اللَّهُمَّ حَاسِبْنِى حِسَاباً يَسِيرًا Impian Masuk Syurga Tanpa Hisab
Alhamdulillahi Rabbil Alamin. Rabb yang Maha Mengetahui segala isi qalbu kita semua...
Selawat dan salam ditujukan khas buat junjungan Rasullullah sallallahu alahi wassalam, kaum keluarga dan para sahabat serta jiwa-jiwa yang ikhlas mengabdikan diri hanya sanya kepada Allah hinggalah hari Kiamat.
Alhamdulillah, ibu amat bersyukur sangat di atas nikmat bahagia yang Allah kurniakan bersama keluarga besar sempena meraikan ulang tahun ke 76 suamiku. Sebenarnya rancangan awal memang nak adakan sambutan kecil-kecilan sahaja sebab itu UOHS tidak pakai baju cantik walaupun baju kurung itu sudah disediakan. Padanya sembang santai bersama keluarga di tengah hari pakai T.Shirt Pagoda sahaja sudah cukup. Mungkin dalam keadaan uzur dia penat dan rimas rasanya jika hendak melawa. Sekadar meraikan bersama besan Cikgu Nordin (mertua Mubarak) kerana tarikh lahirnya sama iaitu 2 Januari. Tidak sangka pula Dr Bahijah turut pulang kampung, suaminya Sukri dilahirkan pada 1 Januari. Kami raikan sekali cucu-cucu yang lahir bulan Januari (aisyah pada 10 Januari dan Nufays pada 7 Januari)
![]() |
UOHS & Cikgu Nordin (2/1) Sukri (1/1) Nufays (7/1) Aisya (10/1) |
Allah izin cantik pula penyusunan tanpa diduga, anak menantu pakat-pakat bawa dan masak juadah yang lazat belaka. Keluarga Ustazah Basyira dan ustaz Arpan siapkan Nasi Maqlubah dua periuk dan tempah Nasi Arab setalam. Keluarga Ustaz Basyir dan ustazah Fadzli Aida sediakan ayam goreng kegemaran cucu-cucu secukupnya. Keluarga Dr Bahijah dan Sukri masak sendiri Sop tulang yang lazat. Keluarga Badari dan Maryam Nazeefah bawa satay ayam dan kambing frozen. Keluarga Mubarak siapkan minuman dan Sofiyah buat sendiri Cookies gemuk kegemaran semua. Keluarga Cikgu Nordin sumbangkan pai ayam. Manakala ibu sendiri tempah 3kg Ketupat Palas (untuk jiran-jiran) & rendang, kek pandan gula Melaka dan roti jala. Sebahagian tempahan ditaja oleh kawan setugas UOHS (Hj Bahar dan Hjh Habibah) dari Senggarang, Batu Pahat Johor. Jazakumullahu khyran kathira semua.
![]() |
Roti Jala 'Love' dari Tok ibu |
Alhamdulillah semua juadah habis belaka, Allah izin berkat dan tidak ada yang terbazir. Sambutan simple sahaja tetapi meriah. Dimulakan dengan bacaan doa oleh menantu sulung Ustaz Arpan dan lagu Allah selamatkan kami oleh cucu-cucu diketuai oleh Uncle Mubarak. Semua anak menantu berkorban memberikan sumbangan dan telah memainkan peranan yang penting seikhlasnya merai dan mengembirakan ayah mereka. Sepanjang majlis simple itu Allah izin hujan renyai, syahdu rasanya. Ya Allah berkatilah majlis ini.
Ucapan penghargaan daripada suami "Alhamdulillah, ayah ucapkan terima kasih kepada semua yang berkorban dapat hadir dan sumbangan makanan. Alhamdulillah kerjasama elok, makanan elok dan lazat belaka. Keikhlasan semua menjayakan program silaturahim ini sangat gembirakan ayah. Ayah doakan semoga diberkati Allah. Tolong doakan ayah bertambah sihat dalam kebaikan. Panjang umur boleh buat lagi. Insha Allah, Wassalam"
Ibu teringat abang, Almarhum Hj Mohd Hairudin, seminggu sebelum meninggal dunia beliau berhasrat adakan jamuan anak beranak pada 1 Januari 2021, namun tidak kesampaian. Insha Allah, mudah-mudahan niatnya sudah memberikan ganjaran pahala kepadanya walaupun tidak sempat nak adakan jamuan tersebut.
Hakikat ini yang perlu kami syukuri, Allah panjangkan umur suami agar ibu dan anak-anak dapat berbakti semaksima mungkin...Alhamdulillah inilah laluan mudah ke syurga. Semoga Allah redha
Walaupun sekadar duduk di rumah, dapat melihat gambar cucu-cucu gembira menunggang kuda di Felda Chuping dan bermain air di Empangan Terinai, ibu turut rasa terhibur.
3 Januari amat terasa sepinya selepas semua anak menantu dan cucu-cucu sudah pulang ke destinasi masing-masing. Dalam kesepian Allah hiburkan dalam jiwa ini nyanyian indah dengan doa اللَّهُمَّ حَاسِبْنِى حِسَاباً يَسِيرًا. Berulang-ulang bisikan doa itu berdendang sayang dalam qalbuku.
فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًا يَسِيرًا
Syaikh Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, pakar fiqih dan tafsir negeri Suriah menyatakan, kemudian Allah menjelaskan bahwasanya barang siapa yang diberikan kitab (catatan amalannya) dari sebelah kanan, mereka adalah orang-orang beriman; Ia akan dihisab dengan semudah-mudahnya hisab (kerana/jika disebabkan berbenturan antara amalan ketaatan dan kemaksiatan). Kemudian ia dipindahkan (setelah hisab yang mudah) menuju kepada kaumnya dalam syurga.
Referensi: https://tafsirweb.com/12426-quran-surat-al-insyiqaq-ayat-8.html
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ سَمِعْتُ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ فِى بَعْضِ صَلاَتِهِ « اللَّهُمَّ حَاسِبْنِى حِسَاباً يَسِيرًا ». فَلَمَّا انْصَرَفَ قُلْتُ يَا نَبِىَّ اللَّهِ مَا الْحِسَابُ الْيَسِيرُ قَالَ « أَنْ يَنْظُرَ فِى كِتَابِهِ فَيَتَجَاوَزَ عَنْهُ إِنَّهُ مَنْ نُوقِشَ الْحِسَابَ يَوْمَئِذٍ يَا عَائِشَةُ هَلَكَ وَكُلُّ مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ يُكَفِّرُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهِ عَنْهُ حَتَّى الشَّوْكَةُ تَشُوكُهُ »
Dari Aisyah, ia berkata, saya telah mendengar Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam sebahagian solatnya membaca, “Allahumma haasibnii hisaabay yasiiroo (Ya Allah hisablah aku dengan hisab yang mudah).” Ketika beliau berpaling saya bekata, “Wahai Nabi Allah, apa yang dimaksud dengan hisab yang mudah?” Baginda bersabda, “Seseorang yang Allah melihat kitabnya lalu memaafkannya. Kerana orang yang diperdebatkan hisabnya pada hari itu, pasti celaka wahai Aisyah. Dan setiap musibah yang menimpa orang beriman Allah akan menghapus (dosanya) kerananya, bahkan sampai duri yang menusuknya.”
Yang dimaksud dengan do’a tersebut diterangkan dalam hadits di atas. Maksud “hisab yang mudah” adalah ketika mana dosa-dosa seorang mukmin dihadapkan kepada Allah, lalu ia pun mengakui dosa-dosanya itu. Kemudian setelah itu Allah mengampuni dosa-dosanya setelah ia bersendirian dengan Allah dan tidak ada seorang pun yang melihatnya ketika itu.
Dari Shafwan bin Muhriz bahawa seorang laki-laki pernah bertanya kepada Ibnu Umar, “Bagaimana Anda mendengar sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang An Najwa (bisikan di hari kiamat)?” Ibnu Umar menjawab,
يَدْنُو أَحَدُكُمْ مِنْ رَبِّهِ حَتَّى يَضَعَ كَنَفَهُ عَلَيْهِ فَيَقُولُ عَمِلْتَ كَذَا وَكَذَا . فَيَقُولُ نَعَمْ . وَيَقُولُ عَمِلْتَ كَذَا وَكَذَا . فَيَقُولُ نَعَمْ . فَيُقَرِّرُهُ ثُمَّ يَقُولُ إِنِّى سَتَرْتُ عَلَيْكَ فِى الدُّنْيَا ، فَأَنَا أَغْفِرُهَا لَكَ الْيَوْمَ
“Iaitu salah seorang dari kalian akan mendekat kepada Rabb-nya. Kemudian Dia meletakkan naungan-Nya di atasnya. Kemudian Dia berfirman, “Apakah kamu telah berbuat ini dan ini?” Hamba itu menjawab, “Ya, benar.” Dia berfirman lagi, “Apakah kamu telah melakukan ini dan ini?” Hamba itu menjawab, “Ya, benar.” Dia pun mengulang-ulang pertanyannya, kemudian berfirman, “Sesungguhnya Aku telah menutupi dosa-dosa tadi (merhasiakannya) di dunia dan pada hari ini aku telah mengampuninya bagimu.”
Inilah yang dimaksudkan dengan hisab yang mudah di mana dosa-dosa seorang hamba yang beriman itu dimaafkan.
Moga Allah mudahkan bagi kita untuk mendapatkan kemudahan hisab semacam ini di akhirat kelak saat hari perhitungan. Aamiin Yaa Mujibad Du’aa’.
Sumber rujukan: baca tulisan lengkapnya di Rumaysho:
https://rumaysho.com/1511-ya-allah-hisablah-aku-dengan-hisab-yang-mudah.html
Comments
Post a Comment