudah terasa  'resa' tanda  hendak bersalin. Ibu maklumkan kepada  emak. Emak keluarkan air rendaman akar fatimah' agar ibu manfaatkan memudahkan proses  bersalin. Ketika  hendak menuju  ke Muar, emak ibu pitam mungkin terasa 'sakit' apa seperti  yang ibu rasakan. Di rumah  mertua  ibu selesaikan solat  Isya; dahulu dan menjelang jam 12 tengah malam jeda  'resa'  sakit semakin  pendek dan ada keluar tanda darah. Ibu kena 'induce' di 'labour room' dan menahan  rasa sakit  sampai keluar  air mata. Hanya  air mata  yang mengalir namun lidah tak berbunyi 'bising' sebaliknya  banyak istighfar, selawat  dan bersyahadah. Jika ditakdirkan mati, mudah-mudahan syahid.  Belum dapat syahid lagi, pasti ada hikmahnya Allah terus pinjamkan nyawa  hingga  hari ini hingga  suatu masa  hanya Dia yang Maha  tahu   di mana dan  bila ajal akan menjemput.

Alhamdulillah selamat bersalin  anak tunggal lelaki dan ibu berpantang  di Tangkak bersama  emak menanti panggilan  tahun kedua  menyambung pengajian di UM. Genap  44 hari  ibu lapor diri di UM. Abah  hadiahkan  kereta Mazda  1000 berplet  'JM 1612' Ada  Sentimental value  kereta ini memudahkan ibu berulang alik ke kampus dari rumah  kakak di Bukit Persekutuan. Abah pernah berpesan "dah kahwin, dah ada anak  jangan putus  belajar... terus belajar" 

Ya Abah, sampai kini dan selamanya  anak abah ini akan terus  belajar  hingga hujung nyawa. Sisa-sisa umur yang ada ini akan diabdikan untuk  Al Qur'an  akan ibu sibukkan diri dengan Al-Qur'an. Insha Allah., semoga  ganjaran pahalanya  juga Allah sampaikan  untuk abah dan mak di alam barzakh sana..

Kakak ibu Norini (pegawai PTD suami isteri)  hadiahkan seorang  pembantu rumah bernama Aishah  dari Patani Thailand)  tolong ibu jaga  ''baby' jika ada kelas di kampus. Masa  ibu graduate bulan Ogos tahun 1988 anak ibu berumur  2 tahun. Ada gambar tersimpan  di galeri rumah  Melaka sekarang. Semoga anak cucu  ibu semua  akan menghargai perjuangan  menuntut  ilmu, akhirnya  akan kembali kepada  Al-Qur'an  dan sunnah  sebagai  rujukan utama  umat Islam  jika  ingin kembalikan kegemilangan Islam. Ya  Allah permudahkan aku membuat  persiapan membumikan kaunseling  Rabbani sepanjang  Ramadhan  yang mulia ini hanya berbaki 13 hari...

Minggu lepas  ibu menangis sedih melihat keadaan kakak  yang  banyak  jasanya ini dalam wad kerana  merawat  rahang beralih. Gigi bawah semua dicabut  dan mulutnya diserang ulser. Minum melalui  hidung. Allah kasihannya. Semoga Allah permudahkan segala  urusan  rawatan. Hari ini ibu rasa lega, anak perempuan solehahnya sendiri sanggup berjauh dari suami dan anak-anak untuk  menjaga dan merawat uminya.Jika tiada   sekatan  rentas negeri, memang  ibu dah sampai Shah Alam. Dua hari lepas kakak ibu minta ibu dengarkan  bahan tarbiyah. Ibu ulang lagi  agar  berharap hanya kepada  Allah, pasti kita  tidak kecewa. jangan berharap kepada  manusia, sebab mereka sama seperti  kita memang banyak kelemahan sana sini yang pasti jika tidak banyak, ada sedikit  yang  akan mengecewakan. 

Demi  mengharapkan   menerima  tetamu  agung  VVIP, ingin ibu kongsikan apa yang ibu share  sepanjang halaqah bulan Ramadhan merujuk buku Tafsir Al Munir Dr Wahbah Az Zuhaili dalam menafsirkan surah Al Qadr . Menurutnya 'amal soleh yang dikerjkan di malam kemuliaan itu (lailatul qadr)  lebih baik dari seribu bulan (yang di dalamnya tidak ada lailatul qadr)

Para malaikat  turun ke bumi mendekat kepada kaum mukminin. Malaikat Jibril di malam itu dengan izin Tuhannya  membawa segala perkara yang ditetapkan oleh Allah di malam itu untuk tahun tersebut dan tahun depannya. Malam Qadr itu tidak lain melainkan sebuah  KESELAMATAN. Jika malam selain Lailatul Qadr, Allah menakdirkan keselamatan dan musibah di dalamnya 

Di antara manfaat turunnya  para malaikat adalah mereka  melihat di bumi berbagai macam ibadah yang belum pernah merekalihat dilakukan oleh penduduk langit. Mereka juga mendengar  suara penyesalan para ahli maksiat yang lebih dicintai Allah daripada suara tasbih. Mereka (para malaikat) berkata; "Marilah kita mendengar suara yang lebih dicintai  oleh Tuhan kita daripada tasbeh kita" Seakan-akan ibadah di bumi pada malam ini mempunyai kekhususan tersendiri

As Syahid Syed  Qutb dalam  Fi Zilal Al Qur'an menyebutnya  sebagai 'festival ibadah'

Amalan paling dicintai  Allah adalah bertaubat  dan mohon kemaafan seperti yang diajar oleh  Rasulullah kepada aishah r.ahuma




 Allahumma Innaka ‘Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Annii 

Maksudnya:

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Zat Yang Maha Pemaaf dan Pemurah maka maafkanlah diriku”

Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, beliau bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam:

Wahai Rasulullah, jika aku menjumpai satu malam merupakan lailatul qadar, apa yang harus aku ucapkan di malam itu?

Baginda menjawab, Ucapkanlah: Allahumma Innaka ‘Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Annii…


Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil