Jom Kita Bertaubat dan Berubah...

Segala  puji-pujian  hanya milik Allah,Pengurus dan Pengatur  segala kehidupan langit  dan bumi dengan keadilan, Rahmat dan Kasih Sayang-NYA.

Selawat  dan salam ditujukan khusus buat Rasulullah  Sallallahu alaihi wassalam,  kaum keluarga dan para sahabatnya. 

Hari Ahad, 9 Ogos bersamaan dengan 1441 Zulhijjah ibu berpeluang ikuti program Daurah Murabbiyah secara online belajar tentang  Tafsir Al-Qur'an merujuk  Tafsir Al Munir oleh Prof Dr Wahbah az-Zuhaili. 

Allahu Akbar, berdetap-detap jiwa  ini tersentuh dengan penyampaian Murabbi kami. Paling tersentuh apabila salah seorang peserta@ murabiyyah MATRI membuat pembentangan tugasan  Tafsir surah Al-Humazah. Ibu berhasrat hendak berkongsi pengisian yang ibu dapat itu dengan anak didik  dalam dua halaqah yang dikendalikan secara online pada hari Selasa dan Rabu.  


Risau juga setelah sekian lama bercuti 'usrah' sempena PKP racun-racun jahiliyah mulai menyusup dan budaya 'jadal kalami' telah menular dan merosakkan ukhuwwah dan silaturahim. Prinsip  ibu sebagai orang tua di sini, seperti mana suami didik ibu, banyak diam dan menegur sekali sahaja  apabila perlu sangat. Teguran   tidak perlu berkali-kali. Sekali itupun  bagai menarik rambut dalam tepung. Tepung  tidak berselerak  dan rambut  tidak putus bagi memastikan kerukunan ukhuwwah dan mahabbah kerana harapkan redha Allah semata-mata. 

Memikirkan  isu  ini, memang ibu banyak menangis merayu kepada Allah, betapa lemahnya diri dan tiada daya dan upaya langsung hendak berkomunikasi. Nak harapkan ilmu dan pengalaman yang cetek ini tak mungkin masalah itu akan selesai. Ikutkan rasa memang tak mahu  dan tidak mampu. Apabila  kita  serahkan segala urusan kepada Allah, baharulah nampak jalan keluarnya..

Jom sama-sama kita muhasabah diri,  

Analisis dan renungkan apa yang kita  niatkan, ia akan menjadi buah fikiran

Renungkanlah  apa  yang kita fikirkan, ia akan menjadi kata-kata, ayat dan ucapan

Renungkanlah  apa yang  kita  ucapkan, biacarakan atau ungkapkan khususnya dalam media sosial kerana ia akan menjadi tindakan atau 'action'

Renungkanlah apa yang kita lakukan atau  buat diulang-ulang selalu perlakuan itu, maka ia akan menjadi habit atau kebiasaan. (Kelaziman)

Renungkanlah apabila kebiasaan ini diulang-ulang maka ia akan menjadi  darah daging dan terbentuk tabiat/ character

Renungkanlah pola character kita kerana demikianlah  takdir kita.

Urusan  Kun Fa yakun adalah  urusan Allah Yang Maha Kuasa.

Urusan kita, sepertimana suami  ibu sering ulang-ulang dalam penyampaiannya  adalah  berusaha semaksima mungkin  untuk mendaulatkan Deen Allah di muka bumi ini hingga  tertegaknya  Daulah  Islam. Apabila aktifnya setiap individu Muslim membentuk  keluarga Muslim, maka akan terbentuknya  masyarakat Muslim. Apabila masyarakat  Muslim semakin bertambah kuat maka semakin aktiflah  organisasi  Islam sentiasa bermanfaat di merata dunia. Apabila dunia Islam mula berkuasa maka  akan sampai masanya jahiliyah akan melemah dan terhapus sepenuhnya,  Inilah  perubahan yang  ingin kita  lakukan bersama  dan tidak mungkin akan berubah jika  kita  bertindak secara  individu. 


Bersyukurlah kini  semakin  ramai  anak muda  yang  berjaya  membudayakan membaca Al-Qur'an  satu juz  atau lebih  satu hari. Minimanya 1-2 halaman  satu hari. Jika tidak  membaca  Al-Qur'an, Hadis dan seerah  sepatutnya  kita rasakan ada kepincangan dan kecacatan dalam proses  menyuburkan roh kita. Kita perlu biasakan, sesibuk mana sekalipun  Al-Qur'an , Hadis dan seerah perlu kita  jadikan  habit dan tabiat  yang sentiasa diulang-ulang hingga menjadi karektor. Perlu kita rasakan jika kita belum baca Qur'an, Hadis dan seerah maka hidup kita belum lengkap. Al hasil lambatlah proses  kita hendak berubah.

Idea  ini  ibu peroleh setelah mendengar berkali-kali you tube anak gadis  Acheh bernama Sherly Anavita berusia 28 tahun. apa yang ibu  dengar ibu rujuk kepada  suami ibu. Suami ibu berikan pandangannya "jangan guna akal sahaja, perlu rujuk dahulu  sumber  asal, Al-Qur'an, Sunnah Rasulullah  dan para sahabat. Segala amalan  bermula dengan niat. niat yang betul menjadi ibadah. Segala perubahan  yang kita hendak  buat itu akan menjadi ibadah jika betul niat dan  caranya"

Masha Allah, Tabarakallah...ya Allah terima kasih Engkau hantar aku bersama  Murabbi yang terkenal dengan gelaran 'gedung  Tarbiyah' di kalangan sahabat-sahabat. Jika ada kemusykilan mudah untuk ibu merujuk sebarang isu  semasa. 


Sebagai kaunselor dan juga 'ibu' bidan terjun  di Tunjung bukan mudah  menjadi orang tengah mengendurkan ketegangan antara dua pihak. Antara pekerja dengan majikan, antara anak dengan ibu bapa dan juga persahabatan  yang mulai teruji keikhlasannya. Ahli halaqah masing-masing semakin jauh hati tidak mahu hadir halaqah tanpa sebarang  uzur syar'ie. Memang perit menjadi 'trouble shooter' apa lagi lebih perit lagi mereka yang berhadapan dengan isu-isu di atas.  Ibu sentiasa berdoa semoga  Allah ampuni  segala dosa mereka, mensucikan jiwa mereka  dan mengeratkan silaturahim, ukhuwwah  dan mahabbah antara  mereka. 


Ibu akui  dalam setiap rumah di mana sekalipun  juga  ada ujian dalam keluarga. Ini membuktikan proses taaruf  tidak akan selesai selagi mana setiap ahli keluarga tidak mengenal Islam yang tulen  sepertimana yang  dibawa oleh Rasulullah SAW. Ada anak-anak luahkan  terasa jauh dengan ibu bapa. Segalanya akan berubah  apabila  setiap individu dalam rumah ada kerendahan hati hendak belajar  dari  ayah dan ibunya.  Kalau  semua anak rasa sudah pandai, apa ertinya  ilmu yang mereka ada jika tidak menghormati  pengalaman, bimbingan dan tunjuk ajar  ibu bapa yang masih hidup?  


Itu di antara  punca utama  yang dapat ibu kenal pasti. Puncanya bukan kerana  masalah makanan  atau kesihatan. Segalanya berpunca dari masalah jiwa yang tidak ada kerendahan hati untuk diproses. Isu ini bukan boleh main paksa-paksa. Masing-masing  perlu faham dan sedar  sendiri. Punca utamanya  Tarbiyah Ruhiyah terbantut kerana   kita menombor satukan perut (menternak lemak), fizikal dan akal  semata-mata. 


Ibu tertarik dengan ulasan ebook 'Menelan Kebenaran Yang Pahit' oleh Ustaz Pahrol M.Juoi. Beliau  menekankan bahawa akal mestilah diproses  agar tahu. Untuk tahu, akal perlu diberi ilmu. 

Qalbu perlu diproses agar mahu. Untuk mahu qalbu mestilah ditarbiyah (diberi input) Iman. 

Nafsu  pula perlu diproses untuk mampu. Untuk mampu, nafsu perlulah diberi latihan dan dibiasakan dengan amalan-amalan Islam. 

Tahu, mahu  dan mampu adalah tiga proses yang perlu dilalui untuk mengubah  sikap. Dalam buku  Kaunseling  Rabbani  ada menyentuh tentang  Kerajaan  Dalam Tubuh Badan menurut Teori Imam Ghazali r.a

Qalbu adalah Raja

Akal  adalah  Wazir atau penasihat  Raja

Nafsu  adalah    budak  nakal yang perlu dijinakkan.

Segala  panca indera  dan Anggota badan adalah rakyat   atau buruh  yang sentiasa  menunggu  arahan raja.

Wazir@ akal  yang berilmu (Al-Qur'an, Hadis dan Seerah)  akan sentiasa  menasihati  Raja@Qalbu  agar  bertaqwa  kepada Allah. Roh Raja  penuh dengan keimanan kepada  Allah SWT. 


Iman itulah  yang menjadi  anggota polis@ tentera  yang menjaga keamanan agar hawa  nafsu tidak bermaharaja lela merosakkan keharmonian kerajaan  dalam  badan kita. 


Iman itulah  yang berperanan menjinakkan  hawa nafsu  amarah kita agar menjadi orang yang sabar. Iman itulah yang menjinakkan hawa nafsu  kita  agar makan yang bersih, halal  dan tidak berlebihan (real food tanpa sebarang  pengawet, perisa, gula yang merosakkan kesihatan). 


Iman itulah yang menjinakkan hawa nafsu  agar  mendengar  ayat-ayat  Qur'an, bukan  mendengar  umpat keji manusia atau jadal kalami. 

Iman itulah yang menjinakan hawa nafsu agar melihat  alam  dan segala peristiwa ini  bagaikan Al-Qur'an terbuka.  

Iman itu juga yang menjinakkan hawa nafsu  agar tidak mengumpat, mengata  dan  merendah-rendahkan  orang lain.



Sama-samalah kita   berubah, takutlah dengan azab Allah ketika mana  kini masyarakat  rasa  budaya mengumpat itu biasa. Anak-anak rasa tidak bersalah mengumpat  kedua ibu bapanya, murid-mrid mengumpat  guru-gurunya. Hilang kemanisan  Iman kerana  persoalan ini tidak ditangani dengan baik, gara-gara  mereka tidak diberi ilmu. Bahkan di kalangan asatizah juga  seronok mengumpat  rakan setugas dan anak murid mereka. Ibu bapa seronok mengumpat  anak-anak sendiri. nauzubillahi min zalik. Contoh melalui teladan, memang  tidak wajar anak-anak  dipersalahkan  jika ibu bapa juga seronok mengumpat. tidak wajar anak murid  dipersalahkan jika  guru-guru bahkan asatizah juga  seronok mengumpat di sana sini. Ya  Allah  ampuni kami semua...

Allahuma  Ya Afuuwu, Ya  Ghafar , Ya  Tawwab...

Astaghfirullah lil mukminin nawal mukminat

Baru-baru ini  ibu dimaklumkan  oleh salah seorang  anak  didik yang sebelum ini berbulan-bulan menderita dikhianati  oleh majikannya. (Tahun 2020) Kini Alhamdulillah  katanya  "terasa ada ice  dalam jiwa  ini apabila  dapat memaafkan bekas majikannya dan akan cuba melupakannya . Takdir Allah  sentiasa indah dan tidak pernah salah"

Persoalannya... Siapakah  gerangan yang boleh  merosakkan   hawa nafsu?

Qalbu@hati disebut secara khusus kerana ia merupakan  tempat akidah yang menyimpang, sumber munculnya perbuatan-perbuatan yang buruk. Dalam  surah al Humazah ayat 7-9, Allah berfirman yang bermaksud:

"Yang membakar sampai ke qalbu. Sungguh api itu ditutup  rapat atas (diri) mereka (sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang" 

Neraka yang membakar dan menyelimuti qalbu dengan panasnya, serta membakar manusia dalam keadaan hidup-hidup. Qalbu merupakan organ tubuh yang paling merasakan sakit. Qalbu  disebutkan secara khusus kerana ia merupakan temoat akidah yang menyimpang, niat buruk, akhlak tercela berupa takabur dan merendahkan manusia dan perbuatan-perbuatan  tidak baik lainnya.

Khalid bin Abi Umran meriwayatkan dari  Nabi SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya neraka itu akan membakar penghuninya, hingga jika telah sampai pada qalbu mereka, maka api  tersebut berhenti. Kemudian mereka kembali seperti semula, maka api tersebut kembali membakarnya. Hal itu sebagaaimana  firman Allah SWT 'api (azab) Allah dinyalakan  yang membakar sampai ke qalbu'

 (Al Humazah:6-7)

Nauzubillahi min zalik

ya  Allah  lindungi kami dari   azab api neraka

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil