Tunaikan Amanah
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى ال سيدنا محمد
Alhamdulillah, hari ini Jumaat penuh barokah, ibu rasa bahagia sangat dapat share bahan tentang 'amanah' dengan anak-anak halaqah, tengah hari dan lepas Asar sebentar tadi. Program kami tertangguh, sepatutnya dibuat pada hari Rabu dan Khamis. Jika ibu dalam keadaan stress, agak sukar hendak laksanakan rutin ini. Kena tenangkan diri dan pulihkan kekuatan jiwa terlebih dahulu.
![]() |
Usrah ~ talian hayat family kami |
Bahan penyampaian ini sebenarnya ibu cuba siapkan untuk kakak Ngah di Johor. Alhamdulillah dapat dimanfaatkan untuk diri dan anak-anak halaqah sekali. Benarlah, jika amanah dakwah dan tarbiyyah ditunaikan, Allah kurniakan sakinah. Rasa tenang dan puas kerana bahan penyampaian ini memang perlu disampaikan. Jika disampaikan berulang-ulang kali, akan sebati dengan diri. Insha Allah, semoga menjadi amal soleh yang berpanjangan hingga akhirat. Alhamdulillah syukur Allah permudahkan dan aturkan yang terbaik untuk kami semua...
Setiap hari sebelum tidur, suami sering bertanya ada halaqah atau meeting apa hari ini?
Ada masa beliau berhajat hendak tumpang dengar. Kasihannya, rindu sangat suasana tarbawi dalam keluarga, namun apakan daya, hajat di hati hendak memeluk gunung, tapi tangan tak sampai. Teruslah bersabar seindah sabar Nabi Yaacob hingga muncul 'Yusuf' yang akan harmonikan semuanya. Insha Allah.
Sebaliknya jika letih beliau akan tidur sebaik selesai solat Isya'. Alhamdulillah, kesihatannya kembali ala normal (sihat cara orang sakit) boleh mengajar, mengulang kaji bahan ceramah (bahannya disiapkan oleh MN Perlis), makannya berselera. Jika beliau mengajar ibu perlu sentiasa bersamanya untuk pastikan kelas atau ceramah secara 'online' tidak terganggu. Secara tidak langsung ibu jadi pelajarnya, sedikit sebanyak dapatlah faham subjek Mantiq.
Ahad lalu sebelum beliau tidur ibu jawab sedang mencari bahan untuk tolong kak Ngah buat teks ceramah tasaufnya bertajuk Amanah. Spontan sambil berbaring suami ibu baca surah Al Ahzab ayat 72 dan minta ibu rujuk Qur'an dan tafsirnya. Malam itu juga ibu membaca dan taddabur ayat tersebut.
Hari Selasa malam Rabu, Alhamdulillah kami 4 beradik perempuan ber'usrah' secara online lagi bincangkan tajuk Amanah mengikut tafsir ayat 72 surah Al Ahzab. Allahu Akbar, Syukur Alhamdulillah suami sering membantu ibu cari solusi secara spontan walaupun fizikalnya kelihatan amat lemah. Sebab itu ibu jawab dengan jiran yang bertanya tentang ingatannya. Jawab ibu "Alhamdulillah 1st class". Solusinya sering secara spontan mesti merujuk ayat Qur'an (yang biasa dihafalnya). Alhamdulillah.
Allah izin hari Selasa anak dari KL sekeluarga sampai sebelum Maghrib agak mengejut. Alhamdulillah ada ayam goreng dan lauk seadanya sebagai hidangan makan malam untuk mereka hari itu. Allah permudahkan segalanya. Ibu tidak boleh batalkan program kami adik beradik kerana sudah setkan awal memang kami akan ber'meeting' tiap-tiap minggu sebagai usaha bersilaturahim di samping berkongsi ilmu untuk menguatkan jiwa masing-masing.
Syukur Alhamdulillah semua anak menantu dan cucu semakin memahami kudrat kami tidak macam dahulu lagi. Ibu rasa lebih tenang berada di Mihrab dan dapur comel ini sambil menyantuni keuzuran suami. Baru-baru ini ibu agak stress berulang alik ke dapur utama di belakang hingga jari manis kaki kanan lebam terlanggar kaki meja agaknya. Mohon sangat kepada semua jangan terlalu harapkan ibu macam dahulu lagi, nanti ibu stress dan banyak kerja Islam tidak menjadi dan asyik tergendala.
Suami selalu berpesan, kerja-kerja Islam tak akan habis hinggalah ke hujung nyawa... Setiap apa yang kita lakukan dengan niat kerana Allah serta ikut sunnah Rasulullah maka ia menjadi amal soleh yang diredhai Allah demi melahirkan ummah terbaik. Ini dengar pesanan ini semasa suami ibu diziarahi secara maya@online oleh qiyadah Perak.
Terimalah hakikat, kini kita sudah bertukar peranan. Kalau dahulu ayah kalian masih sihat ayahlah berperanan menjadi ketua keluarga.
Keuzuran ayah kini sebagai tanda anak-anak perlu bersiap sedia dari segi ruhi dan mental untuk memikul amanah besar ini. Ibu hanya mampu ingatkan dalam blog ibu sendiri. Dengar sendiri tarbiyah Islamiyah Harakiyyah dari lisan beliau, selagi hayatnya masih ada. Urusan ini bukan boleh dipaksa, perlukan kerendahan hati dan sukarela. Peluang sentiasa terbuka dan ayah tidak pernah jemu berdoa dan menanti...
Bagi kami yang semakin tua dan uzur, makanan fizikal tidak menjadi masalah, Alhamdulillah, rezeki memang tidak pernah putus dihantar oleh hamba Allah yang soleh dan solehah. Sekarang ini kami perlu 'maintain' tingkatkan bekalan roh dan ketenangan yang berpanjangan untuk kehidupan selepas mati. Tolong fahami hakikat ini. Di hujung usia ini kami ingin ikut rutin keseharian hidup Rasulullah sallallahu alahi wassalam, dapur mereka selalu tidak berasap.
Insha Allah semoga segala-galanya Allah aturkan yang terbaik untuk kita kembali ke sisi-Nya. Aamiin Ya Rabbal Alamin
Comments
Post a Comment