Mimpi seorang Nenek Yang Pengasih

4 Ramadhan 1239 Hijrah,  ibu bermimpi seorang yang  sering dirindui mengikut  ibu ke mana sahaja ibu pergi. Masya Allah, rupa-rupanya beliau adalah seorang nenek  yang pernah berbakti ketika  ibu  di Batu Pahat. Baktinya  paling besar adalah membesarkan  4 cucu  yatim sejak yang kecil masih berusia 2 tahun manakala yang sulung baru  7 tahun. Ayah mereka meninggal dunia dalam kemalangan kereta dan motor. Manakala ibu cucu itu berkahwin lain. Alhamdulillah, mutakhir ini ibu dapat  maklumat  mereka  sudah bersatu semula bersama ibu mereka. Setelah berhijrah ke Perlis, ibu tidak berkesempatan  menziarahinya, walaupun  sering teringatkannya. Dalam mimpi itu ibu berpeluang memeluknya...Masya Allah, terlepas  rasa rindu kepadanya.


Setelah  berhijrah  dari Shah Alam ke Batu Pahat  sekitar  tahun 1993, ibu diperkenalkan dengan nenek tersebut. Beliau  mengambil upah  mengurut  dengan penuh kasih. Anak saudara ibu pernah patah tangan, juga segera  dirawat oleh nenek itu, tak perlu hantar ke hospital. Paling menakjubkan setiap kali mengurut, akan diperuntukkan masa  lebih dua jam untuk meyegar dan melancarkan kembali aliran darah yang tersumbat barangkali. Setiap urat disentuh dengan penuh kasih. Ketika mengurut, banyak persoalan dan ujian yang dihadapinya diceritakan kepada  ibu. Alhamdulillah dari aduan itu ibu cuba usahakan apa yang terdaya meringankan  beban nenek itu. Isikan borang  di Jabatan Kebajikan  Masyarakat agar  dapat peruntukan  khas untuk anak-anak yatim dan ibu tunggal.  Setelah usia cucu-cucunya melepasi 12 tahun, mereka diterima masuk ke rumah anak-anak yatim. Alhamdulillah  ringan sedikit  kerana  ibu yakin nenek berusia  80 tahun tidak mampu menanggung  seorang diri membesarkan cucu-cucunya. Keintiman kami mengetuk pintu hati para jiran tetangganya agar sentiasa  ambil berat dan  membantunya, khususnya  anak perempuan kandungnya.

Apabila melihat  keadaannya ketika dalam mimpi, pasti ada sesuatu  yang Allah izinkan untuk ibu fikir hikmah mimpi  tersebut. Kedua-dua  anak lelakinya sudah meninggal dunia. Cucu-cucunya  sudah lama tidak dapat  dihubungi. Ibu dapat  berita kematian nenek itu agak lewat   melalui  anak  ibu  yang ternampak  berita  kematian itu dalam facebook salah seorang cucunya. 

Nenek  itu seorang yang  solehah, Insya Allah semoga Allah ampunkan segala dosa-dosanya  dan  rohnya  dihimpunkan  bersama  para solehin. Nenek ini Hjh Salimah  bte  Abdul Rahman  berhak mendapat  doa kita setiap hari sepertimana  kita mendoakan kedua ibu bapa kita di atas amal baktinya  selama mereka  hidup, Insya Allah semoga  kita  bertemu  di Syurga  Firdaus bersama  ibuku dan ibu-ibu solehah yang lain. Aamiin.

Comments

Popular posts from this blog

الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Teman Sejati Di Langit)

Dialog Antara Haq dan Batil