IMAN & UKHUWWAH PERLU SEIRING SEJALAN
Menanti seseorang yang boleh dijadikan teman bermain dan bersilaturahim |
BersilaturRahim bersama dua pupunya |
Dalam program Kader yang diikuti oleh ummi abinya, si kecil cerdik Mishary yang baru berusia setahun setengah me'recruit' diri memanfaatkan peluang sepenuhnya mencari kawan untuk bermain. Ini merupakan fitrah suci anak-anak yang memang bersih dan tidak boleh disekat, iaitu fitrah suka berkawan dan bersilaturahim. Budaya bersilaturahim amat wajar disuburkan sejak kecil.
Keluarga besar kami sudah dibiasakan bersilaturahim sejak kecil. Saling menziarahi sanak saudara. Susah senang kami dididik oleh arwah abah dan arwah mak harungi bersama, yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing. Banyak kes bila ada saja keluarga bermasalah, salah seorang dari kami akan terasa dan ada yang bermimpi menyampaikan pesanan orang tua kami, tolong adik, tolong abang/ kakak, tolong anak-anak saudara walaupun mereka sudah memiliki keluarga masing-masing. Kadang kala walau bagaimana rapi sekalipun ibu sendiri menyimpan rahsia masalah diri dan keluarga, pasti ada salah seorang dari kami Allah izinkan dapat rasakan , tiba-tiba call bertanya khabar , beri nasihat dan sarankan jalan keluar terbaik dan sekurang-kurangnya bantu doakan dan berikan 'moral support' yang berterusan.
Dalam program Kader, Allah izin ibu sempat temani anak menantu dalam sebahagian program..masih terngiang-ngiang pesanan murabbi kami mengetengahkan kata-kata Saidina Umar r.a; “Kami adalah kaum yang didatangkan iman, sebelum al-Quran”
Benar, berbekalkan Iman baru terasa nikmatnya membaca al-Qur'an.
Perbezaan fikrah menjadi rencah yang cukup enak untuk kami lebih akrab lagi saling melengkapi antara satu sama lain dalam setiap pertemuan.Teras IMAN dan Ukhuwwah perlu seiring dan sejalan. Tidak ada Ukhuwwah tanpa Iman dan tidak akan terasa manisnya Iman tanpa Ukhuwwah. Kukuhnya silaturahim bukan setakat hubungan darah semata-mata, yang penting atas dasar IMAN dan UKHUWWAH untuk meraih keredhaan Allah semata-mata.
Atas dasar Iman dan Ukhuwwah juga, hubungan silaturahim ibu masih kukuh dengan keluarga di Muar. Semuanya Allah yang atur dan susun indahnya pertemuan kami tanpa sebarang gangguan. Sejak di awal usia cucu ibu perlu dikenal dan dibiasakan dengan keluarga kedua-dua belah pihak , sebelah abinya mahupun sebelah umminya. Ini merupakan persiapan awal mengisi suara hati dan mindanya bahawa ahli keluarga dan kaum kerabat perlu diutamakan dalam rutin dakwah dan tarbiyah apabila beliau dan adik-adiknya dewasa kelak.
Ibu amat bersyukur dan terharu kerana keluarga Atok Long Mishary masih meneruskan budaya tazkirah setiap bulan menyuburkan kembali budaya berilmu, beriman dan bersilaturahim. Jazakumullahu khairan kathira kerana kalian semua masih menganggap tok ibu Mishary sebagai ahli keluarga dan melayani kami seperti biasa tanpa sebarang prejudis. Semuanya merupakan kenangan manis yang akan terpahat di hati hingga akhir hayat..
Alhamdulillah..segalanya Allah yang aturkan. Sebelum ini (lebih dua tahun lalu) ibu selalu 'phobia' dan ditakutkan dengan SMS "JANGAN ATUR-ATURKAN". Selepas ibu pasrah, melepaskan dan serahkan segalanya kepada Allah.. Ibu tidak menanggung sebarang kerugian bahkan banyak dilimpahi Rahmat Allah bersama pengorbanan ini. Allah izin banyak urusan ibu dipermudahkan dan dipermudahkan bersama keluarga dan sahibah di daerah Muar dan Ledang. Rasa lebih tenang , damai dan banyak lagi idea bermanfaat yang perlukan iltizam kami bersama untuk ummah..
Tanpa susah payah lagi, Allah susun, ada saja pihak yang hulurkan bantuan terus aturkan walaupun tanpa kehadiran ibu. Masih ada jiwa-jiwa yang terkesan betapa pentingnya majlis ilmu menyuburkan iman dan ukhuwwah. Mudah-mudahan keindahan silaturahim ini akan memanjangkan umur iman, dan semoga roh kita akan terus bersama apabila kita semua kembali ke alam barzakh dan di Akhirat nanti.
Sewajarnya kita terus istiqomah untuk ikhlas dan pasrah..lebih tenang, istiqomah dalam kerehatan jiwa.. Sama-samalah kita manfaatkan pengisian dari kitab Al Hikam. Kalam Hikam ke-4 ( Amat disarankan baca dahulu kalam hikmah 1-3). Sila rujuk laman Web berikut; http://alhikam0.tripod.com/hikamsatu.html
4. ALLAH S.W.T MENGATUR SEGALA URUSAN |
Kita bertauhid melalui dua cara; Pertama bertauhid dengan akal Keduanya bertauhid dengan hati. Bidang akal ialah ilmu dan liputan ilmu sangat luas, bermula dari pokok kepada dahan-dahan dan seterusnya kepada ranting-ranting. Setiap ranting ada hujungnya, iaitu penyeleaiannya. Ilmu bersepakat pada perkara pokok, bertolak ansur pada cabangnya dan berselisih pada rantingnya atau penyelesaiannya. Jawapan kepada sesuatu masalah selalunya berubah-ubah menurut pendapat baharu yang ditemui. Apa yang dianggap benar pada mulanya dipersalahkan pada akhirnya. Oleh sebab sifat ilmu yang demikian orang awam yang berlarutan membahas tentang sesuatu perkara boleh mengalami kekeliruan dan kekacauan fikiran. Salah satu perkara yang mudah mengganggu fikiran ialah soal takdir atau Qadak dan Qadar. Jika persoalan ini diperbahaskan hingga kepada yang halus-halus seseorang akan menemui kebuntuan kerana ilmu tidak mampu mengadakan jawapan yang konkrit. Qadak dan Qadar diimani dengan hati. Tugas ilmu ialah membuktikan kebenaran apa yang diimani. Jika ilmu bertindak menggoyangkan keimanan maka ilmu itu harus disekat dan hati dibawa kepada tunduk dengan iman. Kalam Hikmat keempat di atas membimbing ke arah itu agar iman tidak dicampur dengan keraguan. Selama nafsu dan akal menjadi hijab, beriman kepada perkara ghaib dan menyerah diri secara menyeluruh tidak akan dicapai. Qadak dan Qadar termasuk dalam perkara ghaib. Perkara ghaib disaksikan dengan mata hati atau basirah. Mata hati tidak dapat memandang jika hati dibungkus oleh hijab nafsu. Nafsu adalah kegelapan, bukan kegelapan yang zahir tetapi kegelapan dalam keghaiban. Kegelapan nafsu itu menghijab sedangkan mata hati memerlukan cahaya ghaib untuk melihat perkara ghaib. Cahaya ghaib yang menerangi alam ghaib adalah cahaya roh kerana roh adalah urusan Allah s.w.t. Cahaya atau nur hanya bersinar apabila sesuatu itu ada perkaitan dengan Allah s.w.t. Allah adalah cahaya bagi semua langit dan bumi. ( Ayat 35 : Surah an-Nur ) Allah s.w.t telah menghamparkan jalan yang lurus kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Dia berfirman: Umat Islam tidak perlu bertengkar tentang penyelesaian terhadap sesuatu masalah. Segala penyelesaian telah dibentangkan, hanya tegakkan iman dan rujuk kepada Islam itu sendiri nescaya segala pertanyaan akan terjawab. Begitulah besarnya nikmat yang dikurniakan kepada umat Islam. Kita perlulah menjiwai Islam untuk merasai nikmat yang dikurniakan itu. Kewajipan kita ialah melakukan apa yang telah Allah s.w.t aturkan sementara hak mengatur atau mentadbir adalah hak Allah s.w.t yang mutlak. Jika terdapat peraturan Allah s.w.t yang tidak dipersetujui oleh nafsu kita, jangan pula melentur peraturan tersebut atau membuat peraturan baharu, sebaliknya nafsu hendaklah ditekan supaya tunduk kepada peraturan Allah s.w.t. Jika pendapat akal sesuai dengan Islam maka yakinilah akan kebenaran pendapat tersebut, dan jika penemuan akal bercanggah dengan Islam maka akuilah bahawa akal telah tersilap di dalam perkiraannya. Jangan memaksa Islam supaya tunduk kepada akal semasa yang akan berubah pada masa yang lain, tetapi tundukkan akal kepada apa yang Tuhan kata yang kebenarannya tidak akan berubah sampai bila-bila. Orang yang mengamalkan tuntutan Islam disertai dengan beriman kepada Qadak dan Qadar, jiwanya akan sentiasa tenang dan damai. Putaran roda kehidupan tidak membolak-balikkan hatinya kerana dia melihat apa yang berlaku adalah menurut apa yang mesti berlaku. Dia pula mengamalkan kod yang terbaik dan dijamin oleh Allah s.w.t. Hatinya tunduk kepada hakikat bahawa Allah s.w.t yang mentadbir sementara sekalian hamba berkewajipan taat kepada-Nya, tidak perlu masuk campur dalam urusan-Nya. Mungkin timbul pertanyaan apakah orang Islam tidak boleh menggunakan akal fikiran, tidak boleh mentadbir kehidupannya dan tidak boleh berusaha membaiki kehidupannya? Apakah orang Islam mesti menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa tadbir? Allah s.w.t menceritakan tentang tadbir orang yang beriman: Rasulullah s.a.w sendiri menganjurkan agar pengikut-pengikut baginda s.a.w mentadbir kehidupan mereka. Tadbir yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang tidak memutuskan hubungan dengan Allah s.w.t, tidak berganjak dari tawakal dan penyerahan kepada Tuhan yang mengatur pentadbiran dan perlaksanaan. Janganlah seseorang menyangka apabila dia menggunakan otaknya untuk berfikir maka otak itu berfungsi dengan sendiri tanpa tadbir Ilahi. Dari mana datangnya ilham yang diperolehi oleh akal itu jika tidak dari Tuhan? Allah s.w.t yang mencipta akal, membuatnya berfungsi dan Dia juga yang mendatangkan buah fikiran kepada akal itu. Tadbir yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang sesuai dengan al-Quran dan as-Sunah. Islam hendaklah dijadikan penapis untuk mengasingkan pendapat dan tindakan yang benar dari yang salah. Islam menegaskan bahawa sekiranya tidak kerana daya dan upaya dari Allah s.w.t, pasti tidak ada apa yang dapat dilakukan oleh sesiapa pun. Oleh yang demikian seseorang mestilah menggunakan daya dan upaya yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya menurut keredhaan Allah s.w.t. Seseorang hamba Allah s.w.t tidak sepatutnya melepaskan diri dari penyerahan kepada Allah Yang Maha Mengatur. Apabila apa yang diaturkannya berjaya menjadi kenyataan maka dia akui bahawa kejayaan itu adalah kerana persesuaian aturannya dengan aturan Allah s.w.t. Jika apa yang diaturkannya tidak menjadi, diakuinya bahawa aturannya wajib tunduk kepada aturan Allah s.w.t dan tidak menjadi itu juga termasuk di dalam tadbir Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t yang berhak untuk menentukan. Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri, tidak ada sesiapa yang mampu campur tangan dalam urusan-Nya.
يَاحَيُّ يَاقَيُّوْم بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيْث أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كَلَّه
ُ اَللَّهُمَّ لاَ تَكِلْنَا اِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْن
“Wahai Dzat Yang Maha hidup lagi Maha Berdiri dengan sendiri-Nya, dengan rahmat-Mu kami mohon pertolongan. Perbaikilah urusan kami seluruhnya dan jangan Engkau serahkan kami kepada diri kami walau hanya sekelip mata.” |
Comments
Post a Comment