Kefahaman Sebelum Keikhlasan


Almarhum Dato' kaya  Bakti Ustaz Dahlan Bin Md.Zain pernah mengingatkan;
" Jika tarbiyah berhenti, maka akan terbitlah banyak masalah dalaman, sedangkan kita  tidak berhajat kepada masalah yang banyak kerana kerja-kerja terlalu banyak berbanding masa yang sedikit" 
Fokus  kita hanya kepada yang berhajat untuk memahami Islam yang kamil. syamil dan mutakammil. Mereka yang telah berpuas hati  dengan Islam secara tradisi dan juzi'e amat sukar  untuk kita  fahamkan kerana  pendengarannya  telah dipekakkan sendiri, penglihatan  telah dibutakan  sendiri sebelum kita adakan sebarang aktiviti perkongsian. 'silent no entry' disampaikan secara 'brain wave' menyebabkan  kami  tak boleh hendak berbuat apa-apa kepada mereka melainkan diam dan terus berdoa.
Sebaik-baiknya  kita simbukkan diri melaksanakan  amanah Allah yang merupakan taklif Rabbani. Minimanya latih diri  kendalikan satu halaqah. Apabila kita ada amanah yang hendak dikendalikan, maka dengan sendirinya kita dapat  mendisiplinkan diri agar  sentiasa membuat persiapan, tidak leka atau 'ghalit' dengan sebaraang 'masalah kecil' atau godaan media sosial  yang kadangkala mencuri masa  lebih 10-12 jam sehari. Nauzubillahi min zalik.

Kenapa halaqah?
Halaqah itu usrah (keluarga) merupakan salah satu lingkaran atau bulatan 'taman-taman syurga' di dunia. Kita tidak akan dapat menikmati taman-taman syurga di akhirat  jika tidak latih  diri berada dalam taman-taman syurga  di dunia. Sesibuk manapun kita, hargailah peluang  yang sentiasa terbuka, mengumpulkan  jiwa-jiwa yang berhajat dan berminat  dalam masyarakat  dan ajak mereka  memahami Deen Allah iaitu Islam yang tulin dibawa oleh para anbia sepanjang zaman. 

Ibu amat tersentuh  dengan jawapan As Syahid  Imam Hasan Al Bana ketika ditanya  oleh sahabatnya; "Mengapa didahulukan pemahaman atas  keikhlasan?" 

Jawab Imam Hasan Al Bana ; "Kalau bukan kerana pemahaman pasti kita akan saling berperang atas  nama keikhlasan"

Ketika ibu buka sesi soal jawab dalam halaqah  merujuk kenyataan Imam Hasan Al Bana di atas, memang  hidup suasana halaqah, pelbagai jawapan yang diterima, di antaranya;

1. Ramai  pemimpin yang ikhlas hendak memerintah tetapi tidak faham proses untuk menyatukan umat mesti bermula dengan tarbiyah. Tanpa tarbiyah mereka  hanyut dalam arus jahiliyah  yang memecah belahkan umat, sebab tu pentingnya  halaqah untuk berikan kefahaman...

2. Ramai ahli masyarakat  yang ikhlas melakukan kerja-kerja sukarelawan  tetapi agresif, merasai diri sudah banyak berjasa hingga  merendah-rendahkan usaha orang lain menyebabkan segala  usaha menjadi debu-debu yang berterbangan, tiada nilainya di sisi Allah kerana  ada penyakit riyak', ujub dan takabur merosakkan amal~ Mereka tidak faham bahawa  tarbiyah  amat diperlukan  untuk merawat  penyakit jiwa  dan   wujudkan kesatuan akidah, fikrah dan amal.

3. Ramai umat Islam ikhlas  melakukan  ibadah-ibadah khusus dan ada  yang menutup aurat sampai berpurdah namun masih mengintai-intai aib orang, mengumpat dan seumpamanya sebab tidak  faham proses  membina peribadi solehah  titik  bertolaknya bermula dengan tarbiyah.

Ibu merujuk  buku 'Back To Tarbiyah' untuk menawan kembali  beberapa bekas  anak-anak Matri yang sudah lama tidak ikuti halaqah kerana alasan-alasan 'tidak mahu skema sangat'. Anak-anak muda sekarang begitu mudah larut  dalam suasana mengejar dunia hingga  terlupa jika kita fokus kepada akhirat, dunia akan mengejar kita. Alhamdulillah  apabila merujuk buku ini sedikit sebanyak dapat merawat hati-hati  yang luka sebelum ini. 
"back to tarbiyah kita maknai kembali  untuk mengukuhkan ukhuwwah  dengan berjemaah dan melipat gandakan  potensi  biasa  menjadi luar biasa ( seperti solat  berjemaah dapat 27 kali ganda ganjaran kebaikan). Sebab itu pentingnya  hidup  berjemaah kerana proses tarbiyah itu  bukan  melatih 'single  fighter'. Pengalaman lalu  cukup mendidik dan menginsafkan apabila  kita  buat kerja seorang diri memang cepat letih, mudah nak marah dan mengungkit-ungkit, mudah mengalah  dan niat mula menyimpang berubah arah. Setelah fahamkonsep berjemaah, buat apa kerja sekalipun rasa amat mudah, cuma  lontarkan idea dan ramai yang menawarkan diri membantu kerja-kerja  yang perbaiki diri dan ummah seluruhnya.
Berjemaah  di jalan dakwah ini merupakan sebuah  keindahan. Semua pihak memberikan kerjasama  namun tidak seorangpun akan rasa dirinya  paling berjasa. Ketika semua berperanan, tidak seorangpun akan rasa dirinya paling berperanan. Ketika semua  beramal, tidak seorang pun akan merasa dirinya paling banyak beramal.

Kisah Nabi Ibrahim dengan anaknya Ismail sungguh menginspirasi bagaimana  dalam keluargapun perlu hidup berjemaah. Si anak tidak pernah membantah atau mengengkari saranan  dari seorang ayah. Baru ibu faham, kenapa ada di kalangan ayah  hanya 'diam' apabila  sudah tahu kerenah  anak-anaknya sentiasa ada niat untuk 'engkar'. Lebih baik diam daripada anak-anak berdosa memberikan jawapan yang mendukacitakannya. Yang penting pastikan  anak-anak ada  halaqah di mana sahaja dia berada.
Ibu pernah sebut kepada anak ibu "Ibu paling menderita jika anak ibu tidak ikut proses tarbiyah (halaqah)" Dengan halaqah ini, banyak kepincangan dapat dirawat  perlahan-lahan  dan anak-anak akan sentiasa  memiliki visi dan misi mewarisi  perjuangan para  anbia'.

 Dalam Al-Quran, Allah menceritakan;


فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعۡىَ قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلۡمَنَامِ أَنِّىٓ أَذۡبَحُكَ فَٱنظُرۡ مَاذَا تَرَىٰ‌ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفۡعَلۡ مَا تُؤۡمَرُ‌ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ

"Maka ketika anak itu sudah sampai baligh (dewasa), Ibrahim berkata kepadanya: "Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam tidurku, bahawa aku menyembelih engkau, maka bagaimana pendapatmu?" Kata anaknya: "Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepada ayah, insyaAllah ayah akan mendapati saya termasuk orang-orang yang sabar." (As Shaffaat:37:102)

Lihatlah hasil proses tarbiyah nabi  Ibrahim  sentiasa  mendoakan anaknya dari jauh. Doa Nabi Ibrahim dimakbulkan Allah selepas  beliau meninggalkan  isterinya Hajar  di Padang Pasir Mekah yang kering kontang  tidak ada air. Jawapan  Hajar ketika itu : "Jika ini adalah perintah dari Allah, maka Allah  tidak akan mensia-siakan kami" Nabi  Ismail  dididik dan diasuh oleh seorang ibu  yang penyabar, hasilnya sangat luar biasa "Insha Allah, ayah akan mendapati saya termasuk di kalangan orang-orang yang sabar"

Dalam buku Dr Yusuf Qardhawi  yang bertajuk "Kenangan Bersama Ikhwanul Muslimin" diulas pandangan Syeikh Al Bahi (salah seorang sahabat Hasan Al Banna) ;
"Lihatlah bagaimana  sikap si anak. Apa yang dikatakan kepada  ayahnya. Dia telah menawarkan dirinya disembelih dan berkata "Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan Allah kepadamu.." Ismail  TIDAK  mengatakan "Lakukan kepadaku apa yang diperintahkan Allah"
Ucapan Ismail  menghapuskan peranan dirinya  dan menafikan keberadaannya  dalam pelaksanaan perintah Allah. Dia mengatakan  "Lakukan perintah Allah kepada ayah, nescaya ayah akan mendapati saya dalam keadaan TAAT  dan SABAR"

Inilah kematangan Tarbiyah dalam keluarga Nabi Ibrahim yang membentuk Qiyadah  yang MUKHLISAH (Pemimpin yang ikhlas) dengan melibatkan anaknya  untuk bersama meraih  pahala dalam kerja dakwah di jalan Allah. Semangat  berkongsi pahala dalam  keluarga.

Buah Tarbiyah  nampak kepada  ketaatan  Nabi Ismail. jundiyah muthi'ah (perajurit yang  taat), tidak merasa terlalu berperanan,  tidak menonjolkan diri dalam melaksanakan  perintah Allah namun kepada Allah sahaja tempat  dia bersandarkan segala usaha. Inilah  maksud  kefahaman yang  melahirkan keikhlasan. 

Rujuk halaman 203-204 Buku  'Back To Tarbiyah '  Ustaz  Solikin Abu Izzuddin


 



Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil