Anak-Anak Kelaparan Kasih Sayang.


Dalam minggu orientasi tingkatan 1 di Matri minggu lepas kami menerima undangan bersama  dalam majlis penutup Minggu orientasi. Selepas  selesai, kami berpeluang  makan bersama  anak-anak dalam satu talam, Seorang  guru atau ibu bapa dan 4-5 orang murid. Kelihatan anak-anak ceria  mendapat  kasih 'ibu' dan 'ayah' di Matri. 

Dalam group Whats App ibu ucapkan tahniah..

"Tahniah  kepada urusetia  yang aturkan program tadi. Puteri-puteri kenyang dapat kasih ibu, putera-putera juga ada yang kenyang  dapat kasih 'ayah' sebab dapat  makan bersama depa. Alhamdulillah  semoga berterusan, Insya Allah"

Semua persoalan  bermula di qalbu. Maintain 'qalbun Salim'

Realiti  kesibukan ibu ayah mencari  nafkah hari ini mengundang 'kelaparan'  di qalbu anak-anak, apa lagi kini disibukkan  dengan  budaya  menghadap 'gadjet' sepanjang masa  di mana-mana sekalipun. Anak-anak mengalami syndrome kekurangan perhatian dan kasih sayang dari mereka  yang amat penting dalam hidupnya. Siapa  yang penting  dalam hidup anak? Ibu dan ayahnya , guru-guru dan rakan sekelasnya. Kebanyakan ibu bapa mendakwa telah tunaikan tanggungjawab mencari nafkah untuk besarkan dan sekolahkan anak-anak. Kebanyakan guru mendakwa telah tunaikan amanah apabila anak-anak didiknya selesai memasuki dewan peperiksaan. Tapi sedarkah ibu bapa dan guru-guru sekelian bahawa  yang akan ditanya  di akhirat nanti sejauhmana kalian berusaha mendidik anak  dengan penuh kasih sayang  agar mereka  mengenal Rabbnya?


Ramai yang mendakwa  tidak mampu atau 'GAGAL' tunaikan tanggungjawab utama membawa  konsep  'ibadah' sebagai hadiah dari Allah dalam kehidupan  kerana  'stress'. Stress kerana  menghadapi 1001 masalah di tempat kerja, stress  menghadapi  masalah ekonomi politik semasa menyebabkan  nilai mata wang semakin merudum teruk,harga barang  melonjak dan kos  hidup semakin mahal. Stress  memikirkan masa hadapan persekolahan anak-anak yang kini serba mahal.  Perlu persiapan qalbu dan minda agar segala  masalah  dapat ditangani  dengan baik dan tenang. Sejak dulu, kini dan selamanya, Insya Allah, Alhamdulillah Allah سبحانه و تعالى kurniakan ibu ilham  agar  sentiasa 'maintain ketenangan qalbu'. Qalbu  adalah ibu sawat  segala  input  dan output. Maintain agar  mendapat Qalbun salim..minta pada Allahسبحانه و تعالى. Mohon kepada Allah سبحانه و تعالى Qalbun salim setiap sepertiga malam  agar  kita  tenang hadapi apa situasi sekalipun, apa lagi masyarakat kita  kini kita mengalami kegawatan Akidah, kegawatan ibadah dan keruntuhan akhlak  yang cukup serius.

Sesungguhnya  syurga dunia  itu  di qalbu  yang tenang. Walau di manapun kita berada atau dalam keadaan kesibukan   bagaimana sekalipun,  sebenarnya ketenangan itu sangat dekat dengan kita. Kesibukan, kesempitan, kesesakan dan pelbagai ragam tugas  individu,keluarga, kerjaya mahupun dalam masyarakat  namun ketenangan itu tetap dapat kita perolehi. Kerana syarat untuk tenang itu bukan hanya ke Tanah Suci Makkah dan Madinah atau ke pantai atau air terjun atau ke bukit atau ke hutan. Tapi syarat utama ketenangan itu ialah mengingati Allahسبحانه و تعالى .  Firman Allah سبحانه و تعالى yang bermaksud;

“Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itulah hati akan tenang.”   (Surah Al-Ra'd : 38)

Inilah rahsia ketenangan. Pintunya di qalbu dan kuncinya adalah mengingati. Dan yang diingat itu ialah Allah
سبحانه و تعالى Yang Maha Suci. Lihatlah apa sahaja di hadapan matamu dan kalau yang dilihat itu diperhati dan yang diperhati itu dihayati dan yang dihayati itu difahami akan hakikatnya, kemudian segalanya  dapat membawa hati berterima kasih , sentiasa  bersyukur kepada  Allah سبحانه و تعالى di atas segala nikmat anugerah-Nya, maka Insya Allah  akan lahirlah ketenangan.Inilah syurga  dunia yang hanya akan diperolehi oleh mereka  yang beriman.


Jika kita  perhatikan pusaran air samada  di laut atau di sungai, akan disedutnya semua sampah sarap hingga  ke dasarnya. Yang tidak dapat disedut  adalah objek kaku seperti kayu yang tidak bergerak, akan selamat ke tepian pantai. Jika ingin selamat, ketika lalu di pusaran air, jadilah seperti batang kayu, kakukan diri. Jika kita meronta-ronta  ingin selamat, lebih cepat jadi mangsa dan mudah disedut ke dasarnya. Kajian telah dibuat di mana seekor kambing dicampak ke pusaran air, dalam keadaan kambing itu meronta-ronta akhirnya mudah kambing itu  disedut ke dasar lautan. Bila dicampakkan kayu balak, kayu balak itu selamat ke tepian pantai. Wallahu alam.

Begitulah kita dalam  kehidupan seharian, jika inginkan keselamatan, apapun yang berlaku di luar, samada dalam keluarga, di tempat kerja mahupun dalam masyarakat, sekadar ambil tahu tetapi tak perlu agresif merespon negatif.. kakukan diri bukan bermakna pasif tetapi bijaksanalah menanganinya dengan keimanan, bukan  dengan hawa nafsu. Motivasi IMAN akan melahirkan respon yang amat positif , bahkan Insya Allah  akan  mendapat pertolongan dari Allah سبحانه و تعالى


Pengajaran dari hikmah pusaran air ini amat penting bagi para pendidik, khususnya ibu bapa agar  tidak menjadi seperti pusaran air, menyedut  segala masalah yang didengar, yang dilihat masuk ke kalbu hingga  menjadi stress. Jadi seperti batang kayu, hanya lalu di pusaran air tetapi selamat kerana qalbu  anda  tidak dijangkiti oleh virus dari luar. Mendengar dan melihat  masalah boleh, tetapi tangani masalah menjadi peluang  yang meningkatkan Iman.Fahamkan diri masing-masing  bahawa  masalah itu bukan beban tetapi ujian, Allah سبحانه و تعالى beri peluang untuk dekat kepada-Nya.
Kita  sewajarnya menjadi seperti puting beliung, bukan maknanya 'mengamuk'. Maksud saya fungsi puting beliung membersihkan bumi dari segala sampah sarap yang menyesakkan ke udara. Bertindak secara berhikmah, segala masalah yang didengari, diperhati dan dihayati himpunkannya dan didik diri  agar sama-sama  diadukan kepada Allah سبحانه و تعالى  sebagai sebaik-baik penyelesai masalah. Insya Allah.Lebih ikhlas mengadu kepada-Nya maka lebih mudah segala urusan berjalan dengan lancar.

Begitulah hidayah dan Taufiq dari Allah سبحانه و تعالى  , alam-Nya terbentang luas bukan sekadar untuk dipandang, tapi diperhati, diteliti  untuk diambil ibrah. Bukan sekadar merenung tetapi dihayati kesyukurannya. Bukan untuk direbut, tetapi untuk  dimanfaati bersama orang lain. Maksud firman Allah سبحانه و تعالى;

“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan silih pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal.” (Surah Ali Imran : 190)

Inilah tujuan alam dicipta. Allah
سبحانه و تعالى ciptakan  manusia merata dunia. Walaupun  di mana manusia berada.  Walaupun mereka ditakdirkan  lahir di Syria, di Gaza atau di Rohingya, tempat yang dipenuhi dengan kehancuran akibat peperangan atau bencana alam, ketahuilah!  sesungguhnya Allah سبحانه و تعالى  Maha Adil dan  Dia  amat mengetahui apa yang sesuai  untuk setiap hamba-Nya

Dia tidak menetapkan syarat ketenangan itu mesti berada di tempat melancong yang indah permai, tapi yang Allah
سبحانه و تعالى sudah tentukan ialah; jika ingin ketenangan, hati mesti mengingati Diri-Nya. Itulah syarat ketenangan yang menjadi impian setiap insan. Yang pasti, tiada siapa yang hanya mahu ketenangan yang bersifat sementara. Justeru, ingatlah  Allahسبحانه و تعالى , dan selama mana ini dilakukan, Insya Allah hati akan tenang. Inilah syurga  dunia, hanya menjadi milik orang beriman.

Siapakah orang yang  beriman?  Orang beriman adalah mereka  yang  menyerahkan dirinya secara total kepada Allah سبحانه و تعالى dengan menghayati cara hidup Islam sebagai satu sistem yang lengkap dan menyeluruh, bukan Islam warisan atau  ikut Islam secara serpihan (mengambil bahagian yang disukai dan meninggalkan yang tidak sesuai  dengan hawa nafsu).
Ketidak syumulan penghayatan Islam  yang menyebabkan rasa  tidak tenang kerana  masih ada ruang-ruang ingin melawan sistem Allah سبحانه و تعالى . Apabila  hawa nafsu bermaharajalela, maka tidak ada unsur  yang boleh menundukkan hawa nafsu, maka akan berlakulah krisis  dalam diri. Segala kebencian, hasad dengki akan membawa  diri menjadi orang bermasalah, sentiasa risau, resah gelisah serta  mengeluh..Inilah petanda  neraka  dunia.. Hawa nafsu itu cenderung  kepada  kejahatan dan kemaksiatan.

Firman Allah سبحانه و تعالى menceritakan  pengakuan Nabi Yusuf di dalam al Qur'an yanfg bermaksud;
 “ Kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan ” (Yusuf : 53)
 


Setiap insan diberi pilihan  samada  hendak menyerah diri secara total  kepada  Allah سبحانه و تعالى secara sukarela  atau terpaksa. Jika ingin menikmati syurga  dunia lebih awal, Insya Allah ketenangan dan keharmonian hidup dengan taufiq hidayah Allah سبحانه و تعالى sentiasa  mengiringi kehidupannya. 





 
 
 

 
 

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil