Azam 2021


بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah 

Yang Maha Pemurah 

Lagi Maha Penyayang

Segala Puji-pujian  hanya  milik Allah,

Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Selawat  dan salam kepada junjungan Rasulullah SAW, kaum keluarga baginda, para sahabat serta jiwa-jiwa  yang sentiasa diproses  keimanan mereka untuk mengabdikan diri  hanya sanya  kepada Allah SWT. 

Hakikat manusia  memang  banyak kelemahan. Justeru itu perlunya kita  mohon keampunan selalu. Ada ketika rasa bosan mula menyapa kerana  sudah lama  tidak mengembara. Sewajarnya kita bersyukur adanya Covid-19 agar kita didik diri  melupakan  kembara balik kampung di Johor demi membuat persiapan rapi  untuk  balik ke kampung Akhirat. Azam ini Allah ilhamkan sejak tahun baharu 1442  Hijrah lagi dan perbaharui azam pada tahun 2021 Masihi. 

Semalam (Khamis) ini genap sebulan abang saya Almarhum Hj Mohd Hairudin. Kakak-kakak dan abang-abang saya masih merindui dan sangat  rasakan kehilangannya. Ibu berpeluang menonton video anak tirinya meridui ayah tiri, tergenang air mata. Jika anak tirinya  sangat merindui...apatah lagi kami adik beradik. Menurut adik bungsu ibu yang rapat dengan bekas kakak ipar, bekas isterinya juga amat sedih, masa bercerai tidak sedihpun. Orang baik, semua amat rasakan kehilangannya.

Ibu belajar dari sikap abang ini, sama seperi abang sulung, Almarhum Hj Nordin. Serba memudahkan dalam aspek selesaikan masalah dengan mudah mengalah. "Ya lah, apa-apalah..." Jenis orang yang tak kisah dengan sebarang kerugian dan tidak suka gaduh-gaduh.  

Alhamdulillah, terubat jua  rindu  apabila  anak menantu dan cucu-cucu dari Melaka balik kampung secara mengejut. Rahmat Allah turun bersama hujan mengiringi pertemuan anak menantu dan cucu-cucu. Sudah lama  Perlis tak hujan, hari Sabtu lalu Allah izin hujan membasahi bumi setelah sekian lama  kekeringan.

Di luar jangkaan tetapi Alhamdulillah ' Excited' rasanya. Mereka melatih anak-anak menaiki kenderaan awam setelah parking  kereta di Salak Tinggi. Naik grab ke stesen keretapi  terdekat  menuju KLIA. Cucu-cucu sungguh  teruja dapat merasakan satu kelainan perjalanan balik kampung kali ini, tidak menjemukan. Alhamdulillah, kosnya  juga  menjimatkan masa, tenaga dan  wang ringgit...Tergambar di wajah mereka  kepuasan  kembara. Ibu pernah terbaca  Tuah Iskandar juga selalu lakukan begini  agar anak-anaknya terdedah  dengan  suasana  kembara  yang mendidik jiwa, penglihatan dan pendengaran, mudah-mudahan kita akan semakin dekat dengan Allah SWT.

Memang wajar sejak kecil kita dedahkan  anak-anak dengan  kepelbagaian nikmat menaiki kenderaan awam. Kenangan indah itu akan terukir di jiwa  dan pemikiran mereka hingga dewasa. Sama  dengan kenangan indah ibu sejak umur 7 tahun ibu berpeluang  dapat ikut  ibu saudara  bernama Mak Ndak Zaharah, (kakak almarhum emak yang meninggal dunia di Mekah) Setiap kali cuti sekolah beliau sering membawa ibu  menaiki bas balik ke rumahnya di Sawah Ring, Bukit Gambir menjadi peneman anak perempuan tunggalnya bernama Zainab bin Abd Jalil. 


Ibu seronok sangat  dapat  melihat  suasana  kehidupan bendang (sawah padi) dan membela  ayam kampung. Allah izin suami Mak Andak adalah guru agama  di Johor, rajin baca kitab. Waktu Maghrib, kami  solat berjemaah dan mendengar  Pak Andak membaca Kitab. Ibu lupa buku apa yang dibacanya sebab  ketika itu belum boleh  belajar  secara  orang tua. Mungkin masalah pendengaran ibu suara Pak Andak tak boleh nak masuk ke gegendang ibu yang mungkin sudah mulai bocor kesan terjatuh tangga seawal usia 5 tahun. 

Pengalaman ini sungguh mahal harganya kerana telah membina keberanian ibu mengubah suasana di rumah Tangkak. Balik rumah ibu akan bentang sejadah banyak-banyak ajak abah jadi imam solat berjemaah bersama emak dan adik beradik yang lain. Allah izin ibu jadi pengarah, tidak ada siapa yang berani menghalang dalam bab ini sebab ibu jadikan  keluarga Pak Andak sebagai contoh. Semua hormati Pak Andak sebagai guru agama, apa lagi  kak Ngah juga guru agama banyak menyokong usaha ibu mengubah suasana  keluarga.  Kak Ngah juga rajin  bawa ibu turun naik bas awam menemaninya  pergi ke Muar atas urusan  baharu kerja. Ibu rasa sungguh beruntung dapat peluang seperti ini.

Alhamdulillah, Sejak kecil, Allah izin budaya solat berjemaah dan cinta ilmu sudah mula berputik  dalam jiwa. Jika hendak mengubah dunia perlu ada ilmu, iman dan amal. Syukur, Alhamdulillah berbekal pengalaman  berharga itu, tercampak ke manapun Allah izin ibu boleh hidup. Cuma  ke Maktab Perguruan Miri Sarawak pada tahun 1983 sahaja ibu cabut lari ke Kuching. Selepas itu pada tahun 1984 ibu ditawarkan masuk USM Minden ambil bidang  Komunikasi Massa. Waktu ini sungguh mencabar, kena berani naik bas dan  feri seorang diri  ulang alik ke Johor. Selepas berkahwin tahun 1985, ibu berpindah ke Universiti Malaya mengambil bidang Kajian Kependudukan (Demografi). 28 Mei Tahun 1986 ibu lahirkan Mubarak.

Tidak sampai seminggu bersama  cucu ibu perhatikan Musthofa Mishary  banyak mewarisi keberanian ibu . "Tok ibu cepat pakai tudung, ada orang datang" dengan penuh tanggungjawab menjaga aurat  tok ibu apabila nampak kereta tetamu dari jauh. Dalam bab memilih menu juga tegas, tok ibu terarah ikut seleranya "Abang Ayi  nak Mee  Malaysia warna oren. Tak nak Mee Singapore"

Allah  hantar ibu  ke Perlis ini pasti ada hikmahnya.

Berbalik kepada azam 2021, ibu suka berkongsi doa Saidina Ali  bin Abi Talib ra seperti berikut

"Ya  Allah, ketika aku kehilangan harapan dan rancangan, tolong ingatkan  aku  bahawa Cinta-MU jauh lebih besar dari kekecewaanku dan rancangan yang Engkau siapkan  untuk hidupku jauh lebih baik dari impanku"


Sesungguhnya Takdir Allah sentiasa indah
Dan tidak pernah salah
سبحان ربك رب العزه عما يصفون. وسلام علي المرسلين والحمدلله رب العلمين

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil