SAMBUT HIJRAH 1439 DENGAN BIG PICTURE


BIG PICTURE  merupakan gambaran visi kehidupan yang perlu kita suburkan setiap detik dan ketika walaupun di mana kita berada. Visi 'Merindui 'khaira ummah' & rumah kita di Syurga akan mengundang pemikiran yang sentiasa positif dan jauh dari sebarang keluh kesah. Ada matlamat yang ingin kita gapai iaitu Redha Allah.

Sepanjang hari Khamis 21 September menjelang 1 Muharram 1439 Hijrah, kalau tak silap tanah air kita dilimpahi berkah, "Rahmat  Allah turun bersama hujan..."  terkenang, inilah  kata-kata salah seorang pensyarah yang sangat memahami ketika ibu belajar di Universiti Malaya sebelum tahun 1988...  . Moga Allah anugerahkan keberkatannya kepadanya sudi mengetengahkan hakikat rahmat Allah turun bersama hujan. MasyaAllah. 


Berita sedih, kembalinya Ustaz 'Akee mantan Mursyid 'am jamaah Ikhwanul Musliminf ke rahmatullah  dalam keadaan sakit tidak dirawat. Baculnya pemerintah Mesir, amat takut dengan pengaruh ustaz yang sakit lagi dizalimi dalam penjara regim Asisi. Pertolongan Allah amat dekat dengan orang bertaqwa. Salah seorang peguam bernama Ustaz Faishol As-Saiyyid Muhammad merakamkan sejarah benar. Menurutnya pada 2 Muharam, cuaca mendung, namun saya bersaksi dengan nama Allah bahawa saya melihat pemakamannya itu bersinar, seakan-akan cahaya memancar dari langit dan saya berasa seperti ada 'perayaan di langit'... 
Masya Allah dalam keadaan di sekat di sana sini, tentera Allah dari langit turun...La hau la wala quwatta illa billah...

Walaupun suasana sedih menyelubungi, yakinlah, Insya Allah selepas kesedihan...bahagia pasti menanti, jika kita redha dan terima semua itu ujian atau peperiksaan hidup. Ujian menguji keikhlasan. Sejauhmana kita ikhlas menyerah diri hanya kepada-NYA. Nak serah diri kepada Allah perlu melalui  proses Makrifatullah, mengenal Allah. Jika  tak kenal Allah  bagaimana akan tumbuh  rasa  cinta hanya kepada-NYA. Allahumma  Ya Wadud, Ya Wadud, Ya Wadud yang Maha  mencintai  para hamba-Mu yang beriman...tanamkan rasa  cinta dan masukkanlah kami dalam senarai mereka  yang mencintai dan merindui-MU sepanjang hayat kami...Aamiin, Aamiin  ya Rabbal alamin. 
Maksud  Ya Wadud:

Al WadudThe Loving/ The Kind One

Maha Pencinta / Yang Maha Penyayang / Maha Menyayangi / Maha Mencintai orang-orang yang beriman – Ia menyayangi mereka yang berbuat baik dan akan menganugerahkan belas kasihan-Nya kelak, iaitu yang menginginkan segala kebaikan untuk seluruh hamba-Nya dan juga berbuat baik kepada mereka itu dalam segala hal dan keadaan.

Apabila jiwa jauh dari Allah, mulalah berkeluh kesah, semua ujian dianggap musibah seperti banjir, pakaian tidak kering, air dicatu kerana empangan penuh, terhalang datang ke program dan seumpamanya. Bukan hak kita untuk  mengeluh dan mencela cuaca kurniaan Allah. Di sebalik  kesedihan pasti ada bahagianya jika kita bersyukur dan mengadu segala masalah hanya kepada Allah. Apa masalahpun serahkan kepada-Nya, biar Allah uruskan segalanya untuk kita. Allah kurniakan  rasa bahagia jika kita memahami hakikat sesungguhnya hikmah di sebalik  hujan petanda Allah akan kurniakan rezeki yang  berlimpah-limpah dan berkah. 


Dalam perjalanan ke satu destinasi indah kelmarin  berbincang dengan murabbi hujan turun tanda pembersihan bumi berkat ramainya yang orang bertaubat ingin kembali kepada Deen Allah. Menjelang Hari Malaysia kita semua diuji dengan pelbagai musibah. Paling menyayat hati di samping penghapusan etnik di Rohingya dan kezaliman Bashar Asad menyembelih kanak-kanak di Suriah, klimaks kesedihan adalah perginya 21 pelajar tahfiz dan 2 murabbinya menghadap Allah, moga syurga buat mereka di sana... Salam takziah dan tahniah kepada waris dan keluarga mangsa...

Takziah kerana kita semua kehilangan mereka, anak-anak yang soleh...
Tahniah kerana anak kalian, Allah pilih sebagai  syahid mendahului kita menemui Rabb  yang mencintai dan merindui mereka. Masya Allah. Tergenang air mata memikirkan keindahan dan keadilan Allah mentakdirkan segalanya berlaku.

"Alangkah bahagianya dapat menemui Rabb dalam keadaan kita mencintai-Nya dan merindui-Nya," luah seorang teman  yang baru menyambut ulang tahunnya yang ke-42 sebaik sahaja kami kembali dari kursus intensif Asmaul Husna. Teman setia ini, walaupun tanpa sebarang ijazah, sekadar  lepasan Khassah MATRI belasan tahun yang lalu, cintanya kepada Deen, dakwah dan tarbiyah amat ibu cemburui. Kehadirannya di rumah setiap minggu dan taaruf kami semasa  kursus Asmaul Husna memupuk bibit ukhuwwah yang tulen antara kami. Penyampaiannya  dari  qalbu, tersentuh dan  terserap di qalbu jua.

Ibu amat respect pengalamannya mendidik 6 orang anak sejak anak pertama (yang kini berusia 18 tahun di Khassah Matri) ada 'lesson plan'nya siap  dengan pelbagai bahan rujukan dibawa  dan ditunjukkan kepada  ibu. Kepada  asatizah yang memiliki ijazah bahkan sarjana (masters) dan PHD sekalipun  sewajarnya rasa malu dengan teman ibu ini, tawadhuk dan kerja dakwahnya  membumi di ceruk-ceruk kampung di utara Perlis. Setiap hari di samping mengajar di Matri, waktu petang dan hujung minggu ada sahaja halaqah, ceramah, ziarah dan riadhah. Depan mata ibu ada  role model muslimah solehah yang benar-benar menginfakkan dirinya untuk Deen. Ibu amat bersyukur sepanjang 3 tahun berhijrah, Alhamdulillah, Allah temukan ansor yang benar-benar memahami ibu. 

Kami selalu  berbincang tentang kaunseling Rabbani, Asmaul Husna dan kami akan  bergerak  dalam satu team sebaik sahaja  buku terbaru ibu siap dicetak. "Ya Allah redhailah usaha kami ini, demi cinta kami kepada-MU, rasul-MU, ummah dan generasi akan datang". Dalam buku terbaru ini ada pengalaman teman ibu itu mendidik anak-anaknya siap dengan lesson plan. Alhamdulillah. 
Bagi  ibu, walaupun umurnya masih muda tetapi pemikirannya amat matang bagaikan sudah berpuluh tahun berada  dalam dakwah dan tarbiyah. Ini aset Matri yang sukar dicari walaupun ramai tenaga pengajar di KPM mahupun Matri adalah graduan lepasan Azhar, Madinah, Mekkah, Jordan dan ramai lagi  asatizah yang hampir pencen. Bezanya, kebanyakkan mereka gagal bebaskan diri  dari kecintaan yang masih melekat kepada dunia. Cintanya pada dunia  melebihi dari kencintaan mereka  kepada Allah dan Rasul. Ini juga ujian bagi kita, bukan senang nak dakwah kecuali mengharapkan pertolongan hanya dari Allahe 

Alhamdulillah...terima kasih ya Allah pencarianku mencari Ansorullah Engkau makbulkan akhirnya...Insya Allah semoga  kita semua akan  berjiran  di syurga  kelak bersama family masing-masing. Aamiin

Berbalik kepada cerita  tentang  Rahmat Allah turun bersama hujan, dalam Quran Surah Al Baqarah ayat 22,  Allah berfirman  yang bermaksud; 

"Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu, kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu padahal kamu mengetahui."



Ayat di atas dikukuhkan lagi dengan Surah Yunus ayat 24, Allah berfirman  yang bermaksud;

"Sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi itu adalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya kerana air itu tanam-tanaman bumi, di antaranya ada yang dimakan manusia dan binatang ternak. Hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya dan memakai (pula) perhiasannya dan pemilik-pemiliknya mengira bahawa mereka pasti menguasainya, tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami di waktu malam atau siang, lalu kami jadikan (tanaman-tanamannya) laksana tanam-tanaman yang sudah disabit, seakan-akan belum pernah tumbuh kemarin. Demikianlah kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang-orang yang berfikir."



Allah SWT  menunjukkan kepada manusia bahawa :

  • Hujan adalah rezeki kerana melalui hujan dapat tumbuh berbagai macam tanaman, sayuran dan buah-buahan yang menjadi makanan manusia.
  • Kebanyakan manusia suka mengeluh jika hujan datang kerana macam-macam alasannya seperti banjir kilat, traffic jem, pakaian tidak kering, aktiviti luar terganggu, padahal hujan itu harus disyukuri sebagai rezeki dan nikmat dari-Nya.  Hal itu Allah kemukakan dalam surah Al Furqan ayat 50 yang bermaksud;                                  "Dan sesungguhnya Kami telah mempergilirkan hujan itu di antara manusia supaya mereka mengambil pelajaran daripadanya maka kebanyakan di antara manusia itu tidak mahu kecuali mengingkari nikmat."  
  • Jika hujan terus menerus turun dan  terjadi bencana seperti banjir dan tanah  runtuh adalah akibat ulah tangan manusia sendiri yang tidak menjaga lingkungan dengan baik bukan kerana  hujan.
  • Daripada mengeluh ketika  hujan lebih baik kita berdoa, kerana ketika turun hujan adalah waktu mustajabnya doa dan akan dimakbul dengan izin Allah, sebagaimana hadits Rasulullah SAW berikut ini yang bermaksud;  "Doa tidak tertolak pada dua waktu iaitu ketika azan berkumandang dan ketika  hujan turun." (H.R. Al Hakim).
  • Yakinlah, Insya Allah tahun 1439 Hijrah adalah tahun Rahmat, di samping  berdoa, nantikanlah hadiah-hadiah indah dari Allah SWT bagi orang-orang  bertaqwa. Prinsipnya  adalah menyerah diri kepada Allah secara sukarela bukan secara terpaksa. Bagi mereka  yang keras kepala, mencari-cari dan mengintai-ngintai salah orang lain, tidak mahu menyerah kepada Allah secara sukarela, enggan dan ingin melawan takdir Allah SWT, tiada siapa yang boleh menahan azab Allah  menantinya.... Di mana 'big picture kalian?'
  • Ya  Allah ampunilah dosa-dosa kami kerana  kejahilan kami memahami konsep dakwah dan tarbiyah kurniaan-MU lantaran  keangkuhan dan kesombongan kami yang tertipu  dengan bisikan syaitan dan kehendak hawa nafsu kami" 

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil