Anak Menjadi Tuan?

Salam Merdeka kali ke-62 (Sabtu)
dan Salam Tahun Baharu  Hijrah 1441 (Ahad)
Alhamdulillah segala puji-pujian  hanya milik Allah. Selawat dan salam buat Rasul junjungan SAW. 

Semoga  Allah merdekakan kita semua  dari kongkongan hawa nafsu dan gangguan syaitan serta kurniakan kita Hidayah dan Taufiq-Nya menikmati  kemanisan Hijrah menuju kepada Redha-Nya. 

Sedikit  pengalaman yang  ingin ibu kongsikan berlaku pada petang Jumaat yang penuh barokah 30 Ogos 2019. Ibu dikejutkan dengan panggilan telefon seorang ibu tunggal yang balik kampung (Perlis) dari Kuala Lumpur memanggil ibu ustazah.  Siapa sahaja yang belum bertaaruf atau belum kenal  ibu akan panggil ibu "ustazah."  

Benarlah kata-kata salah seorang abang  kandung ibu sebelum ibu berhijrah ke Perlis pada tahun 2015 "jangan toleh  ke belakang lagi, terus  terima.., mana tahu bila duduk di sana nanti  awak jadi ustazah."

Dalam taliansebelah sana, ibu tunggal itu terus meluahkan tekanan masalahnya. Panic sungguh suaranya;

"Ustazah, saya stress sangat ni", adunya lagi "Hanya kerana tidak 'top up' data handphonenya RM25 seperti yang dia mahu. Saya dah top up RM20, anak saya pukul saya, herdik saya, dia ungkit hal-hal yang lalu kata saya tak tahu didik anak dll, terjerit-jerit marah saya. Malu saya, jiran sebelah semua dengar....ni saya keluar rumah, tidak mampu hendak hadapi perangainya begitu.. ya Allah beratnya  masalah ini...Saya cadang nak panggil polis sahaja ni. Saya takut di akhir zaman ini saya termasuk dalam golongan ibu melahirkan tuan!!!." Getaran  suaranya dalam talian dapat ibu rasakan. Gugup suaranya sekali sekala.

Ibu hanya mampu pujuk dalam taliannya  agar  bertenang. istighfar sebanyak-banyaknya. Doakan  anaknya  juga sedang dalam proses bertenang...

Allahu Akbar, sayunya hati mendengar luahan hati seorang ibu yang tidak memahami masalah anaknya. Anak gadis tingkatan 2  juga  tidak memahami masalah ibunya. Sebelum ini dia pernah hadir sesi kaunseling bersama  ibunya (juga ibu tinggal) meluahkan 1001 kerisauan dan tekanan sejak bercerai. Kehamilan  anak kedua (yang bermasalah sekarang) juga  dalam keadaan tertekan berkrisis  dengan bekas suaminya. Ketakutan, kerisauan itu masih menghantuinya walaupun anaknya  sudah berusia 14 tahun. 

Rasanya mungkin ada banyak lagi kes yang lebih teruk  dari ini di luar sana... Alhamdulillah  Allah  beri ibu peluang belajar dari kes ini... Dari kes-kes seperti inilah amat terasa tenaga kita sebagai pendidik, irsyad (pembimbing) @ coacher atau  kaunselor sukarela  amat  diperlukan dalam khidmat masyarakat.

Allah izin  dalam  minggu ini, di mana-mana ibu buka media sosial asyik terbaca  kisah wanita yang 'sakit jiwa'., meroyan dan yang se'waktu' dengannya. Ada seorang ustazah membunuh diri kerana tertekan mengasuh, mendidik dan membesarkan  7 orang anaknya seorang diri kerana suaminya (ustaz)  PJJ kerja jauh dan tidak mahu memahami masalahnya. Isteri asyik dipersalahkan jika timbul sebarang masalah kerosakan kereta, komputer dan seumpamanya. Semoga Allah ampuni dosa-dosa ustazah itu kerana bunuh diri di luar kawalannya.  Suaminya juga turut bertanggungjawab  kerana  tidak  menjalankan tanggungjawab sebagai "qawwamun alanisa." Langsung  tidak  menolong merawat sakit  jiwa  almarhumah  isterinya. 

Kalau kita tanya psiktris di mana-mana hospital, kes seperti ini melambak-lambak hingga  tenaga di hospital tidak menang  tangan. Inilah bala kehinaan kesan pendidikan sekular  yang membelakangkan Al-Qur'an  dan sunnah Rasulullah SAW.

Ibu syorkan  kedua-dua  mereka  berjumpa  psiktris, namun alasannya 'anaknya berkeras tak mahu'  Apa yang mampu ibu sarankan  kepadanya  agar dia  sebut selalu  segala kebaikan  anaknya. Maafkan anak dan  elakkan mengulangi menyebut  keburukannya. 
"Anak akan jadi sepertimana yang difikirkan oleh ibu" 
Apa yang ibu fikir dan terlintas di jiwa tentang anak itu, dia  akan jadi seperti  mana yang ibu fikir dan niat. Kalau  ibunya melabel  anaknya degil, keras kepala, maka  dia akan jadi degil dan keras kepala. Kalau  ibu ulang-ulang main 'brain wave'  anak aku baik, Insha Allah  dia akan  jadi baik. 

"Saya tak mampu ustazah..." keluhnya lagi.
"Ya betul, memang kita tak mampu menanganinya. Serahkan  segala masalah kepada Allah." Ibu cuba ransang 'mind set'nya agar lepaskan segala beban yang ditanggungnya. Hakikatnya memang kita tak mampu uruskan masalah serumit ini. Serah dia kepada Allah. 

Ujian ini juga  tanda Allah sayang kita agar  kita  kembali sepenuhnya  kepada-Nya. Hanya sanya  dengan mengingati Allah  jiwa  akan menjadi tenang,...
Bukannya dia tak tahu cuma terlupa kerana  syaitan-syaitan kelilingnya sedang berpesta meraikan kemenangan mengadu domba  antara anak dan ibunya. 

Dari kisah ini  dapat ibu belajar betapa pentingnya kita bersyukur mendapat rezeki dan nikmat suami yang soleh.  Syukur Alhamdulillah, Allah kurniakan ibu seorang suami yang amat meraikan minat ibu serta memahami kelemahan dan kekurangan ibu malah sentiasa membantu ibu menyuburkan minat itu demi khidmat masyarakat di luar sana. Apabila potensi  kita disuburkan seikhlasnya kerana Allah, Insha Allah  dengan sendirinya Allah akan tutup segala aib kita walaupun ada pihak yang berminat  untuk memburuk-buruk dan menyebar fitnah. Allah  Maha Mengetahui dan akan ganjari fitnah itu dengan kemuflisan pemfitnah di akhirat nanti. 

Satu kes lagi ibu terbaca keperihatin seorang suami  dua anak yang membantu merawat dan melayani isterinya  yang sering mengalami  "depression" Suaminya juga  'survive; saling membantu, memahami dan merawat bersama sakit  mental isterinya. Inilah contoh "qawwamun alanisa" Isteri  sakit bukan bermakna membebankan tetapi menjadi medan  ibadah dan ladang pahala bagi suami yang sabar. 

Berbalik  kepada kes  ibu tunggal di atas, sakit  jiwanya bermula  sejak bercerai dengan suaminya ketika  anak keduanya dalam kandungan hingga berusia 2 tahun. Perangainya anak keduanya sekarang, besar kemungkinan adalah kesan stressnya semasa  hamil. Usia emas anak syurga ini berlalu tanpa mendapat haknya iaitu kasih sayang.

Beliau  datang ke bilik kaunseling petang Jumaat itu dalam keadaan cuaca hujan lebat bersama anak sulung kesayangannya (belajar di MRSM). Ibu faham, itu petanda anak kedua sering dibanding-bandingkan dengan kakaknya.Kehadirannya  sekadar hendak meluahkan segala tekanan masalah yang  dihadapinya kerana ibunya  tiada di Perlis. Setelah keadaannya kembali tenang, baharu dia boleh berfikir secara rasional. 





Dalam perjalanan pulang, dimaklumkan kepada ibu bahawa anaknya  telefon minta dia balik segera. Alhamdulillah... Mudah-mudahan  anaknya juga  sudah tenang. Sudah terang lagi bersuluh, pentingnya ibu tenang dahulu, doakan anak yang baik-baik. Anak akan jadi seperti apa yang ibu fikirkan. Ibu adalah guru pertama  bagi anak-anak, bukan hamba anak.

Jika  ibu takut  kepada  anak, maka  tidak mustahil anak akan menjadi  tuan kepadanya. Kuatkan keyakinan dan takut hanya kepada Allah, bertegas dengan kasih sayang, Insha Allah anak akan  terbimbing menjadi hamba Allah. Wallahu alam bi sawab 

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil