COVIT-19~ Peluang Muhasabah Diri
Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya milik Allah, Rabb yang telah mengatur kehidupan segala makhluk-Nya di langit dan di bumi sejak sebelum Nabi Adam AS diciptakan lagi hinggalah hari kiamat. Segala apa yang Allah urus tadbir itu menunjukkan Maha Sempurnanya Allah yang Maha Mengetahui segala keperluan para hamba-Nya. Apapun ujian yang melanda kita, perlu kita syukuri kerana Alhamdulillah kita dihidupkan bersama Iman dan Islam. Insya Allah kita tidak akan sesat selagimana kita berpegang teguh dengan Al-Qur'an dan sunnah Rasulullah sallallahu alaihi wassalam.
Selawat dan salam ditujukan khusus untuk murabbi agung kita iaitu Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wassalam, kaum keluarga baginda, para sahabat, para tabieen, para salafus soleh,ulamak-ulamak Muktabar serta jiwa-jiwa yang ikhlas mengabdikan diri hanya sanya kepada Allah Rabbul Jallil sampailah pada hari Kiamat.
![]() |
Kek Pandan Gula Melaka~ Sumbangan anak menantu |
Alhamdulillah, kenangan tahun 2019, tahun keuzuran fizikal buat suami namun jiwa dan fikirannya masih stabil dan mampu meneruskan kerja dakwah dan tarbiyah sekadar kemampuannya. Mutakhir ini bacaan tekanan darahnya semakin normal dan stabil.
Allah izin ada pemuda dan beberapa sahabat yang menziarahinya di wad, seorang demi seorang Allah jemput kembali ke hadrat-Nya. Benarlah, ajal sudah ditentukan oleh Allah, bukan kerana sakit. Kadang kala orang yang sihat walafiat Allah jemput mendahului orang sakit. Orang muda Allah pilih kembali kerahmat-Nya mendahului orang tua. Kematian adalah takdir Allah, itu yang perlu kita yakini. Sesihat manapun kita dan dan semuda apapun, kematian tetap menghambat kita. Maka bersedialah dengan persiapan untuk meninggalkan dunia ini menuju ke alam yang abadi.
Kepuasan dan keindahan cuti sekolah ditambah dengan 2 minggu Perintah Kawalan Pergerakan gara-gara Covit-19, Allah aturkan kami ditemani oleh anak menantu dan cucu-cucu dari Melaka. Alhamdulillah. Terubat jua rindu setelah sekian lama tidak dapat bersama anak menantu dan cucu-cucu.
Covit-19 itu adalah makhluk halus yang Allah hantar, pasti ada hikmahnya. Ikut persepsi manusia yang mendepaninya. Jika Corona Virus itu dianggap sebagai bala', maka beratlah semua manusia yang menghadapinya. Jika kita anggap Covit-19 itu bukanlah bencana atau bala' tetapi merupakan hadiah dari Allah SWT, maka akan ringanlah rasanya, Insha Allah, selepas berusaha semaksimanya, beristighfar dan berdoa, akan sampai masanya Allah akan angkat segala beban dan kita semua akan dibebaskan daripada virus itu. Bersabarlah dan solat sebanyak-banyaknya tanda syukur kita kepada Allah di atas anugerah itu.
Fikirkan secara positif, dengan kehadiran Covit-19, Allah beri peluang setiap ahli keluarga dapat perbaiki kualiti keimanan kepada Allah, anak-anak semakin taat dan perihatin kepada kedua ibu bapa yang semakin uzur. Ibu bapa muda perlu cari ilmu dan manfaatkan segala peluang untuk perbaiki diri agar menjadi contoh terbaik kepada anak-anak sentiasa memerhati dan belajar dari tindak tanduknya. Dengan adanya gejala Covit-19, Insya Allah semakin ramai ibu bapa muda akan berjaya tundukkan ego masing-masing, tidak menjadi singa atau harimau di rumah sebaliknyaa semakin menyayangi anak-anak yang masih perlukan didikan dan bimbingan dengan kasih sayang.
Agak sepi juga di Perlis ini sudah dua minggu solat Jumaat diganti dengan solat Zohor di rumah masing-masing. Perintah Kawalan Pergerakan yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri sejak 16 March dipatuhi oleh majoriti penduduk. hanya segelintir sahaja yang sukar mematuhinya. Dari berita Media Sosial, tidak dibenarkan lagi ibadah umrah dari luar, paling sedih, tidak ramai lagi yang bertawaf di Baitullah. Segalanya adalah ujian kesabaran bagi semua umat Islam. Allah beri peluang kita Muhasabah diri sejauh manakah telah kita lakukan dakwah dan tarbiyah, amar maaruf dan nahi mungkar.
Sebelum ini kita menyalahkan penduduk Wuhan di negeri China. Muhasabah kembali sebelum kita menyalahkan mereka, sejauh manakah kita telah berusaha berdakwah kepada mereka mengenal Allah dan kenalkan kepada mereka makanan yang halal dan tinggalkan makanan yang haram seperti kelawar dan ular yang menjadi punca menularnya wabak Corona virus ke seluruh pelusuk dunia.
Dosa umat Islam adalah puncanya kerana mereka tidak diperkenalkan tentang kesucian dan keindahan Islam. Jika mereka faham Islam, segala tabiat buruk memilih makanan akan turut berubah.
Sejauhmanakah usaha dakwah umat Islam telah sampai ke sana?
Jika jauh menjadi masalahnya, kita ada media sosial, sudah dimanfaatkan untuk menyebarkan fikrah Islam?
Kita ada senjata doa. Menurut kajian Ebit Liew, seramai 5 billion manusia masih belum mengenal Allah. Sejauh manakah kita telah berusaha mendoakan semoga Allah beri hidayah kepada mereka. Pernahkah kita mendoakan mereka?.
Syeikh Abdul Kadir Al-Jailani dalam buku 'Lautan Hikmah Kekasih Allah' mengajar kita berdoa;
"Ya Allah, bawalah semua manusia menuju ke pintu-Mu. Inilah doaku selama-lamanya. Segala urusan itu aku serahkan kepada-MU"
Kehadiran Covit-19 mengajak semua umat Islam lebih kurang seramai 2 billion bermuhasabah diri, apakah dosa-dosa kita yang menyebabkan dunia ini diuji sedemikian rupa? Ramai ulamak menyebut ia berpunca daripada dosa-dosa umat Islam yang tidak melaksanakan kerja amar maaruf dan nahi mungkar.
Fahami sedalam-dalamnya bahawa Maaruf Al Akbar adalah mengajak manusia mentauhidkan Allah. Mungkar Al Akbar adalah melarang manusia daripada mensyirikkan Allah.
Sama-samalah kita mohon kepada Allah agar mengampuni segala dosa-dosa kita dengan perbanyakkan istighfar.
Astaghfirullah lil mukminina wal mukminat...
Semoga berkat istighfar yang sentiasa menjadi darah daging umat Islam segala gejala seumpama Covit-19 akan berakhir tidak lama lagi. Insya Allah
Comments
Post a Comment