Muliakan Ayahmu

 Rabu, 27 Oktober di bumi Perlis hujan mungkin menangisi pemergian sepupu suami bernama Ustaz Dr Mohd Arshad ke Rahmatullah setelah lebih seminggu berjuang melawan Covid-19 dan tidak cukup Oksigen tambahan pula menghidap kencing manis,

Teman sepermainan memiliki atok yang sama di Kg Petal, Perlis (ibu kepada almarhum bernama Hjh Aishah adalah adik perempuan  Tok Guru Hj Salleh). Mereka sama-sama belajar sejak sekolah rendah hingga ambil bidang Deeniyah di Kolej Islam Kelang pada tahun 1960an. Ketika suami di Wad hospital, Almarhum di antara yang paling  awal dan kerap datang melawat. Beliau lebih kerap menziarahi  berbanding suami  yang zahirnya kelihatan uzur.

Selasa semalam suami tanya perkembangan berita kesihatan sepupunya. Ibu jawab nanti kita call anaknya. Belum sempat kami call, anak sulungnya  sudah maklumkan ayahnya sudah meninggal dunia jam 10.50 malam tadi. Bunyi wassapnya

"Assalamualaikum Pak Su

Ayahanda Mohd Arshad Hj Taib tlh kembali ke rahmatullah sekitar jam 10.50 mlm td. Mohon dimaafkan segala kekhilafannya. Semoga pemergian ayahanda diiringi rahmat dan kasih sayang Allah hendaknya".

Isu kedua yang menyentuh  hati ibu sepanjang  dua minggu ini  apabila anak-anak yang bercuti balik ke destinasi masing-masing. Tergenang air mata ibu kerana  hasrat  ingin bercuti ke tempat  lain  khususnya di Johor dan Shah Alam terpaksa ibu  pendamkan. Rasa terharu  dengar abang ibu sudah sampai di Penang dan bercadang hendak ziarah kami tetapi  terpaksa  dibatalkan kerana hari Khamis lalu suami ada kelas mantiq. 

Mujurlah  ada usrah  kami adik beradik perempuan berjalan lancar setiap  minggu saling melengkapi dan saling mengingati khususnya  jika ada projek ceramah, kami saling membantu mengukuhkan pengisiannya. Yang terkini membantu kak Ngah siapkan tajuk 'Sifat Amanah'. Ibu dijemput  mendengar sekali pada  pagi Rabu, hari kematian  sepupu suami. 

Isu ketiga berkaitan tajuk di atas apabila dalam ceramahnya kak Ngah  sebut tentang amanah seorang ibu "ajar anak-anak muliakan ayahnya  walaupun ayahnya  tidak sebaik yang kita harapkan..." 

kak Ngah memang layak sebut isu ini kerana  anak kandung dan anak-anak angkatnya  sentiasa memuliakan mereka berdua. Suami Kak Ngah  hanyalah  orang kampung, kerja kampung tetapi kak Ngah berjaya mendidik anak-anaknya memuliakan seorang ayah lebih-lebih lagi  kini suaminya sedang stroke (angin ahmar). 

Kini suami kak ngah ikuti fisioterapi secara intensif  selama 3 bulan di Putra Jaya dengan bayaran RM15,000 ditanggung oleh anak kandungnya. Bahkan  anak kandungnya gajikan  adik lelaki ( adik angkatnya)  RM3,000 sebulan menemani  ayahnya sepanjang terapi tersebut. Lebih RM 30,000 dilabur seikhlasnya, Insha Allah, pelaburan akhirat.  Adik angkatnya  sanggup mengambil cuti tanpa  gaji menyantuni  ayah angkatnya  yang amat perlukan khidmatnya. 

Inilah contoh pengorbanan  anak-anak walaupun bukan lahir dari darah daging yang sama tetapi boleh saling melengkapi berkorban apa sahaja demi kesembuhan ayah mereka. Subhanallah

Kak Ngah sungguh terharu dengan pengorbanan anak tunggalnya dan berharap sangat  ayahnya cepat sembuh walaupun hampir berusia 80 tahun. Ibu  yang  dengar juga amat terharu. Alhamdulillah, duit boleh dicari, kasih ayah selagi masih ada bersama di dunia ini, peluang untuk anak-anak berbakti, bukan lepas tangan begitu sahaja. 

Dalam banyak kes kaunseling, ibu kenalpasti jika para isteri  rasa  'marah' kepada sisuami akan melibatkan anak-anak sama membenci  ayahnya. Punca  tidak ada keharmonian dalam rumah tangga  apabila ada rasa  tidak  hormat  kepada  seorang  ayah. Isteri atau ibu perlu memainkan peranan agar  anak-anak sentiasa  menghormati  si ayah, apa tah lagi  jika si ayah itu aktif dalam kerjaya Daie (pendakwah) yang berusaha  meng'islah' ummah.  



Hari Isnin lalu, kami dikunjungi oleh dua anak muda dari KL, katanya "arwah ayah pesan ziarah Ustaz Omar". Alhamdulillah, sekilas pandang wajah anak itu, ibu teringat  sebiji wajah ayahnya Almarhum Dr Yusuf yang sering menziarahi kami sewaktu hayatnya masih ada. Sebelum mereka undur diri hendak balik sempat ibu pesan "patah tumbuh hilang berganti, anta yang akan warisi kerjaya almarhum ayah dalam dakwah dan tarbiyah". Ibu perasan tergenang air mata anak muda itu. Dari kejauhan ibu nampak anak muda itu lap air matanya ketika sudah masuk dalam kereta. Sebak, mungkin terkenang tiada peluang lagi memuliakan ayah yang sudah tiada melainkan mendoakan dan meneruskan kerjaya utama dalam dakwah dan tarbiyah.

kenangan diziarahi oleh keluarga almarhum
Hari esoknya isteri almarhum Dr. Yusuf wassap ibu memaklumkan ucapan terima kasih kerana melayan dan memuliakan tetamu (anak dan menantunya). Ini contoh seorang isteri berjaya mendidik anaknya memuliakan ayah walaupun  suaminya sudah kembali ke Rahmatullah.

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil