BAHAGIA BERSAMA AL-QUR'AN (2)
Sekembali dari program Wacana Pendidikan HALUAN zon Utara di ILP (Institut Latihan Pendidikan) Kepala Batas Pulau Pinang pada 12 Oktober 2019, sepanjang perjalanan pulang sentiasa terdetik dalam jiwa ini terus berdoa dan mohon kepada Allah agar diberi kesempatan untuk menguasai bahasa Al-Qur'an yang juga bahasa Syurga. Syurga menjadi impian kita dan sudah seharusnya kita mampu berkomunikasi dalam bahasa Syurga sejak di dunia lagi. Jika Allah takdirkan ibu disegerakan dapat berhijrah ke Makkah atau Madinahpun, ibu sanggup asalkan dapat fokus menguasai bahasa Al-Qur'an dan tafsir Qur'an sekali.
"Ya Allah matikan aku di bumi Nabi-MU. Inilah doa dan impianku selamanya dan segala urusan itu kuserahkan kepada-MU". Berhajat sungguh agar sisa-sisa umur yang ada ini sentiasa dapat berdamping dengan Al-Qur'an. Terbayang-bayang harapan, semua cucu cicit ibu dan para sahabat sahibah menjadi penghafal Al-Qur'an dan merekalah kelak akan merealisasikan 'Generasi Al-Qur'an yang Unik' buat kali kedua di bumi ini.
![]() |
Terharu melihat hobi cucu asyik bersujud. Semoga menjadi Hafizah... |
Sepanjang program Wacana Pendidikan HALUAN, ibu amat tertarik dengan persembahan dan penyampaian Sheikh Abd Ragab Abu Maleh dalam bahasa Arab. Sayang sekali sukar hendak memahami, melainkan setelah mendengar terjemahan daripada Pemuda HALUAN yang fasih berbahasa Arab dan dapat terjemahkannya dengan baik sekali. Ada bisikan memujuk "masih belum terlambat untuk diusahakan, yang penting ada niat suci itu sepanjang masa" Ibu yakin apa yang ibu niatkan dan harap, akan menjadi kenyataan kelak. Insha Allah. Perlu ulang selalu membaca doa berikut sebelum membaca Al-Qur'an;
Doa permulaan Membaca Al Qur'an
اللهم عظم رغبتي فى القران واجعله نورا لبصري وشفاء لصدري وذهابا لهمي وحذني
اللهم ذين به لساني وجمل به وجه وقوبه جسدي وثقل به ميذاني وارذقني حق تلاوته وقوني على طاعتك
اناء اليل واناء النهار واحشرني مع النبي صلى هتته عليه واله الا حيار
Ya Allah, besarkan kecintaanku terhadap Al-Qur'an, jadikanlah Al-Qur'an sebagai cahaya bagi penglihatanku, sebagai penawar dalam dadaku, sebagai pengusir kegelisahan dan kesedihanku.
Ya Allah hiasilah lisanku dengannya, baguskan wajahku dengannya, kuatkan jasadku dengannya, beratkanlah timbangan kebajikanku, berilah aku rezeki berupa kemampuan membacanya dengan baik dan benar, anugerahkanlah kekuatan kepadaku untuk menjalankan ketaatan kepada-Mu sepanjang siang dan malam dan himpunkanlah aku dengan Baginda Nabi sallallahu alaihi wassalam beserta keluarganya yang terpilih" (Haqqut Tilawah:19)
Alhamdulillah, semakin terasa kini ketika membaca Al-Qur'an ibu tidak bersegera hendak habiskan satu-satu surah atau hendak cepat khatam seperti selalu. Perlu luangkan masa perlahan-lahan cuba memahami setiap patah perkataan, cuba rasakan Allah sedang berbual dan berkomunikasi dengan kita. Bila ada rasa itu, akan tergenang air mata, betapa sayangnya Allah kepada kita semua. Masha Allah...Al-Qur'an adalah kalam Allah. Kita baca surat cinta dari Allah. Kita sedang bercinta dengan Allah. Sesiapa sahaja yang berdamping dan mencintai Al-Qur'an, pilihannya adalah tepat sekali, paling layak menjadi 'Keluarga Allah' di dunia dan akhirat.
Dalam sebuah riwayat dari Anas bin Malik radhiallahu anhu, ia berkata, Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda:
إِنَّ لِلَّهِ أَهْلِينَ مِنْ النَّاسِ قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، مَنْ هُمْ ؟ قَالَ: هُمْ أَهْلُ الْقُرْآنِ ، أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ
“Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga di antara manusia, para sahabat bertanya, “Siapakah mereka ya Rasulullah?” Rasul menjawab, “Para ahli Al Qur’an. Merekalah keluarga Allah dan hamba pilihan-Nya.” (HR. Ahmad dan Ibnu Majah. Hadis ini dishahihkan oleh Al-Albani dalam Shahih Ibnu Majah)
Apakah yang dimaksud dengan keluarga Allah dan hamba pilihan-Nya?
Imam Al-Manawi rahimahullah berkata,
“Maksudnya adalah para penghafal Al-Qur’an yang mengamalkannya, mereka itu adalah kekasih Allah yang dikhususkan dari kalangan manusia. Mereka dinamakan seperti itu sebagai bentuk penghormatan kepada mereka seperti penamaan Baitullah (rumah Allah)"
Imam At-Tirmizi berkata,
“Sesungguhnya keutamaan ini berlaku bagi para pembaca yang telah membersihkan hatinya dari sifat lalai dan menghilangkan dosa pada dirinya. Tidak termasuk orang khususnya kecuali bagi orang yang membersihkan dirinya dari dosa yang zahir mahupun yang tersembunyi, lalu menghiasi dirinya dengan ketaatan. Maka ketika itu, dia termasuk orang-orang pilihan Allah.” (lihat: Faidhul Qadir, 3/87)
Tidak cukup hanya sekadar membaca agar layak menjadi ahli Al-Qur’an. Akan tetapi dia harus mengamalkan dan menghormati hukum-hukumnya, serta berakhlak dengan Al-Qur'an.
"Seboleh mungkin, kita usahakan agar Al-Qur'an menjadi teman setia kita sepanjang masa. Al-Qur'an sentiasa berada di dalam 'hand bag' atau kocek kita dan anak-anak kita" Pesan ibu ketika membuat sebarang penyampaian berkaitan Al-Qur'an.
Apakah pesaing yang telah berjaya menawan hati anak cucu kita agar melupa dan mengabaikan Al-Qur'an? Isteri Dr Zakir Naik memberi petua, jika inginkan anak-anak kita menguasai Al-Qur'an pastikan di rumah tidak ada TV.
Apa yang ibu harapkan adalah melaksanakan dahulu segala perintah dalam Al-Qur'an. Perlu fahami dan laksanakannya, baharu ada kesan dalam jiwa para anak didik kita. Bagaimana yang Allah aturkan, yang penting usahakan dahulu apa yang terdaya. berjinak-jinak memahami doa-doa agar Allah jadikan Al-Qur'an sebagai musim 'semi'@ bunga dalam qalbu ini. اللهم جعل القرأن ربيع القلبى
Maksudnya: Ya Allah, jadikanlah Al Qur'an sebagai musim bunga di qalbuku...
Sesungguhnya bahagiaku sentiasa bersama Al-Qur'an. Aamiin
Sesungguhnya bahagiaku sentiasa bersama Al-Qur'an. Aamiin
Comments
Post a Comment