Hikmah Sempena UIang Tahun Isra' Mikraj

Jumaat, 26 Rejab 1346 Hijrah, MATRI dikunjungi oleh bekas paderi  bernama  Reverend Anthony Samy Perumal Viagulam  yang pernah berkhidmat di Gereja St. Augustine of Canterbury, Frankfurter Jerman selama hampir 10 tahun. Gereja tersebut atau lebih dikenali sebagai Englische Kirche (Gereja Inggeris) merupakan satu-satunya gereja di Jerman yang menggunakan medium Bahasa Inggeris yang beraliran Anglican Episcopal Church.
Sejak menganut Islam pada 4 September 1978,  beliau lebih mesra dipanggil Ustaz Ayub Abdul Rahman kini  berusia sekitar 60an.. 
Beliau  adalah tokoh yang  paling layak membandingkan  ajaran Kristian dan  Islam kerana amat mengetahui  isi dan selok belok kitab Injil  bahkan sehebat itu juga pengetahuan dan amalannya kini terhadap Islam, tidak ada sesiapa dapat mempertikaikan ketokohannya ala 'Ahmad Deedat' alaf baru. Syukur, Allah selamatkannya kerana terdetik di hatinya  untuk menolong orang Islam masuk syurga. 

Hasrat  hati ingin sangat  mendengar sendiri pengalamannya bertaubat menganut agama Islam.
Pesanan akhirnya yang terakam indah dalam benak apabila beliau menegur generasi pewaris Islam sentiasa ' take for granted' kerana dilahirkan dalam keluarga Islam, akhirnya ramai yang murtad..sama seperti penganut agama Kristian di Eropah, 'take for granted' kerana ibu bapa mereka beragama Kristian. Kini ramai pula yang memeluk agama Islam.. Peringatan ini sebagai amaran, jika kita tidak hargai nikmat Islam dengan cara mendalaminya secara sedar dan faham, Allah akan gantikan dengan kaum yang lain.. Berikut adalah tazkirahnya semasa beliau di Kedah.. kandungan ceramahnya hampir sama seperti penyampaiannya  di Matri. Cuma semasa di Matri lebih banyak sesi soal jawab..

Mudah-mudahan Allah SWT anugerahkan kepada kita  semua  jiwa perihatin, tergerak di hati sentiasa ingin menyelamatkan semua manusia dan  sentiasa  mengambil berat memikirkan masa hadapan generasi pewaris  Islam agar  sentiasa selamat  di dunia dan akhirat  dalam perlindungan Allah SWT selama-lamanya..


Teringat  doa  diajar oleh  Syeikh Abdul Kadir  Jailani  dalam buku 'Lautan Hikmah Kekasih Allah'
"Ya  Allah..berilah petunjuk kepada  semua  manusia untuk menuju pintu-MU. Ini adalah permohonanku selama-lamanya dan urusan itu terserah sepenuhnya kepada-MU"

Sabtu, 27 Rejab~ Ulang tahun peristiwa Isra' Mikraj.. Allah izin ibu  berkesempatan ikuti  'Bengkel   Bio Terapi Solat'  dianjurkan oleh Haluanita Perlis dengan  kerjasama kariah Masjid al Ghofur, Beseri berhampiran MATRI. Alhamdulillah  sengaja  ibu bawa  seorang  cucu perempuan  darjah dua agar  dia  berpeluang ikut serta melihat sendiri teknik  bio terapi yang memang terakam dalam sunnah  nabawiyyah. Sayang sekali  bio terapi solat tidak pernah dikaji oleh cendekiawan sebelum ini..Mudah-mudahan apabila  ikuti  terapi ini, cucu ibu boleh sampaikan RAHSIA bio terapi solat  kepada  rakan sekelas,  ibu bapa dan sepupu-sepupunya  yang lain.


Lebih penting lagi harapan ibu agar cucu ini menyaksikan sendiri bagaimana 'guru-guru'nya  yang masih muda belia  berkerjasama dengan pihak masjid mengendalikan program yang bermanfaat ini.  Kali pertama  ibu dapat saksikan gabungan  tenaga  muda  (berumur 20an dan 30an) menjayakan program kaum ibu di masjid. Pengarah program adalah ibu muda beranak 7, jiran sebelah rumah tetapi aktif dalam kerja amal. Ramai anak bukan alasan untuk memanfaatkan tenaga muda dalam kerja amal....Alhamdulillah, MATRI kini memiliki barisan pelapis  yang mantap merelakan kaum ibu berumur 'emas' sekadar menjadi pemerhati dan panasihat jika perlu. Tahniah kepada semua asatizah  MATRI semoga  Allah menerima  semua amal kalian sebagai amal soleh di sisi-NYA.

Di  kebanyakan  rumah Allah, biasanya  aktiviti kaum ibu di masjid-masjid   dihidupkan oleh para  pesara (pencen) . Bahkan menimbulkan kerisauan kerana tiada  pelapis yang bakal meneruskan kerja amal tersebut. Pentingnya NGO seperti  Haluan, Ikram, Isma, Abim, Aqsa Syarif  dan seumpamanya  bekerjasama menghidupkan masjid sekitar  mereka khususnya menjelang Ramadhan  tidak lama lagi. Allah menilai  keikhlasan niat  kita  beribadah  dalam semua medan  bukan natijahnya.

"Ya  Allah  terimalah ketaatan  dan kepatuhan ini sebagai amalan ikhlas di sisi-MU.
Ya  Allah lindungilah kami dari kesibukan dunia. kami bermohon kepada-MU akan keikhlasan  di dunia  dan keikhlasan di akhirat kelak..Aamiin..."


Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil