Hakikat Kesyukuran Sebenarnya...

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ 

'Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (surah Ibrahim ayat 7).


Alhamdulillah dengan izin Allah jua ibu berpeluang mengulangkaji  membaca  tafsir surah Ibrahim  ayat 7.  Ibu tertarik dengan penyampaian seorang muslimah solehah bernama Yasmin Mogahed berkaitan ayat suci ini...
"Fokus kepada  apa yang kita ada, jangan sibuk mencari  apa yang tidak ada  pada kamu."
Rasa terpanggil hendak merujuk Amazing Qur'an dan berkongsi dalam  halaqah online  bersama  ibu muda  pada hari Rabu. Amat  menarik untuk  dihayati. Kita ditanya  antara  syukur  dengan pujian 'Alhamdulillah' mana yang lebih tinggi status atau nilainya. Apabila habis menelaah tafsir  itu  baharulah ibu faham  bahawa ucapan terima kasih itu  tidak  bernilai  jika  tidak diiringi   dengan ucapan Alhamdullillah. Pujian itu  adalah  akar umbi  kepada  syukur.  

 

Dalam Amazing Qur'an halaman 510 menjelaskan tentang perbezaan antara Al-hamdu (pujian) dan (syukur), mana yang lebih tinggi dan  dan lebih utama di antara keduanya?
Di dalam  hadis disebutkan "Pujian itu adalah pangkal syukur. Siapa  yang tidak memuji Allah, maka dia tidak bersyukur  kepada-Nya"
Maksudnya  syukur itu diperolehi (dapat) dengan qalbu sebagai manifestasi ketundukan, dengan lisan sebagai manifestasi pengakuan, dan dengan anggota tubuh sebagai manifestasi ketaatan. Syukur  ini amat berkait rapat dengan pelbagai nikmat yang Allah kurniakan bukan sifat-sifat Zat Allah SWT. Maka tidak dapat dikatakan "Kami bersyukur kepada Allah atas hidup, pendengaran, penglihatan dan ilmu-Nya" kerana memang Allah Maha Terpuji dengan sifat-sifat ini, sebagaimana Dia terpuji kerana kebaikan dan keadilan-Nya

Syukur itu dilakukan atas kebaikan dan nikmat. Maka segala  hal yang berhubungan dengan syukur sudah tentu  berhubungan dengan pujian, namun tidak sebaliknya. Segala sesuatu yang berlaku dalam pujian berlaku pula dalam syukur, namun tidak sebaliknya, kerana sesungguhnya syukur itu selain daripada  dengan qalbu dan lisan, juga dilakukan  dengan anggota badan, sementara pujian hanya dengan qalbu dan lisan.

Penyusun kitab Manazil As-Sa'irin berkata; "Syukur merupakan istilah untuk mengetahui  nikmat kerana mengetahui  nikmat ini merupakan jalan untuk mengetahui Pemberi nikmat. Kerana itu , Allah menamakan Islam dan iman di dalam al-Qur'an dengan syukur" 
Maka  mengetahui nikmat  merupakan salah satu daripada beberapa rukun syukur, bukan kerana ia bahagian daripada  syukur seperti yang disebutkan  di atas bahawa syukur  itu merupakan pengakuan terhadap nikmat, pujian kepada Allah kerana nikmat itu dan mengamalkan nikmat seperti  yang diredhai-Nya tetapi kerana mengetahui nikmat ini merupakan rukun syukur yang  paling  besar  sehingga syukur  tidak  mungkin ada tanpa mngetahui  nikmat.

Ayat "nikmat merupakan jalan untuk mengetahui  pemberi  nikmat" ertinya  dengan mengetahui nikmat itu akan membuat seorang hamba  dapat mengetahui Pemberi nikmat itu. Jika dia mengetahui Pemberi nikmat, tentu sahaja akan mencintai-Nya dan bersungguh-sungguh dalam permohonan-Nya, kerana  siapa yang mengetahui  Allah tidak mustahil akan mencintai-Nya dan siapa yang mengetahui  dunia, tidak mustahil Allah akan membuatnya  membenci dunia (Dengan demikian,ayat di atas mengharuskan untuk mengetahui Pemberi  nikmat dan mengetahui Pemberi nikmat mengharuskan mencintai-Nya dan mencintai-Nya mengharuskan bersyukur kepada-Nya.~ Sedutan dari buku  Ibnul Qaiyyim Al-Jauziyyah,Madaripadaju As Salikin Manazillu Iyyaka Na'budu wa iyyaka Nasta'inu.

Alhamdulillah, jika  kita  bersyukur menerima  pelbagai  perubahan  dan norma baru kesan Covid-19, Insha Allah, tidak mustahil  Allah akan tambah nikmat-Nya dalam bentuk lain. Kita redha, tanpa sebarang musafir, Allah izin banyak kemudahan ilmu  yang kita  boleh perolehi  secara online. 

Alhamdulillah, mutakhir ini Allah izin  ibu dapat  faham dengan jelas  konsep   perbandingan Tauhid  Rububiyyah  dan Uluhiyyah  yang sukar  ibu nak faham sebelum ini kerana  ibu memang bukan  aliran Deeniyah. Melalui Daurah  online setiap minggu dihadiri lebih 300 dari seluruh Malaysia, jika  dihayati dan ditadaburi Allah berikan kefahaman. Hakikat  Rububiyah  adalah segala  kekuasaan  dan kenikmatan  yang Allah anugerahkan kepada para hamba-Nya (Semua sifat-sifat Allah) juga diyakini  oleh kebanyakan  orang munafik  dan orang kafir. 
Manakala  hakikat Uluhiyyah (pengabdian) adalah dari para hamba kepada Rabbnya yang hanya Allah dikurniakan kepada para  mukhlisin (orang yang ikhlas) mengabdikan diri kepada  Allah kerana  sentiasa  bersyukur. Uluhiyyah ini amat sukar dan tidak mampu dilakukan oleh kaum munafik  dan orang Kafir kerana  mereka  tidak bersyukur.

Jika  kita baca surah Al Fatehah, ayat pertama  hingga ayat  keempat mengambarkan  hakikat Tauhid Rububiyyah, Allah  yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, yang  menguasai seluruh alam, yang  memiliki  hari pembalasan...
Manakala ayat kelima hingga  ketujuh  adalah gambaran uluhiyyah yang sepatutnya ada pada  setiap  hamba kepada Rabb-nya. "Hanya Engkau  yang aku  sembah  dan hanya kepada Engkau aku mohon pertolongan, Tunjuki kami  jalan yang lurus....bukan jalan  yang murkai dan bukan  jalan  yang sesat" 

Analogi mudah yang ibu cuba fahamkan, gambaran rububiyah adalah dari atas ke bawah. Dari Allah kepada  para hamba-Nya. manakala Uluhiyyah dari bawah ke atas, dari hamba  kepada Rabb-Nya. Contohnya  dalam keluarga, dengan kudrat yang Allah kurniakan, para   ibu bapa sentiasa  berusaha  menyediakan pelbagai keperluan asas makan minum, pendidikan dan kemudahan untuk anak-anaknya, Ibu bapa tidak pernah mengharapkan balasan walaupun sudah tua. Semuanya  adalah dari kurniaan  Allah jua.

Banyak kes  yang ibu perhatikan dalam bab ketaatan dari  anak kepada  ibu bapa, ramai  anak gagal melakukan  yang terbaik. Banyak sangat  songel dan komplain khususnya  apabila orang tua sibuk dengan taman-taman syurga (majlis-majlis ilmu) bahkan mengumpat dan mengata ibu bapa  dengan kata-kata yang tidak sepatutnya menyebabkan orang tua tidak sedap hati dan hanya 'diam' sebagai solusi terbaik. 

Gara-gara  gagal faham Al-Qur'an, ramai  anak walaupun sudah bekerja dan berumah tangga sentiasa mengharapkan ibu bapa menyara makan minum dan kemudahan semua ahli keluarganya. Ibu ingin kongsi tanggungjawab  almarhum abah semasa hidupnya setiap kali dapat  gaji, akan belikan keperluan asas bukan sahaja untuk keluarganya sendiri tetapi juga  untuk ibu dan dua kakak-kakaknya yang tergolong  dalam golongan Asnaf. Ramai  anak-anak (adik beradik ibu) amalkan kesolehan itu. Contohnya  kakak ibu, walaupun mampu beli sendiri tetapi anak-anaknya setiap bulan mencukupkan keperluan asas di dapur. Jika balik kampung, anak menantu  akan bawa  lauk pauk sekali  tanpa menyusahkan ibunya. 

Ini adalah analogi keikhlasan  anak-anak kepada  orang tuanya. Tidak berkira mempermudahkan segala  urusan ibu bapanya. Sebab itu pentingnya  ada usrah, mudah  ibu bapa  buat teguran dibuat secara berhikmah. Semoga  impian ini Allah makbulkan kelak. Insha Allah.

Begitulah  hakikat perhambaan kita, sentiasa  mengharap Allah  berikan yang terbaik tetapi kita kebanyakan kita sangat kikir dan gagal hadirkan keikhlasan beribadah  dan bersedekah hanya  untuk Allah. 

Alhamdulillah, sekarang ni Allah izin dengan kerjasama  anak-anak halaqah terbaru, ibu dapat joint  group 'tadabbur  al-Qur'an'  bersama  pelajar-pelajar UIAM secara online. Alhamdulillah, ibu rasa bahagia sangat,  setiap hari ada sahaja program online menyebabkan ibu rasa lebih selamat ada  dapur  selangkah dua berhampiran dengan Wad VVIP. Kalau  ulang alik 20 langkah ke dapur utama, sudah banyak pinggan dan cawan pecah kerana 'stress' terkejar-kejar memikul amanah antara tanggungjawab urus  suami, belajar, mengajar dan urusan dapur. 

Alhamdulillah, apa yang ibu impikan akhirnya  Allah makbulkan  dengan mudahnya proses ubah suai dapur comel di sebelah 'mihrab' ibu. Sambil panaskan lauk atau kukus makanan boleh baca Qur'an dan ikuti majlis ilmu@ taman syurga online dan tidak menjejaskan tugas dan urusan memantau kesihatan suami.  Alhamdulillah, Terima kasih ya Allah di atas nikmat anugerah-MU mempermudahkan segala urusanku. 

Insha Allah di samping halaqah onine (3 halaqah), daurah, ibu akan ikuti program tentang meng'up grade' pemikiran bersama  Dr Rizal selama 3 hari mulai 27-29 November. 
Seminar Pengurusan Emosi bersama  Ustazah Solihah Kaswari  pada  Sabtu 5 Disember dari pagi hingga  petang.

Alhamdulillah, ibu ucapkan  Jazakumullahu khyran  kathira kepada  semua anak menantu dan cucu-cucu memahami minat  ibu tanpa  mengabaikan tugas utama masing-masing. Suami ibu  juga  berpeluang mendengar  sama apa yang ibu belajar secara  online. Insha Allah, impianku  agar  rumah ini menjadi taman-taman syurga  akhirnya kesampaian.Aamiin Ya Rabbal alamin. Semuanya adalah  untuk kebangkitan ummah  generasi  selepas  kematian kami. Alhamdulillahi Rabbil Alamin. 

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil