Lailatul Qadr ~ VVIP yang dinantikan
بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah, segala puji--pujian hanya milik Allah yang Maha Pengasih telah mengizinkan kita semua menikmati Tarbiyah Madrasah Ramadhan 1441 Hijrah..
Uniknya Ramadhan tahun ini bukanlah kerana Covid-19 atau PKP tetapi kerana Allah kurniakan ibu peluang menikmati Ramadhan bersama anak cucu hingga 14 Ramadhan. Kelainan yang ibu rasakan seiring dengan perubahan selera suami, makan hanya satu lauk sahaja walaupun ibu hidangkan banyak lauk di hadapannya. Anak cucu ibu juga demikian hanya makan nasi dengan satu lauk. Ibu dapati hari terakhir kami iftar bersama, meja tidak berserabut dengan lauk pauk yang kadang kala agak melemaskan dan boleh menghilangkan nikmat dan hikmahnya kita berpuasa..
Jazakumullahu khayran kathira kepada suami dan anak menantu dan cucu-cucu yang telah mentarbiyah ibu@ tok ibu membuat perubahan rutin berpuasa, tidak lagi sibuk di dapur membuat persiapan iftar. Puasa sememangnya wajar kita rehatkan perut walaupun ketika berbuka. Alhamdulillah banyaklah masa kami dapat tadabbur Al-Qur'an dengan tenang.
![]() |
14 Ramadhan iftar satu lauk ~ Nasi beringin dan sambal udang |
Terkenang sungutan ibu pada Ramadhan pada tahun-tahun lalu mungkin agak terbeban dengan rutin memasak di dapur. Jika ikut seerah, Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, dapurnya berbulan-bulan tidak berasap, apa lagi di bulan Ramadhan.
Ibu tidak mahu memikirkan apa orang nak kata jika ibu tidak ke dapur lagi. Bagi ibu yang penting suami redha dan memahami bahawa keutamaan di bulan Ramadhan adalah berdamping dengan Al-Qur'an...
Rasa berlaku perlumbaan diri dengan Ramadhan itu sendiri. Ramadhan terus berlari meninggalkan kita, ibu baharu hendak masuk juz 18, Ramadhan sudah masuk hari ke-19. Ibu kagum dengan Presiden Turki, sudah masuk juz 25 hari ini. Masha Allah. Inilah kelebihan orang lelaki, tidak sibuk dengan urusan rumah tangga. Fokusnya terhadap Al-Qur'an mungkin lebih jika mereka tidak uzur.
Ketika PKP diubah kepada PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) mulai minggu lepas, didapati ramai ketua keluarga menuju ke kedai pajak gadai. Allah izin air mata ini tiba-tiba menitis mendengar berita tersebut. Ibu sempat memerhati bahkan merasai keperitan almarhum abah membesarkan 13 anaknya. Hanya dia seorang yang bekerja, emak suri rumah tangga juga gagah-gagahkan diri buat kuih dan nasi lemak untuk dijual setiap pagi. Di hujung usianya Almarhum abah banyak menangis di tikar sembahyang.
Bayangkanlah mereka di luar sana, anak ramai, tanpa kerja. Terpaksa meminjam sana sini bahkan ada yang terperangkap dalam judi kononnya agar berlaku keajaiban duit akan bertambah. Ibu tak salahkan mereka, tetapi ibu amat kesalkan sistem pendidikan sejak zaman penjajah telah menjauhkan mereka dari Allah. Hingga hari ini sistem pendidikan hanya mengutamakan agar anak-anak belajar supaya dapat kerjaya yang lumayan tetapi menjauhkan mereka dari Allah. Niat belajar jauh menyimpang mengejar dunia, bukan kerana Allah.
Ibu bersyukur, dibesarkan dalam didikan keluarga yang mengutamakan solat dan Al-Qur'an. Melatih bergantung hidup hanya kepada Allah bukan pada duit. Sampai masuk universitipun ibu berjimat cermat tak mahu susahkan orang tua. Ibu hanya beli nasi kosong kemudian makan dengan ikan bilis dan kicap ketika belajar di USM Minden (tahun 1983) ~ Inilah kenangan yang paling indah. Ikan bilis dan kicap lauk paling sedap sekali sampai hari ini menjadi kegemaran anak ibu setiap kali Ramadhan. Semoga Allah redha. Aamiin
Iftar Ramadhan, ibu rasa cukuplah kita ikut sunnah Rasulullah SAW, sekadar makan kurma dan air. Nikmat ini pernah ibu rasai semasa menjadi 'single lady' tahun 2013 - 2015. (jika tidak bersama anak atau adik beradik) Berbuka puasa seorang diri, tak perlu memasak. Nikmatnya selalu dapat qiyam di Masjid Besar Shah Alam.
Sekarang ibu perlu ikut kesesuaian kefahaman mereka yang bersama ibu. Alhamdulillah suami dan anak menantu ibu sendiri sudah memahami. Ibu berharap 10 akhir Ramadhan ada peluang ibu hendak bercuti masuk dapur.
Menanti tetamu agung (VVIP) pada 10 akhir Ramadhan, ingin ibu kongsikan tarbiyah yang ibu dapat ketika mentadaburi Al-Qur'an surah Al Mukminun ayat 61-62. Terbayang-bayang tafsir yang ibu baca dalam Amazing Qur'an halaman 690.
Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang terlebih dahulu memperolehinya.
Tafsir Jalalain mengupas ayat ini;
Mereka itu bersegera untuk mendapatkan kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehinya mengikut ilmu Allah.
Bahagian Penyucian diri diulaskan perbezaan tentang Khauf (takut) dan perbandingannya dengan wajal, khasyyah, Rahbah, Haibah
Dalam Riyadus solehin disebutkan hadis di mana Rasulullah SAW bersabda;
"Tiada sesuatu yang dicintai oleh Allah SWT kecuali dua titis air dan dua bekas titis air yang dimaksudkan ialah titisan air mata kerana takut kepada Allah dan titsan darah yang tertumpah di jalan Allah. Adapun dua bekas itu adalah bekas kerana di jalan Allah dan bekas kerana melaksanakan kewajipan Allah ( Hadis Riwayat At Tarmizi, dan ia berkata , "ini hadis hasan"
Comments
Post a Comment