Bahagiakanlah Selagi Hayat Masih Ada

Hari Khamis, 17 JUN diumumkan keputusan STAM. Alhamdulillah  calon-calon STAM  MATRI merupakan yang terbaik  di seluruh Perlis. Wawancara oleh TV3 dengan Mudir  secara bersemuka dengan wartawan. manakala  wawancara dengan  3 calon  terbaik MATRI dibuat  secara online. Ibu ada kenangan indah  bersama  putera puteri STAM 2021. 

Walaupun kami jarang  sekali bersembang  ketika mereka hadir ke rumah kerana  ada kelas Mantiq dengan Ustaz Omar, namun mereka  amat faham ibu dan kami mudah mesra. Terkenang 7 tahun lalu, walaupun ibu masih baharu di Tunjung Perlis, namun beberapa sahibah yang baharu ibu kenali  memaklumkan "baru seminggu/ sebulan kak di sini tetapi kami dah kenal kak macam dah lama dah, bertahun-tahun dulu." Dari isu ini baharu ibu faham pentingnya  ada persamaan visi dan misi perjuangan dalam  dakwah  dan tarbiyah. Visi  mengharapkan keredhaan Allah  dengan menancapkan  kalimah 'Asyhadu a La Ilaha illallah dalam jiwa, fikiran , lisan  dan tindakan. Allah sentiasa  nombor  satu dalam qalbu, dalam fikiran ketika memutuskan sebarang keputusan membuat  sebarang  pilihan. Tiada  sekutu bagi-NYA.

Manakala  misi kehidupan  kita adalah  ubudiyah, mengabdikan  diri hanya sanya  kepada  Allah SWT  mengikut cara  Rasulullah SAW. Kita perlu buktikan syahadah kedua kita  'Asyhaduana  Muhammadur  Rasulullah'

Misi  ibu berada  di Perlis  ini  adalah  untuk membahagiakan suami. Suami ibu amat bahagia jika ibu dapat  meneruskan kerja-kerja  D&T. Tiap-tiap malam akan bertanya  'ada halaqah mana  malam ni?' Ibu faham suami ibu amat  suka jika kerja-kerja ini ibu lakukan walaupun  hanya dari rumah. Alhamdullillah, Allah izin  ada hikmahnya Pendemic Covid-19 sepanjang  awal 2020 hingga  kini memudahkan  ibu meneruskan  halaqah tanpa  mengabaikan tugas menyantuni keuzuran suami. 

Paling seronok  halaqah selepas Subuh, fikiran tengah fresh, mudah hendak menyerap  ilmu-ilmu yang kami kongsi. Suamipun dapat  dengar  bersama. Jika  perlu kami bincang secara santai. Insha Allah, dengan pertolongan Allah jua,  ibu akan berkorban apa yang terdaya demi  masa  depan D&T yang telah sama-sama suami berkorban segala-galanya membantu Almarhum Dato' kaya bakti Ustaz Dahlan Md.Zain dan sahabat generasi awal. Hazamin fadzli Rabbi, Alhamdulillah, ibu dapat  rasakan aroma 'syurga' sepanjang bersama  suami yang amat memahami bahkan mendoakan...


Bahagia itu kurniaan Allah setelah kita redha menerima segala kekurangan yang ada dan manfaatkan segala kelebihan ilmunya demi masa  depan Islam. Jika  ada sebarang salah faham dari pihak lain,  ibu sudah terlatih tidak akan layan sama sekali  untuk menjaga kestabilan emosi. Sering suami pesan 'jangan kecik hati...depa belum faham' Alhamdulillah, Allah izin ibu dapat belajar bersabar  dengan hikmahnya   yang banyak diam. Watak  Nabi Yaacob menghiasi seorang ayah yang sangat sabar. Sobrun Jamil

Syukur Alhamdulillah, berkat  berbincang dengan team kaunseling akhirnya ibu  mengalah menangguhkan dahulu Kaunseling Rabbani. Ibu dinasihatkan fokus  kepada  tajuk 'Baitul Muslim' merujuk  kisah-kisah  dalam al Qur'an. Tajuknya  'Kaya itu bahagia?'

Alhamdulillah  banyak aspek yang membantu ibu dapatkan maklumat. Bahagia Asiyah  isteri Firaun, bukan kerana suaminya Raja bertakhta atau duduk di istana yang serba mewahnya. Bahagianya  kerana  ubudiyahnya kepada Allah.

Bahagianya  Maryam  ibu Nabi Isa kerana  ubudiyyahnya walaupun diuji lahirkan  anak tanpa suami. Hebat wanita  ini. Masha Allah. Kekal bahagianya  adalah susulan dari pengorbanan ibunya (isteri Ali-Imran) dengan nazar dan doa selepas kelahirannya  agar tidak diganggu  oleh syaitan.

Bahagianya  Sarah isteri  Nabi Ibrahim  kerana  ubudiyyah walaupun bermadu dengan Hajar yang melahirkan Ismail. Berkat kesabarannya  Allah kurniakan Ishak. Bahagianya Hajar kerana  ubudiyyah walaupun ditinggalkan berdua  di padang pasir gersang yang kering  kontang. 

Bahagianya  para isteri Rasulullah sallallahu alaihi wassalam kerana masing-masing   berubudiyyah  walaupun  berpoligami itu amat menguji kesabaran.

Deritanya  isteri Abu Lahab kerana derhakanya menyokong kederhakaan suaminya. Deritanya isteri  Nabi Nuh dan Nabi Hud  kerana  kederhakaannya  kepada Allah walaupun bersuamikan para Nabi.


Pokoknya bahagia  ada tribulasinya kita  berjalan menuju Allah. Penghalang terbesar antara  kita  dengan Allah adalah diri kita sendiri terlalu harapkan  redha  manusia. Sebenarnya kita tidak perlukan  seluruh  manusia  mencintai kita. Kita hanya perlukan  Allah  dan copy paste segala didikan dan ajaran Rasulullah. Biaq pi dengan apa orang kata. Fokus kepada Firman Allah dan Sabda Rasul. Cukup. Insha Allah

Berbalik kepada  mulianya  anak-anak STAM 2020,  sehari sebelum peperiksaan STAM bermula, puteri-puterinya  membantu  ibu bungkus set nasi Daging  dan kurma untuk diedarkan kepada jiran-jiran  kami sempena  ulang tahun perkahwinan kami  yang ke-7. Benarlah  amal soleh yang ikhlas sangat membantu  kejayaan mereka, bukan sahaja membantu kami bahkan membantu MATRI, organisasi HALUAN dan Islam secara umumnya. Tahniah  kepada  semua  calon, ahli keluarga dan seluruh warga Matri  di atas kejayaan STAM tahun ini. 

Walaupun ada seorang dua yang kurang cemerlang dalam akademik namun  mereka tetap cemerlang dalam kerja-kerja kesukarelawanan dan kepimpinan. Keikhlasan menggabungkan diri dalam kerja-kerja Islam  menjadi alat ukur  utama  dalam kejayaan di sisi Allah SWT. Ibu doakan  mereka  sentiasa  faqeh  dalam memahami Deen  dan Allah kurniakan mereka hikmah  dalam memahami Al-Qur'an untuk direalisasikan  dalam  kehidupan.

Inilah harapan  semua ibu bapa  yang menghantar  anak-anak mereka  di Matri, agar  selepas  tamat pengajian di Matri, kelak mereka  memiliki  fikrah yang jelas  bahawa  kerjaya  utama  mereka adalah Dakwah  dan Tarbiyah. Fokus ini diutamakan, Insha Allah aspek lain semua akan cemerlang bahkan menjadi ibadah di sisi Allah SWT. 

Mereka yang memiliki  fikrah  yang jelas akan tahu peranan utamanya  sebagai hamba Allah  yang taat, sebagai khalifah, sebagai anak soleh, sebagai lelaki/suami  yang qawwam terhadap ibu, adik-adik perempuan dan isteri  serta anak-anaknya. Alhamdulillah sungguh beruntung anak-anak  yang memahami fikrah Islam. Mereka  akan tahu  apakah priority (keutamaan)  yang perlu diutamakan berbanding pelbagai keutamaan semasa dalam kehidupan.  









Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil