Bagaimana Menangani Krisis Nilai?

Salam Jumaat penuh barokah

Segala puji-pujian hanya milik Allah, Rabb yang menguasai sekelian alam. Allah Yang maha Kuasa, kerana nikmat-nikmat-NYA menjadi sempurnalah segala  kebaikan. hanya kepada-NYA taufiq, hidayah dan inayah diharapkan dalam segala  urusan dunia dan akhirat. 

Selawat dan salam khusus untuk  Rasul  junjungan sallallahu alaihi wassalam. Allahu masolli ala saidina Muhammad SAW . Allah menutup laluan ke Syurga-NYA dan tidak seorangpun yang boleh membukanya kecuali dengan mengikut jejak langkah  baginda  yang  bakal pemberi syafaat di akhirat  nanti. Insha Allah

Tajuk ini ibu pilih sekadar melepaskan kerisauan ibu  setelah sekian lama memikirkan  krisis nilai sekarang yang tidak pernah berkurang, bahkan semakin berleluasa  dalam masyarakat khususnya dalam bidang pendidikan, politik, sosial dan ekonomi. Manusia keliru hala tuju kehidupan mereka samada  ingin menjadi hamba Allah atau hamba hawa nafsu. Mereka semakin keliru apabila para pemimpin tidak menjadi contoh seperti mana Rasulullah SAW dan para sahabat terlebih menjadi contoh ikutan dalam kehidupan mengutamakan didikan Al-Qur'an yang mensucikan jiwa dan mengamalkan kandungan, bukan sekadar mengadakan musabaqah tanpa memahami kandungan kitab suci tersebut. 


Di antara  kegagalan demi kegagalan para pemimpin walaupun fizikalnya Malaysia sudah merdeka sejak tahun 1957  adalah seperti berikut:

Dalam bidang pendidikan, kerajaan telah gagal sama sekali meletakkan akidah merentas semua kurikulum pendidikan. Kejahilan mereka  yang bertkar ganti berada di Kementerian Pendidikan walaupun ada memiliki sijil PHD akan dipersoalkan di akhirat nanti kenapa salah menyusun atur dan tidak berani meletakkan  Al-Qur'an  dan Hadis di tempat yang pertama sebagai rujukan utama dalam semua kurikulum. Kegagalan ini  menyebabkan hala tuju kehidupan manusia  bersimpang siur tidak tentu arah. Berbillion ringgit terbazir tanpa menghasilkan ramai insan yang soleh dan musleh.

Malah para asatizah juga terkeliru bahkan tergiur mengejar dunia  menjadikan Al-Qur'an dan subjek Deeniyah sebagai sumber  pendapatan dan menambah kekayaan mereka. Kesan kegagalan dalam perbaiki kurikulum pendidikan, para asatizah tidak atau gagal  menjadi contoh apalah  yang kita hendak harapkan kepada golongan  bukan asatizah? 

Suami ibu selalu berpesan  agar jangan menyimpang niat dengan menjadikan kerjaya utama  kita iaitu dakwah dan tarbiyah sebagai sumber mencari  dunia/ duit. 

"Ya Allah pelihara dan perbaguskan niat kami hanya mengharapkan keredhaan-MU..." 

Ibu perhatikan sekarang di media sosial terlalu sukar nak ikut para asatizah kerana ramai pendakwah suka glamour yang kebanyakannya menjadikan tugas dakwah sebagai kerjaya untuk kaya raya untuk diri dan keluarga sahaja. Semoga Allah sentiasa pelihara  niat utama dakwah dan tarbiyah kita tidak rosak kerana ingin 'glamour' dan dapat banyak 'like' dalam media sosial. Nauzubillahi min zalik. Alhamdulillah memang ibu tidak  nafikan masih ada lagi  asatizah yang ikhlas dan serasi dengan jiwa kerana mereka mengutamakan bagaimana  Al-Qur'an melahirkan pemimpin umat  seperti zaman Rasulullah SAW. 

Kini amat penting  kita  menyuburkan impian melahirkan lebih ramai Faqehu fiddeen seperti  Abdullah Ibn Abbas yang  didoakan oleh Rasulullah sejak kecil. Pakar Hadis  seperti Saidatina Aishah radhiyallahuanhuma. Pakar seerah seperti Said Ramadhan Al-Butiy dll ulama setara dengannya. Inilah harapan ibu sentiasa mendoakan semua cucu-cucu  kami dan cucu-cucu para sahabat dan sahibah yang bakal mengubah dunia mengembalikan zaman kegemilangan Islam  bukan sahaja di tanah air, bahkan di Nusantara  dan seluruh pelusuk  dunia.

Dalam bidang  politik pula, kenapa kita  masih mengabdikan diri kepada perlembagaan ciptaan manusia? Lord Reid  yang merangka perlembagaan negara kita sudah telah lama menjadi mendiang. Perlembagaan Al-Qur'an langsung tidak dipedulikan kononnya kerana takut hilang Demokrasi. Pemimpin-pemimpin hanya takut penularan Covid-19 tetapi tidak takut akidah umat semakin rosak gara-gara virus 'cinta dunia'. Mereka lebih mengutamakan perkembangan  ekonomi sebaliknya perkembangan rohani sendiri tidak  menjadi contoh  kepada rakyat . Rasuah masih berleluasa  di kalangan mereka walaupun mereka kononnya  ada pendidikan agama. Deen Islam dikoyak-koyakkan demi memenuhi hawa nafsu mereka untuk mengekalkan kuasa (takhta) dan harta.

Masalah  sosial, manusia  berlumba-lumba bertuhankan hawa nafsu dan lupa pada Allah SWT. Gejala sosial semakin  mengganas, walaupun  di kalangan umat  Islam. Tidak cemaskah para pemimpin kita di mana  lebih 80% umat Islam tidak solat??? Ramai  pelajar Islam di IPT menjalankan aktiviti  mensyirikkan Allah dengan mengamalkan mentera-mentera sihir  yang dipelajari  dari Google...

Sebagai seorang ibu dan nenek, memang risau memikirkannya kerosakan umat kini...Jika  kita tidak buat sesuatu untuk perbaikinya maka tidak mustahil kerosakan itu turut  mengheret  anak cucu kita menjadi mangsanya kelak. Nauzubillahi min zalik. 

Justeru itu  selemah-lemah kita hendak berdakwah, sekurang-kurangnya sama-samalah kita doakan manusia ini mengenal penciptanya. "Ya Allah  bawalah  semua manusia ini menuju ke pintu-MU. Inilah doaku selama-lamanya dan segala urusan itu aku serahkan kepada-MU"


Ustaz  Umar Mitta (video di atas) menjelaskan 5 ciri mereka  yang telah menjadi hamba dunia. Punca utamanya  kerana  berlakunya penyimpangan niat dalam  beribadah kerana  tidak memahami  tujuan utama  al-Qur'an diturunkan.


Berlakunya  krisis  nilai kerana  ramai di kalangan kita  telah menjadi  'hamba dunia' dan terlupa sebenarnya hala tuju kehidupan mereka adalah akhirat. Ada 3 kategori manusia menurut Dr Fathy Yakan dalam buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam. 

1. Manusia  yang hidupnya  untuk Dunia  sahaja. Mereka  tidak percaya dengan hari akhirat. Contohnya orang Komunis , Liberalisme,  Sekular dan seumpamanya

2. Golongan  yang sesat  antara dunia dan akhirat. Ramai di kalangan umat Islam terkeliru  dan tidak  tahu ke manakah hala tuju kehidupan mereka ? Mereka menjunjung dunia dan menjinjing  akhirat  hingga  akhirnya  tercicir apa yang dijinjingnya.

Imam As Syahid  Hasan Al Bana menyatakan ;"Sebenarnya Al-Qur'an telah menentukan matlamat kehidupan dan tujuan-tujuan kehidupan manusia..."

Tujuan hidup golongan kedua ini adalah menikmati perhiasan dan bersenang-senang dengan kemewahan merujuk  firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 14.

3.Golongan yang Menjadikan Dunia sebagai Ladang Untuk Akhirat. Golongan mulia ini sentiasa menjunjung  akhirat  dan tidak bimbang  jika dunia  terlepas dari tangannya. Apa sahaja  aktiviti dan amal soleh di dunia ini dilakukan kerana  hanya mengharapkan keredhaan Allah dan  bukan untuk keredhaan manusia

Imam Hasan Al Bana mengingatkan "Demi Tuhanmu, wahai saudara yang dimuliakan. Adakah umat Islam memahami pengertian ini ( Al-Qur'an) yang menyebabkan jiwa mereka  akan menjadi tinggi, semangat mereka akan meningkat malah mereka akan bebas dari belenggu kebendaan? Mereka akan terhindar dari godaan syahwat  dan keinginan nafsu serta menjauhi perkara-perkara yang sia-sia dan tujuan-tujuan yang penuh kehinaan. Dengan kefahaman ini mereka dapat meluruskan tujuan dan haluan mereka kepada  Allah yang menciptakan langit dan bumi, ikhlas mempertahankan  kalimah Allah, berjihad  pada jalan-Nya, menyebarkan agama-Nya dan mempertahankan syariat-Nya atau sebaliknya mereka ditawan oleh syahwat dan menjadi hamba kepada  kerakusan nafsu serakah. Seluruh impian mereka hanyalah untuk mengisi perut mereka dengan makanan yang lazat, kenderaan yang cantik, tidur yang nyenyak dan gelaran-gelaran yang kosong"


Bagaimana  Menangani Krisi Nilai?

Alhamdulillah ketika  mendengar Cikgu Azmi mengulas hasil bacaannya tentang Al-Qur'a'n  dari buku Dr Majdi Al Hilali bertajuk 'Dari Hati  Kita Bermula' selepas itu ibu terus  mencari buku tersebut untuk dihayati. Sudah lama ibu memang  berazam  untuk terus istiqomah menjadikan Al-Qur'an sebagai teman setia. Perlu tadabbur Al-Qur'an dengan membaca dan banyak mendengar ulasan tafsir Al-Qur'an. Terasa terisi jiwa ini dengan makanan dari langit untuk roh yang sentiasa  gersang ini kerana alpa, sibuk dengan urusan dunia. 

Urusan dunia bagi orang pencen ni biasanya sibuk menyediakan makanan fizikal. Ibu  berazam dengan pertolongan Allah  berusaha untuk mencatu waktu menyediakan makan. makan bukan lagi rutin utama kami sebaliknya kami  makan ala kadar apa yang ada  bukan apa yang kita mahu. Waktu makan yang dicatu itu akan dimanfaatkan  untuk tadabbur Al-Qur'an. Insha Allah.

Saidina Ali Abi Talib berkata : "Tiada kebaikan dalam membaca (al Qur'an) yang tidak disertai dengan tadabbur"

Para sahabat dan tabiien  meyakini bahawa  maksud tilawah al-Qur'an adalah mentadabbur dan mengamalkannya. Perkataan dan perbuatan mereka  menunjukkan  hal itu.

Abdullah  bin  Mas'ud  berkata; "Jika  kita  berasa sulit menghafal lafaz-lafaz Al-Qur'an, mudah mengamalkannya. Sesungguhnya ada sebahagian daripada  kita yang mudah  menghafal al-Qur'an tetapi susah  mengamalkannya"  

Bila  kita  berazam untuk taddabur Al-Qur'an , Allah pertemukan dengan mereka yang sehaluan. Ibu amat tersentuh dan mengalir  air  mata mendengar Dr Solehah Kaswari menyampaikan mukadimah Kisah-Kisah dalam Al-Quran  oleh Dr Wahbi Az Zuhaili. Boleh tonton dalam link  berikut;

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3481944568549961&id=100002033576961










Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil