Perjalanan Kisah Cinta Kita
Alhamdulillah Rabbil Alamin. Bersyukurlah kita kepada Allah atas nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan kepada kita dan anak keturunan kita, semoga nikmat itu berkekalan hingga hari kiamat. Aamiin Ya Rabbal Alamin.
Selawat dan salam ditujukan khusus kepada Rasulullah SAW, kaum keluarga, para sahabat, para tabieen, salafus soleh, ulamak-ulamak muktabar serta jiwa-jiwa yang ikhlas mengabdikan diri hanya sanya kepada Allah SWT.
Allah uji kita kerana Allah amat mencintai kita. Yakinilah hakikat itu. Tetapi sejauhmanakah cinta kita kepada Allah yang Maha tahu setiap kemampuan para hamba-Nya? Alhamdulillah berbekalkan tarbiyah madrasah Rasulullah SAW, Allah kurniakan ibu ketenangan berhadapan dengan setiap situasi yang cemas hingga terlupa diri tak sempat hendak mandi seharian. Kadang-kadang ibu agak hairan, setelah banyak makan buah-buahan, sayur-sayuran dan Aloe vera gel masih tidak membantu pencernaan. Mesti ada teguran dari Allah untuk ibu. Keuzuran suami mengalami sembelit kemudian dikunjungi tetamu secara mengejut waktu tengah makan tengah hari Selasa menyebabkan dia hilang selera hendak terus makan. Keadaan kakinya kerap mengalami kekejangan dan stress, sukar mengawal keseimbangan badan hingga hampir terjatuh dan Alhamdulillah sempat ibu sambut sebelum terjatuh. Cuma malam tadi suami memaklumkan dirinya "rasa lain macam" Ibu rasa agak cemas sedikit tetapi masih diamkan, tidak mahu heboh sebab sudah malam.
Pada malam yang sama ibu disapa oleh seorang ibu yang sedang stress berhadapan dengan kerenah suaminya.
"saya harap kak doakan saya semoga Allah beri saya kekuatan. Saya tak mampu nak ajak suami sehaluan kerana dia sudah banyak berubah" Seorang ibu merintih. Ibu tidak faham apa maksud suaminya sudah banyak berubah. Jawabnya "saya tak tahu nak cakap dah jalan hidupnya berubah tak macam dahulu lagi. Perangainya kadang-kadang tak boleh go along, dah banyak berbeza pendapat"
Ibu bertanya lagi "suami masih solat fardhu?"
Jawabnya "Ya dia masih solat tetapi tak boleh ditegur sikitpun jika ada yang tak betul"
Ibu sarankan agar dia cari ketenangan dengan banyak diam, tak perlu tegur kesalahan suami lagi kerana nanti dia bertambah stress. Lebih baik mengadu kepada Allah, biar Allah yang tegur kesilapan suaminya. Ibu bimbang sangat teguran kita yang serba lemah dan serba kekurangan ini akan menyebabkan dia semakin jauh dari Allah. Hanya Allah yang boleh selamatkan suaminya dari larut dalam kehidupan jahiliyah.
Setelah dua hari berlalu ibu hantar kata-kata Ustazah Yasmin Mogahed seperti berikut:
Hidupmu tidak lebih dari kisah cinta. Antara kamu dan Tuhanmu. Tidak lebih dari itu. Setiap orang, setiap pengalaman, setiap pemberian, setiap kehilangan, setiap kesakitan adalah untuk kamu lalui hanya kerana satu sebab iaitu untuk membawamu kembali kepada DIA ( Your life is nothing more than love story. between you and God. Nothing more every person, every experience, every gift, every lost, every pain is sent to your path for one reason and one reason only to bring you back to HIM)
Jawab ibu itu;
"Jazakillah kak, kata-kata yang kak kongsi Alhamdulillah beri jalan keluar dan ketenangan kepada saya"
Ibu sarankan agar dia hafal doa Asiyah isteri Firaun رَبِّ ابْنِ لِي عِندَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ ( sedutan dari surah At Tahrim ayat 11). Doa ini, Insha Allah boleh membawa jiwa dan fikiran kita fokus kepada Big Picture 'sebuah istana di sisi Allah dalam syurga'. Tidak semudah yang dikata, hendak dapatkan sebuah istana dalam syurga mestilah kita korbankan segala cinta hawa nafsu yang palsu dan beralih kepada cinta abadi iaitu bercinta dahulu dengan Allah, Pencipta dan Pemilik segala isi langit dan bumi ini. Tak kenal maka tak cinta, justeru itu perlukan ilmu makrifatullah agar kita kenal Allah baharulah akan wujud bibit-bibit cinta. Ibu amat bersyukur sejak dahulu (perkahwinan pertama) hingga kini Allah kurniakan suami yang sehaluan, sama-sama berusaha mencari ilmu meningkatkan kualiti iman agar semakin dekat kepada Allah.
Kisah Cinta Asiyah dengan Rabbnya sewajarnya sentiasa menjadi sumber inspirasi kepada semua wanita yang 'stress' berhadapan dengan situasi suami yang tidak bersefahaman. Cuma bezanya, Firaun kafir kerana mengaku dirinya tuhan sebaliknya 'suami yang lalai' di sisi kebanyakan wanita solehah masih lagi tunaikan solat fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan dan tunaikan kewajipannya beri nafkah kepada anak dan isteri. Di sebalik keperitan itu pasti ada cinta Allah menanti, jika kita redha...
Isu di atas menjadi sumber inspirasi ibu dalam ucapan aluan Jamuan Akhir Tahun Taska Ummu Salamah ditujukan khas kepada para pengasuh dan ibu bapa yang hadir sebentar tadi. Kami turut meraikan salah seorang pengasuh berusia 66 tahun, sudah berkhidmat di Taska selama 18 tahun. Ibu bagi pihak pengurusan Taska mengucapkan terima kasih kerana banyak pengorbanan dan sumbangan idea, tenaga, kasih sayang dan doa beliau mengasuh anak-anak hingga ada di antara mereka (anak-anak asuhan) sudah menjadi rijal ummah, pendakwah dan murabbi@ murabbiyah. Semoga segala jasa baik, khidmat baktinya kerana Allah menjadi saham akhirat dan asebab Allah memilihnya menjadi hamba yang dicintai-NYA.Sepertimana input dalam halaqah Bintulu dan Halaqah ibu-ibu muda Rabu lalu, ibu merujuk surah As -Syams ayat 7-10
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّىٰهَا ﴿الشمس:٧
7. demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya
فَأَلْهَمَهَا فُجُوْرَهَا وَتَقْوَىٰهَا ﴿الشمس:٨
8. maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya,
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّىٰهَا ﴿الشمس:٩
9. sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu),
وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّىٰهَا ﴿الشمس:١۰
10. dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.
Sungguh beruntungnya mereka yang mensucikan jiwanya hingga terpilih menjadi kekasih Allah.
Dalam hadith Bukhari, 3209. Daripada Abu Hurairah ra. Nabi sallallahu alaihi wassalam bersabda yang bermaksud: “Kalau Allah mencintai seorang hamba-Nya, Dia memanggil Jibrail, "Sesungguhnya Aku mencintai sifulan maka cintailah dia. Maka Jibrail mencintai hamba itu dan kemudian Jibrail menyeru penduduk langit, ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah dia. Maka penduduk langit mencintainya. Kemudian ditaruh baginya penerimaan di bumi.”
Hakikatnya Allah Al Wadud sangat mencintai hambanya yang bertaqwa yang sentiasa bertaubat. Berlakunya percintaan dua hala apabila hambanya berubudiyah dengan ubudiyah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAw dan para sahabat. Inilah amalan yang membuktikan cinta seseorang hamba kepada merujuk firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran, ayat 31:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Bermula awal pagi hingga tidur semula Rasulullah SAW telah tunjukkkan cara kita meraih cinta Allah. Bangkit dari tidur merupakan peluang paling lapang kita bercinta dengan-NYA iaitu bertahajjud, baca Qur'an dan berzikir hingga solat Subuh, diikuti solat sunat Israq dan solat Dhuha. Meniti usia senja ini ibu sedang melatih diri dengan izin suami memulakan urusan sarapan selepas selesai solat Dhuha, lebih kurang jam 7.50 pagi. Jika tidak selesaikan sebelum jam 8.00 pagi, kita akan selalu terlupa tunaikan solat Dhuha. Semoga amalan-amalan sunnah ini dapat membantu kita mengundang kecintaan Allah. Allah SWT berfirman dalam hadits Qudsi yang bermaksud: “Dan hamba-Ku sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan sunnah sehingga Aku mencintainya.”
Saling cinta dan mencintai semasa mukmin, minimanya berlapang dada, berbaik sangka dan doakan yang terbaik untuk semua umat Islam khususnya ahli keluarga terutamanya adik beradik yang masih hidup dan telah meninggal dunia.
Sejak PKPP, kami sudah lama tidak saling mengunjungi namun perlu usahakan buat Google Meeting atau video call. Konsep Al-Asr wajib disuburkan walaupun banyak halangan merintangi kita untuk saling tolong menolong dan saling memberi nasihat kerana Allah SWT. Ibu amat bersyukur Allah permudahkan dan hiburkan ibu setiap minggu dengan cinta dan kasih sayang dari jauh melalui halaqah online merentas negeri hingga Bintulu, Kelantan dan Selangor. Tanpa izin Allah nikmat cinta dan kasih sayang ini tidak akan ibu nikmati... Ibu sedang melatih diri mengamalkan doa Ustazah Norhafizah Musa;
"Ya Allah jadikan aku pada pandanganku kecil sahaja (tiada apa-apa), namun biarlah di sisi manusia boleh menjadi tauladan yang baik.
Ya Allah jadikan aku sangat penyabar dan sangat bersyukur
Ya Allah jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan"
Wallahu alam
Comments
Post a Comment