JOM Sama-Sama Kita SIAPKAN GENERASI KEBANGKITAN ISLAM ...


Alhamdulillah, bersyukur kita  ke hadrat Allah  SWT  di atas nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan kepada  kita semua dalam meniti kehidupan yang semakin  mencabar dari masa ke masa. Duri-duri kehidupan semakin bertaburan menanti generasi muda kita, mampukah mereka meneruskan perjuangan sebagai sukarelawan jika hanya dihidangkan dunia tanpa dakwah dan tarbiyah sebagai bekalan??? 

Selawat dan salam ditujukan kepada  junjungan Rasulullah SAW, kaum keluarga baginda, para sahabat, para tabieen, para tabiut tabieen, ulamak-ulamak muktabar serta  jiwa-jiwa yang ikhlas mengabdikan diri hanya sanya kepada Allah SWT.

Syukur ke hadrat Allah, kami dapat bermusafir mulai hari Khamis 18 Julai, sampai ke Pulau Pinang sebelum hadiri proses meminang seorang ibu tunggal anak lima untuk anak saudara  yang kematian isterinya awal tahun baru-baru ini. Ketika di JSW Inn, ibu mengimbau kembali kenangan lama semasa  belajar di USM  Minden sebelum berpindah ke UM Lembah Pantai pada tahun 1984-1985. Banyak kenangan berharga ketika belajar  di USM  mengambil kursus 'Mass Comunication' yang dirasakan tak sesuai dengan peribadi ibu dan  amat berat hendak teruskan hingga 4 tahun. Ketika itu mendapat Biasiswa JPA. 

Ketika lalui  Jambatan Pulau Pinang, terkenang kali pertama ibu lalu ketika mengambil barang-barang di USM kerana berhijrah ke Universiti Malaya tahun 1985. Menggunakan keputusan tahun pertama di USM, ibu mohon  berpindah ke UM, ditemu duga oleh vice Chancelor UM sendiri berbangsa Cina. Ibu diterima masuk UM mengambil bidang yang masih ada kekosongan iaitu Rancangan Pengajian Kependudukan (Demografi). Ketika itu kakak ibu mengurus pengambilan pelajar IPTA melalui UPU (Unit Pusat Universiti). Alhamdulillah urusan pindah universiti  dipermudahkan. Tempoh tamat pengajian sama  seperti  di USM dibiayai terus oleh JPA  hingga  tahun 1988. 

Walaupun hanya  satu tahun berada di USM, banyak perkara yang mendidik ibu di sini. Mengenang kembali pengalaman belajar  memang menyeronokkan. Hari pendaftaran, ibu dihantar oleh emak, abah, family kakak (Datin Noraini) dan family abang (Hj Kamardin). Memang anak manja betul!!! Dua kereta hantar ibu mendaftar untuk belajar di USM. Ketika  mereka  semua pulang, berjurai air mata sebak ditinggal keseorangan apa lagi satu bilik dengan pelajar berbangsa Cina. Sedih memanjang... Banyak masa ibu habiskan di surau.

Ketika  itu memang janggal, dan masih jahil, tidak tahu bagaimana  hendak berdakwah  dengan mereka  yang masih belum nampak  keindahan  Islam. Latar belakang peribadi ibupun memang suka menyepi dan bersendirian, mungkin berpunca dari masalah pendengaran dan masih dalam proses rawatan ketika itu... Lagipun 'roomate' itu asyik dengan group Cina yang sering dibawa masuk bilik kami. Diapun tidak semesra kawan ibu semasa belajar ambil STP di Muar. Masih ingat namanya  Lim Chai Ngo. Kerajinan Lim Chai Ngo mengulang kaji  pelajaran  banyak membantu ibu  ketika mengambil peperiksaan. Orang yang berjasam namanyapun masih ibu ingat sampai hari ini. Semoga Allah kurniakan  hidayah kepadanya memahami Islam. Insha Allah

Sepanjang  berada di USM, syukur Alhamdulillah yang membuat ibu gembira apabila dijemput oleh isteri salah seorang pensyarah USM ke rumahnya. Hujung  minggu ibu tidak rasa kesepian bagaikan ada keluarga. Di kampus ibu sering dkunjungi  oleh kakak Senior yang menjadi naqibah Halaqah ibu. Ibu dibawa berkenalan dengan senior-senior lain. Dua pasangan senior gigih  belajar bersama  anak-anak yang masih kecil. dan setiap hari membawa anak  ke kampus dan tumpang  bilik Sahibah  berdekatan. Dari mereka ibu belajar bahawa berkahwin ketika  belajar tidak membebankan bahkan menyeronokkan.  Bilik mereka yang berdekatan  dengan kampus itu diwariskan kepada  ibu apabila mereka tamat belajar pada pertengahan semester pertama. Bilik itu menjadi pusat  pertemuan  usrah kami tiap-tiap minggu. 

Ketika  cuti agak panjang, ibu  tidak balik Johor, sebaliknya ikut mereka  ber'Tamrin' di Matri Perlis. Inilah detik-detik awal  ibu mengenal erti 'Dakwah  dan Tarbiyah'. Pengalaman sering  berada  dalam 'lubuk' tarbiyah ini memberi ibu kesedaran dan kefahaman dan akan terus berpegang teguh di atas landasan  dakwah Madrasah Rasulullah SAW hingga akhir hayat. Memang ibu tidak menyangka sama sekali akhirnya  Allah pilih  ibu  bermaustautin di Tunjung Perlis meneruskan proses pentarbiyah  generasi pewaris  yang amat memerlukan sentuhan tarbawi kami semua.

Pengalaman  paling berharga apabila berjauhan dari keluarga...ketika  kekeringan  duit. Ibu belajar berjimat cermat. Paling syahdu hanya  beli nasi kosong, makan dengan kicap  dan ikan bilis (bawa dari kampung sebab memang makanan kegemaran) sahaja di dalam  bilik. Pantang  ibu nak pinjam duit  kerana pentingkan makan. Sejarah ibu paling  kurus  ketika belajar di USM kerana bilik kuliah  jauh, berjalan kaki di tengah hari yang panas terik. Tidak terfikirpun hendak beli basikal atau motor. Biarlah beriadhah setiap hari. Jika ada rezeki, sekali sekala dapat juga ibu naik bas USM...

Satu pengalaman paling berharga  ketika ibu di USM, pernah sekali semasa tutorial, seorang  pensyarah lelaki mengamuk kerana semua  pelajar tidak 'prepare' bahan  yang hendak dibincangkan. Kami hampir  dihalau "jika tidak ada sesiapa yang bangun, semua  keluar dari bilik ini!!!" Terketar-ketar juga ibu ketika itu.  Alhamdulillah  ibu teringat  bahan yang ibu baca  dari buku  'surat-surat  Maryam Jamilah kepada Abul A'la Maududi ada kaitan dengan isu  dibincangkan. Ibu tiba-tiba jadi berani untuk menyelamatkan keadaan. Alhamdulillah, ibu bercakap tanpa teks, hanya  ingat  hasil pentarbiyahan  dan perbincangan dalam usrah setiap minggu,  Allah  izin pensyarah itu  terdiam  dan terpegun mendengar penjelasan ibu. 

Dari peristiwa yang bersejarah ini, sebenarnya yang mematangkan ibu bukanlah  pensyarah-pensyarah di situ sebaliknya adalah bahan-bahaan tarbiyah  yang ibu dapat dari para  syuyukh di Perlis dan senior-senior  ibu di USM sebelum mereka tamat pengajian. Banyak buku-buku Fikrah yang mereka sarankan ibu baca. Bahan bacaan juga penting untuk kita hayati nikmat  kemanisan tarbiyah Madrasah Rasulullah SAW. Ketika ini adalah klimaks Allah buktikan bahawa bahan-bahan tarbiyah  inilah yang  menyubur dan menyemarakkan api tauhid di lubuk sanubari, membangkitkan Islam dalam jiwa  dan kita  menjadi orang yang berani. Walhal asalnya ibu adalah seorang yang sangat pemalu, tidak suka berosial dan suka menyendiri.  Pernah semasa tingkatan  6 Atas,  guru Sastera bernama Puan Kamariah  menegur "Norlida  ni, cikgu belum sebutpun namanya, dah  mula nak sorokkan muka bawah meja"

Tajuk  blog kali ini ingin mengajak generasi pewaris agar kita sama-sama mengembeling  tenaga membuat persiapan mendidik anak-anak memahami  fikrah Islam yang tulen sepertimana yang pernah ibu dan sahabat sahibah awal dahulu dapat mulai awal tahun 1980an dahulu. Usah bekalkan anak-anak dengan kemewahan, kerana kemewahan akan melambatkan anak-anak menjadi matang dan mereka tidak kuat bahkan tidak sanggup berhadapan  dengan kesusahan. Sebenarnya  kesusahan dan ketidak cukupan itu yang banyak mendidik anak-anak  bergantung harap hanya kepada Allah SWT. Murnikan  Tauhid  anak-anak dan generasi pewaris kita  memahami fikrah Islam yang tulen hasil tarbiyah  madrasah Rasulullah SAW.


Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil