Asuhan Tarbawi Mutiara Syurga


Muqadimmah

Segala puji-pujian hanya milik Allah, dan hanya Dia yang layak kita sembah selama-lamanya tanpa sebarang sekutu. Sama-sama kita suburkan kesyukuran kita  ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan pelbagai nikmat-Nya khususnya nikmat iman dan Islam. 

Selawat dan Salam buat Rasul junjungan. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Para  pendidik  mutiara  syurga yang dirahmati Allah;

Marilah sama-sama kita tundukkan jiwa memohon kepada Allah dengan penuh tawadhuk mengakui kelemahan kita dan ketidak mampuan kita mengurus diri dan keluarga kecuali  hanya dengan pertolongan-Nya semata-mata. Sebenarnya  hanya  Al-Qur’an dan Hadis Rasulullah sahaja  yang perlu kita mesrakan dan kukuhkan  dalam diri di samping mendidik semua mutiara syurga sejak di awal usia. Berbekal dua sumber dan panduan ini maka  akan terjamin selamanya kita  dan anak cucu hingga  Kiamat tidak akan sesat, Insya Allah dengan syarat kita  merealisasikan  sedaya upaya sabda Rasulullah seperti  berikut;

تـَرَكْتُ  فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ  لَنْ تَضِلُّوا مَا  إِنْ تَمَسَّكُمْ  بِهِمَا : كِتَابُ الله وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah dan Sunnah nabi-Nya”
                                                            (HR Abu Hurairah)

Hidup di dunia ini memang  penuh dengan ujian membuat pilihan. Pelbagai corak asuhan yang sudah tersedia untuk dipilih. Asuhan bagaimanakah yang boleh menyelamatkan  masa hadapan mutiara syurga  dari azab di dunia dan di akhirat? Pilihan itu bergantung kepada  niat samada ingin mutiara syurga kita  menjadi hamba  dan khalifah yang  patuh menyerah diri kepada Allah atau sebaliknya  menjadi hamba ibu bapa atau pengekor sistem yang mensyirikkan Allah. 

Asuhan mengetengahkan apa yang ibu bapa suka dan mengabaikan  apa yang Allah dan Rasul suka tanpa sedar telah mengotorkan fitrah mutiara syurga  yang asalnya  bersih dan suci. Apabila fitrah itu dikotori, kefahaman dan kesedaran Islam akan semakin pudar, keliru dan terpadam  dari jiwa hingga mereka membesar dalam keadaan  tidak yakin  dengan Islamnya, sebaliknya lebih yakin dengan cara hidup yang bukan Islam. Inilah di antara  punca berlakunya kes-kes  murtad walaupun  mereka dilahirkan dalam keluarga Islam. Nauzubillah

Keadaan sebaliknya  berlaku di Eropah semakin ramai yang mencari-cari Hidayah Allah. Kini hampir 300% pertambahan kesedaran ibu bapa mencari sekolah Islam terbaik untuk mutiara syurga  mereka. Seharusnya kita lebih peka  daripada  mereka kerana kita  dilahirkan dalam keluarga  Islam. Kisah seorang wanita Yahudi yang berkahwin dengan pemuda  Islam perlu dijadikan pengajaran. Mereka berusaha berhijrah mencari komuniti Islam untuk mendidik  anaknya sejak di awal usia  agar mencintai Al-Qur’an dan Hadis dalam  suasana ukhuwwah Islam. Wanita ini telah memaklumkan  apa yang dipelajarinya sejak  kecil. Menurutnya “kami diajarkan baik dalam sejarah mahupun dalam  buku-buku agama untuk membenci  Islam dan menghinanya. Semua watak dan fitnah terhadap Nabi Muhammad yang tersebar di media massa, menjadi sebahagian dari bahan pelajaran dan ujian di sekolah.”
Kenyataan  ini perlu diyakini kerana sudah jelas lagi bersuluh termaktub firman Allah di dalam Al-Qur’an. Kita perlu bekerja keras seikhlasnya kerana musuh-musuh Islam  tidak akan berhenti memerangi Islam dengan pelbagai cara seperti firman Allah Subhanahu  wa Taala    yang bermaksud:

“…Mereka tidak henti–hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari ‘deen’mu (kepada kekafiran), seandainya mereka mampu”                 (Surah Al-Baqarah: 217)

Perancangan musuh-musuh Islam bukan sahaja telah Berjaya membunuh ribuan kanak-kanak di Gaza, Suriah, Rohingya dan Mesir, bahkan memperdaya umat Islam melalui ‘ghazwatul fikr.’ Perang pemikiran dan perang  IT (teknologi maklumat) kini amat rancak di mana  musuh-musuh Islam telah berjaya menawan jutaan generasi pewaris Islam mencintai dunia dan melupakan akhirat. Hal ini sudah mereka rancang dengan teliti  dan serapi-rapinya sejak dahulu lagi. Bekas Perdana Menteri British pada zaman Queen Victoria (1809-1898) bernama William Ewart  Gladstone pernah membawa  al-Qur'an di dalam Parlimen British. Sambil mengangkat Al-Qur'an ditunjukkan kepada para menteri seraya berkata "Selagi mereka (umat Islam) berpegang kepada kitab ini, selama itulah mereka bangkit dan kita tidak dapat menundukkan mereka. Oleh itu pisahkan mereka daripada  kitab ini (al-Qur'an)".
Sigmund Freud (1856-1939) dan para pendukung ideologinya  hingga sekarang telah berjaya menyebarkan pengaruh pemikirannya dalam bidang psikologi khususnya meletakkan asas-asas materialisme dan atheisme di dalamnya. Justeru itu dalam psikologi moden, ‘Deen’ sudah tidak penting, malah dianggap sebagai suatu khayalan. Profesor Muhammad Qutb menyatakan mereka merosakkan umat Islam melalui sistem pendidikan  dan  psikologi. Hingga kini ramai cendekiawan Islam tertipu kerana  lebih berfokus kepada matlamat dunia dan mengagung-agungkan ilmu Barat berbanding dengan ilmu Islam. Masih selesakah kita dengan sistem pendidikan yang merosakkan akidah umat? Tepuk dada dan tanyalah iman. Beristigfarlah dan berusaha membersihkan jiwa dan tarbiyah diri  semoga Allah tunjukkan jalan keluar yang terbaik untuk  mendidik mutiara syurga kita mengikut landasan  yang diredhai Allah.

Kekalkan Islam atau program Allah dalam diri mutiara syurga kita. Itulah yang disebut fitrah. Untuk mengekal dan menyuburkan fitrah suci itu, perlukan kurikulumnya. Kurikulum tarbiyah untuk  mutiara syurga kita perlu menekankan  Tauhid  dalam semua aktiviti  yang dibuat ketika mengasuh mereka. Apa sahaja kurikulum yang tidak ada Tauhid merentasnya, maka  amat merbahaya menjadi punca  kepada  kerosakan akidah mutiara syurga  kita. Dari kajian, lebih 80%  remaja kita  menjadi lemah pemikiran dan tidak bersemangat malah tergelincir dari landasan syariat  kerana  tidak mendapat pengisian Tauhid dalam asuhan dan didikan mengembangkan 8 komponen secara bersepadu. Sejak di awal usia, mutiara syurga perlu diasuh dan dididik 8 komponen seperti berikut;
1.      Menyuburkan iman,
2.      Mencerdaskan akal,
3.      Mengenyangkan roh,
4.      Menyihatkan fizikal,
5.      Menjaga  kehormatan diri (sexual),
6.      Mengukuhkan akhlak terpuji,
7.      Menstabilkan emosi dan  
8.     Hikmah  bergaul (sosial)  agar  mereka sentiasa  bermanfaat kepada orang lain.


akan bersambung, Insya Allah 

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil