ROH mereka KELAPARAN

Segala puja dan puji hanya milik Allah
Selawat dan salam khusus  untuk Rasul junjungan...

Semua di kalangan kita amat menyakini bahawa dalam sistem kerajaan Nafs (diri kita)  ada dua komponen  iaitu  jasad dan roh. Biasanya  kita makan 4-5  kali sehari untuk jasad, tetapi bagaimana dengan roh kita? 
Cukupkan bekalan makanan untuk roh sekadar  solat tidak khusyu', baca Qur'an tidak faham maknanya, puasa  ikut-ikut orang tanpa faham hikmah di sebalik puasa, pergi haji ingin mendapat title Hj/ hajjah? Di mana letaknya matlamat keredhaan Allah dalam hidup kita? 
Terlalu sibuk mengejar pujian manusia dan mengharapkan  redha manusia hingga terlupa  bahawa  hidup kita ini adalah untuk beribadah, perlu sentiasa memuja dan memuji Allah, bukan memuji manusia. Persoalan ini timbul kesan dari  mereka  yang rasa diri sudah sempurna sebaliknya mencemuh dan menghina golongan remaja yang bermasalah tanpa dibimbing...
Roh mereka kelaparan bahkan ada yang sudah kebulur hingga  tergamak membakar asrama Tahfiz. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa mereka  kerana kejahilan. Kesenangan  juga ujian, apa lagi kejahilan, kesusahan dan kesempitan hidup yang mereka alami.



Alhamdulillah, Allahu Al-Baari (Yang Maha Mengaturkan) agenda-Nya. Allah aturkan  ibu dan 4 sahibah mengikuti kursus intensif Asmaul Husna 3 hari 2 malam  dianjurkan oleh  Universiti Antarabangsa  Asmaul Husna (UAAH)  yang baru setahun dilancarkan. Ya Allah kurniakan kami ilmu yang bermanfaat dari team Asmaul Husna ini. Istimewanya pengalaman belajar Asmaul Husna kerana team ini mengutamakan Qiyamulail seawal jam 3 pagi. Kuliah hanya berhenti ketika solat dan makan sahaja hinggalah jam 10.30 malam. Kami tidur awal kerana perlu bersiap sebelum jam 3 pagi. Setelah tahajjud, ada kuliah  lagi menanti subuh. Aspek ini memang jarang  dihidupkan oleh masyarakat kita hari ini. Semoga aktiviti  mulia ini diterima sebagai ibadah yang dibudayakan oleh generasi pewaris kita kelak. Jika  kita tidak merancang, maka  generasi pewaris kita kelak akan mengikut dan menjadi Pak turut musuh-musuh islam. 

Teman rapat  mengakui  keunikan team ini setakat  mendapatkan ilmu penghayatan Asma' Allah  seperti  dari aspek  zikir dan  'Bicara Hati'  yang boleh dimanfaatkan untuk Tarbiyah Dzatiyah, meningkatkan hubungan dengan Allah agar lebih akrab. Pengisian yang menyedarkan kita  agar  sentiasa peka untuk berkhidmat untuk Deen. Infaq diri, wang ringgit, harta malah jiwa hanya untuk Deen Allah SWT. Adakan lawatan terancang untuk pesakit di hospital, ziarah orang sakit dan mereka yang  memerlukan bantuan . 
Namun tidak dinafikan memang ada juga sudut yang perlu diperbaiki lagi agar tidak menimbulkan  fitnah di kalangan mereka ( para ulamak)  yang sangat menjaga ibadah menepati syariah seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW.  

Wujudnya UAAH untuk mengisi kekosongan dan kelompongan sistem pendidikan hari ini yang membelakangkan Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAW...Alhamdulillah, ibu amat bersyukur Allah kurniakan kesedaran dan kefahaman tentang  Islam yang syamil, kamil  dan mutakkamil sejak lebih 30 tahun yang lalu melalui jamaah yang ibu tseqah sejak ibu berusia remaja (19 tahun). Jika  pergi mana-mana seminar, sekadar mengambil yang baik dari program tersebut untuk dimanfaatkan dalam sesi kaunseling individu dan kelompok....Juga modal dalam penulisan buku terbaru nanti untuk diwariskan kepada generasi  muda kita hingga  hari Kiamat. 

Amat terharu,Allahuma Baar (Maha Baik), memang di luar dugaan. Suami memaklumkan selepas solat Jumaat, pihak bomba tiba-tiba datang hendak memeriksa MATRI, bimbang  tentang keselamatan  semua pelajar di asrama...Menurut  mereka  ini adalah arahan dari pihak atasan. Segalanya Allah Al-Baari yang mengerak dan mengaturkannya. 

Masya Allah ini lanjutan dari  ujian pertama menjelang Hari  Malaysia pada 16 September 2017. Semua pihak turun padang, termasuk YDPA memandu sendiri kereta  menuju ke tempat kebakaran. Masya Allah. Dapat  berita terkini kerajaan akan keluarkan belanja RM30 juta untuk perbaiki semua sistem keselamatan di Maahad Tahfiz seluruh  Malaysia.  

Inilah hikmahnya ujian melanda dan menguji kesedaran dan kefahaman kami tentang hakikat Takdir Allah itu sentiasa  terkandung hikmah dan baik untuk setiap hamba-Nya yang bersyukur dan bersabar. Masya Allah, ramai yang menangisi kembalinya ke rahmatullah  20 remaja dan 2 guru tahfiz di Kuala Lumpur kesan kebakaran... Mereka syahid dan roh mereka  sudah mengelilingi dan melancong  di syurga. Insya Allah. Cuma jasadnya sahaja  yang rentung.

Pelbagai tohmahan dan tuduhan melanda pusat tahfiz tersebut. Berita terkini, jika  benar siasatan yang dibuat  memaklumkan 7 remaja yang sudah tidak bersekolah lagi, sebahagian besarnya adalah penagih syabu bertindak ikut nafsu amarah hendak membalas dendam kerana mereka diejek oleh pelajar-pelajar Tahfiz. Dalam media sosial mem'viral' wajah-wajah remaja yang dituduh. Di sudut  hati ini tergerak menyatakan bahawa remaja-remaja tersebut adalah mangsa  sistem pendidikan pada hari ini... Mereka adalah golongan tercicir tidak mendapat kasih sayang dari ibu bapa  dan masyarakat sekitar khususnya  di sekolah waktu mereka  kecil. Mereka sering di 'label' negatif dan dianggap bermasalah dan sering diejek-ejek, malah tidak mustahil mereka sering diherdik oleh orang tua. Wallahu alam...

Teringat hasil bacaan ibu kisah zaman nabi Musa, ada seorang  pemuda yang meninggal dunia. Semua penduduk kampung  berpakat membuang mayatnya  di tempat sampah hujung kampung kerana menganggap  pemuda itu sangat 'jahat' dan menimbulkan banyak masalah di kampung itu. Allah sampaikan firman-Nya  kepada  nabi Musa agar  pergi ke kampung  tersebut, cari mayat pemuda itu, uruskan jenazahnya dengan baik seperti seorang Islam yang lain. Apabila sampai ke kampung itu, Nabi Musa  bertanya kepada penduduk kampung  tentang pemuda itu. Semuanya penduduk yang ditemui berkata pemuda itu jahat dan tidak patut dikebumikan secara baik. Nabi Musa kehairanan dan mohon Allah SWT berikan jawapan-Nya. 
Firman Allah "AKU lebih tahu apa yang ada di dalam jiwa pemuda itu". Nabi Musa sami'na  wa atho'na (dengar dan patuh tanpa banyak soal) Sekianlah cerita  yang menyayat hati ibu, hingga hari ini memang tidak boleh lupakannya apabila menemui remaja  yang bermasalah.Artikel ini ibu terbaca semasa baru menjadi guru sekitar tahun 1990. Tak ingat sumbernya dari mana.

Rumusannya; Mungkin terdetik dalam jiwa pemuda itu ingin menjadi baik, namun keluarga dan masyarakat  tidak membantunya untuk  berubah. Bagaimana pemuda pemudi bermasalah hari ini  boleh berubah menjadi insan yang  lebih baik? dalam keadaan tiada siapa yang membimbing, masyarakat  rosak, media sosial juga banyak maksiat  dan pemimpin hanya mendidik rakyat  cinta material dan mengejar   dunia. Ibu amat yakin mereka  memang  ingin berubah tetapi sistem pendidikan hari ini  amat mendera mereka dengan peperiksaan yang menyiksa jiwa mereka tanpa dibekalkan IMAN  terlebih dahulu.. Benarlah, apabila Al-Qur'an diketepikan, manusia  menjadi hina dan dihina. Allah  hanya memuliakan manusia yang beriman dan sentiasa  merujuk Al-Qur'an  untuk perbaiki kehidupan mereka.

Jom perbanyakkan istighfar wahai pemimpin negara, pemimpin masyarakat, para pendidik semua khususnya para  ibu bapa. Akuilah  kelemahan diri, merintih di hadapan Allah Yang Maha Besar. Kenali diri bahawa kita hanya hamba-Nya yang kerdil hanya menjadi  alat Allah menyampaikan  fikrah  Islam kepada  umat, khususnya  generasi pewaris kita yang mengalami kebuluran  ROHnya. Jiwa mereka gersang  dengan kasih sayang. Sekurang-kurannya jika kita tak mampu hendak mendidik, jangan melabel negatif. Mereka adalah mangsa kepada sistem pendidikan yang menjauhkan manusia daripada pencipta-Nya. Sebaik-baiknya berusahalah  berikan  mereka  harapan untuk berubaah dan doakan mereka dari jauh...

Allahuma  faqeehum  fideen, wa  alimhum  takwil


"Ya Allah berilah mereka  kefahaman  tentang Deen-MU  dan ajarkanlah  mereka Ta'wil/ hikmah-Mu"

Sekian  Wassalam

Teacher  ibu

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil