Taddabur Alam~ Berbaktilah kepada Tanah
9.12.18 ~ Dalam perjalanan pulang dari Selatan, Allah izin sempat kami singgah melawat seorang teman di Sungai Petani,Kedah, setelah sekian lama rancangan menziarahinya asyik tertangguh. Dalam tempoh lebih 6 bulan beliau kehilangan berat badan 20 Kg. Dari 58Kg menjadi 38Kg gara-gara kononnya di 'sihir'. Wallahu alam. Menurutnya keadaan ini berlaku setelah beberapa tahun suaminya berkahwin lagi. Kesihatanya bertambah kritikal apabila sebelah mata kanannya kabur kerana diselaput; katarak. Memang kasihan lihat wajahnya tidak ceria,kurus kering menanggung derita yang masih belum berakhir.
Terapi SEFT (Spiritual Emotional Freedom Technique) ibu ulang dua kali di samping sedikit pengisian rohani dengan izin Allah menyuburkan harapan dan rasa redha 'ikhlas dan pasrah' bahawa di syurga nanti tidak ada lagi kesakitan, semuanya sihat. Nak dapat syurga Allah amat perlukan redha Allah, justeru itu bersabarlah dan berbaik sangkalah kepada takdir Allah. Berbaik sangka kepada suami, berbaik sangka kepada madu kerana dengan adanya madu tersebut, hubungannya kini bertambah akrab dengan Allah... Ibu amat bersyukur sebelum kami pulang wajahnya mulai ceria dan suaranya kembali penuh yakin untuk berbaik sangka. Ibu berikan nombor telefon salah seorang pakar mata untuk dia dapatkan rawatan susulan di hospital kerajaan.
10 hari tinggalkan rumah menyebabkan ibu rindu melihat tanaman herba dan sayur-sayuran sekitar rumah di Tunjung. Alhamdulillah sudah berpesan kepada pembantu rumah, minta tolong siram pagi dan petang jika tidak hujan. Sebenarnya apabila kita peruntukkan sedikit masa berbakti kepada tanah sungguh menginsafkan, di samping bertaddabur alam, ibu dapat berkomunikasi dengan tanah, "lambat laun sampai ajal nanti jasad ini akan bersemadi dalam tanah jua, mudah-mudahan bersemadi di tanah haram, Madinah Al Munawarah... "
Sedangkan segala isi langit dan bumi siang malam bertasbeh mensucikan Allah, sudah sewajarnya kita manusia yang Allah kurniakan akal juga bertasbih mensucikan Allah siang dan malam. Pentingnya kita sentiasa taddabur alam, Al Qur'an terbuka untuk kita mengenal Allah. Di Taska, memang ibu galakkan para pengasuh libatkan kanak-kanak menanam pokok sayur di luar Taska. Melihat sendiri bagaimana Allah tumbuhkan pokok, perlukan air dan cahaya mata hari
Moga ibu dapat memanjangkan amal jariah, mewarisi minat Allahyarhamah bonda ketika hidup dahulu suka berbakti kepada tanah di samping menoreh getah, sempat menanam ubi dan pelbagai sayur di belakang rumah. Ramai yang dapat manfaatnya. Ibu suka tanam pokok herba. Tanaman ini masih di peringkat awal. Ibu bercadang adakan Taman Herba supaya anak cucu serta puteri-puteri asrama yang lalu lalang di hadapan rumah dapat kenal pokok herba dan manfaatnya untuk kesihatan. Tiada niat nak buat business pun kerana pokok herba itupun adalah sumbangan dari sahibah yang beri percuma. Sebenarnya jika niat buat sesuatu tanpa fikirkan untung kebendaan (wang ringgit) memang sungguh membahagiakan. Agaknya tanahpun doakan kita, jika kita ikhlas.
![]() |
Cucunda ke- 15 Fudhla Amani dan ke-14 Ainee Hanani |
Cucu-cucu balik bercuti, memang seronok bawanya lihat tanaman yang baru tumbuh. Belakang rumah banyak tanam pokok ubi kayu. Mudah-mudahan nanti dapatlah rezeki belanja guru-guru dan putera puteri Matri apabila ada hasilnya. Pasang niat murni ini memang seronok dan membahagiakan. Hobi yang bermanfaat, walaupun peringkat awal amat meletihkan namun apabila telah menjadi rutin, alah bisa tegal biasa. Mudah-mudahan Allah terima amal ini sebagai ibadah di sisi-Nya. Percutian anak cucu kali ini hanya melihat sahaja pokok-pokok itu baru nak tumbuh. Insya Allah , mudah-mudahan tahun hadapan akan ada hasilnya, jadi modal ajak mereka taddabur alam. Tanam pokok Harumanis pun hanya sekadar nak makan sendiri. Tiada niat untuk komersial. Inilah sentimental value yang dilupakan tetapi jika ada peluang mengusahakannya akan sungguh membahagiakan.
Comments
Post a Comment