Bagaimana Hendak Redha? (2)

Jika hendak redha maka  berlapang dadalah. Bagaimana cara hendak  berlapang dada? 
Proses jiwa  kita agar  tidak sekali-kali berani  berprasangka buruk kepada Allah SWT.
Pada hari Khamis 19 Julai, ibu terpaksa menunda waktu halaqah kerana  diamanahkan beri ceramah untuk kaum ibu di sebuah perkampungan.  Jika tidak silap ini merupakan kali ketiga ibu menjadi 'bidan terjun' di tempat yang sama menggantikan salah seorang ustazah Matri yang menerima banyak jemputan di masjid-masjid sejak mendapat tauliah dari Majlis Agama Perlis. Perkampungan  di pedalaman itu menjadi satu kenangan manis  buat ibu. Kali ketiga mengunjungi mereka, Allah izin dapat faham keperluan mereka. Hendak masuk kampung itu perlu  melalui kawasan bendang, ghayat rasanya  jika bertembung dua kereta di  jalan yang sekecil itu, mujurlah ada yang hantar dan menemani ketika pulang.

Selesai sahaja memberi pengisian  tentang  'Hakikat Sabar' puan rumah mengemukakan pandangan, "Bukan senang hendak sabar...lepas marah-marah menyesal pulak lepas tu..."  Ketawa kecil pulak  Cik Kak itu. Lumrah wanita jika ada ilmupun kadang-kadang terlupa gara-gara hanyut dengan nafsu amarah yang belum dijinakkan. Pentingnya proses tarbiyah untuk menjinakkan  nafsu yang ibarat kuda liar. Tidak ada  hala tuju yang jelas.
Salah seorang ibu yang telah lama melalui proses tarbiyah berkongsi pengalamannya,
"Sebenarnya ujian-ujian yang kita hadapi di usia senja ini  merupakan cara Allah  hendak membersihkan hati kita. Ketika muda kita telah banyak melakukan pelbagai kesilapan kerana tidak bersyukur dan kurang sabar. Ketika inilah Allah beri kita peluang muhasabah diri, perbaiki  diri dan bertaubat. Betul kan?..." 

Alhamdulillah,  terima kasih ya Allah permudahkan  banyak persoalan  terjawab oleh para  hadirin yang ikhlas untuk mesucikan diri mereka melalui  kehadiran  mereka   di taman-taman syurga walaupun mereka bukan dari perkampungan tersebut. Ibu seronok apabila ada komunikasi dua hala  bersama  hadirin yang dirahmati Allah.

Sesi  ini digabungkan dengan kajian Syed Qutb dalam Fizilal Al-Qur'an mentafsirkan surah Al Baqarah  ayat 153, Allah  brfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ 

"Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta (bersama)  orang-orang yang sabar."

Dalam kesibukan mengejar dunia dan stress yang amat sangat, kesabaran kita akan menipis.Gara-gara  mengharapkan hasil atau natijah yang cepat, 'marah-marah' dan 'komen mengomen' menjadi senjata merosakkan kesabaran kita. Ketika itulah kita amat perlu sentiasa 'online' dengan Allah melalui solat. Solat merupakan  'charger' yang akan 'flush' segala sampah-sampah emosi dan memenuhkan bateri sabar, bahkan akan mempertebalkan kesabaran kita. Ketika gunung berapi dalam jiwa sedang bergelora hendak meletup, bersegeralah  ambil wudhu dan solat. Ketika dalam solat, tundukkan segala  ego, akui segala  kelemahan, maka ketika itulah segala penyakit-penyakit jiwa yang selama ini tersembunyi di sudut-sudut jiwa yang terdalam  akan keluar.

Selagimana kita tidak sabar, penyakit-penyakit itu akan terus bertakhta mengawal jiwa dan menyuburkan nafsu amarah. Benarlah sabar itu tiada batasnya kerana pahala orang yang sabar juga tiada batasnya. Jika ada yang berkata 'sabar ada batas' makna belum ada akhlak sabar menghiasi jiwanya. Tanam dan suburkan 'Big Picture' dalam jiwa betapa hebatnya ganjaran yang Allah kurniakan kepada orang yang sabar di akhirat nanti hingga ada yang minta dihidupkan kembali agar tubuh badannya digunting-gunting untuk dapatkan ganjaran sabar yang cukup mulia itu. (sila dengar  hadis qudsi disampaikan oleh ustaz Muhammad Nuzul Dzikri) 

Inilah keajaiban sabar, mengeluarkan segala  penyakit hati melalui solat. Masya Allah. Yang penting IKHLAS untuk membuang segala penyakit-penyakit qalbu tersebut. Di antara penyakit yang sering merosakkan amal adalah ujub, riyak, sumaah, ghurur dan paling akhir keluar dari jiwa adalah ego atau sombong. Perlukan  mujahadah yang berterusan dengan pertolongan Allah SWT.

Sabar  merupakan sayap kiri  keimanan, manakala  sayap kanannya  adalah  bersyukur. Kedua-dua  sayap ini jika disuburkan  akan melahirkan  natijah 'keajaiban' dalam diri seorang insan itu. Hakikat ini  membenarkan  sabda Rasulullah sallallahu alaihi wassalam
"Ajaibnya orang yang beriman apabila diberi rezeki ia bersyukur, maka itu baik baginya. Jika diuji dia bersabar , maka itu juga baik baginya"


Sabar itu ilmu tingkat tinggi, belajarnya setiap hari, latihannya setiap saat, ujiannya sering mendadak dan sekolahnya seumur hidup. Sabar itu tinggi nilainya  di sisi Allah peribadi orang bertaqwa.  Berikut adalah 11 ganjaran kebaikan bagi orang-orang yang sentiasa bersabar.

Sekiranya kita diuji dengan fitnah daripada orang yang iri hati melihat  kejayaan kita , diuji dengan kemiskinan, diuji dengan keretakan rumah tangga hingga bercerai,  diuji dengan penyakit, diuji  mendapat kemalangan, diuji dengan kematian insan yang dikasihi atau diuji dengan kerugian dalam perniagaan maka bersabarlah kerana pasti ada hikmah dan kebaikan yang Allah aturkan untuk kita. Yang penting berbaik sangkalah kepada Allah.

Mungkin musibah itu  merupakan kafarah  untuk menyucikan jiwa atau penghapusan dosa-dosa kita yang lalu  atau  sebagai satu cara Allah SWT ingin menyucikan  jiwa meningkatkan iman dan takwa kita kepada-Nya dan Dia mengasihi kita supaya dapat memasuki syurga-Nya nanti kerana salah satu jalan seseorang dimasukkan ke dalam syurga kerana adanya kerana sifat sabar semasa di dunia.

Berikut ada sebelas kebaikan yang  Allah SWT kurniakan  kepada hamba-hamba-Nya yang sabar. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut 



Pertama: Diampunkan Dosa Untuknya


Dalam hadis qudsi berkata Syaddad bin Aus r.a. bahwasanya Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Allah telah berfirman: 'Sekiranya Aku uji salah seorang hamba-Ku yang mukmin, lalu ia memuji-Ku seraya bersabar atas (penderitaan) apa yang Aku mengujinya. Maka ia akan bangun dari tempat pembaringannya, bagaikan anak yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih dari dosa. Lantas Tuhan akan memerintahkan malaikat Pencatat Amal: Sesungguhnya Aku telah menahan hamba-Ku ini dan Aku telah mengujinya, maka kini catatkanlah baginya apa yang kamu selalu catatkan sebelum itu dari pahala-pahala amalannya.” (Hadis Riwayat Ahmad)



Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslirn)


Kedua: Allah merasa malu kepadanya  semasa di Mizan (neraca Timbangan) Dan Membuka Catatan Untuknya Di Akhirat 

Berkata Anas ra. bahawasanya Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Allah telah berfirman:

'Jika Aku menimpakan suatu musibah ke atas salah seorang hamba-Ku pada badannya, atau hartanya, atau anaknya, lalu dia menerima musibah itu dengan penuh kesabaran, nescaya di hari kiamat Aku malu  dan akan menegakkan baginya neraca timbangan atau membuka buku catatan amalnya.” (Hadis riwayat Qudha’i, Dailami, Hakim dan Tirmidzi) - hadis qudsi.


Ketiga: Allah SWT Ingin Mendengar Sendiri Ucapan Hamba Yang Di Uji-Nya
Ajaibnya  orang Mukmin, bila diuji dia bersabar (tidak mengeluh)  dan  sentiasa memuji-muji kebesaran Allah SWT Berkata Abu Umamah ra. bahwasanya Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Allah telah berfirman: 'Wahai malaikat-ku. Pergilah kepada hamba-Ku, dan timpakan ke atasnya bala'. Maka para malaikat pun menimpakan bala ke atasnya dan orang itu memuji Allah. Para malaikat lalu kembali mengatakan, 'Wahai Tuhan kami ! Kami telah menimpakan atasnya sebagaimana yang Engkau perintahkan'. Berfirman Tuhan: 'Kembali semula kepadanya, Aku ingin mendengar apa katanya'.” (Hadis riwayat Thabarani) - hadis qudsi.


Keempat: Dibebaskan Dari Siksa Api Neraka

Dari Abu Hurairah ra. bahawasanya ia bersama dengan Rasulullah SAW menjenguk orang yang sakit kerana demam, lalu Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Bergembiralah, kerana Allah telah berfirman: 'Itu adalah api-Ku, yang Aku kuasakan terhadap hamba-Ku yang mukmin di dunia agar menduduki (sebagai pengganti) bahagian apinya di akhirat'.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah) - hadis qudsi.

 
 Kelima: Diberikan Kesihatan Yang Lebih Baik Dari Sebelumnya
Dari Abu Hurayrah r.a., bahwasanya Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Berfirman Allah Ta’ala: 'Apabila Aku menimpakan bala ke atas hamba-Ku yang mukmin, lalu ia bersabar (atas penderitaan itu), tiada ia mengadu atau mengeluh kepada pengunjung-pengunjungnya, nescaya akan Aku lepaskan dia dari tahanan-Ku (penderitaan itu), kemudian Aku tukarkan dagingnya dengan daging yang lebih baik, dan darahnya dengan darah yang lebih baik, sehingga ia dapat bekerja semula (yakni: setelah semua dosa dan kesalahan yang lalu Allah ampunkan semuanya)'.”

(Hadis riwayat Hakim)
Orang  bersabar  tidak akan mengalami kemurungan, tekanan  jiwa (stress), migraine, darah tinggi, sakit jantung, kencing manis  dan seumpamanya.  
  Keenam: Diberikan Ganjaran Pahala Tanpa Batas
Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab (tanpa batas) " (Surah az-Zumar ayat 10).

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah SAW. juga pernah bersabda yang bermaksud:
"Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya,daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah SWT dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat." 

Ketujuh: Mendapat Selawat Dan Rahmat Daripada ALLAH SWT

Allah SWT berfirman maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya."

(Surah al-Baqarah, ayat 155-157).


Kelapan: Mendapat Balasan Syurga

iriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda didalam Hadis Qudsi: Allah SWT berfirman yang maksudnya :"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). "

(Hadis riwayat Bukhari).


Kesembilan:Jaminan Mendapat Pertolongan Allah SWT
Ya (cukup), jika kamu semua bersabar dan bertakwa. Dan (seandainya) mereka menyerang kamu semua seketika itu juga, nescaya Allah akan menolong kalian dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda." (Surah Ali-Imran ayat 125). 



Kesepuluh: Diberikan Oleh ALLAH Dengan Sifat Penyabar

Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar, dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas (manfaatnya) daripada kesabaran.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesebelas : Sayap kiri Iman semakin  kukuh
Syukur & Sabar  merupakan dua sayap mengukuhkan iman dan  merawat  jiwa,mengeluarkan segala sifat-sifat mazmumah  dan menggantinya dengan sifat-sifat Mahmuddah






Allah izin sering juga  bergurau mengemukakan pelbagai teka teki:

Dalam banyak-banyak gelaran, gelaran apakah yang sering  dilupakan oleh manusia?

Hobi apakah  yang akan menemanikita ketika transit  di alam barzakh?






Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil