Mohon Allah Sucikan Qalbu

Dengan Nama Allah Rabb Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang Segala Puji-pujian hanya milik Allah, Rabb yang menguasai segala isi langit dan bumi. Selawat dan salam khusus ditujukan murabbi agung, Rasulullah sallallahu alaihi wassalam, kaum keluarga, para sahabat serta jiwa-jiwa yang ikhlas berubudiyyah hanya untuk Allah SWT. 

 Rabu 02.02.2022 bersamaan dengan 1 Rejab 1443 Hijrah, 60 hari lagi kita dikunjungi oleh tetamu agung iaitu Ramadhan al Mubarak.Sama-sama kita perbanyakkan doa berikut:
 أللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبَ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَان 

“Ya Allah, berkahilah umur kami di bulan Rejab dan Sya’ban, serta sampaikanlah kami hingga bulan Ramadhan.” 

 Amat wajar menjelang Ramadhan tahun ini, kita berusaha semaksima mungkin untuk mensucikan qalbu dari sebarang penyakit jiwa yang boleh merosakkan amal. Mujahadah Nafs merupakan jihad sepanjang hayat menundukkan hawa nafsu mengikut segala syariat Allah dan jauhi segala larangan-Nya. 

Alhamdulillah sesi Halaqah pertama tahun 2022 telah bermula secara bersemuka pada hari Jumaat yang lalu. Ada tambahan ahli baharu. 
Alhamdulillah semua dapat hadir kecuali seorang yang masuk wad menanti bersalin anak ketiga.Sesi pertama ini lebih kepada taaruf kepada 3 bentuk qalbu iaitu 
 i. qalbun mayyit (qalbu yang mati) 
ii. qalbun maridh (qalbu yang sakit) dan impian mendapatkan jiwa yang sejahtera@selamat 
iii.qalbun salim.( qalbu yang sihat, selamat dan sejahtera)
Dia ketawa katanya macam gigi arnab. Kelakarlah...

Medan ilmu memang tak sama dengan medan amal. Cakap memang mudah namun apabila berada di medan amal, baharu teruji keikhlasan sebenarnya. Namun ilmukan diri dahulu agar tidak jauh tersasar hanyut dalam arus jahiliyah, menyukarkan kita keluar dari qalbun maridh menuju qalbun salim. Sebab itu Rasulullah sallallahu alaihi wassalam mengajar umatnya agar banyak beristighfar (70-100 kali sehari) dan sentiasa bertaubat. 

Di antara doa mohon Allah sucikan qalbu;

 اللهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ، وَمِنْ قَلْبٍ لَا يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا 

"Ya Allah, kurniakan ketaqwaan pada jiwaku. Sucikanlah ia, sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya, Engkaulah yang menjaga serta melindunginya. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat, qalbu yang tidak khusyuk, dan doa yang tidak dikabulkan.” 

 Doa ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab Shahih Muslim dari Zaid bin Arqam. Doa ini sangat dianjurkan untuk dibaca setelah salat fardu lima waktu. 

 Syukur Alhamdulillah, anak dari Melaka dan KL balik sempena cuti Tahun Baharu Cina. Anak menantu ibu membawa pembaharuan agar ibu fokus kepada menyantuni suami dan tidak mahu ibu disibukkan dengan urusan memasak, mungkin kerana umur semakin lanjut dan kudrat makin lemah. 

Alhamdulillah, syukur Ya Allah kerana anak menantu amat memahami dan sewajarnya ibu dibebaskan dari tugas memikirkan makan minum keluarga besar yang sudah sepatutnya diambil alih oleh pelapis atau pewaris yang sudah terang lagi bersuluh menjadi tanggung jawab dan kewajipan mereka. 

 Ibu disarankan fokus untuk urus makan minum kami berdua sahaja.Mungkin silap ibu juga kurang bertegas dari awal, namun ibu anggap itu kerja sunat, merupakan sumbangan membahagiakan suami semasa qudrat masih ada. 

Insha Allah selepas ini biarlah orang yang bertanggungjawab menunaikan kewajipannya. 

 Mungkin ramai yang tidak suka ibu diam. Diam ibu mungkin kerana letih mendengar sedang telinga ibu sudah kurang upaya untuk mendengar secara normal. 

 Sebenarnya ibu belajar dari suami, sebaik-baiknya lebih tenang bila kita banyak diam.
Banyak cakap banyak dosa katanya. Insha Allah jika nak lihat ibu peramah ketika kendalikan majlis ilmu atau taman-taman syurga. 

Jika secara online, letih mendengar agak minima berbanding letih mendengar secara bersemuka. Sebab itu ibu sentiasa mengelak bertembung dengan mereka yang suaranya memang ibu tak mampu nak dengar. Ibu akan cepat letih dan bila ibu tak dengar akan menimbulkan kemarahan mereka terpaksa mengulang lagi yang kadang-kadang menyinggung perasaan orang tua.



 Diam lebih selamat. Segala prasangka yang bermain dalam jiwa mohon Allah sucikan dengan mengulang-ulang doa di atas. Diam dan uzlah ibu bukan bermakna tidak suka tetapi tidak mampu dan memang ibu sudah termasuk dalam ketegori orang kurang upaya hendak mendengar.




Ini hikmahnya Allah tarik sedikit nikmat mendengar dengan telinga agar ibu sentiasa bergantung harap kepada Allah As-Sami', mendengar dengan qalbu. Insha Allah.

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil