Apakah Nikmat Tertinggi Yang Perlu Kita Cari?

 Dengan Nama Allah

Yang Maha Pemurah

Lagi Maha Penyayang

Mari sama-sama kita syukuri segala nikmat yang  Allah kurniakan kepada kita dengan ucapan Alhamdulillahi Robbil Alamin. Selawat dan salam khusus untuk Rasul junjungan dengan ucapan Allahumasolli ala Muhammad wa ala ali Muhammad

Alhamdulillah hujung minggu lalu anak ibu balik mengejut sebelum dapat berangkat membawa jemaah Haji Swasta sekiranya dapat visa qouta VVIP. Terhibur sedikit cucu-cucu rumah ini (ayah sakit Leukemia dan emak menemani ayahnya di hospital Tunku Bahiyah Alor Star). Bànyak hikmah tersirat di sebalik ujian yang datang bertubi-tubi. Tanda Allah sayang...

 


 Alhamdulillah, di pagi Sabtu yang penuh barokah Allah izin kami  dari group wassap Gema Fajar masih diberi kekuatan untuk istiqomah meneruskan taddabur Quran. Alhamdulillah kini kami sudah masuk halaman ke-42 di mana ada ayat Kursi  ada di dalamnya. Dalam mentaddaburi awal juz 3, Allah izin ada kekosongan mengisi tafsir surah Al Jumuah ayat 4 dalam halaqah Amal kami pada hari Ahad malam Isnin. Tergerak hati ibu  menawarkan diri jadi bidan terjun kerana amat minat dengan isu yang dibincangkan dalam ayat tersebut. Ibu pernah terdengar ustaz Mustafa Umar jelaskan tetapi apabila mencari semula you tubenya sampai sekarang masih belum jumpa. 

Sudah memang bergelumang dengan macam-macam buku tafsir sebagai persiapan Gema Fajar setiap pagi, ibu curi sedikit ruang cari bahan untuk surah Al Jumuah ayat 4 menyambung  tugasan ustazah yang sedang sakit ( sudah tafsirkan surah Jumuah ayat 1-3) sebelum ini.

Menariknya ayat ini menyentuh tentang kurniaan Allah

ذٰلِكَ فَضْلُ اللّٰهِ يُؤْتِيْهِ مَنْ يَّشَاۤءُۗ وَاللّٰهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيْمِ

4. Demikianlah kurnia Allah, yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki; dan Allah memiliki kurnia yang besar. ( Surah Al Jumuah ayat 4)

Ibu rujuk tafsir Fi Zilal Al Quran dahulu untuk dapatkan gambaran menyeluruh tentang maksud kurnia tersebut. 

Menurut As Syahid Syed Qutb bahawa pilihan Allah  terhadap sesuatu umat atau jemash atau individu untuk memikul amanah yang besar ini agar menjadi tempat  simpanan Nur-Nya dan tempat untuk ditemukan kemurahan-Nya di samping  menjadi pusat terjalinnya hubungan antara langit dan bumi. Amanah besar ini tidak boleh ditandingi  oleh kurniaan apapun. 

Amanah ini merupakan kurniaan besar yang menumbuhkan  setiap apa yang dikorbankan oleh setiap Mukmin baik dirinya sendiri mahupun harta bendanya bahkan seluruh kehidupannya. Dan ia menumbuhkan segala keupayaan, keletihan-keletihan dalam menjalani  perjalanan yang panjang ini serta rasa sakit dalam perjuangan dan kekerasan jihad.

Allah menyebut kaum Muslimin di Madinah  dan orang-orang yang datang kemudian setelah mereka lalu menjalinkan hubungan dengan mereka serta orang-orang yang tidak pernah berjumpa dengan mereka. Allah menyebut mereka dengan kurniaan yang besar ini  dalam memikul amanah -Nya dan menyebut mereka dalam kaitan @ mata rantai dengan pengutusan  Rasulullah sallallahu alaihi wassalam kepada mereka dari golongan mereka sendiri untuk membacakan ayat- ayat@kitab Al Quran,  mensucikan mereka dan mengajarkan meteka  tentang Quran dan hikmah (hadis)

Mereka meninggalkan warisan  bagi orang-orang yang datang kemudian dalam lembaran-lembaran zaman . Warisan itu sangat bear dan bekalannya sangat banyak dengan bekal-bekal Illahi. Juga contoh praktis  dari perumpamaan- perumpamaan yang nyata dalam kehidupan jemaah orang yang beriman pada generasi awal ( assabiqun al awwalun) iaitu generasi al Quran yan unik.

Allah mengingatkan mereka tentang kurniaan yang agung itu di mana  seluruh nilai-nilai lainnya  menjadi kecil di sisinya. Demikianlah pula seluruh nikmat lainnya menjadi kerdil sebagaimana seluruh rasa sakit dan pengorbanan menjadi tidak terasa berat dan dahsyatnya apabila berada di sisi-Nya.

Apakah kurniaan yang terbesar yang dimaksudkan oleh Syed Qutb merujuk ayat ini? Sehari semalam ibu berteka teki, terpinga-pinga memikirkannya. Cubs dengar ceramah tafsir surah al Jumuah dari beberapa ustaz dalam You tube, Alhamdulillah baharulah terjawab, anugerah terbesar yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nikmat Risalah Kerasulan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wassalam, Allah pilih baginda di tengah-tengah masyarakat buta huruf untuk menerima wahyu. Dengan wahyu itu baginda bacakan Quran tilawah@ recited) memperkenalkan Allah. Kemudian menjalani proses penyucian jiwa (tazkiyyah@cleansing) dengan mengosongkan jiwa daripada segala kekotoran dan kesyirikan ( takhliyah) dan hiasi kekosongan itu dengan tauhid kalimah la illa ha illallallah ( tahliyah). Kemudian buat taalim , adakan pengajaran tentang hukum-hukum dan peraturan kehidupan yang lengkap dan juga diajarkan hikmah iaitu sunnah Rasulullah. subhanallah.

Menurut  Syeikh Muhammad Abduh ialah diberikan alat yang sempurna iaitu akal dan anugerah akal budi.

akal adalah alat penimbang, penyisih di antara agak- agak dan kesimpulan yang benar. Kalau akal sudah bekerja dan memberikan hasil yang baik, segala keraguan akan hilang dan yakin dengan ilmu yang dapat dipertanggungjawabkan.  

ibn Abbas mengatakan Al hikmah hualfiqhul Quran yang bermaksud hikmah itu ialah kesanggupan memahami Al Quran"

inilah manhaj atau sistem tarbiyah Islam yang syamil, kamil dan muttakamil (bersepadu) hingga melahirkan rasa cinta dan rindu hanya kepada Allah dengan mengikut praktikal Rasulullah Sallallahu alauhi wassalam.

Di sini Allah memuliakan orang-orang Arab secara khusus  kerana  Rasulullah adalah dari kalangan mereka, namun jika mereka menolak risalah ini, maka mereka tidak dapat anugerah terbesar dari Allah. Secara umumnya risalah ini juga untuk seluruh dunia sebagai rahmatan lil alamin. Islam adalah agama internasional di mana  asabiqun al awwalun turut didukung oleh kaum Habsyah ( Bilal ar Rabah), Parsi (Salman) dan Rom ( Shuhaib). Rasulullah menghantar surat ke seluruh pelusuk dunia di luar Arab mengajak mereka kepada Islam.

Dalam tafsir tematik, dijelaskan maksud nikmat terbesar dengan perumpamaan kita hidup mewah di sebuah istana, maka tiada nikmat berada di istana itu jika suami atau ibu bapa tidak menegur atau menyapa kita. Maksudnya kebendaan sahaja tidak mencukupi, kita juga harapkan perhatian dan komunikasi sesama ahli keluarga yang memiliki fikrah yang sama. Jika fikrah tidak sama, tidak akan wujud nikmat terbesar itu iaitu keredhaan Allah. Maka dalam keluarga itu Allah uji  dengan pelbagai bentuk ujian agar mereka insaf dan kembali mentauhidkan Allah. Jika mereka dengan mind set  utamakan hawa nafsu dan tergoda dengan dunia, maka tidak ada nikmat risalah nubuwwah mencorakkan mereka. 

Dalam skala lebih besar dalam risalah ini, mereka yang menyerah diri kepada Allah secara total dan ikhlas berjihad akan menikmati anugerah terbesar seperti berikut:

1. Rasa mulia dipanggil  mesra oleh Allah "wahai orang-orang beriman.." tertunggu-tunggu arahan perintah dari Allah untuk segera dilaksanakan dan menjauhi segala larangan Nya

2.  Rasa mulia dengan panggilan mesra dari Allah dalam surah Al Fajr :27-28

27. يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ

Wahai jiwa yang tenang."

28. ٱرْجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً
"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya."

3. Rasa mulia diajak masuk dalam rombongan anbia, siddiqin, syuhada dan solehin  al Fajr ayat 29
29. فَٱدْخُلِى فِى عِبَٰدِى
Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku,"

4. Rasa mulia diajak masuk Syurga ( Al Fajr :30)

30. وَٱدْخُلِى جَنَّتِى

"masuklah ke dalam syurga-Ku."

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah di atas nikmat Iman dan Islam merupakan anugerah terbesar buat kami semua yang mencintai Risalah kenabian madrasah Rasulullah sallallahu alaihi wassalam
وَاللّٰهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيْمِ
Dan Allah mempunyai kurnia yang besar

Allah ada banyak lagi anugerah yang nak diberikan asalkan para hamba-Nya mahu mempelajari Deen Islam dan kenal dengan wahyu-Nya. Pentingnya faqeehu fideen, sebab itu khalifah Umar Al Khattab selalu memeriksa masjid-masjid supaya ada pengajian tafsir Al Quran. Dapat fahami dan laksanakan perintah dalam al Quran itu merupakan nikmat terbesar menyelamatkan diri dan ummah daripada tergoda dengan tarikan dunia. Akhirat lebih besar anugerah dan nikmat berbanding dunia.
Wallahu alam




Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil