Pentingnya Husnus Zhon~ Kajilah AsmaulHusna

"Hilang satu berkah doa  untuk saya sebab mak dah meninggal" adu anak gadis bungsu berusia 20 tahun yang sedih merindui ibunya yang meninggal dunia pada 1 Ramadhan tahun lepas (2016). Kami sempat bertemu dalam  sesi kaunseling sebelum ibu berangkat ke Yogyakarta. Ibu perbetulkan persepsinya. "Ibu tiri juga ada berkahnya  mendoakan semua anak tirinya..."  Belum habis ibu selesaikan pandangan, anak gadis itu mendengus "hummmph..." keluhnya dengan pandangan  mata membenci...
Kasihan anak gadis ini...masih tidak husnuzhon kepada Allah Subhanahu Waataala. Ada pendaman yang tak selesai dalam jiwanya sukar untuk meredhai sunatullah dan  takdir Allah untuk keluarganya. Maklumlah umurnya masih muda belia, belum luas pengalaman hidup. Abangnya mengalami pendaman jiwa  yang lebih serius, mengamuk apabila ayahnya kahwin lain. Tanggung jawab ayahnya membantu positifkan 'heart setting' bemula dengan Makrifatullah. Kenal Allah dan cinta Allah dahulu, baru rasa tunduk, patuh dan redha akan menyusul. Pentingnya  pengenalan yang sempurna terhadap Islam yang syumul barulah gambaran positif akan menghiasi jiwa dan mampu , memandang apa sahaja yang berlaku itu sentiasa  indah.

"Kerana-MU  Ya Allah...hanya kerana-Mu aku redha menerima segala takdir-MU" Ibu kongsi  pengalaman  sentiasa 'online' dengan Allah melalui monolog jiwa ini. Monolog seperti ini sentiasa membantu ibu bertahan dan bersabar menerima segala  ujian...kalau bukan  kerana Allah, tumbang! tak mampu ibu nak hadapi semua ini.

Ketika belajar Penghayatan Asmaul Husna, penceramah itu menyebut "dalam setiap ayat Qur'an, Allah perkenalkan kehebatan diri-Nya." Sebenarnya melihat alam dan merenung  segala kurniaan Allah  pada diri dari hujung rambut hingga ke hujung  kaki juga dapat menyedarkan kita mengenal tentang  kehebatan ciptaan Allah dan dapat  mengkagumi segala keagungan-Nya. Makrifatullah mengajar kita  memaafkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum memaafkan orang lain. Jika hanya sekadar  memaafkan orang lain tanpa memaafkan diri sendiri, maka akan berkeraklah jiwa dengan pelbagai pendaman emosi negatif..Inilah proses  yang unik membina  hubungan jiwa yang kukuh dengan Allah subhanahu wa taala.   

Berbalik kepada kes anak gadis tadi, ibu telah dimaklumkan ayahnya (anak 9 orang) bernikah dengan seorang janda (tukang jahit) beranak 3. Anak masing-masing sudah dewasa. Ibu tirinya letak syarat sebelum bernikah agar suami barunya hijrah ke rumahnya, bukan dia berhijrah ke rumah suaminya. Ramai kenalan tabik hormat keputusan  bijak  ibu tunggal itu  tetapi telah mengundang kemarahan anak-anak tirinya. Ibu amat faham perasaan anak-anaknya. Jika  ibu duduk di tempat mereka sebagai anak, ibupun akan marah juga sebab suuszhon. Ibu ajak gadis itu main peranan, bayangkan dirinya Allah pilih jadi ibu tiri kelak...
"Cuba bayangkan kita jadi ibu tiri, kalau tak kita yang diuji menjadi ibu tiri, kemungkinan  adik-adik atau anak-anak perempuan kita nanti akan melalui keperitan itu... Mahu tak  anda   menjadi ibu tiri!!?" ibu cuba provok, merasionalkan pemikirannya. Gadis itu menggelengkan kepalanya. "Begitu juga  ibu tiri anda...bukan dia suka  nak jadi ibu tiri..." Ibu cuba membela pihak yang menjadi mangsa kebencian yang tidak diundang. Wajah kebenciannya mulai mereda. Dia mulai bersangka baik dengan apa yang Allah aturkan untuk ayah dan juga untuk  dirinya. Nak buang segala pendaman emosi negatif perlu kekuatan memaafkan diri (Ulang-ulang monolog  "Ya Afuww, maafkan aku dan berikan aku kekuatan memaafkan diriku dan memaafkan orang lain")

Pentingnya  taubat, mohon ampun kepada Allah kerana  berburuk sangka kepada Allah...Keampunan Allah memasukkan kita ke dalam 'zone' atau ruang  kecintaan-Nya

Anak gadis itu  mulai selesa mendengar celoteh ibu. Alhamdulillah. Ikut keselesaan  diri, memang tiada wanita  yang sudi atau ingin menjadi ibu tiri melainkan akur  menerima takdir Allah. Jodoh, rezeki dan ajal maut sudah Allah tentukan.  Husnuzhon kepada Allah
"Sewajarnya  kalian bersyukur ayah kalian yang sudah tua ada teman hidup, namun kalian tidak boleh berlepas tangan! Husnuzhon kepada Allah,  jangan ada niat hendak membebankan ibu tiri kecuali jika dia sendiri berlapang dada dan ada kesempatan  untuk menolong. Jika dia tidak berkesempatan, husnuzhonlah jangan marah atau hina dia sebab itu  memang bukan tanggungjawab dia..masih tetap tanggung jawab anak, walaupun  ayah kahwin lain.

Ibu terkesan dengan luahan seorang  ibu  di Johor menceritakan abang tunggalnya meninggal dunia dalam kesepian selepas  dia kahwin baru (isteri pertamanya  meninggal dunia). Semua  anaknya  suuszhon (berburuk sangka) kepada Allah, tertipu dan terpukau dengan syaitan termasuk anak-anak lelaki berlepas tangan, tidak bersyukur dan  tidak mahu ambil tahu dan tidak  mahu balik menziarahinya, bahkan menghina  ibu tirinya. Berendam air mata ibu tiri itu kerana  anak-anak tiri tidak menerima kehadirannya dalam keluarga. Keadaan ini memang wajar  kerana mereka  cetek pendidikan agama dan tidak merasai amat besar dosa memperlakukan ayah dan ibu tirinya  begitu. Walhal ibu tiri itulah yang merawat dan menemani ayahnya hingga ke hujung  usia.

Satu kisah lagi, teman di Seremban  Negeri Sembilan menceritakan  ibunya setelah beberapa tahun kematian suami, dilamar dan bernikah baru. Dibawa ke rumah suami yang ramai anak  cucu. Setiap hari ibu itu keletihan menahan emosi kerana anak-anak tirinya 'suuszhon'. Tidak sampai setahun kemudian terpaksa minta izin untuk menetap di rumahnya  sendiri agar jiwanya tenang dan tidak mahu  emosinya  terganggu. Peringakt umur sudah hilang kudrat melayani kerenah 1001 anak-anak cucu, perlu difahami oleh anak-anak. Memang wajar dan bijak keputusannya kerana  melayan anak cucu suami sekali sekala tidak apa, tetapi BUKAN setiap  hari  kerana  itu bukan tanggungjawabnya. Masing-masing sudah dewasa dan wajib ambil tanggung jawab itu. Ihsanlah agar tidak  sekali-kali tergamak membebankan ibu tiri, apa lagi jika ibu tiri itu ada kerjaya utamanya  sendiri.


Murabbi ibu ada jelaskan tentang hak dan tanggungjawab (kewajipan) dalam soal ini ketika menziarahi teman-teman yang sakit di sekitar Taiping, Ipoh dan Alor Setar. Tanggung jawab anak berkhidmat kepada ibu bapa yang sudah tua, bukan membebankannya. Tunaikan kewajipan dahulu baru dapat hak dikasihi oleh Allah dan diredhai-Nya. Jika 'cuci tangan' dan melepaskan semua beban kepada ibu tiri, mungkinkah anak-anak akan dapat redha ibu bapa? Redha Allah bersama redha ibu bapa. Ramai anak-anak mengabaikan hakikat ini, termasuklah apa yang berlaku di kalangan anak-anak teman (pesakit) yang kami ziarahi.

Benarlah salah seorang murabbiyah menyatakan bahawa  hidup ini seronok dan terasa manis  jika  kita  berpeluang melawat atau menziarahi orang sakit dan memahami masalah yang mereka hadapi. Bukan sahaja sakit fizikal tetapi  juga masalah emosi gara-gara anak yang tidak faham Deen. Teman karib ibu memaklumkan seorang sahibah Johor diserang kanser tahap 4 dan menetap dengan suami barunya  di Taiping  Perak setelah lebih 10 tahun menjanda. Ibu memang kenal sebab kami sering bertembung ketika  iktikaf  10 malam akhir Ramadhan di Masjid  Negeri Shah Alam 3 tahun berturut-turut (tahun 2012-2014) ketika kami masih 'single' Inilah kelebihan hidup single... Rutin tahunan ini  yang membahagiakan kami ketika masih single dahulu.

Menurut  penyampai berita, mereka bersama sebilik dengan  sahibah itu ketika menunaikan haji lebih sebulan di tanah suci. Memang ibu berhajat  hendak mengambil berkah sunnah Rasul menjengah orang sakit. Hajat hendak ziarah lebih awal namun terhalang... Ibu pasrah kepada agenda yang Allah aturkan. Biar Allah aturkan agenda-Nya untuk ibu.

Beberapa minggu lalu, anak ibu ada whatsapp gambar bekas tukang urus reflexology dari Batu Pahat uzur dan diserang  sakit  'lupa' di Ipoh. Dari Taiping  kami terus ke Ipoh menziarahinya. Allah izin, isterinya  juga  uzur, pasangan suami isteri ini tidak mampu bergerak dan hanya  memakai pampers. Kasihan anak gadisnya mengurus ayah dan ibu tirinya. Adik beradik yang lain, bukan saja anak tiri lelakinya tidak mahu balik, anak kandungnya sendiri balik lewat malam gara-gara tidak mahu terbeban...Begitulah pengakuan ibunya. Wallahu alam.
Syukur ya Allah..., ujianku sekecil cuma, bagai digigit semut. Ada orang ujiannya lebih besar bagai diserang tebuan, walaupun keadaannya lebih perlukan perhatian penuh. Moga Allah permudahkan bapanya  di bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan rapi di wad.Sekurang-kurangnya  apabila ingatannya pulih, dia boleh menjaga dirinya sendiri.

Tidak sangka ada seorang lagi sahibah dari Batu Pahat yang menetap di Ipoh ditahan masuk wad kerana  kadar bacaan gulanya  melambung lebih 20, di hospital Besar Ipoh.  walhal sebelum ini, dialah yang menjaga sahibah yang dikemoterapi di hospital kerana suami sahibah itu belum pulang dari  menunai haji. Indahnya ukhuwwah orang sakit  berkorban menjaga orang sakit...

Dalam perjalanan pulang, sempat kami ziarah besan (ibu mertua  anak sulung) masuk wad hospital Alor Setar kerana  jangkitan kuman matanya selepas  pembedahan. Matanya merah dan gatal-gatal. Berhajat juga  nak 'tapping' kurangkan beban emosinya, namun keadaan tidak mengizinkan. Moga allah beri peluang dan ruang  yang lain kelak. Insya allah.

Melawat orang sakit ini mengajar kita erti bersyukur, berterima kasih kepada  Allah di atas nikmat kesihatan kurniaan-Nya memudahkan kita beramal jariah dan beribadah seikhlas yang Allah izinkan. Kita hendak jadi hamba Allah ikut acuan Allah, bukan ikut acuan manusia. Di sinilah indahnya  nikmat beribadah.

Dalam masa yang sama  permintaan sesi kaunseling dan coaching Kaunseling Rabbani semakin meningkat, tidak terdaya  ibu hendak fokus tugas di rumah kecuali sekadar menjadi peneman suami. Mohon maaf jika ada yang tidak suka, moga Allah mengampuni ketidak mampuan ibu nak melayani semua pihak. Tambahan lagi  ibu perlu  fokus  buat persiapan rapi untuk bentangkan kertas kerja 'Membumikan Kaunseling Rabbani' di 1st Asean School Counselor Conference On Inovation & Creativity In Counseling (ASCC)  di Yogyakarta Indonesia. Temanya 'Building a Strong Charater For Youth With Innovation Counseling.'  

Sejak aktif dalam team kaunseling ini amat terasa  diri ini bukan lagi  untuk keluarga  sebaliknya  adalah untuk Ummah. Pemergian ibu  ke Yogyakarta  ditemani oleh salah seorang anak didik yang juga  kini menjadi  kaunselor  muda  yang dedikasi bekerja untuk ummah dengan terapi kaunseling Islam. Umurnya baru 38 tahun namun sudah banyak menyumbang untuk ummah dalam bidang psikologi dan kaunseling. Mujur anak-anak dan suaminya amat memahami.  Ibu agak terlambat, di hujung usia  baru dapat berbuat demikian. 

Segala puji hanya bagi Allah kerana pemergian ibu adalah atas restu, sokongan dan redha suami 100% yang sentiasa husnuzhon kepada apa yang Allah aturkan untuk ibu. Awal tahun ibu diundang ke Medan, Indonesia. Namun kerana ketika itu belum ada siapa yang lapang untuk menemani, tidak dapatlah nak pergi. Kali ini, Alhamdulillah Allah aturkan ada teman setia berstatus 'anak angkat'...Allah Maha Mengetahui niat tersembunyi dalam jiwa para hamba-Nya. Ya Allah jayakanlah niat kami  untuk menyambung PHD dalam bidang kaunseling di UUM awal tahun 2018. Benarlah sabda  Rasulullah  salallahu alaihi wassalam

مَنْ سَلَكَ طَرِيْقًا يَطْلُبُ فِيْهِ عِلْمًا سَلَكَ اللهُ بِهِ طَرِيْقًا إِلَى الْـجَنَّة

 yang bermaksud;

“Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.”       (Muslim, Abu Daud, Tirmizi dll)

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil