Jaminan Ketenangan Mengurus Taska

Bulan Rejab sudah berlalu, kini tampil bulan Syaaban, hari Rabu, Kamis dan Jumaat sudah masuk  hari putih (13-15 hb) dan Nifsu Syaaban, di mana Rasulullah saw mengajar umatnya perbanyakkan solat dalam Tahajjud, puasa, doa, baca Qur'an, sedekah dan pelbagai amal soleh lebih banyak dari biasa..BUKAN mengamalkan bid'ah amalan masyarakat sebelum ini.

Menunggu setengah bulan sahaja lagi untuk kita sama-sama merai tetamu agung iaitu Ramadhan.. Nantikanlah bulan penuh barakah ini dengan rindu dan cinta  yang mendalam hanya kerana -NYA  jua..
Semoga  Ramadhan kali ini  menceriakan lagi hasrat menghidupkan proses  memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia. Alhamdulillah Allah beri rasa  seronok sama-sama membantu pendidik Taska  menceriakan luar dan  dalam Taska. Semoga  barakah ..amin. 

Persiapan jiwa  dan minda amat perlu  agar kita  sama-sama memanfaatkan bulan yang mulia ini semaksima mungkin untuk meraih redha-NYA.  Memang banyak pengorbanan perlu dibuat, banyak cabaran perlu diharungi untuk menikmati anugerah Allah yang lebih baik dari seribu bulan..Yang penting, niat suci di atas teras akidah yang jelas sudah ditanam sejak bulan Rejab lagi untuk hijrahkan jiwa ke destinasi kampung  akhirat. Layakkah kita mendapat surat Cinta dari Allah di fasa akhir Ramadhan dalam keadaan diri  masih bergelumang  dengan kecintaan  terhadap  dunia?. 

Teringat ulasan moderator forum, Ustaz Nor Hisham tertarik dengan  istilah Tasauf yang dipermudahkan oleh Profesor Muhaya secara saintifik semasa forum 'Memperkasa pendidikan awal kanak-kanak Islam Malaysia' di Pusat Islam 25 Mei lalu. Katanya "bila kita ada, kita beri, kita dapat hasilnya..Baik yang kita ada, baik kita beri dan baik juga hasil yang kita dapat. Jika hasil tak baik, kita beri tak baik sebab kita  ada yang tak baik. Apa yang tak baik tu? Hasil tak baik itu  sebab tidak ada akidah!". 
Hasil yang  baik sebab ada nilai akidah yang sejahtera. Sama-samalah kita muhasabah diri semoga Allah aturkan dan Allah kurniakan kita kefahaman yang jelas untuk perbaiki diri terus menerus..

Ada persoalan dari peserta "kenapa kanak-kanak yang masuk Taska dan Tadika Islam, bila masuk SK dan SMK, hanyut dengan budaya semasa?"  Jawapan dari Prof  Muhaya; "mereka hanya diajar beramal tetapi tak faham apa yang diamalkan.."
Awal  agama itu adalah makrifatullah iaitu mengenal Allah.. Kanak-kanak tidak dilatih dan tidak dididik mengenal Allah . Semua yang bermula dari akidah yang sejahtera, memang baik belaka..jadi belum terlambat untuk  kita  mohon kepada  Allah, tukar hati hati kita, tukar niat dari mengharapkan ganjaran dunia kepada  mohon Allah kuatkan azam kita  harapkan Redha-NYA semata-mata..
Berbekalkan apa saja pengalaman yang kita  ada, amat  wajar fokus kepada satu bidang yang memberi keuntungan maksima sebagai ladang  amal  untuk kita raih hasilnya  di akhirat nanti.  

Kalau dahulu kebanyakan guru, termasuk saya kononnya glamour mengajar sekolah menengah tetapi masih kecundang  membawa mereka (pelajar-pelajar)  merasai  nikmat  Iman dan Islam. Lebih daripada 80 % pelajar  dari kelas terbaikpun  (di sekolah harian) masih tidak mampu menyempurnakan solat 5 waktu sehari semalam  walaupun ramai yang lulus  darjah khas sekolah agama Johor. Apalah yang nak diharap kepada  pelajar kelas hujung yang tidak berminat langsung nak belajar. Letihnya amat terasa bagai melentur buluh bentung dan  bagai mencurah air di daun keladi. 

Beginilah betapa kuatnya cabaran  yang perlu diharungi oleh para pendidik di sekolah harian biasa.. Namun tidak dinafikan  ada juga sekitar 10-20% yang sedar untuk kembali kepada Islam yang tulen..semoga  mereka  akan mewarisi  tugas para anbia kelak..Amin..

Mutakhir ini berita murtad amat mencemaskan  lebih-lebih lagi dakyah Kristian semakin subur. Banyak gambar pemuda pemudi Melayu  ditayang di  internet , whats app dan telegram menunjukkan mereka berbangga menganut  agama Kristian. Rupa-rupanya mereka yang ditawan oleh agen syaitan itu adalah mereka  yang ada masalah 'mental' dan jiwa yang tidak sejahtera. Syaitan menampakkan indah segala 'kebodohan' mereka tanpa rasa berdosa!! Dalam keadaan sedemikian, selamatkah anak cucu kita kelak di akhir zaman ini... Apa yang boleh kita lakukan SEKARANG untuk menyelamatkan ummah masa depan? Murabbi berpesan jangan putus doa  untuk anak-anak di samping pilihkan pendidikan dan sekolah Islam terbaik untuk mereka.Ibu bapa  juga perlu berubah ke arah yang lebih baik dan sediakan suasana dan persekitaran  Islam di rumah.

Alhamdulillah, Allah izin cabaran demi cabaran serta ujian demi ujian mengajak diri merasai nikmatnya jika  kita hidup ikut resmi padi, makin berisi  semakin tunduk dan semakin tenang ikut dan patuh tanpa banyak soal  dengan  apa sahaja  yang Allah aturkan terbaik untuk  kita. Bertaubatlah  dan lalukan sahaja  pengalaman yang pedih  betapa ruginya  ikut resmi lalang, makin tinggi makin mendongak angkuh dengan ego..buang masa, membazir  tenaga dan idea kerana  menyuburkan penyakit hati hingga  merosakkan amal. Nauzubillah

Jika inginkan ketenangan, redha  saja ikut  apa yang Allah aturkan. Terjawab sudah  persoalan yang dikemukakan oleh seorang 'cleaner' Smartop yang  bertanya; "cikgu betul ke kalau kita banyak berzikir hidup kita akan senang".
Senang sebenarnya bukan kerana kita dapat apa yang kita mahu, tapi kita dapat apa yang  Allah nak hadiahkan kepada kita. Allah hadiahkan sesuatu  yang amat sesuai untuk kita. Hanya DIA yang Maha mengetahui apa yang paling sesuai untuk kita sedangkan kita sendiri tak tahu apa yang paling baik untuk kita. Senangnya hidup kita  apabila  Allah  hadiahkan ketenangan  jiwa, itulah syurga dunia. Teruskan zikir, usaha dan doa..Insha Allah hidup kita pasti senang  dan menang di sisi-NYA. Tak perlu kita banyak 'demand' macam dulu atau ikut 'demand' orang lain tanpa sedar sebenarnya boleh merosakkan akidah..Fokus pada zikir dan buat sahaja aktiviti  yang menyenangkan hati dan fikiran. 

Mutakhir ini Allah  izin tergerak hati  nak lepaskan semua yang mengongkong kehidupan  hingga terganggu ubudiyyah kita..Rasa lega  jika dapat  fokus kepada satu sahaja medan. Pilih samada nak fokus di  Tadika atau di  Taska? 

Allah Maha Mengetahui sesungguhnya ibu amat letih  hendak melayan kerenah dan  memang ibu tidak ada bakat hendak menjaga  hati macam-macam ragam manusia. Sebulat hati ibu mohon kebenaran dari ALP untuk fokus kepada Taska dan  memurnikan lagi modul Taska dan training pendidik Taska. 

Semoga Tadika semakin mendapat sambutan diurus oleh ALP sendiri dengan kerjasama guru-guru berpengalaman yang ada ijazah dan diploma..Pentingnya daya fokus, lebih-lebih lagi  ada permintaan salah satu persatuan Taska di Johor  yang mengharapkan ibu membantu mereka menyeragamkan  modul yang masih  berterabur, tidak kemas dan di luar kemampuan pendidik Taska untuk memurnikannya. Lebih-lebih lagi pengasuh Taska sering bertukar ganti kerana menjadikan kerja di Taska sebagai pilihan terakhir.Dapat  tawaran lain terus cabut..

Tercetus  idea kami untuk kumpulkan senarai nama pelajar tercicir dalam SPM dari sekolah Menengah sekitar untuk ditawarkan ikuti training menjadi pendidik Taska. Alhamdulillah, kaunselor dari beberapa SMK terdekat mudah beri kerjasama dan  telah e mel senarai nama pelajar tersebut..Sama-samalah tolong  doakan  semoga Allah redhai dan permudahkan dapat  mendidik mereka menjadi murbbiyah Taska  yang berwibawa..amin..

Alhamdulillah kini  ibu lebih tenang fokus mendidik jiwa-jiwa  yang ikhlas, ada kerendahan hati , berminat dan bersedia menjaga hati  bayi dan kanak-kanak yang bersih jiwa dan fikirannya. Ibu yakin inilah pilihan yang tepat Allah aturkan terbaik untuk ibu sumbangkan kepada  ummah sebelum kembali menghadap-Nya kelak.

Terbaca artikel berharga Dr Dr. Mastura Badzis, Pengarah, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) dari UPSI. Kenapa Jepun maju walaupun pernah menderita dibom di Hiroshima dan Nagasaki?  Menurut beliau;  "Satu kajian yang dilakukan oleh seorang penyelidik Barat   mendapati bahawa pembinaan pemikiran masyarakat Jepun bukanlah disebabkan oleh laungan suara kebangkitan atau paluan gendang lagu membakar semangat, tidak juga tumpuan kepada pencapaian akademik mengorientasi pemikiran rakyat. Akan tetapi ianya berpunca dari keprihatinan dan kepekaan pemimpin dan rakyat negara itu terhadap pembentukan generasi awal. Masyarakat Jepun telah menyediakan generasi mereka dengan daya ketahanan menghadapi cabaran dari aspek fizikal dan mental, dan mereka juga bertungkus lumus menumpukan perhatian membina daya keintelektualan dan menggarap potensi semulajadi setiap individu kanak-kanak sejak dari peringkat awal perkembangan"
Benarlah pandangan Imam  Hasan Al Basri menyatakan "Mendidik anak di awal  usia bagai mengukir  di atas  batu, ia akan kekal. Manakala  mendidik anak ketika dewasa  seperti mengukir  di atas air, akan hilang.."  Semoga  Allah  mengampuni segala kesilapan  pendidik  dan  ibu bapa yang lalu..

Sebenarnya  peluang  membina tamaddun berakhlak dan bersahsiah terpuji generasi  akan datang amat subur di peringkat Taska. Sebab itu ketika ucapan aluan Presiden semasa penubuhan Kongres Memperkasakan Pendidikan Awal kanak-Kanak Islam Malaysia, bekas CEO Hicom kata seronok dan memang  ada kepuasan  yang luar biasa apabila  kita menguruskan pendidikan awal kanak-kanak.

Tidak ramai para sarjana dan mereka yang berkelulusan Phd  terpanggil  untuk memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak Islam di Taska kerana  menyangka itu adalah tugas 'bibik', pembantu rumah atau  guru-guru  yang  tidak terlatihpun boleh mendidik kanak-kanak seawal usia itu. Apabila sudah  berada  di medan Taska, baru ibu  terasa nikmatnya memanfaatkan  sedikit  ilmu yang ada, kemahiran dan pengalaman dapat dikongsikan di sini..Ya  Allah  amat kasihan, pengasuh-pengasuh  dan pelatih-pelatih ini perlu dilatih dan dibekalkan ilmu  yang boleh menghidupkan  hati , sahsiah, sosio emosi dan akal kanak-kanak di awal usia. Dari sinilah bermulanya ketahanan jiwa dan mental kanak-kanak perlu diransang agar mereka kelak kuat, tabah dan sabar menghadapi cabaran yang mendatang apabila dewasa  nanti.
Rintis Projek Sediakan Bakal  Pemimpin  Ummah  Masa Depan
Apabila ditanya  tentang  'lesson plan' kepada pendidik muda di Taska, kita tidak boleh hampa. Kalau ibu sendiri memang tak sempat nak buat. Seminggu dua bersama mereka, berat mata memandang, berat  lagi bahu yang memikulnya. "kami kerja dari pagi sampai petang..tak macam guru mengajar saja..sini kerja rutin, mandikan anak, pakaikan baju, tidurkan anak, buat susu anak, bagi makan anak, semua kami buat..Lebih-lebih lagi bila kekurangan kaki tangan, sementara  menunggu staff baru masuk kerja, lagilah sibuk". 

Ibu amat memahami, mereka ada keikhlasan namun  rutin  urus anak  lebih menuntut masa dan tenaga  mereka. Ibu terfikir memang perlu diseragamkan bagaimana rutin harian dijadikan lesson plan..sambil mengurus, bermain dan mendidik..
Insha Allah, berbekalkan doa dan sokongan moral semua pihak, ibu akan cuba dan cuba lagi  hingga  merasai  sesungguhnya ada jaminan ketenangan dan kepuasan apabila  kita  berada di taman-taman syurga  dipenuhi oleh ahli-ahli syurga.. Taska ini ibarat taman-taman syurga. Anak-anak  juga adalah ahli syurga  yang perlu kita layani  seperti ahli syurga. Syurga  dunia  adalah ketenangan hati..Insha Allah..

Semua saranan ini perlukan gabungan idea  dari pengurus Taska  yang lebih berpengalaman. Ibu minta  izin dari ALP untuk berkampung  di perpustakaan Shah Alam bersama mereka  yang sehaluan dan sematlamat untuk tampilkan modul yang santai dan mudah diguna pakai oleh semua pengasuh. Semoga  gabungan idea ini memudahkan pendidik termasuk  ibu bapa  di rumah mampu  mentarbiyyah  kanak-kanak di awal usia..

Baru-baru ini rakan Permata  ada maklumkan UNITAR sedang berusaha  mewujudkan Taska dalam Ladang  di  Mersing. Ibu juga pernah kemukakan hal ini kepada  kak Ngah yang juga  pengerusi Peladangnita Ledang..semoga  ada  manfaatnya nanti sebagai ladang amal kita bersama.

Semua  Taska  perlu ada  visi  dan misi  yang hendak dicapai..bukan sekadar  melaksanakan tugas rutin tetapi perlu sama-sama  fikirkan bagaimana  nak lahirkan hamba Allah dan khalifah Allah yang sudah  ada persiapan  di awal usia  untuk benar-benar bertaqwa  apabila dewasa kelak..

Ya Allah bantulah kami menyeru lebih ramai pendidik berkecimpung dan melibatkan diri  dalam medan Taska, agar lebih ramai kanak-kanak di awal usia ini dapat diselamatkan akidahnya apabila mereka  dewasa kelak...Amin  ya Rabbal alamin..Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna  dalam proses  merancang  yang terbaik di sisi-NYa  demi ummah masa hadapan...

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil