Masya Allah...Tingginya Nilai Sabar

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud
"Siapa  yang berlatih untuk  bersabar, nescaya Allah akan menjadikannya   sabar" (HR Bukhari  Muslim)

Mengasuh cucu-cucu di waktu siang sungguh nikmat di usia kini kerana  dapat belajar  bersabar. Ini merupakan peluang  keemasan untuk  ibu berlatih bersabar tanpa mengabaikan tugas Utama dalam medan dakwah dan tarbiyah.

"Tok ibu janganlah pergi program, tok ibu jangan pergi ceramah..." rengek  Maher, agar ibu ikut kehendaknya. 

"Maher, program ini bukan tok ibu yang nak, tapi Allah yang suruh. Kita sabar  patuh ikut perintah Allah nanti Allah  bagi hadiah syurga." Pujuk ibu sambil memeluknya. Cucu ini perlu difahamkan, apabila  sebut  perintah Allah, fitrahnya  memang tidak akan membantah. "Ooh Allah yang suruh kan tok ibu?" 

Demi cinta kerana Allah, cucu-cucu juga dapat  merasai nikmatnya tarbiyah mengenal Allah yang Maha Baik sudah sediakan syurga untuk mereka  yang mentaati-Nya. Ketika mereka merindui kedua umi dan abinya yang berada di tanah suci, maka kisah-kisah kesabaran para nabi mula diceritakan. Lepas  bercerita tidak sampai 10 minit, buka pula kisah  Nabi dalam you tube. Sabar Nabi Yusuf, sabar nabi Ismail  dan sabarnya  Rasulullah saw perlu ditanamkan seawal usia cucu-cucu. Mereka akan ingat sepanjang hayat, Insya Allah.

Peranan syaitan sentiasa berusaha  menyesatkan anak Adam juga perlu diulang-ulang  dan diceritakan ketika mereka  sedang bergaduh. Di sinilah Allah uji keikhlasan kita tanpa mengabaikan tugas utama  kita dalam dakwah dan tarbiyah. Sungguh nikmat  bila kita mohon Allah  kurniakan kesabaran dan aturkan agenda-Nya  yang  terbaik untuk  kita semua.

Untuk mengukuhkan proses  menebalkan kesabaran, semasa ceramah dengan masyarakat, dengan pelajar IPTIP dan semasa kendalikan halaqah-halaqah dan kendalikan bengkel untuk pengasuh taska sekali memang ibu banyak fokuskan tentang pentingnya sabar dan bagaimana meningkatkan kesabaran. Di samping mendengar  ceramah di you tube,  ibu juga  banyak merujuk  tafsir  fizilal al Qur'an  dan kitab ' Riadhus Solehin'  menghuraikan konsep sabar.

Lebih separuh abad mencari, baru kini ibu  dapat  merasai dan faham serta berkongsi  tentang  pentingnya kesabaran mengukuhkan keimanan agar kita menjadi 'ajaibnya  orang beriman'
Nak sabar tidak semudah kita lafazkan di mulut (lisan) tanpa merasai keperitannya  terlebih dahulu dalam jiwa  dan menahannya  dalam tindakan kita. Awalnya  memang perit, hujungnya  manis, Insya Allah. Inilah perjuangan keluarga  Yasser mempertahankan akidahnyaa ketika disiksa hingga Sumaiyah sanggup syahid. Rasulullah SAW memujuk "Bersabarlah wahai keluarga  Yasser, syurga  menanti kalian"
Sabar itu ganjarannya tidak terbatas seperti firman Allah dalam surah Az Zumar ayat 10 ;
إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ
yang bermaksud;
"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala (atas) mereka (dengan) tanpa batas" (Q.S.Az Zumar Ayat 10).



Para pembaca yang dirahmati Allah
Firman Allah di atas, memberikan pengertian yang terkesan  di jiwa  bahawa hakikat Pahala atau Ganjaran Allah swt. Allah akan memberikan pahala kepada mereka yang  Sabar dalam menghadapi pelbagai ujian kehidupan. Biasanya untuk setiap kebaikan Allah balas  dengan 1 (satu) hingga 700 (tujuh ratus) kali ganda. Bagi mereka  yang sabar  Allah tegaskan apabila orang beriman  bersabar, maka Allah memberikan pahala buat mereka dengan 'bighairi hisaab' @ infiniti atau  tanpa batas… Subhanallah. Bayangkanlah akaun pahala  kita  di akhirat nanti, tidak  pernah rugi  jika  kita terus bersabar.

Masya Allah...Maha Baiknya Allah yang Maha Pemurah ingin terus menerus memberikan ganjaran-Nya kepada mereka yang beriman agar   berlumba-lumba membuat kebajikan. Sikapnya berlapang dada, santun, Bicaranya hikmah, tutur katanya menyejukkan, fikirannya jernih dan luas. Hikmahnya luas, seluas lautan, kerana jiwanya  tidak pernah kenyang ingin terus mencari dan menerima Ilmu Allah ... itulah hakikat pahala yang Allah kurniakan kepada mereka yang sabar. Sabar ini perlu dialami dan bukan dibeli dengan wang berjuta. Carilah seluas hikmah dari Allah  agar kita dapat berkongsi pengalaman sabar bersama ahli keluarga, khususnya  anak-anak, cucu-cucu serta  ahli masyarakat  yang kita temui  di mana-mana.

Perkongsian pengalaman seorang  guru muda ketika halaqah hari khamis  yang lalu amat menginsafkan. Pemuda pemudi sekarang memang nipis kesabaran mereka. Mana tidaknya, depa asyik  dengan hiburan, suka bermain dan bersantai. Sedangkan visi duniapun depa kabur, apa lagi visi akhirat. Tidak boleh susah sikit, mudah melenting...Cikgu  dan mak bapakpun jadi takut. Inilah kesan tarbiyah system Pendidikan  yang membelakangkan Al-Qur'an dan hadis  Rasulullah SAW.

Contohilah bagaimana Rasulullah saw mendukung cucu-cucunya Hasan dan Husein. Ketika baginda mendukungnya, mereka berhadas kecil, menyebabkan  Fatimah (anak Rasulullah) gelisah, kerana najis kencing Hasan dan Husein mengotori pakaian Rasul namun demikian Rasul tetap mendukungnya. Apa kata Rasul?
"Wahai Fatimah … biarkan Hasan dan Husein ini selesaikan hajatnya, setelah selesai baru aku turunkan." Subhanallaah …. Betapa Sabar Rasulullah saw.


Sama-samalah kita sentiasa  berdoa mohon Allah kurniakan 'Sobrun jamil' atau minimanya  dapat bersabar dalam;
i. Mentaati Allah
ii. Menjauhi segala maksiat
iii.Menghadapi sebarang musibah.

Lazimnya sabar menjauhi maksiat dan sabar menghadapi sebarang musibah akan dapat dihayati dengan baik jika  kita semua  lulus dalam ujian  sabar yang pertama  iaitu sabar  untuk mentaati segala  perintah Allah.

Sabar ada 'charger'nya  iaitu solat. Sabar akan semakin menebal apabila kita sentiasa online  dengan Allah melalui solat. Sabar  sangat membantu kita dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran ini. Berkat kesabaran, agenda kita dalam proses tarbiyah  untuk mendidik semua anak cucu dan anak didik  kita akan berjaya dengan izin Allah SWT. Sebaliknya jika kita tidak redha atau marah atau tidak sabar, proses tarbiyah akan terencat dan melambatkan kita  mendapatkan natijah yang Allah kehendaki. Mudah-mudahan berbekalkan syukur dan sabar, Allah kurniakan kita kekuatan Iman dan  menjadi bekalan  amal soleh ketika  kita  menghadap Allah swt di Yaumil Akhir. Insha Allah

Ibu amat tersentuh mendengar  video  berikut menceritakn ganjaran bagi orang yang sabar.


Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil