Doakan Orang Lain Tanpa Pengetahuannya

 ِبِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم

اَلْحَمْدُ للَّهِ رَبِّ الْعالَمِينَ 

Hebatnya Allah, pemilik segala sifat kesempurnaan. Allah terpuji pada seluruh sifat dan seluruh perbuatan-Nya. Allah dipuji dalam segenap keadaan. Syukur Alhamdulillah di atas nikmat Iman dan Islam yang Allah kurniakan kepada kita yang sewajarnya kita sebarkan nikmat terbesar ini kepada mereka yang belum merasainya sekurang-kurangnya melalui doa kita.

Selawat dan salam ditujukan khusus untuk junjungan Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam, kaum keluarga baginda, para sahabat, para tabiieen, tabiut tabieen, para salafus soleh serta jiwa-jiwa yang ikhlas  mengabdikan diri hanya untuk Allah Rabbul Jallil.

Hari ini bertarikh 21 Rejab 1443 Hijrah ( 40 hari lagi Ramadhan)  bersamaan  dengan tarikh yang agak cantik 22.02.2022. Sudah pasti tarikh ini menjadi rebutan ibu bapa melahirkan anaknya melalui pembedahan dan pasangan kekasih bernikah. Termasuklah salah seorang anak saudara  ibu bernikah pada hari ini di Pulau Pinang. Anak soleh ini pernah  menemani ibu sepanjang anak ibu belajar di UIA. Muhammad Zul Izham Amry (adik Zul Ikmal Amry), ibu mengasuhnya ketika  umurnya 9 tahun (tahun 3) yang terserlah dalam bacaan Qur'an, Nasyid dan sukan ketika bersekolah di Sekolah agama Bersepadu Batu Pahat, Johor. 

Banyak kenangan kami (bersama ex suami) menghambat kehilangannya bersama bibik bernama Ikem. Pening bibik Ikem dan guru-gurunya mencarinya kerana asyik ghaib ke Cyber Cafe...


Ibu terkenang katanya tersiksa tinggal bersama ibu kerana setiap hari dipaksa menyalin karangan pendek untuk membetulkan tulisan yang sukar dibaca. Huruf a,e,o,u dan c sama sahaja bentuknya.

Alhamdulillah walaupun dakwaannya tersiksa kerana kurang masa main game, Izham dapat A dalam penulisan UPSR. Satu satunya A yang dia dapat. Alhamdulillah, tersenyum...

Alhamdulillah, hari ini Zul Izham sudah sah menjadi suami orang. 

Barakallahulakuma...
Ibu doakan semoga Izham  dipermudahkan mendidik isterinya  hingga ke syurga. Insha Allah. Doaku tetap mengiringimu sekeluarga agar dikurniakan 'faqeehu fideen" hingga ke anak cucu. 

Begitu juga  untuk semua anak didik, anak kandung, anak angkat, anak letak, semua anak tiri, bekas anak tiri sekeluarga didoakan semoga Allah satukan qalbu dan roh kita menuju ke syurga-Nya kelak. 

Walaupun di dunia yang seketika ini kita kurang mesra tetapi Alhamdulillah Allah kurniakan  jiwa kita saling berbaik sangka dan tidak suka mengata.  

Salamtus Sadr ini cukup berharga sebagai bekalan  untuk sama-sama kita bercerita di syurga nanti. Banyak kisah yang ibu nak kongsikan di syurga nanti. Demi mendapatkan redha Allah, di dunia ini bukan tempatnya  untuk ibu bercerita panjang kerana umurpun makin singkat sedangkan tanggungjawab bukan semakin sedikit.

Dalam realiti sekarang sudah masuk tahun ke-3 ibu tidak dapat hadir dalam sebarang khenduri kahwin bahkan kunjungan kematian kerana kerana kewajipan menemani suami ditambah lagi dengan Covid-19 yang masih mengganas  nampaknya sekarang. Semakin ramai yang positif dapat virus. Angka terkini dari KKM  27,179 kes hari ini.

Ada pihak mendakwa  dan mengatakan ini adalah mainan angka untuk memaksa kanak-kanak juga mengambil vaksin. Kebenarannya akan terserlah dan perlu mengambil masa untuk memahamkan masyarakat bahawa ini adalah perancangan musuh-musuh Islam. Semoga anak cucu kita tidak menjadi mangsa konspirasi jahat mereka. Wallahu alam. 

Pada ibu, syukur Alhamdulillah Allah kurniakan kesihatan  dengan istiqomah berdoa, mengamalkan makanan sunnah seperti madu dan habbatus sauda di samping menjaga SOP sewajarnya. Sama-samalah kita berdoa bukan sahaja untuk diri kita bahkan untuk orang lain juga walaupun kita tak kenal. Di sana sini merata ramai yang didakwa positif hingga melibatkan seluruh keluarga mereka. Tidak  ada ruginya kita doakan agar  Allah sembuhkan mereka segera. Doa ikhlas itu mengundang para malaikat mengaminkan kita semua dijauhi dari segala  mala petaka. Insha Allah.


Dalam usrah amal  tiga minggu lalu di rumah Ukhti Noraini Aminudin (isteri Ustaz Karim) sempat ibu kongsi isu semasa berkaitan kisah Rayyan  yang terperangkap dalam perigi di Maghribi (Marocco). hampir 100 jam,  berpusu-pusu manusia  ingin menyelamatkannya. Allah izin dalam perjalanan menuju hospital, Rayyan menemui ajalnya. Sebenarnya segala usaha yang telah dibuat tidaklah sia-sia, pasti ada nilainya di sisi Allah. Tidak silap minggu lepas ada seorag lagi kanak-kanak di Afghanistan terperangkap dalam perigi, juga menemui ajalnya setelah dapat dikeluarkan.

Hikmahnya  kisah ini ibu kongsikan hanya seorang  yang terperangkap di jurang (perigi) di dunia ini beratus ribu yang cuba menolong dan sekurang-kurangnya mendoakan keselamatannya. Allah selamatkannya dengan cara yang Dia kehendaki agar kanak-kanak itu tidak terus berada di dunia yang penuh tipu daya. Sayang sekali kebanyakan dari kita tidak sedar sewajarnya  ribuan pemimpin  umat Islam kini berusaha semaksima mungkin untuk menyelamatkan berbillion manusia  yang masih tidak nampak keindahan Islam. 

Ulama' terbilang, Almarhum As syahid Syed Qutb  dalam  kitab fi zilal al Quran mengingatkan "manusia hari ini berlumba-lumba menuju  ke jurang  kehancuran" . Cuba kita bayangkan jurang  kehancuran itu  adalah 'perigi api' yang dimasuki oleh mereka  yang rosak akidahnya. Bayangkan manusia itu seperti kelkatu yang mengerumuni lampu yang bernyala dan akhirnya gugur satu persatu kerana mati kepanasan. Mahukah kita lihat  anak cucu kita gugur satu persatu menjadi mangsa  tipu daya dunia?

Ibu kongsi  pengalaman almarhum emak berpesan "doakan anak cucu siap-siap agar selamat di dunia  dan akhirat" Allah izin betul, 13 anak yang dengan 1001 macam perangai, Alhamdulillah  tetap terpelihara  anak cucunya  berkat doa ibu bapa sebelum mereka  meninggal dunia.

Dalam minggu ini Allah temukan ibu dengan banyak kisah menyentuh jiwa tentang  kuasa  doakan orang lain. Seorang wanita mendoakan 'cleaner' tempatnya  belajar dapat tunaikan umrah suatu hari nanti. Allah izin berkat doanya 'cleaner' itu dapat menjadi tetamu Allah. Selepas pelajar itu tamat pengajiannya, belum bekerja  lagi diajak menunaikan umrah secara percuma. Subhanallah. hebatnya  doa orang ikhlas. Insan pilihan, memang pelajar itu sentiasa terdetik hendak doakan orang lain. Doanya sering dimakbulkan.
Satu kisah lagi seorang usahawanita berjaya tergerak  ingin dapatkan jodoh orang Eropah. Berkat usaha dan doanya selama dua tahun, akhirnya orang Eropah yang asalnya 'not yet  Muslim' itu tergerak  belajar tentang Islam.

Benarlah hadits yang diriwayatkan Muslim yang menjelaskan hal tersebut, “Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) tanpa sepengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata, “Dan bagimu juga kebaikan yang sama.” (HR. Muslim no. 4912). 
Marilah sama-sama kita  doakan semaksimanya  untuk orang lain  kerana  Allah. 

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil