Tidak Ada Satupun Nikmat-Mu Yang Kami Dustakan Ya Rabb

Alhamdulillah, sungguh, memang berkahnya  kita bekerja untuk Deen Allah secara berjemaah. Nikmat kemanisannya  sungguh terasa sepanjang percutian kami mulai 26 November hingga 5 Disember. Sungguh besar hikmah di sebalik kita serahkan segala urusan kepada Allah. Segalanya ibu rasakan bagai mimpi. Memang pernah ibu impikan ingin membawa suami istirehat di tempat istimewa  jauh di luar Perlis. 

Alhamdulillah, lanjutan dari lintasan niat itu, Allah kurniakan tempat yang lebih istimewa dari apa yang ibu bayangkan dalam fikiran.  Inilah nilai kepuasan Allah kurniakan jika kita penuh yakin menyerahkan segala-galanya hanya kepada  Allah Yang  Maha Mengatur  kehidupan kita dengan sebaik-baiknya.

Tergenang  air matanya ketika  anak didiknya menjawab "Ustaz tetamu saya..." (maksudnya tidak perlu bayar apa-apa) Jawapan ikhlas ini tidak mungkin akan keluar dari lisan anak didik yang tidak menjalani proses tarbiyah Islamiyah Harakiyah. Murabbi  yang merindui  anak didiknya mendapat  layanan istimewa yang di luar jangkaan. Allah kurniakan kepuasan yang maksimum  di atas  niat utamanya merindui sahabat-sahabat setelah  lebih  3 bulan tidak dapat bertemu. 

Alhamdullillah  ibu juga   dapat tumpang  'tuah' tersebut, meneruskan bakti sebaik mungkin kepada seorang murabbi yang ikhlas berjuang untuk Deen Allah. 

Walaupun tidak dapat  hadir  MTP HALUAN. Turut  tidak  dapat hadir adalah Ustaz  Abdul Hadi Osman kerana isterinya meninggal dunia sebelum Subuh hari Jumaat bersamaan dengan 29 November. Semoga Allah ampuni segala dosa Almarhumah Hjh Hasnah bte Said dan himpunkan rohnya bersama para solehin.


Hasrat ibu ingin ikut serta  pelancaran buku "30 Tahun Dalam Dakapan Tarbiyah"  juga  tidak dapat peluang namun ibu tidak pernah menyesal. Roh ibu tetap bersama  mereka semua  di hotel Tenera, Bangi. Petang hari Jumaat pihak urusetia MTP hubungi hendak pastikan kami dapat hadir atau tidak kerana mereka akan sediakan bilik tetamu. Memandangkan tetamu yang datang melawat  bertali arus, kami terpaksa menolak tawaran itu. Doktor pakar juga tidak ada ketika itu. 

Walaupun jasad ibu setia berbakti menemani suami di bilik  bersejarah 502, Wad Jade, UITM Private Specialist Centre. Segalanya istimewa. hendak makanpun boleh pilih samada  hendak makanan 'western' atau sebaliknya. 

Ibu cuba congakkan berdasarkan kos dapatkan pyhsioteraphy hari terakhir yang kami bayar sendiri. Kami mendapat  bil bernilai RM 105.00
kos teraphy  RM85.00  satu jam
kos sewa tempat RM20.00 satu jam.
Ibu andaikan kos  berada  di Wad Jade 1st Class selama seminggu RM30 satu jam ( bilik  yang lengkap dengan peti ais dan micro wave)
 7 hari X 24  jam X RM30  =  RM 5,040
Phsioteraphy setiap hari 
   2 kali X 7 hari = 14 X 85 =  RM1190
andaikan  makan 3 kali sehari bernilai RM100 x 7 = RM700
(RM5,040 + RM1190 + RM 700) = RM6,930
Semua ini belum termasuk kos rawatan luka, batuk dan khidmat  jururawat lelaki dsb.
Rasanya  kos  yang ditampung insan berjiwa mulia itu mungkin lebih dari  RM7,000. Masha Allah. Semoga  Allah kurniakan rezeki yang berkah berlipat kali ganda  kepada mereka sekeluarga di atas  sumbangan ikhlas  ini. 
Bersama  anak menantu dan cucu Prof Zamrin (Ex Matri)

Physioteraphy, akan diteruskan 16 sesi di Tunjung

Lebih berkah dan  bermanfaat sepanjang seminggu beliau  berada  di wad, tidak putus-putus diziarahi oleh  bekas anak didiknya yang masih muda belia, masih belajar dan sudah  berkerjaya. Dari pemerhatian ibu, memang  banyak   perubahan  yang positif  yang berlaku sepanjang  rawatan di sini, di antaranya seperti berikut;

i. Kini selera  makan semakin pulih setelah sekian  lama hilang selera  makan sejak masuk hospital Tunku Fauziah  di Kangar pada 30 Ogos  hingga  5 September 2019

ii. Kakinya  yang bengkak sejak 5 tahun ibu perhatikan, kini sudah surut dan tidak  bengkak lagi. 

iii. Luka  di bahagian punggung kesan beliau alami 'sembelit'  5 bulan lalu, kini semakin pulih keadaannya.

iv. Mendapat kepuasan (jiwa) semakismanya kerana berpeluang  bertemu ramai anak didiknya, rakan taulan, sahabat handai yang sudah terputus  hubungan kini bersilaturahim  semula.

v. Viral kata-kata 'ustaz merindui sahabat-sahabat' bertukar menjadi  'ustaz merindui anak-anak Matri'  telah mengundang sebak di jiwa  Ahmad Fathi menulis di blognya. Kisah sebak itu mem'viral' dalam media sosial mengundang semakin ramai  yang datang melawat  pada hari esoknya, termasuk penulis blog tersebut. sila baca di sini:
http://bersamakepuncak.blogspot.com/2019/11/redupnya-musolla-matri.html

v. Rakaman di luar jangkaan (last minute) di 'viral' oleh Dr Abd. Muiz salah seorang bekas  anak didiknya di MATRI (tidak silap video tersebut  ditonton lebih 3,000 peminat)


vi. Insha Allah, penulis-penulis  muda akan merancang  untuk mulakan gerakan menulis secara berjemaah merakamkan pengalaman para syuyukh  yang masih ada sebagai bekalan masa hadapan  para rijal ummah. Doakan...

Hari terakhir,  bangkit seawal jam 2.30 pagi hingga  dipantau oleh Prof Zamrin
Walaupun  tidak putus-putus  tetamu datang melawat, tidak pernah beliau bersungut. Daripada kesan selera makan bertambah, memang banyak kesan positifnya. Besar berkahnya jiwa mereka  yang datang menziarahi diiringi  doa ikhlas mereka  yang  mengunjung  inginkan agar Allah panjangkan umurnya  agar  dapat  terus  berbakti kepada Deen. 
Dikunjungi oleh Presiden HALUAN

Hari Sabtu malam Ahad, mulai 10 pagi hingga jam 10 malam paling ramai  yang berziarah, beliau tidak penat  melayan dan paling banyak senyum dan ketawa. Hingga Prof Zamrin nasihat "..banyak  rehat ustaz, jangan banyak sembang..."
Ibu menumpang  bahagia  melihat perubahan  yang sungguh membahagiakannya. Sahabat-sahabat, sahibah-sahibah  juga  turut bahagia  mendengar perubahan positif  yang berlaku kesan istirehat selama seminggu  di bilik 502, Wad Jade. Rasa bagaikan  rumah  sendiri. Tak perlu masuk dapur, rezeki datang  mencurah-curah.  Alhamdulillah.
Hari ke-2, diziarahi oleh Prof Abu Azam Md,Yassin



Wahai anak-anak yang dirahmati Allah. Jom sama-sama kita teliti  firman Allah  di dalam  surah  Ar Rahman...


فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُما تُكَذِّبانِ
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu berdua, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?
 فَبِأَيِّ آلَاءِ
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat
Segala benda yang Allah telah jadikan dalam alam ini, dengan segala keindahan dan kegunaannya, apa lagi yang kamu hendak? Apa lagi yang kamu rasa Allah tidak cukup beri lagi? Apa nikmat yang Allah telah berikan kepada kamu yang kamu tak mengaku datang dari Dia?
Nikmat mana yang kamu tak nampak lagi? Kamu nak tengok kebenaran, tidakkah kamu nampak semuanya yang telah ada dalam alam ini? Apakah kamu tidak nampak? Kerana kalau tidak nampak, itu maknanya buta mata hati sahaja.
Kalimah آلَاءِ dalam ayat ini dan akan diulang-ulang selepas ini mengandungi banyak makna dan boleh ditafsir dalam berbagai-bagai cara. Selalunya ditafsirkan sebagai ‘nikmat’ seperti yang diterjemahkan dalam ayat ini. Tapi ia juga boleh membawa makna ‘kuasa’, iaitu kekuasaan Allah.
Dari segi bahasa, ia dari katadasar أ ل و yang bermaksud tidak cukup memenuhi kewajipan yang perlu dilakukan, lambat, perlahan, sumpah, yang memiliki, yang diberi tanggungjawab mengawasi, penganugerahan.
 رَبِّكُمَا
Tuhan kamu berdua,
Apabila digunakan perkataan كما (kamu berdua) dalam ayat ini, ia merujuk kepada ‘dua entiti’. Siapakah yang dimaksudkan? Tidak disebut dalam ayat ini, hanya sebagai isyarat sahaja. Akan diterangkan selepas ini.
 تُكَذِّبَانِ
yang kamu hendak dustakan?
Dengan segala apa yang Allah telah jadikan untuk kita, apa lagi yang kita hendak? Perkataan ‘dustakan’ itu bermaksud macam tidak mengaku telah menerima segala nikmat-nikmat itu.
Janganlah kamu nak kata ada entiti lain yang buat apa sahaja nikmat yang kamu pakai itu. Mana ada selain Allah yang buat?  Maka kalau Allah yang buat semua, kenapa kamu tak taat kepada Allah sahaja? Jangan guna nikmat Allah tapi derhaka kepada Allah.
Cara mendustakan itu juga dalam bentuk tidak mengaku yang ada Tuhan yang menjadikannya. Kerana ada juga fahaman seperti atheist yang tidak percaya kewujudan Tuhan. Mereka kata dunia ini terjadi sendiri atau terjadi secara tidak sengaja. Ini memang fahaman yang amat bodoh sekali. Mana mungkin alam yang begini punya indah terjadi sendiri?
Ada juga yang mengaku Allah yang menjadikan alam ini. Tapi dalam masa yang sama mereka juga melakukan ibadat kepada selain Allah; mereka juga memuja selain Allah; mereka juga berdoa kepada selain dari Allah. Ini adalah mereka yang musyrik. Ini juga lagi teruk. Sudahlah mereka sudah terima Allah sebagai Khaaliq tapi mereka menjadikan ilah-ilah selain Allah. Maka Allah ada soal dalam ayat yang lain: mereka yang kamu sembah itu ada buat apa-apakah dalam dunia ini?
Ada juga jenis manusia yang mengaku Allah itu pencipta alam ini dan mereka pun tidak menyembah selain Allah. Tapi mereka tidak sanggup untuk ikut taat kepada arahan Allah. Mereka hidup seolah-olah bukan Allah yang jadikan alam ini. Seolah-olah Allah jadikan alam ini tidak menetapkan cara hidup seperti yang dikehendakiNya.
Jadi, mereka tidaklah kata Allah bukan Tuhan, tapi dari cara amalan dan cara mereka menjalani kehidupan mereka sudah menunjukkan mereka menidakkan ketuhanan Allah. Kerana kalau kita terima ketuhanan Allah, kenalah taat kepadaNya, bukan? Allah telah beri banyak hukum dan undang-undang yang kita kena taat, takkan kita ada hak untuk menidakkah kehendak Allah?
Jadi ada berbagai-bagai cara manusia dan jin mendustakan nikmat dan kekuasaan Allah. Maka Allah tanya dan kutuk mereka dalam ayat ini dan ayat-ayat yang lain.
Mesej Islam yang diingatkan kepada umatNya adalah untuk bersyukur kepada Allah. Kita kena bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang telah diberikan kepada kita. Entah berapa banyak nikmat yang telah diberikan, memang tidak akan mampu kita hendak mengiranya.
Malangnya, kebanyakan dari kita hanya pakai sahaja tapi tak bersyukur pun. Segala makanan, kesenangan, keamanan dan segala-galanya sampai tidak terkira. Kita sekarang ada makanan banyak sangat sampai banyak yang terlebih dan dibuang begitu sahaja. Itu adalah tanda orang yang tidak bersyukur apabila membazir. Kerana kalau kita menghargai sesuatu pemberian, kita tidak akan mensia-siakannya.
Nikmat itu kita selalu sangat dapat sampaikan kita rasa sudah biasa sangat dengan nikmat itu. Kita sudah tidak melihat ia sebagai satu pemberian kurnia dari Allah. Jadi kita rasa kita memang layak dapat benda itu. We take things for granted. Kalaulah sekali kala kita tak dapat atau kalau kita hanya dapat jarang-jarang, baru kita tahu erti nikmat itu.
Orang miskin senang sahaja untuk jadi gembira. Dapat barang sikit pun mereka sudah gembira. Tapi orang kaya yang kononnya macam-macam mereka ada, selalu sahaja dalam kegelisahan. Selalu sahaja ada yang tak cukup. Ada sahaja masalah yang mereka nampak. Kalau ada masalah yang menyebabkan mereka susah sikit sahaja pun, mereka sudah resah gelisah. Kerja mereka asyik hendak mengadu dan merungut sahaja.
Lagi malang bila zaman sekarang ada media sosial. Ia tempat manusia merungut dan mengaku macam-macam hal. Kita yang tidak kena mengena pula sampai kena baca rungutan karut mereka. Mereka banyak sangat merungut, padahal mereka macam-macam sudah ada. Yang mereka nampak benda yang kurang sahaja, tak nampak nikmat yang sudah banyak mereka dapat. Itulah sebabnya kejadian bunuh diri tinggi di negara yang maju. Kerana mereka nampak masalah mereka sahaja.
Ini semua terjadi kerana kita tidak mengajar konsep ‘bersyukur dengan apa yang ada’ – ini adalah sifat ‘qanaah’. Kita tidak ajar anak-anak kita bagaimana menghargai nikmat yang ada. Oleh itu, mereka nak merungut sahaja kalau ada kekurangan sedikit. Padahal sudah banyak mereka diberikan dengan nikmat dari Allah.
Ini terjadi apabila mereka rasa tinggi diri. Mereka sangka mereka ada kedudukan. Maka, Allah jelaskan siapakah kita yang sebenarnya dalam ayat selepas ini.
Ayat ini dalam bentuk pertanyaan dan ada dinaqalkan jawapan jin tentang soalan ini. Mereka jawap: اللهم ، ولا بشيء من آلائك ربنا نكذب ، فلك الحمد (“Ya Allah, tiada sesuatu pun dari nikmat-nikmat-Mu yang kami ingkari, maka bagi-Mulah segala puji.”)
Ayat ini disebutkan di dalam surah ini sebanyak tiga puluh satu kali. Istifham atau kata tanya yang terdapat dalam ayat ini mengandung makna taqrir atau menetapkan (bahawa nikmat itu semua dari Allah). Demikian itu kerana ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Hakim melalui Jabir r.a. yang telah menceritakan,
Bahawa Rasulullah saw. membacakan kepada kami surah Ar Rahman hingga selesai. Kemudian baginda bersabda, “Mengapa kalian ini diam saja?” Sungguh jin lebih baik jawabannya daripada kalian. Kerana sesungguhnya tiada sekali-kali aku bacakan kepada mereka ayat ini, “Maka manakah nikmat-nikmat Rabb kamu berdua yang kamu dustakan?” (Q.S. Ar Rahman, 13) melainkan mereka menjawabnya, “Wahai Rabb kami, tiada satu pun nikmat-Mu yang kami dustakan, bagi-Mu segala puji.”
Dan Ibn Abbas juga biasa menjawap begini pula: لا بأيها يا رب (“Tidak, lalu yang manakah, wahai Tuhanku?”)


Ayat 14: Dalil Aqli. Satu lagi nikmat Allah kepada kita adalah kita dijadikan olehNya. Maka dari apakah kita dijadikan?

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil