Harumanis Iman
Musim mempelam harumanis sudah bermula di Perlis. Ramai yang mengeluh kerana harganya melambung hingga RM32 sekilogram, gara-gara dipajak oleh pencinta Harumanis dari luar Perlis.
Sebelum Harumanis dikenali harganya hanya RM5 sekilogram, kemudian menjadi RM12, seterusnya meningkat ke RM18. Kini Jabatan Pertanian Perlis sudah tetapkan RM21-RM32 sekilogram mengikut gred buahnya. Harga ini melambung apabila Raja Perlis dan Mufti mempromosinya lebih-lebih lagi pengeluarannya dalam tempoh yang singkat (selama sebulan sahaja) antara penghujung bulan April hingga hujung bulan Mei. Tambahan bulan Mei pula Perlis meraikan hari Keputeraan Rajanya, maka ramailah pembesar dari luar telah menempah mempelam Harumanis menjadi buah tangan untuk keluarga di lokaliti masing-masing. Mungkin harganya dikira berpatutan kerana kos penjagaannya agak tinggi, permintaannya terlalu banyak sedangkan pengeluarannya tidak tertampung. Mereka yang menempah terpaksa tunggu ikut giliran siapa tempah dulu.
![]() |
Penjagaan kualiti 'Harumanis' memerlukan kos yang agak tinggi |
Mungkin benar dan mungkin tidak benar kata seorang kenalan dari Shah Alam, siapa yang tinggal di Perlis dapat makan Harumanis sepuas-puasnya. Mungkin tidak benar jika peminat harumanis banyak bersungut dan banyak komplain semuanya serba tidak kena, rezeki akan lari. Beli Harumanis dengan wajah yang tidak manis, mencerminkan ketidak ikhlasan hati ketika membeli. Apa salahnya lebihan wang itu (dari harga Harumanis sepatutunya) kita niatkan infaq untuk mereka yang mengusahakan pengeluaran Harumanis.. Wallahu alam.
![]() |
Harganya mengikut Gred |
Ibu rasa ada benarnya kalau kita takut hendak bersungut sebaliknya sentiasa bersyukur dengan apa yang ada, Insya Allah mempelam 'Harumanis' sentiasa bertandang ke rumah samada melalui hadiah dari tetamu/ kenalan atau dibeli dari pembekal yang dikenali, menawarkan harga yang berpatutan. Alhamdulillah. Sayangnya stock Harumanis kenalan itu tidaklah banyak. Jika kami terputus bekalan Harumanis, maka ada alternatifnya iaitu mempelam dari Thailand bernama 'Nam Dok Mai' atau 'Tom Dam' yang kini harganya hanya RM6 sekilogram. Rasanya hampir sama dengan Harumanis, mungkin lebih manis lagi. Sentiasalah fikirkan alternatif jika inginkan sesuatu yang terbaik dalam keredhaan Allah kerana semua rezeki adalah milik Allah.
![]() |
Nam Dok Mai (kuning) dan Tom Dam (hijau) |
Kisah Harumanis ini ibu kaitkan dalam kehidupan kini di mana GST amat menakutkan banyak pihak hingga ke peringkat memaki hamun siang malam di kalangan mereka yang cetek ilmu dan iman. Memang ada benarnya, perbelanjaan meningkat hingga RM120 sebulan, amat kasihan kepada mereka yang berpendapatan rendah. Bukan bermakna ibu memihak kepada pendukung sistem GST. Jika tidak setuju dengan GST alangkah baiknya kita beramai-ramai solat hajat ketika Tahajjud setiap malam,mohon Allah segera gantikan pemimpin zalim ini dengan pemimpin yang bertaqwa. Nak tolak GST di mana pemimpinnya masih 'zalim', akan wujud kemungkaran yang lain dengan nama yang lain. Pertolongan Allah amat dekat dengan mereka yang sentiasa mengharumaniskan Iman setiap hari..
Beginilah kehidupan seharian yang kita lalui..samada sebagai suri rumah tangga, sebagai pentadbir, sebagai guru mahupun pekerja bawahan sekalipun...Hadapilah kerja dengan tulus ikhlas kerana Allah, semua urusan pasti akan dipermudahkan. Bila kita letak Allah di hadapan sebagai pemandu kehidupan kita, semua masalah akan 'settle' dengan amat mudah. Tetapi bila letak 'masalah' di hadapan, masalah itu akan bertambah parah..tak kunjung selesai jika ikut akal dan nafsu semata-mata.
Ingin ibu share cerita seorang kenalan di mana beliau amat seronok ketika berada di bawah pentadbiran mereka yang bertaqwa. Apabila bertukar pentadbiran yang asyik memikirkan keuntungan, maka hilanglah keikhlasan bekerja di kalangan mereka. Tempat mereka bekerja yang sebelum ini aman dari anai-anai, tiba-tiba diserang anai-anai seluruh kawasan.. Rugi ribuan ringgit juga kerana menampung 'baik pulih' dari anai-anai..sedangkan kebajikan pekerja sebelum ini tidak dijaga. Sepatutnya harumaniskan Iman, tetapi matlamat dunia lebih menguasai akhirnya jadi hanya bau saja yang harum tetapi tidak manis Imannya.
Rumusannya sentiasalah pelihara Harumanis Iman (halawatul Iman) setiap detik dan masa walau di mana kita berada agar kehidupan semakin ceria dalam keredhaan Allah. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah
bersabda bermaksud:
“Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.” (Muttafaq alaih)
Anas berkata, “Aku melayani Rasulullah
selama sepuluh tahun, Baginda tidak pernah memukulku, tidak pernah mencelaku dan tidak pernah bermuka masam di hadapanku. Rasulullah
mendoakan Anas dikurnia harta dan anak yang ramai dan doa Baginda dikabulkan Allah.
Makna hadis ini, ada tiga sifat yang jika ada pada seseorang maka orang itu akan berasakan manisnya iman. Manisnya iman adalah rasa nikmat ketika melakukan ketaatan kepada Allah, ketenangan jiwa, kesenangan hati dan lapangnya dada.
Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata, “Syaikh Abu Muhammad bin Abu Hamzah berkata: “Pengungkapan dengan lafaz ‘manis’ kerana Allah mengumpamakan iman seperti pohon, seperti di dalam firman-Nya bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik.” (Surah Ibrahim, ayat 24)
Kalimat yang baik adalah kalimat ikhlas, kalimat tauhid, sedangkan pohon adalah pokok daripada keimanan, cabangnya adalah menjalankan perintah dan menjauhi larangan, daun-daunnya adalah segala amal kebaikan yang harus diperhatikan seorang mukmin, dan buahnya adalah segala macam bentuk ketaatan.
Wallahu alam.
Comments
Post a Comment